Khamis, 30 Mac 2017

19:34-40 Tafsir Surah Maryam, Ayat 34-40.

ذَلِكَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ قَوْلَ الْحَقِّ الَّذِي فِيهِ يَمْتَرُونَ  (٣٤) مَا كَانَ لِلَّهِ أَنْ يَتَّخِذَ مِنْ وَلَدٍ سُبْحَانَهُ إِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ (٣٥) وَإِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (٣٦) فَاخْتَلَفَ الأحْزَابُ مِنْ بَيْنِهِمْ فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ مَشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ (٣٧) أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ يَوْمَ يَأْتُونَنَا لَكِنِ الظَّالِمُونَ الْيَوْمَ فِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٣٨) وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الأمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ وَهُمْ لا يُؤْمِنُونَ (٣٩) إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ الأرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ (٤٠)

Di ayat-ayat sebelumnya, Allah s.w.t. menceritakan kisah dan sifat-sifat RasulNya Isa putera Maryam. Kemudian Allah s.w.t. berfirman kepada RasulNya Nabi Muhammad s.a.w.,

"34. Itulah Isa putera Maryam; perkataan yang benar, yang di dalamnya mereka ragukan." 

Itulah kisah dan sifat-sifat Isa putera Maryam yang sebenarnya. Allah menciptakan Isa a.s. sebagai hamba dan nabiNya. Berita yang Allah sebutkan inilah yang benar, sedangkan berita yang menyelisihinya adalah dusta. Orang-orang yang batil, orang-orang yang hak dari kalangan orang-orang yang beriman kepadanya dan orang-orang yang kafir kepadaNya, berbantah-bantahan mengenai kebenarannya. Oleh kerana itu mereka meragukan kebenarannya.

"35. Tidak ada bagi Allah bahawa Dia menjadikan dari seorang anak, Mahasuci Dia." 

Mustahil, tidak patut dan tidak layak bagi Allah mempunyai anak. Dia Mahakaya lagi Maha Terpuji, MilikNya semua yang ada di langit dan di bumi. Dia tidak perlu mengambil hamba dan milikNya sebagai anak.

Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh orang-orang bodoh lagi zalim dan melampaui batas itu dengan kesucian yang sebesar-besarnya. Maha Suci Dia dari memiliki anak dan dari segala kekurangan.

"Apabila Dia telah memutuskan perkara, maka sungguh hanyalah Dia berkata kepadanya, "Jadilah." Maka jadilah ia." 

Apabila Allah menghendaki sesuatu yang besar maupun kecil, tidaklah berat bagiNya. Maka Dia hanya berfirman kepadanya, "Jadilah, " maka jadilah apa yang dikehendakiNya itu sesuai dengan keinginanNya. Termasuk di antaranya adalah penciptaan Isa tanpa bapa, yang demikian mudah bagiNya.

Semasa Isa a.s. masih dalam buaian, di antara perintah yang dianjurkan oleh Beliau kepada kaumnya adalah,

"36. Dan sesungguhnya Allah Tuhanku dan Tuhan kalian," 

Dialah Yang Menciptakan kita, membentuk rupa kita, mengatur kita dan memberlakukan kepada kita taqdirNya. Ayat ini menunjukkan bahawa dakwah Isa a.s. adalah tauhid sebagaimana para nabi yang lain.

"maka sembahlah Dia." 

Beliau tidak mengajak untuk menyembah dirinya, bahkan mengajak menyembah Allah saja. Di ayat ini terdapat ikrar terhadap rububiyyah Allah dan uluhiyyahNya. KeberhakanNya untuk diibadahi kerana Dia adalah Tuhan semesta alam.

"Ini jalan yang lurus." 

Agama yang aku sampaikan kepada kalian dari Allah ini adalah jalan yang dapat menyampaikan ke syurga. Barang siapa yang mengikutinya, dibenarkan dan mendapat petunjuk. Dan barang siapa yang menentangnya, disalahkan dan tersesat.

"37. Maka berselisih golongan-golongan di antara mereka." 

Ketika Isa a.s. dinaikkan, Ahli Kitab berselisih pendapat tentang kewujudan Isa a.s. Maka berselisihlah orang-orang Yahudi dan Nasrani atau antara sesama Yahudi atau sesama Nasrani. Akhirnya terpecahlah mereka menjadi beberapa golongan. Orang-orang yang paling alim di antara mereka berdebat tentang Isa a.s. Masing-masing mempunyai pengikutnya sendiri.

Golongan Ya'qubiyah berpendapat bahawa Isa a.s. adalah tuhan yang turun ke bumi, lalu menghidupkan orang-orang yang dihidupkannya dan mematikan orang-orang yang dimatikannya, setelah itu Isa a.s. naik ke langit. Golongan Nusturiyah berpendapat bahawa Isa a.s. adalah anak Allah.

Golongan Israili, raja-raja nasrani berpendapat bahawa Isa a.s. adalah salah satu dari tiga tuhan; Allah Tuhan yang pertama, Isa a.s. tuhan kedua, dan ibunya tuhan ketiga. Orang-orang Yahudi tidak mengakui kerasulan Isa a.s., bahkan menuduhnya sebagai anak zina. Mereka juga mengatakan bahawa perbicaraan Isa a.s. semasa usia ayunan itu adalah sihir. Semua perkataan ini adalah batil, didasari atas keraguan dan penentangan. Semoga laknat Allah menimpa mereka semua.

Golongan muslim mengatakan bahawa Isa a.s. adalah hamba Allah, utusanNya, RasulNya sebagaimana nabi-nabi yang lain, diciptakan melalui perintahNya yang ditujukan kepada Maryam, diciptakan melalui roh ciptaanNya dan diciptakan melalui firmanNya. Pendapat inilah yang benar sesuai dengan petunjuk yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman.

Akhirnya mereka berperang di antara sesama mereka dan mereka mengalahkan orang-orang muslim. Mereka membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berlaku adil.

Kaisar Konstantinopel pernah mempertemukan dua ribu seratus tujuh puluh orang uskup Ahli Kitab dalam suatu pertemuan besar. Lalu mereka berselisih pendapat tentang Isa putera Maryam dengan perselisihan yang tajam sekali. Masing-masing golongan mempunyai pendapat sendiri.

Sejumlah uskup yang sepakat memegang suatu pendapat dan mempertahankannya mati-matian; pendapat ini disetujui dan disokong oleh Kaisar yang seorang ahli filsafat. Maka golongan tersebut dijadikan sebagai pemimpin agama dan diusir golongan lainnya. Maka para uskup yang disokongnya memberikan kepada Kaisar amanat yang besar yang lebih layak disebut sebagai pengkhianatan terbesar.

Para uskup yang disokong oleh Kaisar ini membuatkan untuk Kaisar kitab undang-undang dan menetapkan baginya hukum-hukum syariat serta membuat banyak bid'ah dan penyimpangan di dalam agama Al Masih; mereka telah merubahnya dari aslinya.

Sebagai imbalannya Kaisar Konstantinopel membangunkan buat mereka gereja-gereja yang besar di wilayah kekaisarannya. Semuanya tersebar di negeri Syam, Jazirah Arabia dan Romawi sehingga jumlah gereja di masa pemerintahannya lebih kurang dua belas ribu gereja.

Sedangkan ibu kaisar membangun tempat pembuangan sampah di tempat penyaliban yang disangka oleh orang-orang Yahudi bahawa yang disalib itu adalah Al Masih. Mereka dusta, bahkan Allah menaikannya ke langit.

"Maka celakalah bagi orang-orang yang kafir dari menyaksikan hari yang besar." 

Kecelakaanlah bagi orang-orang yang mendustakan Allah, melakukan tuduhan keji serta menganggap bahawa Allah beranak, tidak percaya bahawa Isa a.s. adalah hamba Allah dan RasulNya.

Malanglah mereka semasa menyaksikan hari yang besar, iaitu hari kiamat, hari yang disaksikan oleh penghuni langit dan bumi, disaksikan oleh Al Khaliq dan makhluk, penuh dengan peristiwa yang menegangkan, dan di sana terdapat pembalasan terhadap amal. Ketika itu, nyatalah apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka tampakkan.

Akan tetapi, Allah menangguhkan mereka sampai hari kiamat dan membiarkan mereka berkat sifat PenyantunNya dan kekuasaanNya untuk menyiksa mereka. Sesungguhnya Dia tidak menyegerakan orang-orang yang berbuat derhaka terhadapNya. Namun, Dia tidak pernah lalai.

"38. Alangkah tajam pendengaran mereka dan alangkah terang penglihatan pada hari mereka datang kepada Kami." 

Kelak di hari kiamat, orang-orang kafir mempunyai pendengaran yang sangat tajam dan penglihatan yang sangat terang. Alangkah ngerinya keadaan mereka. Mereka menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya. Mereka berkata, "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar.” Di saat itu tiada sesuatu pun yang dapat memberikan manfaat kepada mereka dan tiada sesuatu pun yang dapat menolong mereka.

"Akan tetapi orang-orang yang zalim pada hari ini dalam kesesatan yang nyata." 

Mereka pada kehidupan dunia ini tuli dari mendengarkan yang hak, buta dari melihatnya dan tidak dapat berfikir. Mereka tidak memiliki alasan sedikit pun. Di saat hidayah datang kepada mereka, mereka tidak mahu menerimanya, tidak mahu pula menaatinya. Mereka menentang lagi sesat, padahal mereka mengetahui yang benar tetapi berpaling darinya. Atau sebagai orang yang sesat dari jalan yang benar, padahal mereka mampu mengetahui yang hak, tetapi lebih ridha dengan kesesatannya, keburukan amalnya dan tidak mahu berusaha mengetahui yang hak. Mereka tidak memanfaatkan pendengaran, penglihatan dan akal untuk menerima hidayah.

"39. Dan berilah mereka peringatan pada hari penyesalan," 

Al Hasrah (hari penyesalan) merupakan salah satu dari nama hari kiamat yang dibesarkan oleh Allah s.w.t. untuk memperingatkan hamba-hambaNya. Pada hari itu ramai orang yang menyesal disebabkan tidak berbuat ihsan di dunia. Penyesalan yang paling besar adalah penyesalan kerana tidak mendapat keridhaan Allah dan syurgaNya, sebaliknya mendapatkan neraka. Di sana tidak ada lagi kesempatan untuk memperbaiki diri. Amat besar penyesalan mereka atas kelalaiannya dalam menunaikan kewajiban terhadap Allah.

"ketika diputuskan perkara." 

Ketika segala perkara telah diputuskan, iaitu ketika ahli syurga dan ahli neraka telah dipisahkan, dan masing-masing dimasukkan ke dalam tempat tinggalnya untuk selama-lamanya.

"Dan mereka dalam kelalaian dan mereka, mereka tidak beriman."

Manusia ramai yang terlena dalam kehidupan dunia. Mereka lalai terhadap apa yang diperingatkan kepada mereka, iaitu hal yang bakal menimpa mereka kelak di hari penyesalan dan kekecewaan. Mereka tidak percaya kepada hari penyesalan itu.

"40. Sungguh Kami, Kami mewarisi bumi dan orang yang di atasnya," 

Semua makhluk akan binasa. Dunia bersama isinya akan ditinggalkan penghuninya. Allah Yang Mahakekal. Dia sendirilah Yang Mewarisi semua makhlukNya.

"dan kepada kami mereka dikembalikan." 

Semua manusia akan dikembalikan kepadaNya untuk diberikan balasan. Tiada seorang pun yang akan dianiaya barang sedikit pun. Oleh kerana itu, barang siapa yang mengerjakan kebaikan, maka pujilah Allah. Barang siapa yang mengerjakan selain itu, maka janganlah ia mencela selain dirinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...