فَحَمَلَتْهُ فَانْتَبَذَتْ بِهِ مَكَانًا قَصِيًّا (٢٢) فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَى جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا (٢٣) فَنَادَاهَا مِنْ تَحْتِهَا أَلا تَحْزَنِي قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا (٢٤) وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا (٢٥) فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا (٢٦) فَأَتَتْ بِهِ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُ قَالُوا يَا مَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا (٢٧) يَا أُخْتَ هَارُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا (٢٨) فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَنْ كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا (٢٩) قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (٣٠)وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا (٣١) وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا (٣٢) وَالسَّلامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا (٣٣)
Allah s.w.t. berfirman, menceritakan tentang Maryam, bahawa ketika malaikat Jibril a.s. telah menyampaikan firman Allah kepadanya, maka Maryam dengan segenap jiwa dan raganya berserah diri kepada takdirNya. Jibril a.s. meniupkan roh ke leher baju Maryam, lalu tiupan itu turun ke bahagian bawah tubuhnya hingga masuk ke dalam farjinya.
"22. Maka dia mengandungnya,"
Dengan serta-merta Maryam mengandung dengan izin Allah s.w.t. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya Dia telah menetapkan perkara itu dan ianya pasti terjadi. Terasa sempitlah dadanya kerana kebingungan, ia tidak mengetahui apa yang harus dikatakannya kepada orang ramai. Mereka pasti tidak akan mempercayainya.
Maryam hanya menceritakan tentang kejadian yang dialaminya itu kepada isteri Zakaria a.s. yang ketika itu sedang mengandungkan Yahya a.s. Keluarga Zakaria a.s. adalah keluarga yang beriman dan percaya kepada kebenaran.
Isteri Zakaria a.s. apabila berhadapan dengan Maryam merasakan bahawa kandungan yang ada di dalam perutnya bersujud, mengagungkan dan berendah diri kepada kandungan yang ada di dalam perut Maryam. Demikian itu kerana keutamaan yang dimiliki oleh Isa a.s. Menurut syariat mereka, bersujud diperbolehkan semasa memberi salam. Akan tetapi, hal seperti itu diharamkan di dalam syariat umat Nabi Muhammad s.a.w., demi menyempurnakan pengagungan kepada Allah s.w.t. Yang Mahaagung.
Maryam mengandung Isa sebagaimana biasanya kaum wanita mengandung anak-anaknya. Di dalam masjid tempat ia berada terdapat seorang lelaki soleh dari kalangan kerabatnya, yang juga ikut berkhidmat mengurusi masjid Baitul Muqaddas; iaitu Yusuf An Najjar. Ketika Yusuf melihat perut Maryam semakin besar ia tidak mempercayai hal tersebut kerana sepanjang pengetahuannya Maryam adalah wanita yang bersih suci lagi rajin beribadah dan kuat agamanya.
Yusuf bertanya, "Apakah ada pohon tanpa biji, dan apakah ada tanaman tanpa benih, dan apakah ada seorang anak tanpa ayah?" Maryam menjawab, "Sesungguhnya Allah menciptakan pepohonan dan tanam-tanaman pada pertama kalinya tanpa biji dan tanpa benih. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menciptakan Adam tanpa melalui ayah juga ibu." Akhirnya Yusuf percaya kepada kesucian Maryam dan memaklumi keadaannya.
Tiada suatu cobaan pun yang seberat apa yang sedang menimpa keluarga Zakaria. Berita kehamilannya telah tersiar di kalangan kaum Bani Israil. Mereka menuduh Yusuflah yang menghamili Maryam, kerana hanya dia saja yang ada bersama Maryam di dalam masjid itu. Pandangan mereka terhadap Maryam menjadi terbalik; dahulu mereka menganggapnya sebagai wanita ahli ibadah dan bertakwa, kemudian mereka menuduh tidak baik terhadap dirinya.
"lalu dia meninggalkan dengannya suatu tempat yang jauh."
Maryam mengasingkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh. Tempat tersebut jauhnya lapan batu dari Baitul Maqdis di sebuah dusun yang dikenal dengan nama Baitul Lahm (Bethelem). Maryam bersembunyi dari orang ramai dan membuat hijab penghalang bagi dirinya sehingga orang ramai tidak dapat melihatnya dan dia pun tidak dapat melihat mereka.
"23. Maka mendatangkannya rasa sakit akan melahirkan kepada pangkal pohon kurma,"
Kesakitan yang dialaminya memaksanya bersandar pada pangkal pohon kurma di tempat pengasingannya. Ditambah dengan rasa lapar tidak ada makanan dan minuman, sakit hatinya terhadap kata-kata dan tuduhan manusia terhadapnya serta bimbang tidak mampu bersabar.
Maryam merasa bimbang dan malu. Dirinya pasti akan mendapat cobaan dan ujian dengan kelahiran anaknya itu. Orang ramai pasti akan kehairanan dan tidak akan mempercayai cerita yang sebenarnya.
