Rabu, 15 Februari 2017

21:51-61 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 51-61.

وَلَقَدْ آتَيْنَا إِبْرَاهِيمَ رُشْدَهُ مِنْ قَبْلُ وَكُنَّا بِهِ عَالِمِينَ (٥١) إِذْ قَالَ لأبِيهِ وَقَوْمِهِ مَا هَذِهِ التَّمَاثِيلُ الَّتِي أَنْتُمْ لَهَا عَاكِفُونَ (٥٢) قَالُوا وَجَدْنَا آبَاءَنَا لَهَا عَابِدِينَ (٥٣) قَالَ لَقَدْ كُنْتُمْ أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ فِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٥٤) قَالُوا أَجِئْتَنَا بِالْحَقِّ أَمْ أَنْتَ مِنَ اللاعِبِينَ (٥٥) قَالَ بَل رَبُّكُمْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ الَّذِي فَطَرَهُنَّ وَأَنَا عَلَى ذَلِكُمْ مِنَ الشَّاهِدِينَ (٥٦) وَتَاللَّهِ لأكِيدَنَّ أَصْنَامَكُمْ بَعْدَ أَنْ تُوَلُّوا مُدْبِرِينَ (٥٧) فَجَعَلَهُمْ جُذَاذًا إِلا كَبِيرًا لَهُمْ لَعَلَّهُمْ إِلَيْهِ يَرْجِعُونَ (٥٨) قَالُوا مَنْ فَعَلَ هَذَا بِآلِهَتِنَا إِنَّهُ لَمِنَ الظَّالِمِينَ (٥٩) قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ (٦٠) قَالُوا فَأْتُوا بِهِ عَلَى أَعْيُنِ النَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَشْهَدُونَ (٦١)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal kekasihNya Nabi Ibrahim a.s.

"51. Dan sungguh Kami berikan Ibrahim petunjuknya dari sebelumnya," 

Sebelum Musa dan Harun a.s., Allah s.w.t. anugerahkan kepada Ibrahim a.s. petunjuk dalam bertauhid. Dia juga telah mengilhamkan kebenaran dan hujah kepada Ibrahim a.s. untuk mendebat kaumnya sejak Beliau berusia kanak-kanak lagi.

"dan Kami dengannya mengetahui." 

Allah s.w.t. lebih mengetahui keadaan dan kelayakannya untuk mendapat petunjuk itu. Ibrahim a.s. memang berhak untuk mendapatnya kerana kebersihan dirinya, kecerdasannya dan tindakannya. Ibrahim a.s.

"52. Ketika berkata kepada ayahnya dan kaumnya, "Apakah ini patung-patung yang kalian kepadanya orang-orang yang tekun?""

Ibrahim a.s. mengingkari kaumnya yang tidak berakal. Mereka bersungguh-sungguh menghabiskan waktu menyembah patung-patung. Sedangkan patung-patung itu buatan mereka sendiri, kaku, tidak mampu mengatur, tidak mampu menguasai apa-apa, bahkan lebih lemah dari mereka. Mereka tiada kelebihan, tiada kehebatan dan tidak layak disembah.

"53. Mereka berkata, "Kami dapati bapa-bapa kami kepadanya menyembah.""

Mereka menjawab tanpa ilmu dan menjawab dengan jawaban yang lemah. Mereka tidak mempunyai suatu alasan pun selain hanya mengikuti perbuatan nenek moyang mereka yang sesat.

"54. Dia berkata, "Sungguh kalian, kalian dan bapa-bapa kalian dalam kesesatan yang nyata.""

Mereka dan nenek moyang mereka sama saja berada dalam kesesatan dan bukan berada dalam jalan yang lurus. Perbuatan manusia selain rasul bukanlah hujjah dan tidak berhak diikuti, lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara asas agama. Jelas sekali kedangkalan fikiran dan kesesatannya bagi setiap orang yang berakal.

"55. Mereka berkata, "Apakah kamu datangi kami dengan benar ataukah kamu dari orang yang bermain-main?""

Adakah engkau bersungguh-sungguh melaknat kami atau engkau cuma bergurau? Sesungguhnya kami belum pernah mendengar kata-kata aneh dan besar seperti itu sebelum engkau.

"56. Berkata, "Bahkan Tuhan kalian Tuhan langit dan bumi, yang menciptakannya;""

Tuhan kalian ialah Tuhan yang tiada Tuhan selain Dia. Tuhan yang berhak untuk disembah ialah Tuhan Pemilik langit dan bumi. Dialah yang telah menciptakan langit, bumi dan semua makhluk yang ada di dalamnya. Dialah yang memulai penciptaan segala sesuatu tanpa contoh sebelumnya.

"dan aku atas yang demikian itu termasuk orang-orang yang menyaksikan."

Aku bersaksi bahawa Dia adalah Tuhan yang tiada Tuhan selain Dia. Aku mampu memberikan buktinya. Dalam perkataan ini, Beliau berdalih terhadap keberhakan Allah untuk diibadahi dengan rububiyyahNya.

Kaum Ibrahim a.s. mempunyai hari tertentu yang mereka rayakan di suatu tempat. Menjelang hari raya itu, bapa Ibrahim a.s. berkata, "Hai anakku, seandainya kamu keluar bersama kami menuju ke tempat perayaan kami, nescaya kamu akan kagum kepada agama kami."

Ketika kaum Ibrahim a.s. keluar menuju ke tempat perayaan mereka, mereka melalui Ibrahim, lalu berkata kepadanya, "Hai Ibrahim, tidakkah engkau keluar bersama kami?" Maka Ibrahim a.s. keluar berangkat bersama mereka.

Ketika di tengah jalan, Ibrahim a.s. menjatuhkan dirinya ke tanah. Ketika kaumnya melaluinya, sedangkan dia dalam keadaan tergeletak, mereka bertanya, "Mengapa kamu?" Ibrahim menjawab, "Sesungguhnya aku sakit."

Setelah sebahagian besar dari kaumnya telah berlalu dan yang tertinggal hanyalah orang-orang yang lemah dari kalangan mereka, Ibrahim a.s. berkata,

"57. Dan demi Allah, sungguh aku akan membuat tipu daya berhala-berhala kalian setelah kalian berpaling ke belakang." 

Ibrahim a.s. akan membuat suatu helah yang benar-benar akan menyakiti hati mereka dengan memecahkan berhala-berhala mereka setelah mereka pergi meninggalkannya. Ibrahim a.s. ingin memperlihatkan kepada mereka dengan tindakan yang menunjukkan lemahnya patung-patung itu dan tidak dapat membela dirinya sendiri.

Ketika kaumnya pergi ke tempat perkumpulan mereka di hari raya, Ibrahim a.s. diam-diam pergi mendatangi patung-patung yang mereka sembah, lalu tangan kanannya memukul dengan kapak dengan kuat.

"58. Dan dia menjadikan berhala itu hancur terpotong-potong, kecuali yang terbesar bagi mereka;" 

Semua berhala itu hancur berkecai dipecahkan oleh Ibrahim a.s. kecuali yang terbesar (induk) dari patung-patung yang lain. Ibrahim a.s. meletakkan kapak di tangan berhala yang terbesar itu untuk menggambarkan kepada mereka bahawa berhala yang terbesarlah yang memecahkan berhala-berhala lainnya. Kerana mereka tidak mahu menyembahnya, maka ia memecahkan semua berhala kecil yang membangkang kepadanya.

"agar mereka kepadanya kembali." 

Ibrahim a.s. tidak menghancurkan patung yang paling besarnya agar mereka kembali bertanya kepadanya. Maka mereka akan sedar bahawa patung itu tidak dapat menjawab.

Mereka kembali dari perayaannya dan menyaksikan keadaan patung-patung sesembahan mereka itu.

"59. Mereka berkata, "Siapa yang melakukan ini terhadap tuhan-tuhan kami sungguh dia termasuk orang-orang yang zalim.""

Mereka mencari orang yang mereka anggap zalim yang telah menghancurkan berhala-berhala itu. Maka orang itu mesti ditimpakan hukuman.

"60. Mereka berkata, "Kami mendengar seorang pemuda dia mencela mereka, dikatakan kepadanya Ibrahim.""

Di antara mereka ada yang pernah mendengar Ibrahim a.s. mencela berhala-berhala mereka dan para penyembahnya.

"61. Mereka berkata, "Maka datangkan dengan dia ke hadapan mereka manusia agar mereka menyaksikan.""

Kalau demikian hadapkanlah Ibrahim supaya orang ramai menyaksikan kesalahannya, supaya mereka mengetahui bahawa Ibrahimlah pelakunya. Inilah yang diinginkan Ibrahim a.s., iaitu dapat menerangkan yang hak dan menegakkan hujjah di hadapan semua orang yang hadir. Apa yang telah dirancangkan oleh Ibrahim a.s. mencapai sasarannya dengan tepat.

Dalam pertemuan yang besar ini Ibrahim a.s. bermaksud menjelaskan kepada mereka akan kebodohan dan kekurangan akal mereka kerana menyembah berhala-berhala tersebut yang tidak dapat menolak suatu mudarat pun dari dirinya, tidak pula dapat membela dirinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...