فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ (٩٤) إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ (٩٥) الَّذِينَ يَجْعَلُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ (٩٦) وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (٩٧) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ (٩٨) وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ (٩٩)
Pada awalnya Nabi s.a.w. masih sembunyi-sembunyi dalam menjalankan ibadahnya. Ada lima orang yang berpengaruh dan berkedudukan di kalangan kaumnya masing-masing, memperolok-olokkan Nabi s.a.w.
Mereka adalah Al Walid ibnul Mugirah dari Bani Makhzum (dialah pemimpin dan yang menghimpunkan mereka), Al Aswad ibnu Abdu Yagus dari Bani Zahrah, Al As ibnu Wa il dari Bani Sahm, Al Haris ibnut Talatilah dari Bani Khuza'ah dan Al Haris ibnu Qais (ibnu Gaitalah). Gaitalah adalah nama ibunya.
Perbuatan jahat mereka melampaui batas dan sangat giat memperolok-olok Rasulullah s.a.w.
Maka Allah menurunkan firmanNya,
"94. Maka terus teranglah dengan apa yang kamu diperintah"
Allah s.w.t. berfirman, memerintahkan RasulNya s.a.w. untuk tetap menjalankan tugasnya dengan menyampaikan, melaksanakan dan mempermaklumatkan risalahNya secara terang-terangan di hadapan orang-orang musyrik, membaca Al Qur'an dengan suara keras dalam solat dan tak perlu bersembunyi.
"dan berpalinglah dari orang-orang musyrik."
Janganlah hiraukan mereka dan jangan pedulikan cercaan mereka. Mereka hendak menghalang-halangimu dari mengamalkan ayat-ayat Allah. Tetaplah menjalankan tugasmu. Jika tidak kamu kerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti kamu tidak menyampaikan amanatNya.
Maka barulah Beliau s.a.w. keluar bersama para sahabatnya menyerukan agama Islam secara terang-terangan.
"95. Sungguh Kami memelihara kamu dari orang-orang yang memperolok-olok."
Allah s.w.t. memelihara Beliau s.a.w. dari kejahatan orang-orang yang memperolok-olokkannya.
"96. Orang-orang yang menjadikan bersama Allah tuhan yang lain; maka kelak mereka mengetahui."
Ayat ini mengandung ancaman yang keras dan janji yang pasti kepada orang yang menjadikan sembahan lain di samping Allah. Merekalah yang selalu memperolok-olokkan Beliau s.a.w. Allah s.w.t. telah melakukannya.
Malaikat Jibril datang kepada Rasulullah s.a.w. yang saat itu sedang tawaf di Baitullah. Jibril a.s. dan Rasulullah s.a.w. berdiri di sampingnya. Maka Jibril a.s. membawa Rasulullah s.a.w. kepada Al Aswad ibnu Abdu Yagus, lalu Jibril mengisyaratkan ke arah perut Al Aswad. Dengan serta merta perut Al Aswad kembung dan mati kerananya.
Jibril a.s. membawa Rasulullah s.a.w. kepada Al Walid ibnul Mugirah, lalu Jibril mengisyaratkan ke arah luka yang ada di bahagian bawah mata kaki Al Walid. Luka itu telah dideritanya sejak dua tahun silam kerana terkait anak panah. Kerana itu Al Walid selalu melabuhkan kainnya untuk menutupi lukanya itu. Lukanya itu tidaklah begitu parah, tetapi setelah ditunjuk oleh Jibril a.s., maka lukanya menjadi parah dan menyebabkannya mati.
Jibril a.s. membawa Nabi s.a.w. kepada Al As ibnu Wa il, lalu Jibril mengisyaratkan ke arah telapak kakinya. Setelah itu Al As keluar menunggang keldainya menuju Taif, lalu keldainya ditambatkan di suatu tempat yang banyak belingnya, dan kakinya tertusuk oleh beling hingga matilah ia.
Jibril a.s. membawa Nabi s.a.w. kepada Al Haris ibnut Talatilah, lalu Jibril mengisyaratkan ke arah kepalanya, maka Al Haris mengeluarkan hingus bernanah, dan matilah ia kerananya.
