Selasa, 13 Disember 2016

28:7-9 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 7-9.

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلا تَخَافِي وَلا تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ (٧)فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ لِيَكُونَ لَهُمْ عَدُوًّا وَحَزَنًا إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ (٨) وَقَالَتِ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ قُرَّةُ عَيْنٍ لِي وَلَكَ لا تَقْتُلُوهُ عَسَى أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لا يَشْعُرُونَ (٩)

Fir'aun bimbang akan digulingkan oleh Bani Israil dari kerajaannya. Kerana itu Fir'aun banyak membunuh bayi lelaki Bani Israil. Maka orang-orang Qibti (Mesir) bimbang akan kebinasaan Bani Israil. Akibatnya mereka sendirilah yang terpaksa menangani pekerjaan-pekerjaan berat yang selama itu ditangani oleh kaum Bani Israil.

Mereka berkata kepada Fir'aun, "Sesungguhnya jika keadaan ini terus berlangsung, pastilah orang-orang tua lelaki mereka akan mati dan bayi lelaki mereka dihabisi, sedangkan yang tinggal hanyalah kaum wanita mereka saja, dan kaum wanita mereka tidak mungkin dapat menggantikan pekerjaan-pekerjaan berat yang ditangani oleh kaum lelaki mereka, dan akibatnya pekerjaan-pekerjaan berat itu sudah pasti akan ditangani seluruhnya oleh kami."

Maka Fir'aun memutuskan untuk membunuhi bayi-bayi lelaki kaum Bani Israil selama satu tahun dan membiarkan mereka satu tahun, agar kaum lelaki Bani Israil tidak musnah. Harun a.s. dilahirkan pada tahun mereka membiarkan hidup bayi lelaki yang lahir di tahun itu, sedangkan Musa a.s. dilahirkan di tahun mereka membunuhi semua bayi lelaki yang lahir di tahun itu.

Fir'aun menugaskan orang-orang tertentu untuk mengawasi hal tersebut, juga menugaskan bidan-bidan yang memeriksa semua wanita Bani Israil. Barang siapa yang mereka nampak sedang hamil, maka mereka mencatat namanya.

Apabila telah tiba masa kelahirannya, hanya wanita dari bangsa Mesir yang boleh membidaninya. Jika lahir bayi perempuan, mereka membiarkannya, lalu mereka meninggalkannya. Tetapi jika lahir bayi lelaki, maka para algojo (tukang bunuh) mereka masuk dengan membawa pisau yang sangat tajam, lalu menyembelihnya.

Ketika ibu Musa (Yukabid, Yukabad atau Yokhebed) mengandungnya, tidak kelihatan padanya pertanda kehamilan yang biasa dialami oleh wanita lainnya. Kerana itu, pengintip perempuan Fir'aun tidak mengetahuinya.

Tetapi setelah dia mengetahui bahawa bayi yang dilahirkannya adalah lelaki, terasa sempitlah dadanya dan hatinya dicekam rasa takut yang sangat akan keselamatan bayinya, sedangkan dia sangat mencintainya.

Ketika Musa a.s. masih bayi, sesiapa saja yang melihatnya pastilah mencintainya; dan orang yang ditakdirkan bahagia adalah orang yang mencintainya, juga mencintai syariat yang dibawanya. Allah s.w.t. telah melimpahkan kepadanya kasih sayang yang datang dariNya.

Allah s.w.t. berfirman,

"7. Dan Kami beri ilham kepada ibu Musa agar, "Susuilah dia, maka apabila kamu takut terhadapnya, maka hanyutkanlah dia di sungai.""

Rumah ibu Musa berada di tepi Sungai Nil. Maka ia membuat sebuah peti dan dipersiapkannya sedemikian rupa, lalu ia menyusui bayinya dengan tenang. Apabila seseorang yang ditakuti masuk ke dalam rumahnya, maka ia pergi dan meletakkan bayinya di dalam peti itu, lalu ia lepaskan ke Sungai Nil, tetapi peti itu diikatkan tali penambat agar tidak hanyut.

Pada suatu hari datanglah kepadanya seseorang yang ia takuti masuk ke dalam rumahnya. Maka ia pergi dan meletakkan bayinya ke dalam peti itu, lalu ia lepaskan ke Sungai Nil. Tetapi kerana terburu-buru, ia lupa mengikat talinya. Maka peti itu dihanyutkan oleh aliran Sungai Nil.

"Dan janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih," 

Janganlah bimbang bayimu akan tenggelam. Janganlah bersedih kerana berpisah dengannya.

"sungguh Kami mengembalikan dia kepadamu, dan menjadikannya termasuk para rasul." 

Ini adalah berita gembira yang sangat agung. Allah mendahulukan berita ini kepada ibu Nabi Musa agar hatinya tenteram dan hilang rasa bimbangnya. Peti itu dihanyutkan sehingga sampai ke istana Fir'aun.

"8. Maka memungutnya keluarga Fir’aun" 

Para dayang Fir'aun memungut peti itu. Mereka tidak mengetahui isi peti itu dan mereka merasa takut untuk membukanya tanpa pengetahuan isteri Fir'aun (Asiyah binti Muzahim). Maka mereka menyerahkannya kepada isteri Fir'aun.

Mereka membawanya dan meletakkan di hadapan Fir’aun. Apabila isteri Fir'aun membuka peti itu, ternyata di dalamnya terdapat seorang bayi lelaki yang sangat comel, lucu serta bercahaya. Allah s.w.t. menjatuhkan rasa cinta ke dalam hati isteri Fir'aun terhadap Musa a.s. saat memandangnya. Lalu dikeluarkanlah Musa a.s. dari peti itu.

"agar dia menjadi bagi mereka musuh dan kesedihan." 

Demikian itu merupakan kehendak Allah yang telah menakdirkan isteri Fir'aun sebagai orang yang bahagia dan menakdirkan suaminya sebagai orang yang celaka. Allah s.w.t. telah menetapkan mereka memungutnya sebagai musuh dan kesedihan bagi mereka kelak.

Sikap waspada mereka yang bimbangkan kerajaannya digulingkan tidaklah mengangkat takdir, dan kerana orang yang mereka bimbangkan itu, tanpa mereka sedari membesar di bawah asuhan mereka. Sedangkan mereka sebenarnya tidak berniat memungut bayi itu.

Di dalam peristiwa ini terdapat berbagai maslahat bagi Bani Israil seperti tersingkirnya beban berat yang menimpa mereka selama ini, tercegahnya tindakan penganiayaan yang sebelumnya menimpa mereka dan sebagainya.

Musa a.s. termasuk pembesar di kerajaan Fir’aun. Maka dari itu, tentu adanya pembelaan terhadap hak bangsa yang lemah ini (Bani Israil), sedangkan Nabi Musa a.s. sendiri memiliki niat yang luhur dan semangat yang membara.

Oleh kerana itulah, muncullah di antara bangsa yang lemah ini seorang yang berani menentang bangsa yang sombong itu (kaum Fir’aun). Ini merupakan awal kemenangan, kerana termasuk sunnah Allah s.w.t. yang berlaku adalah mengadakan perkara secara bertahap, tidak sekaligus.

"Sesungguhnya Fir'aun, dan Haman, dan tentera keduanya, mereka orang-orang yang bersalah." 

Haman adalah menteri Fir’aun. Oleh kerana mereka bersalah, Allah menghendaki mereka diberi hukuman.

Ketika Fir'aun orang-orang dekatnya melihat bayi itu, hampir saja mereka membunuhnya kerana merasa takut bahawa bayi itu dari kalangan kaum Bani Israil. Tetapi Asiyah isterinya menentangnya dan melindungi bayi itu serta meminta kepadanya agar mengasihaninya.

"9. Dan berkata isteri Fir’aun, "Penyejuk mata hati bagiku dan bagimu.""

Musa menjadi cahaya dan penyejuk mata bagi Asiyah. Maka Fir'aun menjawab, "Itu adalah bagimu, tetapi bagiku tidak." Asiyah berkata lagi,

"Janganlah kalian membunuhnya, mudah-mudahan bahawa bermanfaat bagi kita" 

Bayi itu mungkin boleh dijadikan pelayan yang membantu urusan mereka kelak. Kejadiannya adalah seperti apa yang dikatakan oleh Asiyah. Allah s.w.t. menakdirkannya, bahawa Musa a.s. ternyata bermanfaat bagi Asiyah, seperti yang diharapkannya.

"atau kita ambil dia anak," 

Atau bayi itu ditinggikan kedudukannya menjadi anak angkat yang dimuliakan. 

Asiyah bermaksud menjadikan Musa a.s. sebagai anak angkatnya kerana dia tidak mempunyai anak dari Fir'aun. Asiyah mencintai Musa a.s. seperti anak kandungnya sendiri.

Sampai pada usia dewasa dan Allah mengangkat Musa a.s. menjadi nabi dan rasul. Asiyah segera masuk Islam dan beriman kepada Musa a.s. Allah menempatkannya di syurga berkat petunjuk Musa a.s., sedangkan Fir'aun dibinasakan oleh Allah melalui Musa a.s. juga.

"dan mereka tidak menyedari." 

Maka mereka pun menataati Asiyah dan tidak jadi membunuh Musa a.s. Mereka tidak menyedari akibat yang akan mereka alami. Hal ini termasuk kelembutan Allah s.w.t. Mereka tidak mengetahui apa yang dikehendaki oleh Allah melalui penemuan (pemungutan) Musa a.s. itu, padahal di dalamnya terkandung hikmah yang besar dan hujah yang pasti.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...