"dia berkata, "Aduhai, alangkah baiknya aku, aku mati sebelum ini dan aku tidak diperhatikan yang dilupakan.""
Alangkah baiknya jika aku mati sebelum kejadian hamil ini. Maka aku akan menjadi sesuatu yang tidak bererti, dilupakan, dibiarkan, tidak disebut-sebut lagi dan tidak ada yang mencariku. Alangkah baik jika diriku tiada.
Sesungguhnya pengandaian ini tidak ada kebaikan dan maslahatnya, bahkan kebaikan dan maslahat terdapat pada taqdir yang akan terjadi. Mengharapkan mati adalah dilarang kecuali di saat tertimpa fitnah yang menimpa agama orang berkenaan.
Ketika itu malaikat Jibril a.s. datang untuk menenteramkan hatinya dan menenangkan kegelisahannya.
"24. Lalu dia memanggilnya dari bawahnya,"
Malaikat Jibril a.s. memanggilnya dari lembah yang lebih rendah daripada tempat Maryam berada.
"Janganlah kamu bersedih hati, sungguh telah menjadikan Tuhanmu di bawah kamu anak sungai."
Sariyya bermaksud sungai kecil yang mengalir, yang boleh diminum airnya. Allah menjadikannya sebagai tempat untuk Maryam minum.
"25. Dan goyangkanlah kepadamu dengan batang pohon kurma, ia akan menggugurkan kepada kamu buah kurma yang matang."
Allah memberikan kurnia kepada Maryam dengan menyediakan kepadanya makanan dan minuman, sebagai imbalan kepadanya. Kurma muda dan kurma masak adalah makanan terbaik bagi wanita lepas bersalin.
"26. Maka makanlah, dan minumlah dan sejukkanlah mata."
Makanlah buah kurma itu. Minumlah air dari anak sungai yang dijadikan Allah untukmu itu. Bertenanglah dan bersenang hatilah dengan anakmu itu.
"Maka adapun kamu melihat dari manusia seseorang, maka katakanlah,"
Jika nanti kamu bertemu dengan seseorang, lalu dia mempertanyakan kamu, jawablah dengan isyarat.
"Sungguh aku, aku bernazar kepada Ar Rahman puasa, maka tidak aku berbicara hari ini kepada manusia."
Menurut syari'at mereka, apabila mereka berpuasa, mereka menahan diri dari makan dan berbicara. Dengan puasa, keadaan dirinya yang sebenarnya tidak kelihatan dan puasa menjadi alasan baginya untuk tidak berbicara. Maryam berserah diri kepada perintah Allah s.w.t. dan pasrah kepada keputusanNya. Dia tinggal di situ sehingga selesai dari nifasnya.
"27. Maka dia datang dengannya kaumnya menggendongnya."
Maryam berasal dari keluarga nabi dan keluarga terhormat. Kaumnya merasakan kehilangannya dan mereka mencarinya. Apabila Maryam melihat kaumnya, maka duduklah ia dan menggendong bayinya di pangkuannya. Mereka datang kepadanya dan berdiri dekat dengannya. Mereka mencurigai keadaan Maryam, lalu mereka mengecamnya dengan kecaman yang berat.
"Mereka berkata, "Wahai Maryam! Sungguh kamu datang sesuatu yang mungkar.""
Mereka langsung menuduh Maryam telah melakukan suatu perkara yang besar dosanya, iaitu zina. Mereka tidak lagi memperhatikan kemasyhuran Maryam yang bersih dan suci.
"28. Wahai saudara perempuan Harun!"
Maryam dipanggil saudara perempuan Harun kerana kesolehan, ibadah, dan zuhudnya seperti Nabi Harun a.s. Ada yang mengatakan bahawa Maryam memang saudara perempuan Harun, namun bukanlah Nabi Harun a.s. kerana antara keduanya berbeda jauh abadnya. Mereka biasa menamai anak-anak mereka dengan nama para nabi dan orang-orang soleh sebelum mereka. Maryam juga hanyalah senama dengan Maryam saudara perempuan Harun a.s.
"Tidaklah ayahmu seseorang yang buruk dan tidak adalah ibumu pelacur."
Ayahmu bukan seorang yang buruk perangai dan ibumu bukan seorang perempuan pezina. Kamu berasal dari keluarga yang baik lagi suci, terkenal dengan kesolehannya. Biasanya keturunan itu mengikuti sifat orang tuanya. Maka mengapa kamu lakukan hal seperti itu?
"29. Maka dia menunjuk kepadanya."
Saat itu Maryam sedang puasa dan tidak berbicara. Maka Maryam memalingkan jawabannya dengan menunjuk ke arah anaknya, dengan maksud agar mereka berbicara sendiri dengannya. Kaumnya merasa terkejut dan marah apabila mendapat jawaban sedemikian. Mereka merasakan itu merupakan ejekan terhadap mereka, yang lebih parah daripada perbuatan zina.
"Mereka berkata, "Bagaimana kami berbicara orang yang dia dalam ayunan anak bayi?""
Belum pernah berlaku anak yang masih dalam usia ayunan sudah pandai berbicara. Saat Maryam menerima kecaman dari kaumnya itu, Isa a.s. sedang menyusu pada ibunya. Maka Beliau melepaskan payudara ibunya dan memalingkan mukanya ke arah kiri. Isa a.s. mengangkat jari telunjuknya ke atas bahu kirinya.
"30. Dia berkata, "Sungguh aku hamba Allah.""
Kalimat yang mula-mula diucapkan Isa a.s. ialah menyucikan Zat Tuhannya dan membersihkanNya dari sifat beranak, kemudian mengukuhkan kewujudan dirinya sebagai hamba Allah, tidak memiliki sifat-sifat ketuhanan sekaligus bukan anak tuhan seperti yang disangka oleh orang-orang Nasrani. Mahasuci Allah dari apa yang diucapkan orang-orang Nasrani yang mengaku mengikuti Nabi Isa a.s. tetapi menyelisihinya dalam hal ini.
"Dia memberi aku Al Kitab dan Dia menjadikan aku seorang nabi."
Kalimat ini dimaksudkan membersihkan nama ibunya dari tuduhan berzina yang dilontarkan oleh kaumnya. Perkataan Isa a.s. yang masih bayi merupakan saksi terkuat yang menunjukkan kebersihan ibunya. Allah s.w.t. telah memutuskan bahawa Dia akan memberi kitab Injil kepada Isa a.s. dalam ketetapanNya. Inilah kedudukan yang Allah berikan kepada Isa a.s. sebagaimana nabi-nabi yang lain, iaitu sebagai hamba Allah dan RasulNya.
Hamba bermaksud tidak boleh disikapi dengan sikap ifrath (berlebihan) sampai dituhankan, dan rasul atau nabi yang menunjukkan tidak boleh disikapi dengan sikap tafrith (meremehkan). Perintahnya mestilah ditaati, larangannya mesti dijauhi, perkataannya mesti dibenarkan dan beribadah kepada Allah seperti contohnya.
"31. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati dimana aku berada,"
Allah menjadikan Isa a.s. yang sempurna sebagai seorang nabi, seorang pengajar kebaikan, seorang mujahid yang banyak menyempurnakan orang lain dengan memberikan manfaat bagi mereka. Keberkatannya adalah amar ma'ruf dan nahi munkar bila saja dan di mana saja Beliau berada. Iaitu memerintahkan kepada kebajikan, mengajak mereka kepada Allah (da’wah ilallah) dan melarang kemungkaran.
Sesungguhnya perbuatan tersebut merupakan agama Allah yang disampaikan oleh para nabiNya kepada hamba-hambaNya. Siapa saja yang duduk atau berkumpul dengannya, maka akan memperoleh keberkatannya, dan orang yang menemaninya akan bahagia.
"dan Dia memerintahkan aku dengan solat dan zakat selama aku hidup."
Allah s.w.t. memerintahkan agar memenuhi hakNya, di mana hak yang termasuk paling agungnya adalah solat. Demikian juga memenuhi hak hamba-hambaNya, yang paling besarnya adalah zakat. Dia memerintahkan tetap melakukannya sampai datang ajal.
"32. Dan berbakti kepada ibuku,"
Allah memerintahkan pula kepadaku agar berbakti kepada ibuku. Allah s.w.t. sering memerintahkan agar menyembahNya dan taat kepada kedua orang tua secara beriringan.
"dan tidak Dia menjadikan aku seorang sombong yang celaka."
Allah s.w.t. menjadikan aku seorang yang taat, tunduk, khusyu’ dan merendahkan diri kepadaNya, bertawadhu’ (merendah diri) kepada hamba-hambaNya. Orang yang sombong lagi celaka tidak mahu menyembah dan taat kepadaNya, enggan membaca Kitabullah, enggan mengikuti petunjuk yang ada di dalamnya, berperangai buruk, angkuh, membangga-banggakan diri, bermaksiat kepadaNya, angkara murka, sanggup membunuh kerana marah, menyakiti dan tidak mahu berbakti kepada ibu bapa. Akibatnya dia menjadi orang yang celaka.
"33. Dan kesejahteraan atasku, pada hari aku dilahirkan, dan hari aku mati, dan pada hari aku dibangkitkan hidup."
Kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari kelahiranku, pada hari wafatku dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali. Kerana kurnia dan kemurahan dari Allah aku memperoleh keselamatan dari berbagai keburukan, syaitan, dan dari azab.
Hal ini membuktikan dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. dan bahawa Isa a.s. adalah seorang makhluk Allah yang hidup dan mati serta dibangkitkan sebagaimana makhluk lainnya. Akan tetapi, Isa a.s. diselamatkan dari semua fasa tersebut yang merupakan fasa-fasa yang paling berat dirasakan oleh semua hamba Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan