Isnin, 20 Mac 2017

7:148-149 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 148-149.

وَاتَّخَذَ قَوْمُ مُوسَى مِنْ بَعْدِهِ مِنْ حُلِيِّهِمْ عِجْلا جَسَدًا لَهُ خُوَارٌ أَلَمْ يَرَوْا أَنَّهُ لا يُكَلِّمُهُمْ وَلا يَهْدِيهِمْ سَبِيلا اتَّخَذُوهُ وَكَانُوا ظَالِمِينَ (١٤٨) وَلَمَّا سُقِطَ فِي أَيْدِيهِمْ وَرَأَوْا أَنَّهُمْ قَدْ ضَلُّوا قَالُوا لَئِنْ لَمْ يَرْحَمْنَا رَبُّنَا وَيَغْفِرْ لَنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (١٤٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"148. Dan menjadikan kaum Musa setelahnya dari perhiasan-perhiasan mereka anak lembu yang bertubuh baginya suara." 

Setelah Musa a.s. berangkat ke Gunung Tursina untuk memenuhi janji Tuhannya, Samiri membuat sebuah patung anak lembu yang bertubuh dan bersuara dari emas yang bercampur segenggam jejak Rasul.

Perhiasan emas itu pada mulanya mereka pinjam dari orang-orang Qibti semasa mereka masih berada di negeri Mesir. Kemudian Samiri meleburnya dan menjadikannya patung anak lembu. Samiri memasukkan segenggam debu dari bekas teracak kuda Malaikat Jibril a.s. ke dalam leburan emas itu sehingga jadilah sebuah patung yang berbentuk anak lembu dan bersuara.

Al khuwar ialah suara lembu. Ketika anak lembu itu bersuara, maka mereka menari-nari di sekelilingnya dan terpedaya oleh buatan Samiri itu. Samiri berkata kepada kaum Musa a.s., “Ini adalah tuhan kalian dan tuhan Musa, namun ia lupa.”

Para mufassir berpendapat bahawa patung itu wujudnya tetap seperti patung emas yang tidak bernyawa, sedangkan suara yang seperti lembu itu hanyalah disebabkan oleh angin yang masuk ke dalam rongga patung itu dengan teknik yang diketahui oleh Samiri waktu itu, sedangkan sebahagian mufassirin ada yang menafsirkan bahawa patung yang dibuat dari emas itu kemudian menjadi tubuh yang berdarah, berdaging, bernyawa dan mempunyai suara lembu sebagai cobaan terhadap mereka. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Allah s.w.t. berfirman,

"Apakah tidak mereka melihat bahawasanya ia tidak dapat berbicara dengan mereka" 

Ini adalah kebodohan, kesesatan, kealpaan dan kurangnya basirah (mata hati) mereka. Mereka telah disamarkan terhadap Tuhan Penguasa langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan yang memilikinya, oleh patung anak lembu yang merupakan makhluk lemah itu. Patung anak lembu itu tidak dapat berbicara dengan mereka. Tidak boleh berbicara bukanlah sifat tuhan.

"dan tidak memberi petunjuk mereka jalan?"

Patung anak lembu itu juga tidak menunjukkan jalan kebaikan kepada mereka. Patung tersebut tidak memiliki sifat dzatiyyah (seperti boleh bicara) maupun sifat fi’liyyah (seperti memberi petunjuk) yang menjadikannya layak disembah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Cintamu kepada sesuatu dapat membuatmu buta dan pekak (tuli)."

"Mereka menjadikannya." 

Mereka sendiri yang membuatnya, menyembahnya dan mempersekutukan Allah dengan patung anak lembu yang bersuara itu. Padahal patung anak lembu itu tidak dapat memberi kemudaratan kepada mereka dan tidak pula kemanfaatan.

"Dan mereka orang-orang yang zalim."

Begitulah gelapnya kebodohan dan kesesatan telah menutupi pandangan hati mereka. Mereka meletakkan ibadah bukan pada tempatnya.

Ketika Musa a.s. berada di Bukit Tursina, Allah s.w.t. berfirman memberitahukan hal tersebut kepadanya, "Maka sesungguhnya Kami telah menguji kaummu sesudah kamu tinggalkan, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri."

Apabila Musa a.s. kembali kepada kaumnya, Beliau mendapati kaumnya dalam keadaan menyembah patung itu, maka Beliau sangat marah dan sedih. Musa a.s. menerangkan bahawa yang demikian merupakan kesesatan.

"149. Dan setelah menyesali perbuatan tangan mereka dan mereka mengetahui bahawasanya mereka sungguh telah sesat," 

Mereka menyedari bahawa dirinya telah sesat. Mereka dijatuhkan oleh tangan mereka sendiri, iaitu menyesali perbuatannya sendiri.

"mereka berkata, "Sungguh, jika tidak memberi rahmat kepada kami Tuhan kami dan mengampuni kami, sungguh kami menjadi termasuk orang-orang yang rugi.""

Jika Allah s.w.t. tidak memberi rahmat kepada mereka dan tidak mengampuni mereka, nescaya mereka termasuk orang-orang yang binasa. Pastilah mereka menjadi orang-orang yang rugi di dunia dan di akhirat. Hal ini merupakan pengakuan dari mereka tentang dosa yang telah mereka kerjakan dan kesedaran mereka untuk kembali kepada Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...