Jumaat, 7 April 2017

33:56-58 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 56-58.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (٥٦) إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا (٥٧) وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا (٥٨)

Allah s.w.t. berfirman memberitahukan kepada hamba-hambaNya tentang kedudukan, kesempurnaan, ketinggian darjat, ketinggian nama hamba dan RasulNya Nabi Muhammad s.a.w. di sisiNya dan di hadapan makhlukNya yang tertinggi (para malaikat).

"56. Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersalawat atas nabi." 

Yusalluna bermaksud memberikan keberkahan. Salawat dari Allah ialah rahmatNya, pujianNya dan firmanNya, "Mahasuci lagi Mahakudus, rahmatKu mendahului azabKu." Salawat dari para malaikat adalah permohonan ampun dan doa mereka untuk orang berkenaan.

Allah memuji Nabi s.a.w. di hadapan para malaikat yang terdekat denganNya kerana cintaNya kepada Beliau. Para malaikat yang didekatkan juga ikut memuji, bersalawat dan mendoakan Beliau s.a.w.

Allah juga bersalawat dengan memberi keberkatan dan rahmat buat hamba-hambaNya yang beriman, banyak berzikir kepadaNya, bertasbih kepadaNya dan yang sabar menghadapi musibah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersalawatlah atasnya dan mohonkan kesejahteraan kesejahteraan." 

Allah s.w.t. memerintahkan kepada penghuni alam bawah (bumi) untuk sama bersalawat dan bersalam untuk Nabi s.a.w. sebagai balasan terhadap jasanya, pemuliaan, penghormatan dan kecintaan kepada Beliau, menyempurnakan iman kita, menambah kebaikan kita dan menghapuskan kesalahan kita. Dengan demikian, maka terhimpunlah baginya pujian dari kalangan penduduk alam atas dan alam bawah.

Salawat untuk Nabi yang terbaik adalah yang biasa dibaca dalam tasyahud terakhir iaitu,

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ"  

"Ya Allah, limpahkanlah salawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan salawat buat Ibrahim dan keluarganya. Dan limpahkanlah berkah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia.”

Diwajibkan atas orang yang solat mengucapkan salawat untuk Nabi s.a.w. dalam tasyahhud terakhirnya. Jika ditinggalkan, maka solatnya tidak sah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kalian mendengar suara muazzin, maka ucapkanlah seperti apa yang diserukannya, kemudian bacalah salawat untukku. Kerana sesungguhnya barang siapa yang membaca salawat untukku, maka Allah akan membalasnya dengan sepuluh kali lipat. Kemudian mohonkanlah kepada Allah al wasilah untukku, kerana sesungguhnya al wasilah itu adalah suatu kedudukan di syurga yang tidak diberikan melainkan hanya kepada seseorang dari hamba-hamba Allah. Dan aku berharap semoga orang tersebut adalah aku sendiri. Barang siapa yang memohonkan wasilah buatku, maka dia akan mendapat syafaat."

Diwajibkan bagi seorang khatib membaca salawat untuk Nabi s.a.w. dalam kedua khutbah Jumaatnya. Kedua khutbah tidak sah tanpa dibacakan salawat di dalamnya, sebab membaca salawat dalam khutbah merupakan ibadah. Dan menyebut nama Allah dalam khutbah merupakan syarat sahnya, begitu pula menyebut Rasulullah s.a.w. di dalam khutbah; perihalnya sama dengan dalam azan dan solat.

Bersalawat kepada Nabi s.a.w. diperintahkan terutama sekali ketika nama Beliau disebut. Orang yang paling kikir ialah orang yang disebutkan nama Beliau s.a.w. di hadapannya, lalu ia tidak membaca salawat untuk Beliau s.a.w.

Rasulullah s.a.w. menganjurkan orang-orang mukmin agar banyak bersalawat untuknya pada setiap waktu. Salawat itu adalah pencuci dosa. Barang siapa yang bersalawat untuk Nabi s.a.w. sekali, maka para malaikat terus-menerus memohonkan ampunan buatnya selama ia masih membaca salawat, Allah mencatatkan baginya sepuluh kebaikan, menghapuskan darinya sepuluh keburukan (kesalahan), meninggikan kedudukannya sepuluh darjat (tingkatan), membalasnya dengan sepuluh kali salawat untuknya dan membalasnya dengan salawat yang serupa.

Dalam suatu majlis diwajibkan membaca salawat untuk Nabi s.a.w. sekali, kemudian yang selanjutnya tidak diwajibkan lagi melainkan hanya sunat. Suatu kaum yang duduk di suatu majlis tanpa menyebut nama Allah dan tanpa mengucapkan salawat untuk Nabi, majlis itu akan menjadi penyesalan bagi mereka di hari kiamat. Jika Allah menghendaki untuk mengazab mereka, Dia akan mengazab mereka; dan jika Dia menghendaki memberikan ampunan kepada mereka, Dia akan memberikan ampunan kepada mereka. Jika mereka masuk syurga, nescaya mereka tidak dapat melihat pahalanya.

