Rabu, 19 April 2017

2:275-276 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 275-276.

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لا يَقُومُونَ إِلا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (٢٧٥) يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ (٢٧٦)

Allah s.w.t. berfirman,

"275. Orang-orang yang memakan riba" 

Riba itu ada dua jenis. Riba Nasiah adalah pembayaran lebih yang disyaratkan oleh orang yang meminjamkan. Riba Fadhl adalah penukaran suatu barang dengan barang yang sejenis, tetapi lebih banyak jumlahnya kerana orang yang menukarkan mensyaratkan demikian, seperti penukaran emas dengan emas, padi dengan padi, dan sebagainya. Riba yang dimaksud dalam ayat ini Riba nasiah.

"tidak dapat berdiri melainkan sebagaimana berdiri orang yang masuk padanya syaitan dari kegilaan." 

Keadaan mereka kelak di saat mereka dibangkitkan dari kuburnya, lalu menuju tempat dihimpunnya semua makhluk, mereka tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan kerana penyakit gila.

Mereka berdiri terhuyung-hayang seperti orang-orang yang mabuk sebagaimana orang yang dirasuk syaitan kerana tekanan penyakit gila dan tercekik. Keadaan berdiri mereka pada saat itu sangat buruk.

Ada yang menafsirkan bahawa tindakan mereka di dunia mirip dengan orang gila, tidak tertata dalam hidupnya dan hilang akal sihatnya.

"Demikian itu kerana mereka berkata sesungguhnya jual beli seperti riba," 

Yang demikian itu kerana mereka berkata bahawa berniaga itu sama saja seperti riba. Mereka menghalalkan riba kerana mereka menentang hukum-hukum Allah dalam syariatNya. Mereka menyamakan riba dengan jual beli kerana tidak mengakui kaedah jual beli yang disyariatkan oleh Allah di dalam Al Qur'an.

Perkataan ini hanyalah keluar dari orang yang sangat bodoh, pura-pura bodoh atau memutar belit. Maka Allah s.w.t. membalas mereka dengan menjadikan keadaan mereka nanti seperti orang gila.

"dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." 

Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Mereka mengetahui bahawa Allah s.w.t. membedakan antara jual beli dan riba secara hukum. Dia telah menghalalkan berniaga kerana maslahat jual beli yang merata baik bagi individu maupun masyarakat. Dia mengharamkan riba kerana dalam riba terdapat penindasan dan kezaliman.

"Maka barang siapa telah datang kepadanya pelajaran dari Tuhannya, lalu dia berhenti, maka baginya apa yang telah lalu; dan urusannya kepada Allah." 

Barang siapa yang telah sampai kepadanya larangan Allah terhadap riba, lalu ia berhenti dari melakukan riba setelah sampai berita itu kepadanya, maka diperbolehkan mengambil apa yang dahulu dia lakukan sebelum ada larangan. Ia menjadi haknya dan boleh tidak dikembalikan. Perkaranya terserahlah kepada Allah. Dia memaafkan apa yang telah lalu.

"Dan barang siapa yang mengulangi, maka mereka itu para penghuni neraka, mereka di dalamnya kekal."

Sesiapa yang kembali melakukan riba sesudah sampai kepadanya larangan Allah, bererti dia pasti terkena hukuman dan hujah mengenainya. Berdasarkan keterangan Al Qur'an, As Sunnah dan ijma bahawa tauhid dan iman dapat menghalangi seseorang dari kekal di dalam neraka. Jika pada diri seseorang tidak ada tauhid, maka amal ini (memakan riba) sudah mampu membuatnya kekal di neraka, belum lagi ditambah dengan tidak adanya tauhid dan iman.

"276. Allah menghapuskan riba dan menyuburkan sadaqah." 

Allah menyusutkan, memusnahkan, menghapuskan dan melenyapkan kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil riba. Adakalanya Allah melenyapkannya secara keseluruhan dari tangan pelakunya, atau adakalanya Dia mencabut berkah hartanya, sehingga ia tidak dapat memanfaatkannya, melainkan menghilangkannya di dunia dan kelak di hari kiamat Dia akan menyiksanya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya riba itu, sekalipun (hasilnya) banyak, tetapi akibatnya menjadi menyusut."

Menyuburkan sedekah bermaksud Allah s.w.t. mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya atau melipat gandakan pahalanya serta memberkahi harta itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya seorang hamba itu apabila bersedekah dari hasil yang baik (halal), maka Allah menerima sedekah itu darinya dan mengambilnya dengan tangan kananNya, lalu memeliharanya seperti seseorang di antara kalian memelihara anak kudanya atau anak untanya. Dan sesungguhnya seorang lelaki itu benar-benar menyedekahkan sesuap makanan, maka sedekahnya itu berkembang di tangan (kekuasaan) Allah (atau disebutkan) di telapak tangan Allah, hingga besarnya seperti Bukit Uhud. Kerana itu, bersedekahlah kalian."

"Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap kafir tetap berbuat dosa." 

Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan bergelimang dosa. Dia tidak menyukai orang yang hatinya banyak ingkar, ucapan dan perbuatannya banyak berdosa.

Mereka meneruskan kekufurannya dengan menghalalkan riba. Pada hakikatnya mereka tidak rela dengan rezeki halal yang dibahagikan oleh Allah untuknya. Mereka kurang puas dengan apa yang disyariatkan oleh Allah buatnya, iaitu usaha yang diperbolehkan.

Untuk itu mereka berusaha dengan cara memakan harta orang lain secara batil melalui berbagai usaha yang jahat. Mereka adalah orang yang ingkar kepada nikmat yang diperolehnya, lagi suka aniaya dengan memakan harta orang lain secara batil. Ada yang menafsirkan "kafir" di sini bermaksud kufur nikmat kerana tidak menunaikan kewajiban pada hartanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...