Selasa, 18 April 2017

2:170-171 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 170-171.


وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ (١٧٠) وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لا يَسْمَعُ إِلا دُعَاءً وَنِدَاءً صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لا يَعْقِلُونَ (١٧١)

Allah s.w.t. berfirman,

"170. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutilah kalian apa yang Allah turunkan,""

Apabila dikatakan kepada orang-orang yang kafir, yang berbuat syirik atau yang sesat, "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah."

Iaitu ikutilah apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada RasulNya seperti mentauhidkan Allah s.w.t., menghalalkan yang baik-baik dan tinggalkanlah tradisi yang menyalahi ajaran agama, kesesatan dan kebodohan yang kalian lakukan itu. Mereka menolak dan membantah,

"mereka berkata, "Tidak, tetapi kami mengikuti apa yang kami dapati atasnya bapa-bapa kami.""

Mereka menjawab, "Bahkan kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari nenek moyang kami." Iaitu menyembah berhala dan tandingan-tandingan Allah seperti perbuatan nenek moyang mereka. Maka Allah s.w.t. membantah mereka,

"Apakah walaupun ada bapa-bapa mereka tidak mengetahui sesuatu dan tidak mendapat petunjuk?"

Apakah walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk? Tidak sepatutnya mereka tetap mengikuti jejak nenek moyangnya, kerana nenek moyang mereka tidak memahami apa pun dan tidak juga mendapat hidayah.

Ayat ini menunjukkan tercelanya sikap taqlid (ikut-ikutan) dan bahawa taqlid merupakan kebiasaan orang-orang kafir.

"171. Dan perumpamaan orang-orang yang kafir seperti perumpamaan orang yang berteriak kepada apa yang tidak mendengar melainkan panggilan dan seruan" 

Perumpamaan bagi orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memekik memanggil haiwan yang tidak mendengar selain suara panggilan saja. Seruan dakwah kalian yang mengajak mereka yang tenggelam di dalam kesesatan, kezaliman, dan kebodohannya supaya beriman dan mengikuti petunjuk hanyalah seperti seorang penggembala yang memanggil haiwan ternakannya. Mereka hanya mendengar suara kalian, tetapi mereka tidak memahaminya.

"Tuli, bisu, buta, maka mereka tidak mengerti." 

Mereka adalah orang-orang yang tuli, iaitu tidak dapat mendengar perkara yang baik, yang hak, yang membuahkan pemahaman dan sikap menerima. Mereka bisu, iaitu tidak dapat mengatakan yang hak (benar). Mereka buta, iaitu tidak nampak bukti-bukti yang jelas dan jalan yang hak.

Maka oleh sebab itu mereka tidak memahami nasihat yang disampaikan. Mereka tidak memiliki akal yang sihat, dan tidak mengerti hal-hal yang bermaslahat bagi mereka padahal penyeru itu mengajak kepada keselamatan dan agar jauh dari kesengsaraan, mengajak masuk ke dalam syurga dan jauh dari neraka.

Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi sesat, nescaya Dia menjadikannya berada di jalan yang sesat. Dan barang siapa yang dikehendaki Allah mendapat petunjuk, nescaya Dia menjadikannya berada di atas jalan yang lurus.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...