Selasa, 4 April 2017

26:1-9 Tafsir Surah Asy Syu’ara, ayat 1-9.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

طسم (١) تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ (٢) لَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ أَلا يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ (٣) إِنْ نَشَأْ نُنَزِّلْ عَلَيْهِمْ مِنَ السَّمَاءِ آيَةً فَظَلَّتْ أَعْنَاقُهُمْ لَهَا خَاضِعِينَ (٤) وَمَا يَأْتِيهِمْ مِنْ ذِكْرٍ مِنَ الرَّحْمَنِ مُحْدَثٍ إِلا كَانُوا عَنْهُ مُعْرِضِينَ (٥) فَقَدْ كَذَّبُوا فَسَيَأْتِيهِمْ أَنْبَاءُ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ (٦) أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الأرْضِ كَمْ أَنْبَتْنَا فِيهَا مِنْ كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ (٧) إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُؤْمِنِينَ (٨) وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (٩)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Tha Sim Mim." 

"2. Itulah ayat-ayat Al Kitab yang nyata." 

Ayat-ayat Al Qur'an ini terang, jelas, dan nyata. Ia menerangkan semua tuntutan ilahi, menjelaskan tujuan syari’at, memisahkan antara perkara yang hak dan perkara yang batil, serta memisahkan antara kesesatan dan petunjuk.

Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w. memperingatkan manusia dengannya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus. Beliau s.a.w. sangat menginginkan mereka memperoleh kebaikan dan rasa tulus Beliau kepada mereka. Beliau sangat menginginkan mereka beriman.

Hamba-hamba Allah yang bertakwa memperoleh petunjuk dengannya. Mereka memperhatikannya, tidak ragu dan tidak samar lagi pada berita yang dikhabarkannya atau apa yang ditetapkannya. Tetapi orang-orang yang telah tercatat sebagai orang yang celaka berpaling darinya. Oleh kerana itu, Beliau s.a.w. sangat bersedih sekali. Maka Allah s.w.t. meringankan beban kesedihan RasulNya.

"3. Boleh jadi kamu membinasakan dirimu kerana tidak mereka beriman." 

Bakhi'un bermaksud membinasakan atau membunuh dirimu sendiri. Janganlah engkau membinasakan dirimu dengan kesedihan kerana kebanyakan umatmu tidak beriman. Engkau telah menunaikan kewajibanmu dengan menyampaikan risalah kepada mereka. Tetapi hidayah itu di tangan Allah.

"4. Jika Kami kehendaki, Kami turunkan atas mereka dari langit ayat, maka senantiasa tengkuk mereka kepadanya tunduk." 

Sekiranya Allah s.w.t. menghendaki, tentulah Dia akan menurunkan suatu mukjizat yang memaksa mereka tunduk, berendah hati dan beriman secara paksa. Allah s.w.t. tidak perlu menurunkan ayat (mukjizat) yang mereka usulkan itu. Dia tidak akan melakukan hal itu. Tidak ada maslahatnya, kerana ketika itu iman tidaklah bermanfaat. Iman hanyalah bermanfaat jika kepada yang masih ghaib (tidak nampak). Dia menghendaki seseorang beriman berdasarkan kesedaran dirinya.

Takdir Allah telah berlangsung, hikmahNya berjalan, serta hujahNya (alasanNya) telah ditegakkan terhadap makhlukNya, iaitu dengan mengutus para rasul kepada mereka dan menurunkan kitab-kitabNya kepada mereka. Kepada kaummu, Al Qur’an ini sudah cukup memenuhi keperluan orang-orang yang hendak mencari hidayah.

"5. Dan apa yang datang kepada mereka dari suatu peringatan dari Ar Rahman baru, kecuali mereka darinya orang-orang yang berpaling." 

Setiap kali Allah Yang Maha Pemurah menyampaikan kepada mereka ayat-ayat Al Quran yang mengandungi perintah, larangan, peringatan baru tentang hal yang bermanfaat dan hal yang bermadharrat, mereka sentiasa berpaling darinya baik dengan hati maupun dengan badan mereka. Mereka lebih berpaling dari ayat yang telah turun sebelumnya. Dalam diri mereka tidak ada lagi kebaikan dan semua nasihat tidak akan bermanfaat bagi mereka.

"6. Maka sungguh mereka mendustakan, maka kelak datang kepada mereka berita-berita apa yang mereka kepadanya memperolok-olok." 

Mereka telah mendustakan Al Qur'an sehingga mendustakan menjadi watak mereka yang tidak berubah. Maka mereka telah layak menerima azab. Berita-berita mengenai azab yang dulu mereka ejek akan datang menjadi kenyataan kepada mereka. Mereka akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali. Mereka akan diberikan azab yang kekal.

"7. Dan tidakkah mereka perhatikan kepada bumi, berapa banyak Kami tumbuhkan di dalamnya dari macam-macam jenis yang baik?" 

Allah s.w.t. mengingatkan tentang kebesaran pengaruhNya, keagungan, kekuasaan dan kedudukanNya. Dialah Yang menciptakan bumi dan menumbuhkan padanya berbagai macam tetumbuhan, pepohonan yang berbuah, dan haiwan yang baik. Termasuk juga manusia. Maka barang siapa yang masuk syurga, dia adalah orang yang baik; dan barang siapa yang masuk neraka, maka dia adalah orang yang tercela. Sepatutnya mereka memerhati dan berfikir tentangnya kerana yang demikian bermanfaat bagi mereka.

"8. Sesungguhnya pada yang demikian benar-benar ayat. Dan tidak ada kebanyakan mereka orang-orang yang beriman." 

Pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda kekuasaan dan rahmat Allah, Tuhan Yang menciptakan segala sesuatu, Yang menghamparkan bumi, Yang meninggikan bangunan langit dan membuktikan bahawa Allah mampu menghidupkan manusia yang telah mati sebagaimana Dia menghidupkan bumi setelah mati. Walaupun demikian, kebanyakan manusia tiada yang beriman, bahkan mereka mendustakan rasulNya dan kitabNya, menentang perintahNya dan mengerjakan laranganNya.

"9. Dan sungguh Tuhanmu benar-benar Dia Maha Perkasa Maha Penyayang." 

Allah Mahaperkasa. Dia berkuasa terhadap semua makhluk. Dia berkuasa menimpakan pembalasanNya dan membinasakan orang-orang kafir, menentang perintahNya dan menyembah selainNya dengan berbagai macam hukuman. Semua alam, baik alam bahagian bawah maupun atas tunduk kepadaNya.

Allah Maha Penyayang terhadap makhlukNya. Maka Dia tidak menyegerakan azabNya terhadap orang yang derhaka kepadaNya, bahkan menangguhkan serta memberinya tempoh. Jika mereka tidak mahu bertaubat, Dia akan menghukumnya dengan hukuman Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Mahakuasa.

Dia Maha Penyayang terhadap orang yang bertaubat kepadaNya dan memperbaiki amal perbuatannya. Dia Maha Penyayang kepada orang-orang mukmin. Dia menyelamatkan mereka dari keburukan dan musibah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...