وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقَاعِدَ لِلْقِتَالِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (١٢١) إِذْ هَمَّتْ طَائِفَتَانِ مِنْكُمْ أَنْ تَفْشَلا وَاللَّهُ وَلِيُّهُمَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (١٢٢)
Allah s.w.t. berfirman mengingatkan,
"121. Dan ketika kamu berangkat pada pagi hari dari keluarga kamu, kamu tempatkan orang-orang mukmin beberapa tempat untuk berperang."
Semasa Perang Badar, ramai orang-orang terhormat kaum musyrik telah terbunuh, sedangkan kafilah perniagaan pimpinan Abu Sufyan selamat dengan membawa keuntungan yang banyak. Maka anak-anak orang-orang yang gugur dalam Perang Badar dan pemimpin-pemimpin lainnya yang masih hidup berkata kepada Abu Sufyan, "Aku menunggu-nunggu hasil perniagaan ini untuk memerangi Muhammad, maka belanjakanlah oleh kalian untuk tujuan tersebut!"
Kemudian mereka menghimpun semua golongan dan orang-orang Habsyah, lalu Pasukan Quraisy yang terdiri daripada 3,000 orang berangkat, hingga mereka berehat di suatu tempat dekat Bukit Uhud yang menghadap ke arah kota Madinah. 100 orang pasukan berkuda ditempatkan agak jauh dari medan perang. Pasukan sayap kanan berkuda di bawah pimpinan Khalid ibnul Walid (ketika itu masih kafir), sedangkan pada sayap kirinya di bawah pimpinan Ikrimah ibnu Abu Jahal. Panji mereka diserahkan kepada Bani Abdud Dar.
Rasulullah s.a.w. solat pada hari Jumaat. Setelah selesai dari solat Jumaatnya, maka beliau menyolati jenazah Malik ibnu Amr, dari Bani Najjar. Lalu Rasulullah s.a.w. bermusyawarah dengan orang ramai untuk membuat keputusan, samada berangkat menghadapi musuh atau tetap tinggal di Madinah menunggu serangan mereka.
Abdullah ibnu Ubay mengemukakan pendapatnya, bahawa sebaiknya tetap tinggal di Madinah. Jika mereka (pasukan kaum musyrik) menunggu kedatangan pasukan kaum muslim, berarti mereka menunggu yang tak kunjung tiba. Jika mereka memasuki Madinah, mereka akan dihadapi oleh kaum lelakinya dan akan dilempari oleh kaum wanita dan anak-anak dengan batu-batuan dari atas mereka. Jika mereka kembali, nescaya mereka kembali dalam keadaan kecewa.
Para sahabat yang tidak ikut dalam Perang Badar mengisyaratkan mereka bersedia berangkat menghadapi mereka.
Lalu Rasulullah s.a.w. masuk dan memakai 2 lapis baju besi, kemudian keluar menemui mereka. Sebahagian dari mereka menyesal, dan mengatakan, "Barangkali kami memaksa Rasulullah s.a.w." Lalu mereka berkata, "Wahai Rasulullah, jika engkau suka untuk tetap tinggal, kami setuju."
Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, "Tidak layak bagi seorang nabi, bila telah memakai baju besinya mundur kembali, sebelum Allah memberikan keputusan baginya."
Pada pagi hari Sabtu, 11 Syawal 3 Hijrah (26 Mac 625M) Rasulullah s.a.w. berangkat bersama 1,000 orang sahabatnya. Pada hari itu Rasulullah s.a.w. membenarkan sebahagian anak remaja ikut berperang dan menangguhkan sebahagian yang lainnya.
Ketika mereka berada di Asy Syaut, Abdullah ibnu Ubay kembali dengan 300 orang munafik dalam keadaan marah kerana pendapatnya tidak dipakai. Mereka berkata, "Sekiranya kami mengetahui pada hari ini akan terjadi peperangan, pastilah kami akan mengikuti kalian. Tetapi kami tidak menyangka bahawa kalian akan berperang (sehingga kami tidak membuat persiapan)."
"Dan Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui."
Dia Maha mendengar semua yang kalian katakan. Dia Maha Mengetahui semua isi hati kalian.
