Rabu, 22 Februari 2017

33:53-55 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 53-55.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَدْخُلُوا بُيُوتَ النَّبِيِّ إِلا أَنْ يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَى طَعَامٍ غَيْرَ نَاظِرِينَ إِنَاهُ وَلَكِنْ إِذَا دُعِيتُمْ فَادْخُلُوا فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانْتَشِرُوا وَلا مُسْتَأْنِسِينَ لِحَدِيثٍ إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ يُؤْذِي النَّبِيَّ فَيَسْتَحْيِي مِنْكُمْ وَاللَّهُ لا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ وَمَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُؤْذُوا رَسُولَ اللَّهِ وَلا أَنْ تَنْكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِنْ بَعْدِهِ أَبَدًا إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمًا (٥٣) إِنْ تُبْدُوا شَيْئًا أَوْ تُخْفُوهُ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا (٥٤) لا جُنَاحَ عَلَيْهِنَّ فِي آبَائِهِنَّ وَلا أَبْنَائِهِنَّ وَلا إِخْوَانِهِنَّ وَلا أَبْنَاءِ إِخْوَانِهِنَّ وَلا أَبْنَاءِ أَخَوَاتِهِنَّ وَلا نِسَائِهِنَّ وَلا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ وَاتَّقِينَ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا (٥٥)

Dimasa Jahiliah dan permulaan Islam, mereka masuk ke rumah sesiapa saja tanpa izin.

Umar ibnul Khattab r.a. berkata, 'Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteri-isterimu banyak ditemui oleh orang ramai, di antaranya ada yang bertakwa dan ada yang derhaka (iaitu ada yang baik dan ada yang buruk), maka sekiranya engkau buatkan hijab untuk mereka."

Umar ibnul Khattab r.a. berkata, "Wahai Rasulullah, yang masuk menemuimu ada orang yang bertakwa dan ada pula yang derhaka, maka sebaiknya engkau perintahkan kepada Ummahatul Mu'minin (semua isterimu) memakai hijab."

Pada bulan Zul Qa'dah tahun lima hijriah atau pada tahun tiga hijriah, Rasulullah s.a.w. menikahi Zainab binti Jahsy. Perkahwinannya dilakukan langsung oleh Allah s.w.t. (melalui wahyuNya). Pada pagi itu Beliau s.a.w. mengadakan jamuan walimah dari makanan roti dan daging.

Beliau s.a.w. menyuruh Anas ibnu Malik r.a. mengundang beberapa orang lelaki yang jumlahnya cukup ramai dan orang muslim yang dijumpainya. Maka Anas mengundang orang-orang yang telah Beliau s.a.w. sebutkan namanya, juga setiap orang muslim yang dijumpai hingga tiada lagi yang tertinggal.

Rumah, halaman dan ruang tamu penuh dengan tetamu. Lalu mereka makan hingga semuanya merasa kenyang, setelah itu pergi. Kemudian datang pula kaum yang lain, mereka langsung makan, dan sesudahnya mereka keluar.

Maka Beliau s.a.w. bersabda, "Selesaikanlah jamuan kalian." Kemudian Beliau s.a.w. hendak bangkit. Ada beberapa orang lelaki yang masih asyik berbual di dalam rumah Rasulullah s.a.w., sedangkan isteri Rasulullah s.a.w. yang baru dinikahi itu ada bersama mereka, memalingkan wajahnya ke arah tembok. Mereka memanjangkan perbualannya.

Hal itu membuat Rasulullah s.a.w. keberatan, tetapi beliau tidak mahu menegur mereka kerana beliau adalah orang yang sangat pemalu. Melihat keadaan itu Beliau terus bangkit. Sebahagian orang bangkit juga. Nabi s.a.w. keluar dan menemui setiap isterinya di kamarnya masing-masing. Beliau mengucapkan salam kepada mereka. Mereka menjawab salam dan mengucapkan kata selamat kepada Beliau.

Nabi s.a.w. datang semula dan hendak masuk ke kamar pengantin, tetapi masih ada tiga orang yang masih asyik duduk berbual di dalam rumah dan belum pergi. Ketika Rasulullah s.a.w. tiba, mereka baru sedar bahawa mereka telah menyusahkan Beliau. Kerana itu, mereka segera bangkit menuju pintu, lalu keluar. Lalu Anas menghadap dan menceritakan kepada Nabi s.a.w. bahawa semua tetamu telah pergi.

Pada saat Beliau s.a.w. melangkahkan kakinya masuk ke dalam, sedangkan kaki yang lainnya masih di luar pintu, Beliau s.a.w. menurunkan kain hijab yang menghalang antara Beliau s.a.w. dan Anas yang berada di ruang tamunya. Saat itulah Allah s.w.t. menurunkan ayat hijab.

