Rabu, 8 Mac 2017

2:17-20 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 17-20.

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لا يُبْصِرُونَ (١٧) صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لا يَرْجِعُونَ (١٨) أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ مِنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ (١٩) يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٢٠)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang keadaan orang-orang munafik militan.

"17. Perumpamaan mereka seperti perumpamaan orang yang menyalakan api." 

Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api. Pada awalnya mereka berada dalam kegelapan kemusyrikan. Mereka umpama berada dalam kegelapan.

Semasa Nabi s.a.w. tiba di Madinah, sejumlah orang telah masuk Islam. Mereka berada dalam jalan petunjuk. Mereka mengaku beriman kepada Allah dan hari kemudian. Mereka mengucapkan kalimah La ilaha illallah (tidak ada Tuhan selain Allah). Iman mereka seperti orang yang menyalakan api.

Untuk itu, mereka dapat menikah dengan kaum muslim, berperang bersama kaum muslim, saling mewaris, saling membahagi harta fai dan darah serta hartanya terpelihara. Mereka mengetahui mana yang halal dan mana yang haram, juga mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk. Mereka merasa bangga dengan Islam.

"Maka tatkala menerangi apa yang di sekelilingnya, Allah melenyapkan cahaya mereka," 

Maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya mereka. Tiba-tiba mereka kafir. Mereka lebih memilih kesesatan dan meninggalkan keimanan. Maka Allah mencabut iman dan hidayahnya. Batallah iman mereka. Hati mereka dikunci mati, tidak lagi mampu menerima petunjuk, membangkang dan tidak mahu beriman lagi.

Terjerumuslah mereka ke dalam kebimbangan yang paling besar, iaitu kebimbangan dalam agama. Mereka tidak lagi mengetahui mana yang halal dan mana yang haram, tidak pula mana yang baik dan mana yang buruk.

"dan membiarkan mereka dalam kegelapan, mereka tidak melihat."

Allah membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Allah membiarkan mereka terombang-ambing dalam gelapnya keraguan, kesesatan, kekufuran dan kemunafikan mereka. Namun mereka tidak menyedarinya.

Mereka tidak nampak dan tidak mengetahui petunjuk untuk menempuh jalan kebaikan. Mereka tidak dapat berjalan lurus dalam perkara yang hak. Tidak ada harapan lagi untuk mereka keluar daripada kegelapan itu.

Apabila mereka mati, kalimah syahadah yang mereka sebut dicabut kerana di dalam hatinya tidak ada pangkalnya dan pada amal perbuatannya juga tidak ada hakikat kenyataan. Allah mencabut kebanggaan mereka dengan Islam dan meninggalkan mereka dalam kegelapan (azab).

Kelak di hari kiamat mereka juga akan ditimpa kegelapan. Nurnya tidak menyala sama sekali. Maka amal perbuatan jahatnya merupakan kegelapan baginya, hingga mereka mendapati bahawa tidak ada suatu amal baik pun yang sesuai dengan kalimah la ilaha illallah dari mereka.

"18. Tuli, bisu, buta, maka mereka tidak akan kembali."

Mereka tuli, bisu, dan buta; maka tidaklah mereka akan kembali. Walaupun pancaindera mereka sihat mereka dipandang tuli, bisu dan buta kerana tidak dapat menerima kebenaran.

Mereka summun, iaitu tuli tidak dapat mendengar kebaikan. Mereka bukmun, iaitu bisu tidak dapat mengucapkan hal-hal yang bermanfaat bagi diri mereka. Mereka 'umyun, iaitu buta dalam kesesatan dan buta mata hatinya. Mereka tidak dapat mendengar petunjuk, tidak dapat melihatnya, dan tidak dapat memahaminya.

Kerana itu, mereka tidak dapat kembali kepada keadaan sebelumnya, tidak dapat kembali ke jalan yang benar, tidak dapat kembali ke jalan hidayah, tidak dapat kembali kepada Islam, tidak dapat bertaubat dan tidak pula mereka ingat.

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang keadaan orang-orang munafik ikut-ikutan.