Dianjurkan membaca salawat untuk Nabi s.a.w. semasa hendak memasuki masjid, keluar dari masjid, dalam solat hari raya, takbir kedua dalam solat jenazah, dalam doa qunut, dalam qunut witir, pada siang dan malam Jumaat, dalam zikir pagi dan petang, selepas ihram, selepas talbiyah, semasa menyembelih korban dan mukaddimah (pengantar).

Rasulullah s.a.w. mengajarkan bahawa apabila berdoa, hendaklah memulainya dengan mengagungkan Allah dan memujiNya, lalu bacalah salawat untuk Nabi, kemudian sesudahnya hendaklah ia memanjatkan doa yang disukai.

Nabi s.a.w. bersabda, "Doa itu dihentikan di antara langit dan bumi, tidak dapat naik sebelum dibacakan salawat untukku, maka janganlah kalian jadikan diriku bagaikan wadah air seorang pengendara (habis manis sepah dibuang); bacalah salawat untukku di permulaan doa, di akhirnya, dan juga di tengah-tengahnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan, dan janganlah kalian jadikan (pada) kuburanku seperti hari raya, dan bacalah salawat untukku, kerana sesungguhnya bacaan salawat kalian sampai kepadaku di mana pun kalian berada."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang lupa membaca salawat untukku, bererti ia telah menyimpang dari jalan syurga."

Dianjurkan membaca salawat dan salam padanya ialah saat berziarah ke kuburan Nabi s.a.w. Salam penghormatan kepada Nabi s.a.w. adalah salam yang terdapat di dalam tasyahhud iaitu,

"السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ".

"Semoga keselamatan terlimpahkan kepadamu, wahai Nabi, dan juga rahmat serta berkah dari Allah."

Allah s.w.t. berfirman memberi peringatan dan ancaman,

"57. Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya," 

Menyakiti Allah adalah menyifati Allah dengan sifat yang Dia bersih lagi suci darinya, seperti anak dan sekutu, menentang perintah-perintahNya dan melanggar larangan-laranganNya serta tiada henti-hentinya melakukan hal tersebut. Menyakiti RasulNya adalah mendustakannya, mencelanya, mencaci-maki, merendahkannya, mencacatkannya, mencacatkan agamanya. Barang siapa yang menyakiti Nabi s.a.w., bererti telah menyakiti Allah.

"Allah melaknat mereka di dunia dan akhirat," 

Barang siapa yang menyakiti Allah, maka dalam waktu yang dekat Allah akan mengazabnya. Termasuk laknat untuk mereka di dunia adalah keharusan dibunuh orang yang mencaci-maki Rasulullah s.a.w.

"dan Dia menyediakan bagi mereka azab yang menghinakan." 

Allah s.w.t. menyediakan bagi mereka siksa yang menghinakan kerana menyakiti Rasulullah s.a.w. tidaklah seperti menyakiti selain Beliau. Seseorang tidaklah beriman kepada Allah sampai dia beriman kepada RasulNya s.a.w. Beliau berhak dimuliakan kerana termasuk lawazim (yang menyatu) dengan keimanan.

"58. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang beriman lelaki orang-orang yang beriman perempuan tanpa apa yang mereka perbuat," 

Iaitu mereka melancarkan tuduhan buruk terhadap orang-orang mukmin dan mukminat yang pada hakikatnya bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka itu, padahal orang-orang mukmin dan mukminat tidak tahu menahu dan tidak pernah melakukannya.

"maka sungguh mereka memikul kebohongan dan dosa yang nyata." 

Mencela dan merendahkan orang-orang mukmin dan mukminat dengan sesuatu hal yang tidak pernah mereka lakukan merupakan suatu kedustaan yang besar. Orang-orang yang paling banyak terkena ancaman ini adalah orang-orang yang kafir kepada Allah dan RasulNya, kemudian kaum Rafidah.

Gibah adalah apabila kamu menyebut-nyebut saudaramu dengan hal-hal yang tidak disukainya. Jika padanya itu terdapat apa yang kamu katakan, bererti kamu telah mengumpatnya. Jika padanya tidak terdapat apa yang kamu katakan, bererti kamu telah melancarkan tuduhan dusta terhadapnya. Riba yang paling parah dan paling berat di sisi Allah ialah menghalalkan kehormatan seorang muslim.

Oleh kerana itu, mencaci-maki salah seorang kaum mukmin menghendaki untuk diberi hukuman ta’zir (hukuman yang mendidik) sesuai keadaan orang yang dicaci-maki dan kedudukannya. Dan menta’zir orang yang mencaci maki sahabat lebih layak lagi, dan bahawa mencaci maki para ulama dan orang-orang yang baik agamanya lebih besar dosanya daripada selain mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...