Sabtu, 18 Mac 2017

6:145-147 Tafsir Surah Al An’aam, ayat 145-147.

قُلْ لا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٤٥) وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ وَمِنَ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا إِلا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا أَوِ الْحَوَايَا أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ ذَلِكَ جَزَيْنَاهُمْ بِبَغْيِهِمْ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ (١٤٦) فَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقُلْ رَبُّكُمْ ذُو رَحْمَةٍ وَاسِعَةٍ وَلا يُرَدُّ بَأْسُهُ عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِينَ (١٤٧)

Pada masa jahiliah orang ramai memakan banyak jenis makanan dan meninggalkan banyak jenis makanan hanya semata-mata kerana jijik. Orang-orang musyrik suka mengada-adakan banyak hal yang mereka buat-buat sendiri, berkenaan masalah pengharaman hal-hal yang diharamkan atas diri mereka sendiri dan penisbatan mereka kepada Allah.

Mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan dan menghalalkan apa yang Allah haramkan sesukanya saja dan berdasarkan pendapat-pendapat mereka yang rosak, seperti mengadakan bahirah, saibah, wasilah, ham dan lain sebagainya.

Maka Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya s.a.w. untuk menerangkan kepada manusia apa yang diharamkan Allah agar mereka mengetahui mana yang halal dan mana yang haram. Apa yang dihalalkanNya bererti halal, dan apa yang diharamkanNya bererti haram, sedangkan apa yang didiamkan olehNya bererti dimaafkan.

"145. Katakanlah," 

Katakanlah kepada mereka yang mengharamkan apa yang direzekikan oleh Allah kepada mereka dengan membuat-buat kedustaan terhadap Allah.

"Aku tidak mendapati di dalamnya apa yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan atas orang yang makan memakannya," 

Beliau s.a.w. tidak menjumpai sesuatu pun dalam wahyu dari Allah haiwan yang diharamkan orang-orang musyrik itu sebagai sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakan daging.

"kecuali jika itu adalah bangkai," 

Iaitu haiwan yang mati bukan kerana disembelih.

"atau darah yang mengalir," 

Iaitu darah yang keluar dari haiwan ketika disembelih. Adapun darah yang masih melekat pada daging dan urat setelah disembelih adalah halal.

"atau daging babi," 

Sebahagian orang-orang bodoh dari kalangan Nasrani menganggap bahawa babi termasuk haiwan ternakan, sehingga mereka mengembangbiakkannya, menternaknya sebagaimana haiwan ternakan (unta, sapi, kambing dan domba), dan menganggapnya halal. Padahal babi bukan haiwan ternakan, dan ia adalah kotor.

"maka sungguh ia kotor" 

Haramnya bangkai, darah yang mengalir, dan daging babi, adalah kerana ia kotor lagi berbahaya. Termasuk juga haiwan kotor lainnya yang disebutkan dalam As Sunnah. Allah s.w.t. mengharamkannya kerana sayang kepada manusia sekaligus untuk membersihkan mereka dari hal yang kotor.

"atau haiwan yang disembelih untuk selain Allah dengannya." 

Iaitu haiwan yang disembelih atas nama berhala dan sebagainya selain Allah.

"Maka barang siapa yang terpaksa, tanpa sengaja dan tidak melampaui batas," 

Barang siapa yang dalam keadaan darurat atau terpaksa memakan sesuatu dari yang diharamkan oleh Allah dalam ayat ini, sedangkan dia bukan dalam keadaan memberontak dan tidak pula melampaui batas darurat.

"maka sungguh Tuhanmu Maha Pengampun Maha Penyayang."

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya yang diharamkanNya hanyalah apa yang disebutkan dalam ayat ini, iaitu bangkai, darah yang mengalir, daging babi, haiwan yang disembelih bukan dengan menyebut nama Allah. Maka tiada lagi pengharaman terhadap jenis lainnya, seperti daging keldai kampung, daging haiwan pemangsa, setiap burung yang bercakar tajam dan sebagainya. Ia dianggap sebagai hal yang dimaafkan dan didiamkan.

Ayat ini turun sebelum datang pengharaman yang selanjutnya di dalam surah Al Maidah. Pembatasan ini juga tidaklah menafikan makanan haram lainya yang disebutkan dalam As Sunnah. Pada waktu itu Beliau s.a.w. hanya mendapatkan dalam wahyu yang diterimanya pengharaman makanan yang disebutkan dalam ayat ini.

"146. Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala yang berkuku"

Segala yang berkuku di sini bermaksud binatang-binatang yang jari-jarinya tidak terbelah atau tidak terpisah antara satu dengan yang lain, seperti unta, burung unta, itik, angsa dan lain-lain. Sebahagian ahli tafsir mengertikan dengan haiwan yang berkuku satu seperti kuda, keldai dan lain-lain.

"dan dari lembu dan kambing, Kami haramkan atas mereka lemak dari kedua-duanya," 

Diharamkan bagi orang-orang Yahudi lemak bahagian belakang, tsarb (lemak tipis yang menutupi perut besar dan usus), kedua pinggul dan semua lemak yang tidak melekat pada tulang.

"kecuali apa yang melekat belakang keduanya, atau isi perut, atau apa yang bercampur dengan tulang." 

Dihalalkan bagi orang-orang Yahudi hanya lemak yang melekat pada belakang badannya, di dalam perut besar, ususnya, kaki, bahu, kepala, mata dan yang melekat dengan tulang.

"Demikianlah Kami beri balasan sebab kederhakaan mereka." 

Orang-orang Yahudi mengatakan, "Sesungguhnya hal tersebut diharamkan oleh Israil (Nabi Ya'qub a.s.), maka kami juga mengharamkannya." Sesungguhnya kesempitan ini sengaja Allah berlakukan terhadap mereka dan Dia bebankan atas diri mereka sebagai hukuman atas kederhakaan mereka baik yang berkaitan dengan hak Allah maupun hak hamba Allah.

Mereka menentang perintah-perintahNya dan banyak menghalangi manusia dari jalan Allah. Maka Allah s.w.t. haramkan atas mereka memakan makanan yang baik-baik yang dahulunya dihalalkan bagi mereka.

"Dan sesungguhnya Kami sungguh yang Mahabenar."

Allah s.w.t. benar-benar adil dalam menghukum mereka dengan hukuman tersebut. Dia Mahabenar baik dalam berita maupun janji.

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"147. Maka jika mereka mendustakan kamu," 

Jika kaum musyrik, Yahudi atau siapa saja menentang dan mendustakan apa yang kamu bawa, maka teruskanlah berdakwah, menyampaikan targhib (dorongan) dan tarhib (ancaman).

"maka katakanlah, "Tuhan kalian mempunyai rahmat yang luas,""

Katakanlah kepada mereka bahawa Allah tidak segera menyiksa mereka, bahkan mengajak mereka untuk beriman. Oleh kerana itu capailah rahmatNya dengan mengerjakan sebab-sebabnya, terutamanya dengan beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w.

"dan tidak dapat ditolak siksaNya dari kaum orang-orang yang berdosa."

SiksaanNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa. Apabila datang siksaanNya kepada orang-orang yang banyak melakukan dosa, maka ia tidak dapat dielakkan. Oleh kerana itu, berhati-hatilah terhadap dosa dan kemaksiatan kerana akan mendatangkan azab Allah, terutama sekali adalah ketika mendustakan Nabi Muhammad s.a.w.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...