"19. Atau seperti hujan lebat dari langit, di dalamnya kegelapan, petir dan kilat." 

Atau seperti hujan lebat dari langit, yang disertai kegelapan, guruh dan kilat. Lahiriah mereka kadangkala menampakkan Islam, dan kadangkala di lain waktu mereka ragu terhadapnya. Mereka seperti sayyib, iaitu hujan yang turun dari langit. Hati mereka berada dalam keraguan, kekufuran, kemunafikan dan kebimbangan terhadap Islam umpama berada di dalam kegelapan.

Mereka sentiasa berada dalam ketakutan dan kengerian yang mencekam hati terhadap Islam dan umatnya seperti mendengar bunyi guruh. Mereka menyangka bahawa setiap pekikan yang keras ditujukan kepada mereka. Cahaya iman yang berkilat di dalam hati mereka hanya sebentar dan sekali-sekala seperti al barqu, iaitu kilat.

"Mereka menjadikan jari-jari mereka pada telinga mereka dari suara petir, takut mati." 

Mereka menyumbat telinga dengan anak jarinya kerana petir, sebab takut akan mati. Orang-orang munafik tidak sanggup mendengar ayat-ayat Al Qur'an yang mengandungi peringatan. Mereka menyumbat telinganya seolah-olah mereka mendengar bunyi petir dan takut mati disambar petir.

"Dan Allah meliputi orang-orang kafir." 

Tiada gunanya sama sekali sikap waspada mereka itu. Allah dengan kekuasaanNya Maha Meliputi. Mereka berada di bawah pengetahuan, kehendak dan kekuasaanNya.

"20. Hampir saja kilat itu menyambar penglihatan mereka."

Sifat cahaya kebenaran adalah kuat dan keras, sedangkan pandangan mata mereka lemah, dan hati mereka tidak mantap keimanannya. Hampir-hampir ayat-ayat muhkam Al Qur'an membuka rahsia mereka.

"Setiap kali menyinari bagi mereka, mereka berjalan di dalamnya dan apabila menjadi gelap atas mereka mereka berhenti." 

Setiap kali kilat itu menyinari, mereka berjalan di bawah sinar itu, dan apabila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. Apabila mereka mendapat manfaat dari kejayaan Islam, mereka merasa tenang. Muncullah seberkas cahaya iman di dalam diri mereka, lalu mereka merasa rindu dan mengikutinya.

Mereka mengetahui perkara yang hak dan membicarakannya, hal ini difahami melalui percakapan mereka berada dalam jalan yang lurus. Tetapi apabila Islam ditimpa cobaan, muncullah keraguan yang membuat hati mereka gelap. Iman mereka bertukar menjadi kafir. Mereka pun berhenti dalam keadaan kebingungan.

Begitu juga keadaan mereka kelak di hari kiamat, iaitu semasa manusia diberi nur sesuai dengan kadar keimanan masing-masing. Nur mereka kadangkala padam dan kadangkala bercahaya. Mereka dapat berjalan di atas sirat di suatu waktu, sedangkan di waktu lainnya mereka berhenti dalam keadaan kebingungan.

"Sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia hilangkan pendengaran mereka dan penglihatan mereka." 

Sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka. Mereka telah mengetahui perkara hak, akan tetapi mereka meninggalkannya. Sekiranya Allah tidak memberikan tangguh kepada mereka di dunia, tentu Dia akan menghilangkan pendengaran dan penglihatan mereka.

"Sesungguhnya Allah atas setiap sesuatu Mahakuasa."

Sesungguhnya Allah Mahakuasa atas segala sesuatu. Allah Mahakuasa terhadap semua hal yang dikehendakiNya, iaitu pembalasan atau ampunan atas hamba-hambaNya. Dia bertindak memperingatkan terhadap orang-orang munafik akan azab dan siksanya. Dia Maha Meliputi mereka.

Dia Mahakuasa untuk menghilangkan pendengaran dan penglihatan mereka pada bila-bila masa saja. Tidak ada sesuatu pun yang menghalangiNya. Apa saja perbuatan semua manusia berada di bawah takdir dan kekuasaanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...