Sabtu, 1 April 2017

21:62-75 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 62-75.

قَالُواْ ءَأَنْتَ فَعَلْتَ هَذَا بِآلِهَتِنَا يَا إِبْرَاهِيمُ (٦٢) قَالَ بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا فَاسْأَلُوهُمْ إِنْ كَانُوا يَنْطِقُونَ (٦٣) فَرَجَعُوا إِلَى أَنْفُسِهِمْ فَقَالُوا إِنَّكُمْ أَنْتُمُ الظَّالِمُونَ (٦٤) ثُمَّ نُكِسُوا عَلَى رُءُوسِهِمْ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا هَؤُلاءِ يَنْطِقُونَ (٦٥) قَالَ أَفَتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَنْفَعُكُمْ شَيْئًا وَلا يَضُرُّكُمْ (٦٦) أُفٍّ لَكُمْ وَلِمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَفَلا تَعْقِلُونَ (٦٧) قَالُوا حَرِّقُوهُ وَانْصُرُوا آلِهَتَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ (٦٨) قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلامًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ (٦٩) وَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الأخْسَرِينَ (٧٠) وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الأرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ (٧١) وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ نَافِلَةً وَكُلا جَعَلْنَا صَالِحِينَ (٧٢) وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ (٧٣) وَلُوطًا آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَتْ تَعْمَلُ الْخَبَائِثَ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمَ سَوْءٍ فَاسِقِينَ (٧٤) وَأَدْخَلْنَاهُ فِي رَحْمَتِنَا إِنَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ (٧٥)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal kekasihNya Nabi Ibrahim a.s. yang telah menghancurkan berhala-berhala kaumnya kecuali yang paling besar bagi mereka. Ketika Ibrahim a.s. telah dihadapkan di hadapan orang ramai,

"62. Mereka berkata, "Apakah kamu, kamu melakukan ini terhadap tuhan-tuhan kami, wahai Ibrahim?""

Maka Ibrahim a.s. menyindir mereka.

"63. Dia berkata, "Sebenarnya melakukannya yang terbesar dari mereka ini,""

Iaitu berhala yang dibiarkannya dan tidak dipecahkannya itu.

"maka tanyakan kepada mereka, jika mereka, mereka berbicara."

Iaitu patung-patung yang dirosakkan. Ibrahim a.s. bermaksud menerangkan bahawa patung itu dibuat dari benda mati, tidak mampu berbuat apa-apa dan tidak sepatutnya disembah.

"64. Lalu mereka kembali kepada mereka sendiri," 

Kaum Ibrahim a.s. menyedari bahawa mereka berada dalam kesesatan kerana menyembah sesuatu yang tidak dapat berbicara dan bahawa perbuatan mereka selama ini adalah salah. Akan tetapi kesedaran itu tidak berlangsung lama, bahkan mereka kembali seperti semula.

"lalu mereka berkata, "Sesungguhnya kalianlah orang-orang yang zalim.""

Kalian menganiaya diri kalian sendiri kerana tidak bersikap hati-hati. Kalian meninggalkan berhala-berhala kalian tanpa ada seorang pun yang menjaganya.

"65. Kemudian mereka ditundukkan atas kepala mereka." 

Kaum Ibrahim a.s. kebingungan dan tidak tahu apa yang harus mereka lakukan. Mereka menundukkan kepalanya, memandang ke arah bawah dalam menghadapi ujian dari Ibrahim a.s. itu sambil memikirkan jawabannya. Kemudian mereka berkata kepada Ibrahim a.s.,

"Sungguh kamu telah mengetahui tidaklah mereka, mereka berbicara." 

Mereka kembali membangkang setelah sedar, padahal mereka sendiri mengakui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara. Maka pada saat itu juga Ibrahim Ibrahim a.s. menguji mereka lagi.

"66. Dia berkata, "Apakah kalian menyembah dari selain Allah apa yang tidak memberi kalian manfaat sedikit pun, dan tidak memudaratkan kalian?""

Ia tidak mampu memberi manfaat kepada kalian seperti rezeki dan sebagainya sedikit pun apabila kalian menyembahnya. Ia juga tidak mampu memberi mudarat kepada kalian sedikit pun jika kalian tidak menyembahnya.

"67. Ah! bagi kalian dan apa yang kalian menyembah dari selain Allah. Maka apakah kalian tidak menggunakan akal?" 

Celakalah kalian. Jijik perasaanku terhadap kalian dan apa yang kamu sembah selain Allah. Tidakkah kalian mengerti?

Kalian tidak merenungkan perbuatan sesat kalian dan kekafiran kalian yang berat ini. Hal itu tidaklah laku kecuali hanya di kalangan orang-orang yang bodoh, aniaya, lagi penderhaka.

Aku merasa jijik melihat kalian sungguh sesat, rugi, dan hina bersama sesembahan kalian itu. Kalian masih tidak memahami bahawa tiada yang berhak dan patut disembah selain Allah s.w.t.

Ibrahim a.s. mematahkan hujah kaumnya, menjelaskan kelemahan mereka, serta menampakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Mereka tidak dapat menjawab lagi. Maka mereka beralih membalasnya dengan menggunakan kekerasan. Mereka menggunakan kekuasaan raja mereka.

"68. Mereka berkata, "Bakarlah dia dan tolonglah tuhan-tuhan kalian, jika kalian melakukan."

Kerana membela patung-patung itu, mereka menjatuhkan hukuman ke atas Ibrahim a.s. Maka mereka membuat longgokan kayu yang sangat besar, lalu dinyalakan api padanya dari semua sisinya. Terjadilah api yang sangat besar. Nyala api itu mengeluarkan percikan-percikan yang sangat besar, dan nyalanya sangat tinggi.

Mereka mengikat Ibrahim a.s. Beliau mengucapkan, "Tidak ada Tuhan selain Engkau, Mahasuci Engkau, BagiMu segala puji dan bagiMu semua kerajaan, tiada sekutu bagiMu." Mereka meletakkan Ibrahim a.s. pada manjanik (alat pelempar). Beliau mengucapkan "Ya Allah, sesungguhnya Engkau di langit Esa dan saya di bumi seorang diri menyembahMu.”

Ketika Ibrahim a.s. dilemparkan ke dalam nyala api itu, Beliau mengucapkan, "Cukuplah Allah bagiku, Dia adalah sebaik-baik Pelindung." Malaikat penjaga hujan berkata, "Apabila aku diperintahkan untuk menurunkan hujan, aku akan menurunkannya." Akan tetapi, perintah Allah lebih cepat daripada perintah malaikat itu.

"69. Kami berfirman, "Wahai api, jadilah kau dingin dan selamatkan atas Ibrahim.""

Api itu tidak membahayakannya. Dinginnya api itu tidak menyakiti Ibrahim. Oleh kerana itu, Ibrahim a.s. tidak merasa sakit dan tidak terbakar. Pada hari itu tiada seorang pun menggunakan api kerana api tidak panas dan tidak membakar kecuali tali-tali yang mengikat tubuh Ibrahim a.s. Namun cahaya api tetap ada.

Malaikat Jibril a.s. menampakkan dirinya di langit, lalu bertanya, "Apakah kamu mempunyai suatu permintaan?" Ibrahim a.s. menjawab, "Adapun meminta kepadamu, saya tidak akan mahu. Tetapi jika kepada Allah, saya mahu."

Beliau ditemani oleh malaikat penjaga awan. Jibril a.s. juga ada bersama dengan Ibrahim a.s. seraya mengusapi keringat dari wajah Ibrahim a.s., tiada sesuatu pun yang mengenai tubuh Ibrahim kecuali hanya keringat itu.