"122. Ketika ingin dua golongan dari kalian bahawa keduanya takut,"
Ketika dua golongan dari pihak kalian ingin mundur kerana takut. Bani Salamah dari suku Khazraj dan Bani Harisah dari suku Aus ingin mundur melihat Abdullah bin Ubay dan kawan-kawannya mundur, lalu Allah meneguhkan pendirian mereka sehingga tidak jadi mundur. Zahirnya ayat ini merendahkan mereka, tetapi di akhir ayat sebenarnya terdapat kemuliaan bagi mereka.
"dan Allah penolong keduanya,"
Padahal Allah adalah penolong bagi kedua golongan itu. Dia memberikan taufiq hamba-hambaNya kepada hal yang terbaik bagi mereka dan melindungi mereka dari hal yang membahayakan mereka. Di antaranya adalah dengan meneguhkan pendirian mereka, ketika mereka hampir mundur dan meninggalkan Rasulullah s.a.w. kerana iman yang ada dalam hati mereka.
Rasulullah s.a.w. meneruskan perjalanannya bersama 700 orang mukmin yang masih setia kepadanya hingga turun berehat di lereng Bukit Uhud, iaitu pada lembahnya. Bukit Uhud berada di belakang mereka.
Beliau s.a.w. sendiri mengaturkan kaum mukmin pada tempatnya masing-masing, ada yang di sayap kanan dan ada pula yang di sayap kiri, serta tempat yang lainnya menurut perintahnya. Hal ini menunjukkan kecemerlangan pendapat dan keberanian Beliau s.a.w.
Panji diberikan kepada Mus'ab ibnu Umair (saudara lelaki Bani Abdud Dar). Beliau s.a.w. bersabda, "Jangan sekali-kali seseorang memulai berperang sebelum kami memerintahkannya untuk perang."
Abdullah ibnu Jubair (saudara lelaki Bani Amr ibnu Auf) diangkat sebagai pemimpin pasukan pemanah yang terdiri daripada 50 orang. Mereka ditempatkan di atas bukit Uhud.
Beliau s.a.w. bersabda kepada mereka, "Bendunglah pasukan berkuda (musuh) dari kami (dengan anak panah kalian), dan jangan sekali-kali kalian biarkan kami diserang dari belakang. Dan tetaplah kalian pada tempat kalian, baik kami mengalami kemenangan atau kami terpukul mundur; dan sekalipun kalian melihat kami disambar oleh burung-burung, maka janganlah kalian meninggalkan tempat kalian."
Awalnya kaum muslimin menguasai jalan pertempuran itu, akan tetapi kerana ada di antara mereka yang tidak disiplin, maka berubahlah keadaannya. Ramai pemanah turun dari bukit meninggalkan tempatnya kerana melihat ganimah sudah di depan mata.
Ketika pasukan pemanah sudah turun, pasukan musyrikin pimpinan Khalid bin Walid berpusing ke arah lain. Akibatnya kaum muslimin terkepung dari depan dan belakang, pasukan kaum muslimin pun terpecah belah. Akhirnya, kaum muslimin berkumpul kembali ke hadapan Nabi Muhammad s.a.w. setelah terpecah belah, lalu Beliau menarik pasukan ke celah bukit.
"dan kepada Allah maka hendaklah bertawakkal orang-orang mukmin."
Kerana itu, hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal. Terutamanya dalam keadaan mencekam atau dalam peperangan. Orang-orang mukmin perlu bertawakkal, meminta pertolongan dan bantuan Kepada Tuhannya, serta berlepas dari kemampuan mereka dan bersandar kepada kekuatan Allah Azza wa Jalla. Dengan itulah, mereka dapat menang dan dapat mengatasi berbagai cobaan dan ujian.
Allah s.w.t. telah menjanjikan kemenangan kepada kaum mukminin jika mereka bersabar dan bertakwa serta akan menghindarkan tipu daya musuh. Janji tersebut tidak akan meleset jika kaum mukmin mengerjakan syaratnya. Namun, mereka kurang memperhatikan kesabaran dan ketakwaan. Akhirnya mereka kalah.
Sesungguhnya Allah s.w.t. menyukai hambaNya apabila mereka tertimpa musibah yang tidak mereka sukai segera mengingat hal yang mereka cintai, sehingga musibah menjadi ringan dan membuat mereka bersyukur kepada Allah atas nikmat yang besar itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan