Ahad, 19 Februari 2017

28:14-22 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 14-22.

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَاسْتَوَى آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (١٤) وَدَخَلَ الْمَدِينَةَ عَلَى حِينِ غَفْلَةٍ مِنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلانِ هَذَا مِنْ شِيعَتِهِ وَهَذَا مِنْ عَدُوِّهِ فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِنْ شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ فَوَكَزَهُ مُوسَى فَقَضَى عَلَيْهِ قَالَ هَذَا مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ عَدُوٌّ مُضِلٌّ مُبِينٌ (١٥) قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (١٦) قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِلْمُجْرِمِينَ (١٧) فَأَصْبَحَ فِي الْمَدِينَةِ خَائِفًا يَتَرَقَّبُ فَإِذَا الَّذِي اسْتَنْصَرَهُ بِالأمْسِ يَسْتَصْرِخُهُ قَالَ لَهُ مُوسَى إِنَّكَ لَغَوِيٌّ مُبِينٌ (١٨) فَلَمَّا أَنْ أَرَادَ أَنْ يَبْطِشَ بِالَّذِي هُوَ عَدُوٌّ لَهُمَا قَالَ يَا مُوسَى أَتُرِيدُ أَنْ تَقْتُلَنِي كَمَا قَتَلْتَ نَفْسًا بِالأمْسِ إِنْ تُرِيدُ إِلا أَنْ تَكُونَ جَبَّارًا فِي الأرْضِ وَمَا تُرِيدُ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْمُصْلِحِينَ (١٩) وَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ يَسْعَى قَالَ يَا مُوسَى إِنَّ الْمَلأ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ فَاخْرُجْ إِنِّي لَكَ مِنَ النَّاصِحِينَ (٢٠) فَخَرَجَ مِنْهَا خَائِفًا يَتَرَقَّبُ قَالَ رَبِّ نَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (٢١) وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَاءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَى رَبِّي أَنْ يَهْدِيَنِي سَوَاءَ السَّبِيلِ (٢٢)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang masa dewasa Nabi Musa a.s.

"14. Dan tatkala sampai umur dewasanya dan dia telah sempurna," 

Ketika Musa a.s. telah cukup umur baligh, sempurna kekuatannya dan matang fikirannya. Usianya ketika itu 30, 33 atau 40 tahun.

"Kami beri dia hikmah dan ilmu." 

Allah s.w.t. anugerahkan kepadanya kebijaksanaan, kenabian, pengetahuan dan kefahaman agama.

"Dan demikianlah Kami memberi balasan orang-orang yang berbuat ihsan." 

Begitulah balasan Allah s.w.t. terhadap orang-orang yang berbuat baik dalam beribadah kepada Allah dan berbuat baik kepada hamba-hambaNya.

"15. Dan masuk kota atas sewaktu lengah dari penduduknya," 

Musa a.s. masuk ke kota Memphis pada waktu selepas maghrib atau pada waktu tengahari, ketika penduduknya sedang lengah. Mereka sedang beristirahat dan tidak menyedari kedatangan Musa a.s.

"maka dia dapatkan di antaranya dua orang lelaki keduanya berkelahi;"

Musa a.s. nampak dua orang lelaki sedang bergaduh. Mereka saling memukul dan saling memaki hamun.

"ini dari golongannya, dan ini dari musuhnya." 

Seorang dari mereka adalah dari Bani Israil dan seorang lagi adalah orang Qibti (Mesir), kaum Fir'aun.  Lelaki Qibti itu adalah tukang masak di dapur Fir’aun. Dia memaksa lelaki Israil membawa kayu bakar ke dapur Fir’aun, namun ia menolaknya.

"Maka meminta tolong kepadanya yang dari golongannya atas yang dari musuhnya,"

Lalu lelaki Israil meminta tolong kepada Musa a.s. kerana Beliau telah dikenali termasuk Bani Israil. Musa a.s. mengambil kesempatan yang baik itu untuk menolong bangsanya kerana saat itu orang-orang sedang lengah. Maka Musa a.s. menolongnya kerana menolong orang yang dizalimi adalah wajib dalam semua syariat. Musa a.s. mendekati orang Qibti itu.

"maka meninjunya Musa, lalu menentukan atasnya." 

Musa a.s. menumbuknya. Beliau memiliki tenaga yang kuat. Pukulannya itu menyebabkan kematian musuhnya, iaitu orang Qibti tersebut.

"Dia berkata, "Ini dari perbuatan syaitan!""

Musa a.s. menyesal atas kematian orang itu disebabkan pukulannya, kerana dia bukanlah berniat untuk membunuhnya, tetapi semata-mata membela kaumnya, dan pembunuhan itu merupakan hiasan dan was-was syaitan.

"Sungguh, dia musuh yang menyesatkan yang nyata."

Oleh kerana itulah terjadi perbuatan itu disebabkan permusuhan syaitan yang nyata dan keinginannya untuk menyesatkan manusia. Musa a.s. berdoa, 

"16. Dia berkata, "Tuhanku, sesungguhnya aku menzalimi diriku, maka ampunilah aku." Maka Dia mengampuni padanya. Sungguh Dia, Dia Maha Pengampun Maha Penyayang.""

"17. Dia berkata, "Tuhanku, dengan apa yang telah Engkau anugerahkan kepadaku,""

Sebagai rasa syukurnya atas kedudukan, kemuliaan, diampuni, diterima taubatnya dan berbagai nikmat yang telah Allah s.w.t. anugerahkan kepada dirinya, 

"maka tidak aku menjadi penolong bagi orang-orang yang berdosa."

Musa a.s. berjanji tidak akan menolong seorang pun yang kafir kepada Allah, menentang perintahNya, bermaksiat dan bersalah. Nikmat yang diberikan Allah s.w.t. menghendaki agar seorang hamba mengerjakan kebaikan dan meninggalkan keburukan.

"18. Maka, jadilah dia dalam kota itu ketakutan dia waspada," 

Jadilah Musa a.s. di kota itu merasa takut menunggu-nunggu dengan khuatir dan memantau perkembangan dari kejadian itu. Mungkin keluarga Fir’aun sudah mengetahuinya, kerana tidak ada yang berani berbuat seperti itu selain Musa a.s. dari Bani Israil. Pada hari yang lain Musa a.s. tiba di suatu jalan.

"maka tiba-tiba orang yang meminta tolong kepadanya kemarin lalu berteriak padanya." 

Lelaki Bani Israil yang pernah ditolong oleh Musa a.s. kemarin sedang berkelahi lagi dengan orang Qibti lain pula. Ketika orang Israil itu nampak Musa a.s., dia memekik meminta tolong lagi kepada Musa a.s. untuk menghadapi orang Qibti yang menjadi lawannya.

"Berkata kepadanya Musa, "Sungguh kamu benar-benar orang sesat yang nyata.""

Musa a.s. mencela lelaki Israil itu. Perbuatannya sekarang dan kemarin telah menjelaskan kesesatannya dan banyak keburukannya.

"19. Maka tatkala bahawa dia hendak bahawa menyerang kepada yang dia musuh bagi keduanya," 

Musa a.s. hendak memukul dengan keras orang yang menjadi musuh mereka berdua, iaitu orang Qibti tersebut. Tetapi orang Israil yang lemah lagi terhina itu menyangka bahawa Musa a.s. hendak memukulnya kerana mendengar kata-kata Musa a.s. tersebut. Maka orang Israil itu membela dirinya.

"dia berkata, "Wahai Musa! Apakah kamu hendak untuk kamu membunuhku sebagaimana kamu membunuh seseorang kemarin?""

Apakah kamu bermaksud membunuhku, sebagaimana kemarin kamu membunuh seseorang? 

"Tidaklah kamu bermaksud kecuali bahawa kamu sewenang-wenangnya di bumi, dan tidak kamu bermaksud untuk kamu menjadi termasuk orang-orang yang mengadakan perbaikan."

Kamu hanya bermaksud menjadi orang yang berbuat sewenang-wenang di negeri, dan kamu tidak bermaksud menjadi salah seorang dari orang-orang yang mengadakan perdamaian.

Setelah pengakuan tersebut didengari oleh orang Qibti itu, maka dia segera melarikan diri ke istana Fir'aun, lalu melaporkan hal tersebut kepadanya. Padahal tiada siapa pun yang mengetahuinya dan menyaksikan kejadian itu selain lelaki Israil itu dan Musa a.s.

Dengan demikian, Fir'aun mengetahui siapa pelaku pembunuhan itu. Maka dia menjadi sangat marah dan bertekad akan membunuh Musa a.s. Kemudian dia mencarinya dengan mengutus orang-orangnya untuk mengejar Musa a.s. dan menangkapnya, lalu dihadapkan kepada dirinya.

"20. Dan datanglah seorang lelaki dari hujung kota, dia berjalan dengan cepat." 

Seorang lelaki datang bergegas dari hujung kota. Ada yang mengatakan, bahawa lelaki itu adalah orang mukmin dari keluarga Fir’aun. Dia disifati sebagai lelaki (berani) kerana dia melalui jalan pintas yang lebih dekat untuk mencapai Musa a.s. berbanding jalan yang dilalui oleh orang-orang yang mengejar Musa a.s., sehingga dia mendahului mereka sampai kepada Musa a.s.

"Dia berkata, "Wahai Musa, sesungguhnya para pembesar berunding tentang kamu untuk membunuhmu, maka keluarlah, sesungguhnya aku kepadamu termasuk orang-orang yang memberi nasihat.""

Lelaki itu menasihati Musa a.s. agar keluar dari kota itu untuk menyelamatkan diri. 

"21. Maka dia keluar darinya takut, dia waspada."

Musa a.s. keluar sendirian meninggalkan negeri Mesir atau kota itu dengan rasa takut sambil waspada. Beliau bimbang kalau ada yang menyusul atau mengkapnya. Beliau telah bertaubat dari dosa itu dan melakukannya kerana marah dan tanpa maksud membunuhnya. Beliau berdoa, 

"Dia berkata, "Tuhanku, selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.""

Iaitu dari Fir'aun dan pembesar-pembesar kerajaannya. Sebelum itu Musa a.s. tidak biasa mengembara, kerana Beliau selalu hidup dalam kemewahan dan kesenangan serta kedudukan yang tinggi.

"22. Dan tatkala dia menghadap arah Madyan," 

Musa a.s. menempuh jalan yang membawa ke tujuannya telah terbentang di hadapannya. Perjalanan ke Madyan dari Mesir memakan masa lebih kurang 8 hari.

Madyan tidak berada di bawah kekuasaan Fir’aun. Maka bergembiralah Musa a.s. Beliau berdoa, 

"dia berkata, "Mudah-mudahan Tuhanku bahawa menunjukiku lurus jalan.""

Allah s.w.t. memenuhi permintaan Musa a.s., lalu memimpinnya dengan memberinya petunjuk ke jalan yang lurus di dunia dan akhirat dan menjadikan Musa a.s. seorang yang dapat memberi petunjuk lagi diberi petunjuk.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...