Ahad, 1 Januari 2017

7:142-143 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 142-143.

وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لأخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ (١٤٢) وَلَمَّا جَاءَ مُوسَى لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنْظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَنْ تَرَانِي وَلَكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي فَلَمَّا تَجَلَّى رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَى صَعِقًا فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ (١٤٣)

Allah s.w.t. telah menyempurnakan nikmatNya kepada Bani Israil dengan menyelamatkan mereka dari Fir’aun dan bala tenteranya, memberi mereka tempat di bumi. Kemudian Dia berkehendak menyempurnakan lagi nikmatNya kepada mereka, iaitu dengan menganugerahkan hidayah kepada Bani Israil.

"142. Dan Kami telah menjanjikan kepada Musa tiga puluh malam," 

Allah s.w.t. berjanji akan memberikan kitab Taurat kepada Musa a.s. setelah berlalu tiga puluh hari. Di dalamnya terkandung hukum-hukum, perincian syariat dan ‘aqidah yang diridhaiNya. Selama itu Musa a.s. berpuasa penuh pada bulan Zul Qa’dah. Setelah waktu yang telah dijanjikan itu sempurna, maka Musa a.s. bersiwak terlebih dahulu dengan akar kayu.

"dan Kami sempurnakannya dengan sepuluh," 

Akan tetapi Allah s.w.t. memerintahkan Musa a.s. agar menggenapkannya dengan sepuluh hari lagi pada bulan Zul Hijjah agar Musa a.s. bersiap-siap terhadap janji itu.

"maka sempurnakanlah waktu yang ditentukan Tuhannya empat puluh malam." 

Genaplah ia menjadi empat puluh hari. Masa yang dijanjikan telah tiba. Musa a.s. pun bersiap-siap hendak pergi ke Gunung Tursina untuk bermunajat kepada Allah.

"Dan berkata Musa kepada saudaranya Harun, "Gantilah aku dalam kaumku, dan perbaikilah,""

Maka saat itu Musa mengangkat abangnya Harun a.s. untuk menggantikan dirinya memimpin kaum Bani Israil. Musa a.s. mewasiatkan kepada Harun a.s. agar berbuat baik terhadap kaumnya dan tidak menimbulkan kerosakan. Hal ini semata-mata hanyalah sebagai peringatan belaka, kerana sesungguhnya Harun a.s. adalah seorang nabi yang dimuliakan oleh Allah, sama dengan kedudukan nabi-nabi lainnya.

"dan janganlah kamu mengikuti jalan orang-orang yang berbuat kerosakan."

Janganlah engkau bersepakat dengan mereka untuk berbuat maksiat.

"143. Dan ketika datang Musa pada waktu yang Kami tentukan dan berfirman kepadanya Tuhannya," 

Miqat telah disempurnakan bersamaan dengan Hari Raya Korban. Pada hari itu juga Allah s.w.t. menyempurnakan agama Islam bagi Nabi Muhammad s.a.w. Dan pada hari itu juga terjadilah pembicaraan Allah s.w.t. kepada Musa a.s. secara langsung. Ketika pembicaraan sedang berlangsung,

"dia berkata, "Ya Tuhanku, tampakkanlah kepadaku, aku melihat Engkau.""

Musa a.s. memohon kepada Allah s.w.t. untuk dapat melihat diriNya.

"Dia berfirman, "Tidak akan kamu melihatKu,""

Sesungguhnya setiap makhluk hidup yang melihatNya pasti mati, dan setiap benda mati pasti hancur luluh. Allah s.w.t. menciptakan manusia di dunia ini dalam keadaan tidak memiliki kemampuan untuk melihatNya.

Namun penghuni syurga akan melihat Tuhan mereka dan merasa nikmat dengannya. Allah s.w.t. menciptakan mereka dalam keadaan yang sempurna yang membuat mereka mampu melihatNya.

"akan tetapi lihatlah kepada bukit, maka jika ia tetap pada tempatnya, maka akan kamu melihatku." 

Dikatakan demikian kerana gunung itu lebih besar dan lebih kuat daripada Musa a.s. sendiri. Saat itu gunung-gunung itu dalam keadaan rata lagi licin.

"Maka ketika menampakkan Tuhannya pada bukit," 

Allah s.w.t. hanya membuka hijabNya sebesar jari kelingking dan Dia memandang gunung itu. Gunung itu melihat cahayaNya. Gunung yang kuat itu juga tidak mampu melihat Allah s.w.t. Maka gunung itu menjadi lemah.

"maka Dia menjadikannya hancur luluh" 

Seketika itu juga gunung itu hancur luluh menjadi abu atau tepung sampai ke akarnya. Ada yang tenggelam ke dalam bumi dan tidak akan muncul lagi sampai hari kiamat.

Ada yang mengatakan, beterbangan ke arah laut. Musa a.s. ikut bersama gunung itu. Sedangkan gunung-gunung lainnya terbelah dan retak-retak serta terbentuklah gua-gua. Musa a.s. melihat apa yang terjadi pada gunung itu.

"dan tersungkur Musa pengsan." 

Musa a.s. jatuh tak sedarkan dirinya. Ada yang mengatakan jatuh dalam keadaan mati.

"Maka ketika dia sedar kembali, dia berkata, "Mahasuci Engkau,""

Mahasuci engkau dari semua yang tidak layak dengan kemuliaan dan keagunganMu. Sesiapa yang melihatMu di dunia ini pasti akan mati.

"aku bertaubat kepada Engkau" 

Aku menyerah, mengalah dan bertaubat dari semua dosa dan kurang adab terhadapMu. Aku tidak akan meminta untuk melihatMu lagi.

"dan aku pertama-tama yang beriman." 

Musa a.s. orang yang mula-mula beriman bahawa tidak ada makhluk Allah yang dapat melihatNya sampai hari kiamat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...