Pada hari itu semua haiwan berusaha memadamkan api itu kecuali tokek atau cicak. Ia meniup api itu agar membakar Ibrahim a.s. Kerana itu Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya membunuh cicak. Beliau s.a.w. menamakannya fuwaisiq.

Ayah Ibrahim diperlihatkan keadaan Ibrahim a.s. di dalam api. Ia nampak Ibrahim a.s. sedang mengusap keningnya, lalu ayah Ibrahim berkata, "Sebaik-baik Tuhan adalah Tuhanmu, hai Ibrahim." Itulah kalimah yang paling indah yang pernah dikatakan oleh ayah Ibrahim kepadanya.

Ibrahim a.s. berada dalam api itu selama lebih kurang empat puluh atau lima puluh hari. Tetapi api tidak membakar tubuhnya sedikit pun hingga Allah memadamkannya. Ibrahim a.s. mengatakan, "Tiada suatu hari atau suatu malam pun yang lebih menyenangkan bagiku selain saat-saat aku berada di dalam api. Aku menginginkan jika semua kehidupanku seperti ketika aku berada di dalam api itu."

"70. Dan mereka hendak dengannya tipu daya, maka Kami jadikan mereka orang-orang yang paling rugi." 

Mereka hendak berbuat jahat terhadap Ibrahim a.s. dengan bersepakat untuk membakarnya. Maka Allah s.w.t. membalas makar mereka dengan menjadikan mereka orang-orang yang dikalahkan, terhina, paling rugi di dunia dan di akhirat. Sebaliknya kekasihNya dan para pengikutnya, merekalah orang-orang yang selamat dan beruntung.

"71. Dan Kami selamatkannya dan Lut ke bumi yang Kami berkahi di dalamnya bagi seluruh alam." 

Allah menyelamatkan Ibrahim a.s. dari raja Babil (Namrud) dan kaumnya. Babil adalah suatu daerah di Iraq. Di antara kaum Ibrahim a.s. yang beriman kepadanya adalah anak saudaranya, Lut a.s. Ibrahim a.s. membawanya pergi berhijrah meninggalkan negerinya. Ibrahim a.s. juga membawa Sarah. Sarah adalah sepupunya.

Negeri di sini bermaksud negeri Syam, termasuk di dalamnya Palestin. Syam digelar negeri tempat berhijrah. Allah memberkahi negeri itu ertinya kebanyakan nabi berasal dari negeri itu, tanahnya pun subur dan disucikan. Semua batu besar di sana terdapat air yang tawar yang mengalir di bawahnya. Menurut suatu pendapat, negeri Syam adalah tanah mahsyar dan berbangkit, di negeri Syam Isa putera Maryam akan diturunkan, dan di negeri Syam juga Dajjal akan menemui ajalnya.

Ibrahim a.s. meminta dianugerahkan seorang anak melalui isterinya yang mandul, iaitu Sarah. Beliau berdoa, "Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku yang termasuk orang-orang yang soleh." Maka Allah s.w.t. sampaikan kepadanya berita gembira.

"72. Dan Kami anugerahkan baginya Ishaq, dan Ya'qub suatu tambahan." 

Maka Allah s.w.t. memberinya seorang putera bernama Ishaq a.s. sebagai suatu anugerah dariNya. Kemudian dari Ishaq a.s., lahirlah puteranya Ya'qub a.s. Nafilah bermaksud cucu lelaki sebagai tambahan dari permintaannya.

"Dan masing-masing Kami jadikan orang-orang yang soleh." 

Semuanya menjadi orang yang baik yang memenuhi hak Allah dan hak hamba-hambaNya. Termasuk kesolehan mereka adalah, Allah menjadikan mereka sebagai pemimpin yang menunjukkan kepada kebaikan dengan perintahNya.

Hal ini merupakan nikmat paling besar yang Allah berikan kepada hambaNya, iaitu dijadikanNya sebagai pemimpin kebaikan (a’immatul huda), di mana orang-orang mengikuti di belakangnya, yang demikian adalah kerana kesabaran mereka dan yakin kepada ayat-ayat Allah s.w.t.

