Jumaat, 30 Disember 2016

6:141 Tafsir Surah Al An'am, ayat 141.

وَهُوَ الَّذِي أَنْشَأَ جَنَّاتٍ مَعْرُوشَاتٍ وَغَيْرَ مَعْرُوشَاتٍ وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُتَشَابِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ كُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ وَلا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ (١٤١)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan nikmat-nikmatNya,

"141. Dan Dialah yang menumbuhkan tanaman-tanaman yang merambat dan tidak merambat," 

Allah s.w.t. menciptakan tumbuhan-tumbuhan yang berjunjung atau menjalar seperti tembikai dan yang tidak berjunjung atau tinggi berbatang seperti pohon kelapa.

"dan pohon kurma, dan tanaman-tanaman bermacam-macam rasanya," 

Allah s.w.t. menjadikannya berbagai rasa, padahal tempatnya dan air yang diserapnya sama.

"dan zaitun, dan delima yang serupa dan tidak serupa." 

Allah s.w.t. menciptakan buah-buahan yang serupa bentuk dan warnanya, tetapi tidak sama rasanya. Allah menciptakan semua itu untuk manfaat manusia.

"Maka makanlah kalian dari buahnya apabila telah berbuah," 

Pada mulanya apabila seorang lelaki menanam tanaman dan menghasilkan buah dari tanaman itu pada hari penilaiannya, maka ia tidak mengeluarkan sedekah barang sedikit pun dari hasil tuaiannya itu. Allah s.w.t. mencela orang-orang yang melakukan penuaian, lalu tidak bersedekah.

Maka Allah s.w.t. berfirman,

"dan berikan kalian haknya pada hari memetiknya," 

Zakat Pertanian dikenakan bagi bijiran yang menjadi makanan utama sesebuah negeri, mengenyangkan dan tahan lama seperti padi, gandum, jagung, sekoi, kacang dan seumpamanya.

Buah-buahan yang dikenakan zakat pertanian ialah kurma dan anggur yang dikeringkan sahaja. Hasil pertanian seperti kelapa, kelapa sawit, kopi, sayur-sayuran dan sebagainya tidak dikenakan zakat kecuali jika diperniagakan, ia dikenakan zakat perniagaan.

Tidak disyaratkan sempurna haul. Zakat dikeluarkan setelah tanaman tersebut dipetik, dituai dan diproses. Sebagai syarat tambahan hendaklah ianya ditanam oleh manusia. Di Malaysia, bijiran yang lazimnya ditanam dan dikeluarkan zakat ialah padi.

Nisab bijiran dan buah-buahan adalah 5 usuk = 363 gantang = 816.75 kg.
1 Tahil = 37.5g, 1 Kati = 600g = 16 tahil, 1 Gantang = 3 kati 12 tahil = 2.25kg.

Bagi tanaman yang diusahakan menggunakan keperluan dan kos seperti jentera dan saliran, kadar wajib zakatnya adalah 5% atau 1/20 daripada hasil tuaian.

Bagi tanaman yang diusahakan dengan bergantung kepada jirusan air hujan atau yang hidup dengan aliran air sungai semata-mata, kadar wajib zakatnya adalah 10% atau 1/10 daripada hasil tuaian.

Jika tanaman itu tertimpa musibah sebelumnya tanpa ada sikap tafrith (meremehkan) dari pemilik tanaman dan buah, maka ia tidak menanggungnya, dan pemilik boleh memakan hasil tanaman atau buah sebelum dikeluarkan zakat, dan apa yang dimakan tersebut tidak dihitung ke dalam zakat, bahkan ia zakatkan tanaman atau buah-buahan yang masih ada.

Di zaman Nabi s.a.w., Beliau mengirim seorang yang menaksir (mengira jumlah buah). Seorang ahli taksir (khaarish) memperhatikan pohon dan seluruh buah yang kena zakat itu. Setelah itu ia menyimpulkan, “Saya kira jumlah buahnya ada sekian dan telah mencapai nishab, maka kamu harus keluarkan dari pohon ini zakatnya sejumlah sekian.” Pengiriman seorang ahli taksir adalah untuk mengetahui amanah tidaknya pemilik tanaman atau buah.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa mengirim ahli taksir hukumnya wajib, sedangkan yang lain berpendapat bahawa hukumnya sunat. Dianjurkan bagi ahli taksir yang mengambil zakat untuk menyisakan buat si pemilik buah 1/3 atau ¼ (1/3 jika jumlah buahnya banyak dan ¼ jika jumlah buahnya sedikit). Ada yang mengatakan, bahawa menyisakannya dari 1/10, ada juga yang mengatakan dari seluruh buah sebelum dikeluarkan 1/10 nya.

Pada mulanya mereka memberikan sebahagian kecil dari hasil tuaian mereka di waktu penunaiannya, kemudian mereka berlumba-lumba dalam hal ini, akhirnya mereka berlebih-lebihan dalam memberi.

Sabit ibnu Qais ibnu Syimas yang memetik hasil pohon kurmanya. Lalu saat itu ia mengatakan, "Tidak sekali-kali ada seseorang datang kepadaku hari ini, melainkan aku akan memberinya makan." Maka Sabit memberi makan sehari penuh hingga petang hari, hingga pada akhirnya ia tidak mendapat hasil apa pun dari buah yang dipetiknya itu.

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"dan janganlah melampaui batas. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."

Janganlah bersikap berlebih-lebihan dalam segala hal sehingga melampaui apa yang telah diperintahkanNya. Makan, minum, dan berpakaianlah kalian dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak pula sombong.

Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memberi, lalu kalian memberikan semuanya, melebihi kebiasaannya, atau melebihi kewajiban tanpa menyisakan untuk diri, keluarga dan para piutang, sehingga kalian akhirnya menjadi orang yang miskin.

Janganlah pula kalian berlebih-lebihan dalam makan, melampaui batas kewajaran atau memakannya secara berlebihan sehingga memudaratkan (membahayakan) akal dan tubuh serta merugikan zakat.

Dan janganlah kalian mencegah sedekah, kerana akibatnya kalian menderhakai Tuhan kalian.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...