Di saat Rasulullah s.a.w. melintas, ada sebahagian dari orang-orang musyrik mengerdipkan matanya memperolok-olok Nabi s.a.w. Maka datanglah Jibril a.s. mengerdipkan matanya terhadap mereka. Maka tubuh mereka terkena sesuatu yang akibatnya seperti bekas tusukan, sehingga matilah mereka.
Rasulullah s.a.w. pernah mendoakan kebinasaan untuk Al Aswad ibnul Muttalib (Abu Zam'ah) dari Bani Asad, setelah ia menyakiti dan memperolok-olok Rasulullah s.a.w. di luar batas. Rasulullah s.a.w. berdoa, "Ya Allah, butakanlah matanya dan tumpaslah anaknya."
Sesiapa yang mengolok-olokkan Beliau dan apa yang Beliau bawa, maka Allah s.w.t. membinasakannya dengan cara yang dahsyat. Maka mereka mengetahui akibat-akibat dari perbuatannya itu. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.
"97. Dan sungguh, Kami mengetahui bahawa kamu menjadi sempit dadamu sebab apa yang mereka katakan."
Sesungguhnya Kami, hai Muhammad, benar-benar mengetahui bahawa dadamu merasa sempit disebabkan ejekan, sikap mendustakan dan gangguan yang mereka lancarkan terhadap dirimu. Sesungguhnya Kami mampu membinasakan mereka dan menyegerakan untuk mereka apa yang layak mereka terima, akan tetapi Kami hanya memberi mereka penangguhan.
Maka janganlah hal itu melemahkan semangatmu. Jangan pula memalingkanmu dari menyampaikan risalah Allah. Bertawakallah kamu kepada Kami. Sesungguhnya Kamilah yang memberimu kecukupan dan menolongmu dalam menghadapi mereka.
"98. Maka bertasbihlah kamu dengan memuji Tuhanmu dan jadilah termasuk orang-orang yang bersujud."
Maka sibukkanlah dirimu dengan berzikir mengingat Allah. Bertasbilah dengan memuji Tuhanmu. Ucapkanlah “Subhaanallahi wa bihamdih.” Kerjakanlah solat. Hal itu akan melapangkan dadamu dan membantu meringankan urusanmu. Kerana itulah apabila Rasulullah s.a.w. mengalami suatu musibah, maka Beliau solat (sebagai penawarnya).
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, "Hai anak Adam, janganlah kamu segan mengerjakan (solat sunat) empat rakaat di permulaan siang hari, tentulah Aku akan memberikan kecukupan kepadamu di akhir siang harinya.”
"99. Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan."
Al yaqin bermaksud kematian. Diwajibkan kepada manusia agar tetap mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan melakukan ibadah seperti solat dan lain-lainnya selagi akalnya sihat, normal dan sesuai dengan keadaannya di setiap waktu sampai maut datang menjemput.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solatlah sambil berdiri; dan jika kamu tidak mampu, maka dengan duduk. Dan jika kamu tidak mampu, maka dengan berbaring pada bahu."
Al yaqin dalam ayat ini bukan bermaksud makrifat. Walaupun seseorang telah sampai kepada tingkatan makrifat, taklif atau kewajiban mengerjakan ibadah tetap tidak gugur. Sesungguhnya para nabi dan para sahabatnya adalah orang yang paling makrifat kepada Allah dan paling mengetahui tentang hak-hak Allah serta sifat-sifatNya dan pengagungan yang berhak diperolehNya.
Walaupun demikian mereka adalah orang yang paling banyak mengerjakan ibadah dan paling mengekalkan perbuatan-perbuatan kebaikan sampai ajal menjemput mereka. Nabi s.a.w. sentiasa beribadah sampai ajal menjemputnya. Semoga Allah melimpahkan salawat dan salam kepadanya.
Demikianlah akhir tafsir surah Al Hijr dengan pertolongan Allah dan taufiqNya. Walhamdulillahi Rabbil 'Aalamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan