Isnin, 9 Januari 2017

19:16-21 Tafsir Surah Maryam, ayat 16-21.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ إِذِ انْتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا (١٦)فَاتَّخَذَتْ مِنْ دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا (١٧)قَالَتْ إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَنِ مِنْكَ إِنْ كُنْتَ تَقِيًّا (١٨) قَالَ إِنَّمَا أَنَا رَسُولُ رَبِّكِ لأهَبَ لَكِ غُلامًا زَكِيًّا (١٩) قَالَتْ أَنَّى يَكُونُ لِي غُلامٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا (٢٠) قَالَ كَذَلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا (٢١)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"16. Dan ingatlah di dalam kitab Maryam," 

Ceritakanlah kisah Maryam di dalam Al Qur’an. Maryam puteri Imran berasal dari keluarga yang bersih lagi baik dikalangan Bani Israil, dari keturunan Daud a.s. Maryam adalah seorang wanita yang diutamakan. Nama dan kisahnya disebutkan dalam Al Qur’an yang dibaca oleh kaum muslimin di berbagai penjuru dunia. Disebutkan pujian untuknya, balasan terhadap amalnya yang utama dan sempurna.

Maryam dibesarkan di kalangan Bani Israil dalam lingkungan yang baik, sehingga jadilah Maryam seorang wanita ahli ibadah terkenal yang mencurahkan segenap hidupnya untuk ibadah dan tidak kahwin. Maryam berada di dalam jaminan bapa saudaranya Zakaria a.s. (suami saudara perempuan ibunya), Nabi Bani Israil saat itu dan pemimpin mereka yang menjadi tempat bertanya mereka dalam urusan agamanya.

Zakaria a.s. menyaksikan pada diri Maryam hal-hal yang bertentangan dengan hukum alam sebagai karamah (kemuliaan) yang agung untuk Maryam dari Allah. Setiap kali Zakaria a.s. masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati makanan di sisinya. Ada buah-buahan musim dingin semasa musim panas, dan buah-buahan musim panas semasa musim dingin. Zakaria bertanya, "Hai Maryam, dari manakah kamu mendapat makanan ini?” Maryam menjawab, "Makanan itu dari sisi Allah.”

"ketika dia meninggalkan dari keluarganya suatu tempat sebelah timur." 

Maryam ber’uzlah (mengasingkan diri) dari mereka ke tempat yang luas lagi jauh dari Masjidil Aqsa, di timur Baitul Maqdis untuk beribadah kepada Allah.

Orang-orang Ahli Kitab telah diwajibkan melakukan solat menghadap ke Baitul Maqdis dan menziarahinya. Maryam keluar dari Baitul Maqdis ke suatu tempat di sebelah timur, akhirnya mereka menghadap ke arah terbitnya matahari dalam solat mereka. Mereka menjadikan tempat kelahiran Isa a.s. sebagai kiblat mereka.

"17. Maka dia mengambil dari selain mereka hijab," 

Maryam mengadakan tabir supaya dirinya terlindung dari pandangan kaumnya dan supaya ibadahnya tidak diganggu oleh sesiapa pun.

"maka Kami mengutus kepadanya ruh Kami," 

Ruhana ertinya ruh Kami, iaitu Malaikat Jibril a.s. Dalam keadaannya yang bersendirian, sepi bdan jauh dari manusia lain itu, Allah s.w.t. mengutuskan Malaikat Jibril a.s. kepadanya.

"maka dia menyerupai padanya manusia sebenarnya." 

Jibril a.s. menjelma dalam bentuk manusia yang sempurna lagi indah di hadapan Maryam. Lalu Maryam merasa takut. Ia menyangka bahawa lelaki itu hendak memperkosanya.

"18. Dia berkata, "Sungguh, aku berlindung kepada Ar Rahman dari kamu jika kamu orang yang bertakwa.""

Aku berlindung kepada Allah dari kejahatan yang akan kamu lakukan. Jangan kamu mendekati aku. Ingatlah dan takutlah kamu kepada Allah.

Hal inilah yang dianjurkan oleh syariat dalam membela diri, iaitu dengan cara yang paling mudah terlebih dahulu, kemudian baru dengan cara lainnya secara bertahap. Langkah pertama yang dilakukan oleh Maryam ialah mengingatkan orang itu akan siksa Allah s.w.t. jika ia bermaksud jahat. Orang yang bertakwa itu adalah orang yang mempunyai kawalan diri terhadap perbuatan-perbuatan yang dilarang Allah.

Hal ini menunjukkan ‘iffah (bersihnya) Maryam, jauhnya dari keburukan dan sebab-sebabnya. Sikap ‘iffah ini dengan adanya pendorong dan tidak adanya penghalang termasuk amalan yang sangat utama. Allah memuji Maryam kerana ‘iffahnya. Maryam bersungguh-sungguh memelihara kehormatannya. Maka Allah s.w.t. menggantikannya dengan menganugerahkan seorang anak yang menjadi tanda di antara tanda-tanda kekuasaan Allah dan menjadi salah seorang rasulNya.

Jibril a.s. berubah kepada bentuk asalnya dan menjawab untuk melenyapkan rasa curiga dan takut Maryam terhadap dirinya.

"19. Dia berkata, "Sungguh hanyalah aku utusan Tuhanmu,""

Keadaanku tidaklah seperti yang kamu sangka. Allah s.w.t. telah mengutusku kepadamu. Tujuan dan tugasku hanyalah untuk menyampaikan risalah dari Allah s.w.t. kepadamu.

"agar aku memberi kepadamu anak lelaki yang suci."

Allah s.w.t. berkehendak menciptakan hambaNya dari kamu untuk memberimu seorang anak lelaki yang suci dari sifat-sifat tercela dan memiliki sifat-sifat terpuji. Maryam terkejut dan hairan dengan berita itu.

"20. Dia berkata, "Bagaimana menjadi bagiku anak lelaki dan belum menyentuhku seorang manusia dan tidak aku seorang pelacur.""

Bagaimana aku akan melahirkan seorang anak lelaki, padahal belum ada seorang lelaki pun menyetubuhiku, aku bukanlah wanita yang bersuami dan mustahil aku telah berbuat zina.

Maka Jibril a.s. menjawab pertanyaan Maryam.

"21. Dia berkata, "Demikianlah.""

Begitulah kehendak Allah s.w.t. Dia berkehendak menciptakan seorang anak dari kamu tanpa seorang bapa.

"Berfirman Tuhanmu, "Hal itu bagiKu mudah.""

Begitulah kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah. Dia Maha Kuasa menciptakan segala yang dikehendakiNya.

"Dan agar kami jadikan ia ayat bagi manusia" 

Kelahiran Isa a.s. adalah petunjuk dan tanda bagi manusia yang menunjukkan sempurnanya kekuasaan Pencipta mereka yang meragamkan proses penciptaan makhlukNya dan bahawa semua sebab tidaklah berpengaruh dengan sendirinya, bahkan berpengaruh dengan taqdir Allah s.w.t.

Dia menciptakan bapa mereka (Adam a.s.) tanpa melalui ayah dan ibu, dan Dia menciptakan isterinya (Hawa) melalui lelaki tanpa wanita. Dan Dia menciptakan keturunannya melalui lelaki dan wanita, kecuali Isa a.s., kerana sesungguhnya Dia menciptakan Isa a.s. melalui wanita saja, tanpa lelaki. Dengan demikian, lengkaplah keempat proses penciptaan ini yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaanNya dan kebesaran pengaruhNya; tidak ada Tuhan dan tidak ada Rabb selain Dia.

"dan rahmat dari Kami;" 

Kelahiran Isa a.s. itu adalah sebagai rahmat Allah kepada dirinya sendiri, kepada ibunya dan kepada manusia. Rahmat Allah kepada dirinya adalah dengan menjadikannya salah seorang rasul Allah yang menyeru manusia menyembah Allah dan mengesakanNya sejak dalam usia buaian dan dalam usia dewasanya. Isa a.s. termasuk salah seorang daripada lima rasul ulul ‘azmi. Isa a.s. seorang yang terkenal di dunia dan di akhirat. Beliau termasuk orang-orang yang didekatkan kepada Allah.

Adapun rahmatNya kepada ibunya adalah mendapat pujian yang baik dan manfaat yang besar. Sedangkan rahmat dan nikmatNya terbesar bagi manusia adalah dengan mengutusnya kepada manusia, membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, membersihkan mereka, mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Jika mereka mengikutinya, maka mereka akan mendapatkan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

"dan ia perkara yang diputuskan."

Kelahiran ‘Isa a.s. dengan cara demikian adalah suatu perkara yang telah ditakdirkan di dalam ilmu Allah s.w.t. dan telah menjadi kehendakNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...