Sabtu, 4 Mac 2017

69:1-12 Tafsir Surah Al Haqqah, ayat 1-12.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

الْحَاقَّةُ (١) مَا الْحَاقَّةُ (٢) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحَاقَّةُ (٣) كَذَّبَتْ ثَمُودُ وَعَادٌ بِالْقَارِعَةِ (٤) فَأَمَّا ثَمُودُ فَأُهْلِكُوا بِالطَّاغِيَةِ (٥) وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ (٦) سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَى كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ (٧) فَهَلْ تَرَى لَهُمْ مِنْ بَاقِيَةٍ (٨) وَجَاءَ فِرْعَوْنُ وَمَنْ قَبْلَهُ وَالْمُؤْتَفِكَاتُ بِالْخَاطِئَةِ (٩) فَعَصَوْا رَسُولَ رَبِّهِمْ فَأَخَذَهُمْ أَخْذَةً رَابِيَةً (١٠) إِنَّا لَمَّا طَغَى الْمَاءُ حَمَلْنَاكُمْ فِي الْجَارِيَةِ (١١) لِنَجْعَلَهَا لَكُمْ تَذْكِرَةً وَتَعِيَهَا أُذُنٌ وَاعِيَةٌ (١٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Al Haqqah,"

"2. Apakah Al Haqqah itu?"

"3. Dan apakah kamu mengetahui apakah Al Haqqah itu?"

Al Haqqah bererti yang pasti terjadi. Ia adalah salah satu dari nama hari kiamat. Hari kiamat dinamakan Al Haqqah kerana ia pasti terjadi dan akan menimpa makhluk. Pada hari itu janji dan ancaman Allah s.w.t. akan berlakunya dinyatakan, juga akan menjelaskan hakikat berbagai perkara dan apa yang disembunyikan dalam hati. Perkataan Al Haqqah diulang-ulang untuk menunjukkan bahawa urusanNya di hari itu adalah suatu urusan yang sangat besar dan dahsyat.

Kemudian Allah s.w.t. menyebutkan salah satu contohnya yang terjadi dan dapat disaksikan di dunia, iaitu azab yang Allah timpakan kepada umat-umat yang melampaui batas.

"4. Telah mendustakan Samud dan 'Ad terhadap Al Qari'ah."

Kaum Samud tinggal di Hijr. Allah s.w.t. mengutus kepada mereka Nabi Salih a.s. Kaum 'Ad tinggal di Hadhramaut. Allah s.w.t. mengutus kepada mereka Nabi Hud a.s. Nabi Salih a.s. dan Nabi Hud a.s. melarang kaum masing-masing berbuat syirik dan memerintahkan mereka bertauhid.

Namun mereka menolak dakwah nabi mereka dan mendustakannya. Mereka mendustakan kebangkitan dan Al Qari'ah. Al Qari'ah bererti yang menggentarkan hati. Ia juga salah satu dari nama hari kiamat. Hari yang menggemparkan dan mengharukan.

"5. Maka adapun Samud, maka mereka telah dibinasakan dengan At Taghiyah."

At Taghiyah ertinya pekikan yang mengguntur. Kejadiannya luar biasa. Mereka dibinasakan oleh petir yang sangat keras. Bunyinya sangat kuat dan mengguntur sehingga berlaku gempa yang sangat dahsyat. Pekikan itu menghancurkan, membinasakan, mendiamkan dan mematikan mereka, sehingga ruh mereka keluar dari jasad mereka dan jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan.

At Taghiyah juga bermaksud dosa-dosa dan perbuatan-perbuatan yang melampaui batas. Kaum Samud dibinasakan kerana perbuatan yang melampaui batas, iaitu ulah orang yang menyembelih unta Nabi Saleh a.s.

"6. Dan adapun 'Ad, maka mereka dibinasakan dengan angin yang sangat dingin, sangat kencang."

Setiap angin yang ditiupkan adalah melalui takaran yang ada di tangan malaikat. Pada hari kaum 'Ad itu diizinkan bagi angin itu keluar melebihi batas penyimpanannya dengan dahsyat sekali dengan izin Allah.

Mereka telah dibinasakan dengan angin dabur yang sangat keras, kuat dan kencang. Angin itu melanda mereka hingga melubangi hati mereka. Bunyinya lebih kuat daripada guruh. Kedinginannya membekukan segalanya. Amukannya menghentam mereka tanpa belas kasihan. Ia menghentam gudang-gudang tempat penyimpanan makanan mereka, maka berhamburanlah isinya tanpa terhitung.

"7. Dia menimpakannya atas mereka tujuh malam dan lapan hari terus menerus;"

Husuman ertinya terus-menerus tiada henti-hentinya. Dia memerintahkan angin itu untuk menguasai, menghancurkan, membinasakan dan menimpakan kesialan-kesialan atas mereka genap selama itu secara terus-menerus tiada henti-hentinya. Angin itu mula-mula datang pada hari Jumaat atau Rabu di pertengahan musim dingin. Hari itu disebut hari A'jaz atau hari 'Ajuz.

"maka kamu melihat kaum pada waktu itu bergelimpangan seakan-akan mereka batang kurma tumbang."

Angin itu menimpa seseorang dari mereka, lalu menerbangkannya dan menjatuhkannya dengan kepala di bawah hingga kepalanya pecah dan mati, dan yang tertinggal hanyalah tubuhnya saja yang kaku bagaikan pohon kurma yang sudah tiada pelepah dan dedaunannya lagi, yang telah terpotong pangkalnya, yang telah rosak, lapuk, tiada isinya lagi dan jatuh.

"8. Maka apakah kamu melihat di antara mereka dari yang tersisa?"

Tidak ada seorang pun di antara mereka yang hidup. Mereka dihancurkan seluruhnya dan tidak mempunyai keturunan.

"9. Dan telah datang Fir'aun"

Setelah kaum Samud dan 'Ad, Allah s.w.t. mengutus kepada Fir'aun hamba dan RasulNya Musa a.s., menunjukkan kepadanya bukti-bukti akan kebenarannya, tetapi ia mengingkarinya kerana zalim dan keras kepala.

"dan orang-orang yang sebelumnya"

Iaitu umat-umat sebelum Fir'aun yang berperi laku sepertinya, iaitu umat-umat dahulu yang mengingkari nabi-nabi seperti kaum Salih a.s., kaum Syu'aib dan lain-lain. Maksudnya juga orang-orang yang berada di masa Fir'aun, iaitu pengikut-pengikutnya yang juga kafir dari bangsa Mesir atau Qibti.

"dan negeri-negeri yang runtuh"

Penduduk negeri-negeri yang dijungkirbalikkan adalah umat yang mendustakan rasulnya, iaitu kaum Nabi Lut a.s.

"kerana kesalahan-kesalahan."

Khati ah ialah perbuatan maksiat dan kesalahan yang besar. Mereka mendustakan apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t., mendustakan para rasul, melakukan perbuatan keji dan munkar.

"10. Maka mereka menderhakai Rasul Tuhan mereka,"

Allah s.w.t. hanya mengirimkan utusanNya kepada tiap umat hanyalah seorang rasul. Masing-masing mereka mendustakan dan menderhakai rasul yang diutuskan oleh Tuhan mereka. Barang siapa yang mendustakan seorang rasul, bererti dia mendustakan semua rasul. Maka sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.

"maka Dia menyiksa mereka siksaan yang keras."

Rabiyah ertinya keras. Maka mereka mendapat siksaan yang besar, keras, bertambah, menyakitkan, melebihi batas dan membinasakan.

Di antara umat-umat yang dibinasakan itu adalah kaum Nuh a.s. Mereka mendustakan dia dan menentangnya, lalu mereka menyembah selain Allah. Nabi Nuh a.s. berdoa kepada Allah s.w.t. terhadap kaumnya. Maka Allah s.w.t. memperkenankan doanya.

"11. Sungguh Kami tatkala naik air,"

Tagal ma u ertinya air bertambah melimpah. Setiap titis air yang diturunkan adalah melalui takaran yang ada di tangan malaikat. Pada hari Nabi Nuh a.s., diizinkan bagi air meluap melebihi batasan penyimpanannya, lalu keluar dan naik ke alam wujud melebihi batasannya dengan izin Allah. Dia membinasakan mereka dengan banjir besar yang sampai menutupi bahagian bumi yang tinggi seperti gunung dan perbukitan.

"Kami bawa kalian dalam kapal."

Allah s.w.t. membawa nenek moyang kalian ke dalam sebuah kapal yang dibina oleh Nabi Nuh a.s. Penumpangnya hanyalah orang-orang yang beriman, iaitu keluarga Nabi Nuh a.s. dan orang-orang yang beriman. Tiada seorang kafir pun di dalamnya kerana mereka telah ditenggelamkan. Isteri Nuh a.s. dan seorang anaknya termasuk orang-orang yang tenggelam. Maka semua manusia sekarang berasal dari keturunan Nabi Nuh a.s. yang beriman.

"12. Kerana Kami akan jadikan ia bagi kalian peringatan"

Allah s.w.t. menjadikan penyelamatan kaum mukmin dan pembinasaan orang-orang kafir itu suatu peristiwa yang menjadi peringatan bagi kalian. Apabila kalian melihat atau menaiki kapal atau apa saja pengangkutan laut, kalian akan ingat kepada kapal pertama yang dibina, iaitu kapal Nabi Nuh a.s., kisahnya dan bagaimana Allah s.w.t. menyelamatkan orang-orang yang beriman kepadaNya dan mengikuti RasulNya, dan bagaimana Dia membinasakan penghuni bumi semuanya.

"dan menjaganya telinga menjaga."

Orang-orang yang yang memiliki pendengaran yang sihat dan akal yang cemerlang akan sentiasa mendengar, memerhatikan, memikirkan, memahami, mengetahui dan mengingat maksudnya. Mereka menggunakan akalnya sebagai kurnia dari Allah. Mereka mempunyai pemahaman dan kesedaran yang mendalam.

Mereka mengambil manfaat dari apa yang ia dengar dari Kitabullah. Berbeda dengan orang yang berpaling dan lalai, maka mereka tidak dapat mengambil manfaat dari ayat-ayat Allah kerana tidak mahu mendengarkan dan memikirkan ayat-ayatNya.

Oleh kerana itu, pujilah Allah dan bersyukurlah kepadaNya kerana Dia telah menyelamatkan kamu ketika Dia membinasakan orang-orang yang melampaui batas, dan ambillah pelajaran darinya yang menunjukkan keesaan Allah s.w.t. dan kekuasaanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...