"73. Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin mereka memberi petunjuk dengan perintah Kami," 

Iaitu menjadi para pemimpin yang dianuti. Mereka menyeru manusia untuk menyembah Allah dengan seizinNya. Maksudnya, dengan agama Kami, bukan memerintah berdasarkan hawa nafsu mereka, tetapi berdasarkan perintah Allah dan agama-Nya, dan seorang hamba tidaklah menjadi imam (pemimpin) sampai ia mengajak manusia kepada Allah Subhaanahu wa Ta'aala.

"dan Kami wahyukan kepada mereka perbuatan yang baik-baik," 

Allah s.w.t. mewahyukan kepada mereka agar mengerjakan dan memerintahkan kebajikan, baik yang terkait dengan hak Allah maupun hak manusia.

"dan mendirikan solat, dan menunaikan zakat,"

Solat dan zakat sudah termasuk ke dalam kebaikan. Keduanya mempunyai kelebihan dan keutamaannya. Barang siapa yang menyempurnakan keduanya, maka ia telah menegakkan agamanya, dan barang siapa yang menyia-nyiakan keduanya, maka bererti dia merobohkan agamanya. Jika keduanya telah ditinggalkan, maka perintah-perintah agama yang lain tentu lebih ditinggalkan lagi. Solat adalah amal yang paling utama kerana terdapat hak Allah, dan zakat adalah amal yang paling utama kerana terdapat hak hamba.

"dan mereka kepada Kami menyembah." 

Sebahagian besar waktu-waktu mereka diisi dengan ibadah dan menyembah kepada Allah. Mereka sentiasa mengerjakan apa yang mereka perintahkan kepada manusia untuk mengerjakannya.

"74. Dan Lut, Kami telah memberinya hikmah dan ilmu," 

Allah s.w.t. memuji Lut ibnu Haran ibnu Azar dengan menganugerahkan kepadanya hikmah dan ilmu syar'i, kebijaksanaan dalam memutuskan masalah yang terjadi di tengah-tengah manusia dengan tepat dan benar, serta memberinya wahyu dan menjadikannya seorang nabi yang Dia utus kepada kaum Sodom dan kawasan yang ada di sekitarnya.

Beliau tinggal di tengah-tengah kaumnya berdakwah kepada mereka, mengajak mereka beribadah kepada Allah dan melarang mereka berbuat keji. Namun kaumnya tidak mahu memenuhi panggilannya, menentang dan mendustakannya.

"dan Kami telah selamatkan dia dari negeri yang ia melakukan perbuatan-perbuatan keji." 

Allah s.w.t. memerintahkan Lut a.s. untuk membawa pergi keluarganya kecuali isterinya di malam hari agar mereka menjauhi negeri itu. Mereka selamat kerana kurnia Allah dan nikmatNya kepada mereka. Sedangkan penduduk kota yang mengerjakan homoseksual, menyamun, merompak dan melalukannya dengan terang-terangan ditimpa azab dari Allah s.w.t. Dia membalikkan negeri mereka, membinasakan mereka dan menghancurkan mereka sehancur-hancurnya.

"Sungguh mereka, mereka kaum buruk fasik." 

Mereka adalah kaum yang jahat lagi fasik. Mereka mendustakan orang yang mengajak mereka dan mengancam untuk mengusirnya. Orang yang tidak soleh atau fasik akan terhalang dari rahmat dan kebaikan.

"75. Dan Kami masukkan dia dalam rahmat Kami; sungguh dia termasuk orang-orang yang soleh." 

Orang yang masuk ke dalam rahmatNya akan aman dari semua kebimbangan, mendapat semua kebaikan, kebahagiaan, kebajikan, kesenangan dan pujian. Hal itu, kerana dia termasuk orang-orang yang soleh, baik amalnya dan bersih keadaannya. Manusia yang paling soleh adalah para nabi ‘alaihimus salaatu was salam.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...