وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى وَهَارُونَ الْفُرْقَانَ وَضِيَاءً وَذِكْرًا لِلْمُتَّقِينَ (٤٨) الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ وَهُمْ مِنَ السَّاعَةِ مُشْفِقُونَ (٤٩) وَهَذَا ذِكْرٌ مُبَارَكٌ أَنْزَلْنَاهُ أَفَأَنْتُمْ لَهُ مُنْكِرُونَ (٥٠)
Allah s.w.t. berfirman,
"48. Dan sungguh, Kami telah berikan Musa dan Harun Al Furqan"
Allah s.w.t. telah memberikan kepada Musa a.s. Furqan. Harun a.s. mengikuti. Furqan ertinya kitab yang membedakan atau pemisah antara yang hak dengan yang batil, antara yang halal dengan yang haram, petunjuk dan kesesatan, kebenaran dan kekeliruan, pertolongan, dan seterusnya. Semua kitab samawi mengandungi perkara-perkara ini. Furqan untuk mereka adalah Kitab Taurat.
"dan cahaya"
Dhiya bermaksud cahaya yang menerangi. Dengannya mereka mendapat cahaya penerang bagi hati, cahaya penerang jalan hidup dan cahaya penerang kepada gelapnya kesesatan. Dengannya mereka dapat mengetahui hukum-hukum.
"dan peringatan"
Zikran bermaksud pengajaran atau nasihat. Dengannya mereka dapat mengingat hal yang bermanfaat, hal yang membahayakan, kebaikan dan keburukan.
"bagi orang-orang yang bertakwa."
Ia membangkitkan rasa takut dan berserah diri kepada Allah. Disebutkan secara khusus orang-orang yang bertakwa, kerana merekalah yang dapat mengambil manfaat daripadanya, baik sebagai ilmu maupun amal.
Allah s.w.t. berfirman menerangkan sifat orang-orang yang bertakwa.
"49. Orang-orang yang takut Tuhan mereka dengan tidak melihatNya,"
Orang-orang yang bertakwa merasa takut akan azab Allah s.w.t. walaupun mereka tidak nampak Dia. Hati mereka sentiasa bertaubat. Mereka akan mendapat keampunan dan pahala yang besar. Kerana itu mereka menjaga diri dari apa yang diharamkan dan mengerjakan apa yang diwajibkan.
"dan mereka terhadap hari kiamat merasa takut."
Orang-orang bertakwa merasa takut dan gentar akan tibanya peristiwa hari kiamat.
"50. Dan ini peringatan penuh dengan keberkahan, Kami turunkannya."
Al Qur’an ini adalah suatu kitab, pelajaran dan peringatan yang mempunyai berkah. banyak kebaikannya, berkembang lagi bertambah. Tidak ada sesuatu pun yang lebih besar berkahnya daripada Al Qur’an ini. Tidak datang kepadanya kebatilan, baik dari depan maupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Tuhan Yang Mahabijaksana lagi Maha Terpuji kepada Nabi Muhammad s.a.w. Setiap kebaikan dan nikmat disebabkan olehnya dan pengaruh dari mengamalkannya.
Dengannya, teringatlah semua tuntutan, seperti dapat mengenal Allah dengan nama-nama, sifatNya dan perbuatanNya. Mereka juga dapat mengenal sifat-sifat para rasul, wali, dan keadaan mereka. Mereka dapat mengenal hukum-hukum syara’ berupa ibadah, mu’amalah, dan sebagainya. Mengenal juga hukum-hukum tentang pembalasan, syurga, dan neraka.
Begitu juga, dengan Al Qur’an manusia dapat mengenal berbagai masalah dan dalil-dalil yang ‘aqli (akal) maupun naqli (wahyu). Allah menamai Al Qur’an dengan zikir, yang ertinya ingat, kerana ia mengingatkan apa yang Allah tanam dalam akal dan fitrah manusia berupa membenarkan berita-berita yang benar, perintah mengerjakan yang baik dan larangan mengerjakan yang buruk.
Oleh kerana itu, Al Qur'an wajib diterima dan diikuti serta bersyukur kepada Allah atas nikmat ini, dijunjung, dan digali keberkahannya dengan mempelajari lafaz-lafaz dan maknanya.
"Maka apakah kalian padanya mengingkari?"
Oleh itu, kalian tidak sepatutnya mengingkari kebenarannya kerana Al Qur'an begitu jelas, terang dan nyata. Menyikapinya dengan berpaling atau bahkan mengingkari serta tidak beriman kepadanya, maka yang demikian termasuk kekafiran yang paling besar, kebodohan dan kezaliman yang paling besar.
Allah s.w.t. sering mengiringi Nabi Musa a.s. dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan kitab Taurat dengan kitab Al Qur'an kerana kedua kitab ini adalah kitab yang paling utama, paling agung namanya, paling berkah, paling agung petunjuk dan penjelasannya di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan