Jumaat, 10 Februari 2017

12:108-111 Tafsir Surah Yusuf, ayat 108-111.

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (١٠٨) وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَدَارُ الآخِرَةِ خَيْرٌ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا أَفَلا تَعْقِلُونَ (١٠٩) حَتَّى إِذَا اسْتَيْئَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا جَاءَهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّيَ مَنْ نَشَاءُ وَلا يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِينَ (١١٠) لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لأولِي الألْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (١١١)

Allah s.w.t. berfirman kepada Rasulullah s.a.w. untuk menyampaikan kepada manusia dan jin,

"108. Katakanlah, "Ini jalanku, aku berseru kepada Allah atas keyakinan aku dan orang-orang yang mengikuti.""

Inilah jalan agamaku dan sunnahku. Jalan yang menghubungkan kepada Allah dan syurgaNya. Jalan yang mengandungi ilmu (pengetahuan) terhadap kebenaran, mengamalkannya, mengutamakannya, serta mengikhlaskan kerana Allah dalam menjalankan agama itu.

Aku bersama orang-orang yang mengikutiku menyeru dan mengajak kalian kepada persaksian bahawa tidak ada Tuhan selain Allah semata, tiada sekutu bagiNya, dengan hujah yang nyata, ilmu, bukti dan keyakinan tanpa keraguan.

"Mahasuci Allah, dan tidaklah aku termasuk orang-orang musyrik."

Aku menyucikan Allah, mengagungkanNya, dan membesarkanNya dari segala sesuatu yang dinisbatkan kepadaNya, dari semua kemusyrikan, tandingan, persamaan, anak, orang tua, isteri, pembantu atau penasihat, padahal tidak sesuai dengan keagunganNya atau menafikan kesempurnaanNya. Mahasuci dan Mahatinggi Allah dari memiliki kesemuanya itu dengan ketinggian yang sebesar-besarnya. Aku menjalankan agama dan semua urusanku ikhlas hanya kerana Allah Ta’ala.

"109. Dan tidak Kami mengutus sebelum kamu, kecuali orang lelaki" 

Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah rasul yang pertama di antara rasul-rasul. Allah s.w.t. mengutus rasul-rasulNya hanyalah dari kalangan kaum lelaki. Tidak ada wanita yang menjadi nabi. Allah s.w.t. tidak memberikan wahyu yang mengandungi hukum kepada seorang wanita pun dari kalangan anak Adam.

Sesungguhnya yang ada pada kalangan kaum wanita hanyalah sampai pada kedudukan yang amat mulia, terhormat dan siddiqah (sangat benar), seperti Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa a.s.), ibu Nabi Musa a.s. dan Sarah isteri Nabi Ibrahim a.s.

Para rasul itu juga bukan dari kalangan penduduk langit (malaikat). Mereka semua adalah manusia yang biasa memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Mereka juga bukan orang-orang yang kekal di dunia.

"Kami beri wahyu kepada mereka di antara penduduk negeri." 

Qura bermaksud kota. Penduduk kota lebih berpengetahuan, sempurna akalnya, lemah lembut dan santun berbanding penduduk daerah pedalaman di padang pasir (badui) yang kasar watak dan akhlaknya lagi tidak berpengetahuan. Orang-orang yang tinggal di daerah yang ramai lebih mudah untuk diajak berkomunikasi daripada orang-orang yang tinggal di daerah pendalaman.

"Apakah tidak mereka bepergian di bumi," 

Tidakkah mereka bepergian di muka bumi ke tempat-tempat yang telah musnah, terutamanya mereka yang tidak mahu membenarkan seruanmu, hai Muhammad.

"lalu mereka melihat bagaimana ada akibat orang-orang yang sebelum mereka"

Umat-umat terdahulu itu dibinasakan Allah kerana mereka telah mendustakan rasul-rasul. Sedangkan rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman, Kami menolong dan selamatkan mereka di dunia ini. Begitu juga Kami tetapkan keselamatan bagi mereka di dalam kehidupan akhirat nanti.

"dan sungguh, kampung akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa." 

Bagi mereka yang menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya, kehidupan di akhirat, iaitu syurga dan kenikmatan yang ada di dalamnya, sempurna, kekal lagi sentiasa bertambah, adalah jauh lebih baik daripada kehidupan di dunia yang tidak sempurna, kurang, sedikit, sebentar dan tidak lama. Sedangkan bagi orang-orang yang zalim, tidak berguna bagi mereka permintaan maafnya dan bagi merekalah laknat, dan bagi merekalah tempat tinggal yang buruk.

"Maka apakah kalian tidak memikirkan?"

Sepatutnya akal kalian berfikir dan hati kalian dapat memahami bahawa itulah ketentuan hukum Allah pada makhlukNya. Begitulah yang akan Kami lakukan terhadap orang-orang yang kafir seperti mereka. Oleh kerana itu, berhati-hatilah kalian dan utamakanlah akhirat. Jika kalian tetap seperti mereka, Kami akan membinasakan kalian sebagaimana generasi sebelum kalian.

Allah s.w.t. telah mengutus para rasul kepada setiap umat. Sebahagian dari kaumnya percaya dan beriman kepada mereka, dan sebahagian yang lain tidak percaya dan mendustakan mereka. Namun Allah menangguhkan mereka agar mereka kembali kepada kebenaran, dan Allah terus menangguhkan mereka.

Para rasul dan kaum mukmin digoncangkan dengan bermacam-macam cobaan. Para rasul sentiasa merasa yakin dan menjanjikan bahawa pertolongan Allah akan datang. Namun, bencana terus-menerus menimpa para Rasul dan kaum mukmin.

"110. Sehingga apabila putus asa rasul-rasul dan mereka meyakini bahawa mereka sungguh telah didustakan," 

Sampai ke suatu keadaan, para Rasul meyakini bahawa keimanan dari kaum yang mendustakan mereka tidak boleh diharapkan lagi. Mereka tetap kafir dan tidak akan beriman. Kaum kafir meyakini bahawa para rasul telah berdusta terhadap janji mereka, iaitu pertolongan Allah akan datang kepada kaum mukmin.

Para rasul bersama kaum mukmin dalam kesempitan. Keadaan mereka sangat genting. Mereka ternanti-nanti pertolongan dari Allah. Ketika pertolongan Allah dirasakan lambat datang, kaumnya yang beriman menyangka bahawa para rasul telah berdusta kepada mereka. Para rasul meyakini bahawa kaum mukmin juga telah mula mendustakan mereka. Mereka berkata, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Sebenarnya pertolongan Allah itu telah amat dekat.

"datang kepada mereka pertolongan kami, lalu diselamatkan orang yang Kami kehendaki. Dan tidak ditolak siksa Kami dari kaum orang-orang yang berdosa." 

Maka saat itu datanglah pertolongan Allah. Dia tepati janjiNya kepada mereka. Dia selamatkan para rasul bersama orang-orang mukmin kerana ketaatan mereka, dan Dia binasakan orang-orang kafir kerana mereka melampaui batas.

"111. Sungguh ada pada kisah-kisah mereka pengajaran bagi yang mempunyai akal." 

Al albab bermaksud akal. Pada kisah para nabi dan rasul bersama kaumnya kaumnya masing-masing, bagaimana Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman serta Kami binasakan orang-orang yang kafir, terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.

Mereka dapat mengetahui perbuatan yang akan mendatangkan kemuliaan dari Allah dan perbuatan yang mendatangkan kehinaan, mereka juga mengetahui sifat sempurna dan hikmah yang dalam yang dimiliki Allah, dan bahawa tidak ada yang berhak diibadati selainNya.

"Bukanlah ia cerita-cerita dibuat-buat, akan tetapi membenarkan yang sebelumnya," 

Al Qur'an ini bukanlah hal yang dusta atau cerita rekaan oleh selain Allah. Ia membuktikan kebenaran kitab-kitab terdahulu sebelumnya yang diturunkan dari langit. Al Qur'an membenarkan apa yang benar yang ada dalam kitab-kitab terdahulu itu, juga membuang semua perubahan, penggantian, dan penyelewengan yang ada pada kitab-kitab terdahulu, serta menghukuminya dengan memansukh (merevisi)nya, atau menguatkannya jika benar.

"dan menjelaskan segala sesuatu, dan petunjuk, dan rahmat bagi kaum yang beriman." 

Al Qur'an menjelaskan segala sesuatu yang diperlukan dalam agama, baik masalah usul (dasar atau pokok) maupun furu’ (cabang), halal dan haram, hal yang disukai serta hal yang dibenci, perintah ketaatan, kewajiban, hal-hal yang disunatkan, serta larangan mengerjakan hal-hal yang diharamkan dan yang sejenisnya dari hal-hal yang dimakruhkan.

Al Qur'an memberitakan perkara-perkara besar, hal-hal ghaib yang akan berlaku di masa depan secara menyeluruh dan terperinci. Juga berita tentang Tuhan Yang Mahatinggi lagi Mahasuci asma-asma dan sifat-sifatNya, dan kesucian Allah dari persamaan dengan makhlukNya.

Al Qur'an menjadi petunjuk hati mereka dari kesesatan menuju jalan hidayah dan menuju jalan yang lurus. Al Qur'an menjadi rahmat sehingga mereka selamat dari kesesatan dan mendapat balasan atau pahala di dunia dan akhirat.

Selesai tafsir surah Yusuf dengan pertolongan dan petunjukNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...