Rasulullah s.a.w. tinggal di dalam kamarnya sesaat yang tidak lama. Setelah itu Beliau s.a.w. keluar dari kamar dan membacakannya kepada Anas. Lalu Anas menceritakannya kepada orang ramai selama suatu masa.

Allah s.w.t. telah berfirman,

"53. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian memasuki rumah-rumah Nabi," 

Inilah ayat hijab yang di dalamnya terkandung hukum-hukum dan etika-etika syar’iyyah. Allah s.w.t. memerintahkan kepada hamba-hambaNya yang beriman agar memiliki adab terhadap Rasulullah s.a.w. ketika masuk ke rumahnya. Dia melarang orang-orang mukmin masuk ke dalam rumah-rumah Nabi s.a.w. tanpa izin.

Allah s.w.t. cemburu dengan umat ini kerana perbuatan-perbuatan biadap itu. Dia memerintahkan agar mereka meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah orang. Hal ini juga merupakan suatu penghormatan dari Allah s.w.t. terhadap umat ini.

"kecuali bahawa diizinkan bagi kalian makanan dengan tidak menunggu-nunggu makanan masak."

Kaum mukmin dilarang masuk ke rumah-rumah Nabi s.a.w. kecuali diizinkan masuk. Janganlah kalian mengintai-intai dan menunggu-nunggu makanan bila sedang dimasak. Apabila makanan itu hampir masak, lalu kalian masuk ke rumahnya untuk makan. Hal ini termasuk perbuatan yang tidak disukai oleh Allah s.w.t. dan dicelaNya.

"Akan tetapi apabila kalian diundang, maka masuklah, maka apabila kalian selesai makan, maka menyebarlah dan jangan beramah-tamah untuk percakapan." 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seseorang di antara kalian mengundang saudaranya untuk suatu jamuan, hendaklah orang yang diundang memenuhinya, baik undangan pernikahan ataupun undangan lainnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seandainya aku diundang untuk makan kaki kambing, pastilah aku akan memenuhinya. Dan seandainya aku dikirimi masakan kikil kambing, tentulah aku terima. Maka apabila kalian telah selesai dari menyantap jamuan, janganlah kalian menyusahkan pemilik rumah, dan segeralah kalian keluar (dari rumahnya)."

Duduklah di sana sekadar keperluan saja. Janganlah kalian asyik berbual dan tidak mahu keluar sehingga mengganggu dan memberatkan tuan rumah.

"Sesungguhnya demikian itu ada mengganggu nabi, maka dia malu kepada kalian,"

Kemasukan kalian ke dalam rumah Nabi s.a.w. tanpa izinnya dan menunggu melebihi keperluan itu adalah sikap yang memberatkannya dan membuatnya terganggu. Tetapi Beliau s.a.w. merasa berat dan malu untuk menyuruh kalian keluar, sebab Nabi s.a.w. adalah seorang yang pemalu.

"dan Allah tidak malu dari yang benar." 

Allah s.w.t. tidak malu menerangkan yang benar dan memerintahkan sesuatu yang di dalamnya terdapat kebaikan bagi kalian serta bersikap lembut kepada RasulNya s.a.w. Inilah adab ketika masuk ke rumah Beliau s.a.w. Kerana itulah maka Allah s.w.t. melarang kalian bersikap demikian dan memperingatkan kalian supaya jangan mengganggu Nabi lagi.

"Dan apabila kalian meminta kepada mereka suatu keperluan, maka mintalah kepada mereka dari belakang hijab." 

Berbicara dengan isteri-isteri Nabi mungkin perlu dan mungkin tidak perlu. Jika tidak perlu, maka adabnya adalah meninggalkannya. Sebagaimana Allah melarang kalian masuk menemui isteri-isteri Nabi, maka dilarang pula kalian memandang mereka dalam apa saja keadaan, walaupun kalian ada keperluan dari mereka. Dia tidak boleh memandangnya, tidak boleh pula meminta suatu keperluan kepada mereka melainkan dari balik tabir.

Melihat mereka dalam keadaan bagaimana pun adalah haram. Walaupun disebutkan isteri-isteri Nabi, lafaz tersebut adalah umum untuk setiap orang. Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada kaum wanita agar memakai hijab bila menemui lelaki yang bukan mahram.

Aisyah r.a. menceritakan bahawa pada suatu hari ia makan hais bersama Nabi s.a.w. di dalam sebuah mangkuk besar, lalu lintaslah Umar. Maka Nabi s.a.w. mengundangnya untuk makan bersama, dan Umar pun makan bersama kami. Jari Umar bersentuhan dengan jariku (Aisyah), maka Umar berkata, "Alangkah baiknya, atau aduh, seandainya Nabi s.a.w. ditaati oleh kalian, nescaya tiada suatu mata pun yang melihat kalian (isteri-isteri Nabi s.a.w.)."

Maka turunlah firmanNya,

"Demikian itu lebih menyucikan bagi hati kalian dan hati mereka." 

Apa yang telah Allah s.w.t. perintahkan kepada kalian dan apa yang telah Dia syariatkan kepada kalian tentang berhijab adalah lebih suci dan lebih baik bagi kalian. Iaitu lebih jauh dari hal yang meragukan. Setiap kali seseorang jauh dari sebab-sebab yang mengajak kepada keburukan, maka hal itu lebih selamat baginya dan lebih membersihkan hatinya.

Talhah ibnu Abdullah r.a. berniat akan mengahwini bekas isteri Nabi s.a.w. bila beliau s.a.w. sudah tiada. Seorang lelaki bertanya kepada Sufyan, "Apakah dia adalah Aisyah?" Sufyan menjawab, "Mereka telah menceritakan hal tersebut."

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"Dan tidak ada bagi kalian bahawa mengganggu Rasulullah," 

Janganlah kalian menyakiti hati Rasulullah s.a.w. baik dengan lisan maupun dengan perbuatan.

"dan tidak bahawa kalian menikahi isteri-isterinya setelahnya selama-lamanya." 

Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, maka isteri-isterinya haram dikahwini oleh orang lain. Beliau s.a.w. berada pada kedudukan yang seharusnya dimuliakan dan dihormati serta ditinggikan, sedangkan menikahi isteri-isterinya berlawanan dengan kedudukan Beliau. Mereka adalah isteri-isteri Beliau s.a.w. di dunia dan akhirat. Mereka juga adalah Ummahatul Mukminin iaitu ibu-ibu semua kaum mukmin.

"Sesungguhnya demikian itu adalah di sisi Allah besar."

Allah s.w.t. memperingatkan dan mengancam bahawa hal itu termasuk dosa besar. Maka umat Beliau s.a.w. pun menjauhi larangan itu, wal hamdulillah.

"54. Jika kalian menampakkan sesuatu atau kalian menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah adalah dengan segala sesuatu Maha Mengetahui." 

Betapapun hati sanubari kalian menyimpan sesuatu dan menyembunyikan rahsia, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Dia mengetahui apa yang ada dalam hati kalian dan apa yang kamu tampakkan. Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari pengetahuan Allah. Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati. Dia akan memberikan balasan kepada kalian.

"55. Tidak berdosa atas mereka pada bapa-bapa mereka, dan tidak anak-anak lelaki mereka, dan tidak saudara lelaki mereka, dan tidak anak-anak lelaki saudara lelaki mereka, dan tidak anak-anak lelaki saudara perempuan mereka," 

Berdasarkan ayat dari surah Al Ahzab 33:55 ini dan ayat dari surah An Nur 24:31, tidak berdosa bagi wanita untuk berjumpa tanpa tabir atau hijab dan menampakkan perhiasannya kepada suami mereka, bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak lelaki mereka, anak-anak lelaki suami mereka, saudara lelaki mereka, saudara perempuan mereka, anak lelaki dari saudara lelaki mereka, anak lelaki dari saudara perempuan mereka dan anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.

Bapa saudara dari pihak ayah dan ibu tidak disebutkan kerana keduanya pasti atau mungkin akan menceritakan kecantikannya kepada anak lelakinya masing-masing. Menanggalkan hijab di hadapan bapa saudara dari pihak ayah dan dari pihak ibu hukumnya makruh.

"dan tidak perempuan mereka," 

Iaitu wanita-wanita beriman atau Islam.

"dan tidak apa yang dimiliki tangan-tangan mereka," 

Iaitu hamba-hamba perempuan, hamba-hamba lelaki yang mereka miliki secara keseluruhan dan pelayan-pelayan lelaki yang telah tua dan tidak mempunyai keinginan terhadap wanita. Ada juga yang berpendapat hanya hamba-hamba perempuan saja.

"dan bertakwalah pada Allah." 

Takutlah kalian kepada Allah dalam setiap keadaan, baik semasa sendirian maupun dalam keadaan ramai.

"Sesungguhnya Allah adalah atas segala sesuatu Maha Menyaksikan."

Dia menyaksikan amalan hamba yang tampak maupun yang tersembunyi, mendengarkan kata-kata kalian, melihat gerakan kalian. Tiada sesuatu pun yang samar bagiNya. Kemudian Dia akan membalas kalian dengan balasan yang sempurna. Maka hendaklah kalian sentiasa merasa berada di bawah pengawasanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...