Sabtu, 21 Januari 2017

46:29-32 Tafsir Surah Al Ahqaf, ayat 29-32.

وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنْصِتُوا فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَى قَوْمِهِمْ مُنْذِرِينَ (٢٩) قَالُوا يَا قَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنْزِلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَى طَرِيقٍ مُسْتَقِيمٍ (٣٠) يَا قَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (٣١) وَمَنْ لا يُجِبْ دَاعِيَ اللَّهِ فَلَيْسَ بِمُعْجِزٍ فِي الأرْضِ وَلَيْسَ لَهُ مِنْ دُونِهِ أَولِيَاءُ أُولَئِكَ فِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٣٢)

Allah s.w.t. mengutus RasulNya Muhammad s.a.w. kepada makhluk baik manusia maupun jin. Kepada manusia, maka Beliau dapat mendakwahkan mereka dan memberi peringatan. Adapun kepada jin, maka Allah s.w.t. hadapkan jin dengan kekuasaanNya kepada Beliau.

Pada permulaan wahyu diturunkan, ketika Rasulullah s.a.w. sedang membaca Al Qur'an dalam solat Isya di Lembah Nakhlah, tujuh atau sembilan jin datang dan berasak-asak mengerumuni Beliau s.a.w. Ketika itu Beliau s.a.w. tidak menyedari kehadiran jin-jin itu. Mereka hanya mendengarkan bacaannya dengan penuh perhatian dan mengatakan kepada teman-temannya, "Diamlah kamu!"

Setelah selesai mendengarnya mereka kembali kepada kaumnya dan menceritakan tentangnya. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya menceritakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. perihal mereka,

"29. Dan ketika Kami hadapkan kepadamu segolongan dari jin mereka mendengarkan Al Qur'an," 


Allah s.w.t. hadapkan serombongan jin kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk mendengarkan Beliau membaca Al Qur'an.

"maka ketika mereka menghadirinya, mereka berkata, "Diamlah kalian.""

Iaitu dengarkanlah dengan penuh perhatian, beradab dan sopan santun.

"Maka ketika telah selesai, mereka kembali kepada kaum mereka memberi peringatan." 

Mereka mendengar sehingga pembacaan telah selesai, dan mereka telah hafal atau faham. Kemudian mereka kembali, memberi peringatan dan menegakkan hujjah kepada kaumnya seperti yang mereka dengar dari bacaan Rasulullah s.a.w.

Allah s.w.t. menaqdirkan jin beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk membantu Beliau menyebarkan dakwah Islam di kalangan jin. Di kalangan jin hanya terdapat pemberi peringatan. Allah s.w.t. tidak pernah mengirimkan seorang rasul pun kepada mereka.

"30. Mereka berkata, "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengarkan Kitab yang diturunkan setelah Musa,"" 

Mereka memberi peringatan kepada kaumnya bahawa mereka telah mendengarkan kitab yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w. sesudah kitab Taurat yang diturunkan kepada Musa a.s.

Mereka tidak menyebutkan Isa a.s. kerana kitab Injil yang diturunkan kepadanya hanya mengandungi nasihat-nasihat, hal-hal keutamaan, tetapi sedikit mengandungi perkara halal dan haram. Taurat adalah kitab asal (pokok) bagi Injil dan pegangan bagi Bani Israil dalam hukum-hukum syara’. Sedangkan Injil hanyalah sebagai pelengkap dan penyempurna serta merubah sedikit sebahagian hukum. Pada hakikatnya Injil merupakan syariat yang menyempurnakan kitab Taurat. Hal ini bererti yang dipegang adalah kitab Taurat.

"membenarkan terhadap apa yang sebelumnya," 

Al Qur'an membenarkan kitab-kitab yang telah diturunkan kepada nabi-nabi sebelumnya.

"memberi petunjuk kepada kebenaran" 

Al Qur'an memimpin kepada akidah (keyakinan) dan pemberitaan yang benar. Ia adalah petunjuk, iaitu ilmu yang bermanfaat dan agama yang benar, iaitu amal yang soleh.

"dan kepada jalan yang lurus." 

Al Qur'an memimpin amal perbuatan yang menyampaikan kepada Allah dan kepada syurgaNya. Ia mengandungi berita, perintah, mengenal Allah, hukum-hukum agamaNya dan hukum-hukum jaza’i (balasan)Nya. Beritanya benar dan perintahnya adil.

Setelah mereka memuji Al Qur’an dan menerangkan kedudukannya, maka mereka mengajak kaumnya untuk beriman.

"31. Wahai kaum kami! Terimalah orang yang menyeru kepada Allah." 

Terimalah seruan Muhammad s.a.w. Dia mengajak kita kepada Allah, bukan untuk kepentingan diri dan hawa nafsunya.

"Dan berimanlah kepadaNya, Dia akan mengampuni bagi kalian dari dosa-dosa kalian dan Dia akan melepaskan kalian dari azab yang pedih." 

Berimanlah kepada Allah. Dia akan memberimu pahala, menghindarkan semua perkara buruk dan dibenci. Dia akan memasukkan kalian ke dalam syurga sebagai balasan bagi memenuhi seruanNya.

"32. Dan barang siapa yang tidak menerima orang yang menyeru kepada Allah, maka tidaklah dia melepaskan diri di bumi," 

Sesiapa yang tidak menerima seruan orang yang menyeru kepada Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu, kekuasaanNya mencakup dan meliputi semuanya.

"dan tidak ada baginya dari selain Dia pelindung." 

Tidak ada sesiapa pun yang mampu melindungi mereka. Hanya Allah saja yang dapat menyelamatkan mereka dari azab.

"Mereka itu dalam kesesatan yang nyata." 

Kesesatan yang paling besar adalah orang yang dipanggil oleh para rasul, disampaikan peringatan-peringatan dengan ayat-ayat yang jelas dan hujjah-hujjah yang kuat, lalu ia berpaling dan menyombongkan diri.

Jin menyeru kepada kaumnya untuk menyembah Allah dengan cara targib dan tarhib (anjuran dan peringatan), kerana itulah seruannya itu berhasil terhadap sebahagian besar dari mereka. Sesudah itu datanglah undangan jin kepada Beliau s.a.w. berulang kali.

Mereka mengirimkan rombongan mereka kepada Nabi s.a.w. serombongan demi serombongan untuk mendengar Beliau s.a.w. membacakan kepada mereka Al Qur'an dan menyeru mereka kepada Allah s.w.t. sejak permulaan wahyu diturunkan di Mekah, sesudah hijrah ke Madinah dan sehinggalah Mekah ditaklukkan.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...