Sabtu, 8 April 2017

37:1-10 Tafsir Surah As Saffat, ayat 1-10.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالصَّافَّاتِ صَفًّا (١) فَالزَّاجِرَاتِ زَجْرًا (٢) فَالتَّالِيَاتِ ذِكْرًا (٣) إِنَّ إِلَهَكُمْ لَوَاحِدٌ (٤) رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَرَبُّ الْمَشَارِقِ (٥) إِنَّا زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِزِينَةٍ الْكَوَاكِبِ (٦) وَحِفْظًا مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ مَارِدٍ (٧) لا يَسَّمَّعُونَ إِلَى الْمَلإ الأعْلَى وَيُقْذَفُونَ مِنْ كُلِّ جَانِبٍ (٨) دُحُورًا وَلَهُمْ عَذَابٌ وَاصِبٌ (٩) إِلا مَنْ خَطِفَ الْخَطْفَةَ فَأَتْبَعَهُ شِهَابٌ ثَاقِبٌ (١٠)

Allah s.w.t. bersumpah,

"1. Demi yang bersaf saf diatur."

Demi yang berbaris dengan berbaris-baris. Mereka adalah para malaikat yang mulia yang bersaf (berbaris) dalam beribadah secara berombongan yang bersaf-saf di langit. Mereka bersaf di hadapan Tuhan mereka dengan menyempurnakan saf terdepan dan berhimpitan sejajar di dalam saf mereka. Mereka menguruskan beberapa urusan dengan izin Tuhannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kami diberi keutamaan di atas manusia dengan tiga perkara, iaitu saf kami dijadikan seperti saf para malaikat, bumi ini semuanya dijadikan bagi kami sebagai masjid, dan dijadikan bagi kami tanahnya sarana bersuci bila kami tidak menjumpai air."

"2. Demi yang melarang sebenar-benarnya larangan." 

Para malaikat melarang dengan sebenar-benarnya hal-hal yang dilarang oleh Allah s.w.t. di dalam Al Qur'an. Para malaikat tersebut adalah yang ditugaskan untuk menggiring atau mengarahkan awan, hujan atau lainnya ke tempat yang dikehendaki Allah.

Pernah datang beberapa orang yahudi kepada Nabi s.a.w. dan berkata, “Wahai Abul Qasim, beritahukanlah kami tentang guruh! Apa sebenarnya dia?” Beliau menjawab: “Dia adalah salah satu malaikat Allah yang ditugaskan mengurus awan mendung, di tangannnya ada beberapa sabetan dari api, digiringnya awan dengan sabetan itu ke tempat yang Allah kehendaki.” Mereka bertanya lagi, “Lalu apa suara yang kami dengar ini?” Beliau menjawab, “Pengarahannya kepada awan ketika dia menggiringnya sampai tiba ke tempat yang diperintahkan.” Orang-orang Yahudi berkata, “Engkau benar.”

"3. Demi yang membacakan peringatan." 

Para malaikat datang dengan membawa, menyampaikan dan membacakan peringatan, pelajaran, wahyu, firman, kitab atau Al Qur'an dari sisi Allah kepada manusia. Oleh kerana para malaikat sentiasa beribadah kepada Tuhan mereka dan tidak menderhakai perintahNya, Allah bersumpah dengan mereka untuk menunjukkan keberhakanNya untuk diibadahi.

"4. Sesungguhnya Tuhan kalian benar-benar Esa." 

Inilah yang dijadikan subjek pada sumpah di atas, iaitu bahawa Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia. Oleh kerana itu, beribadahlah hanya kepadaNya.

"5. Tuhan langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya," 

Dia Rabbul ‘alamin (Pencipta, Pengatur, Penguasa dan Pemberi rezeki terhadap alam semesta), maka tidak ada yang berhak disembah selain Dia. Allah s.w.t. sering menggunakan rububiyyahNya untuk menunjukkan keberhakanNya diibadahi kerana memang rububiyyahNya menghendaki dan menunjukkan demikian, dan lagi kaum musyrik juga mengakui rububiyyah (kepengaturan)Nya terhadap alam semesta yang seharusnya membuat mereka beribadah hanya kepadaNya.

"dan Tuhan tempat-tempat terbitnya matahari." 

Allah s.w.t. mengatur tempat-tempat terbitnya matahari. Dialah Raja Yang Mengatur semua makhluk dengan menundukkan semua bintang yang tetap dan bintang yang beredar yang ada padanya terbit dari arah timur dan tenggelam di arah barat.

"6. Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit dunia, dengan hiasan bintang-bintang." 

Jika tidak ada bintang, maka langit menjadi gelap. Maka Allah s.w.t. telah menciptakan gugusan bintang-bintang di langit yang terdekat dengan dunia. Dia jadikan bintang-bintang itu sebagai hiasan bagi orang yang memandangnya dari kalangan penduduk bumi.

Sinar bintang-bintang yang beredar dan yang tetap menembusi ruang angkasa yang lutsinar. Penjuru-penjuru langit menjadi terang, tampak indah, menerangi penduduk bumi dan dapat dipakai sebagai penunjuk jalan di kegelepan malam serta maslahat lainnya.

Dahulu syaitan-syaitan mempunyai tempat-tempat pengintaian di langit. Mereka mencuri-curi dengar rahsia, berita, wahyu, hukum syariat dan ketetapanNya dari pembicaraan para malaikat. Bintang-bintang tidak beredar dan syaitan tidak dilempari.

Apabila mereka telah mendengar, mereka menyampaikannya kepada syaitan lain yang ada di bawahnya, lalu disampaikan lagi kepada yang di bawahnya lagi, hingga seterusnya ke bumi. Mereka menambah-nambah berita yang benar itu dengan seratus kedustaan. Dengan satu berita itu mereka lariskan kedustaan itu di tengah-tengah manusia.

Mereka sampaikan kepada para dukun, tukang tenung, peramal, para normal dan sebagainya. Oleh kerana itulah terkadang apa yang mereka sampaikan itu benar kerana berita yang disampaikan syaitan-syaitan itu.

"7. Dan penjagaan dari setiap syaitan yang derhaka." 

Ketika Rasulullah s.a.w. telah diutus, langit penuh dengan penjagaan yang kuat. Allah s.w.t. menciptakan bintang-bintang untuk menjaga langit dengan serapi-rapi kawalan dari kedatangan setiap syaitan yang sifatnya membangkang, derhaka lagi terkutuk.

"8. Mereka tidak dapat mendengar kepada para malaikat" 

Al mala ul a'la bermaksud langit dan para penghuninya. Syaitan-syaitan itu tidak lagi dapat sampai ke tempat para malaikat. Maka mereka tidak dapat lagi mendengar pembicaraan para malaikat.

"dan mereka dilempari dari segala penjuru." 

Apabila syaitan duduk di tempat pengintaiannya di langit, ada panah-panah api yang mengintai untuk menembaknya. Mereka dilempar atau dirajam dengan sumber api yang terang, bintang yang menyala atau meteor dari semua penjuru langit yang dituju oleh mereka. Meteor itu mengejarnya, lalu membakar, melubangi atau merosakkannya.

"9. Untuk mengusir mereka" 

Mereka dirajam dan dilempari dengan bintang-bintang yang menyala-nyala itu agar terusir jauh dari tempat yang dituju oleh mereka. Syaitan-syaitan melaporkan hal tersebut kepada pemimpin mereka, iaitu iblis laknatullah. Iblis berkata, "Hal itu tidak lain terjadi kerana ada suatu peristiwa yang baru terjadi."

Lalu iblis mengirimkan bala tenteranya untuk menyelidiki hal yang baru itu, maka utusan iblis menjumpai Rasulullah s.a.w. sedang berdiri mengerjakan solatnya di lembah Nakhlah. Utusan iblis itu kembali kepada pemimpinnya, lalu menceritakan hal itu kepadanya. Maka iblis berkata, "Memang orang inilah yang mengubah keadaan." 

Mereka tidak mengetahui dengan adanya penjagaan itu apakah Allah s.w.t. menghendaki keburukan atau kebaikan bagi orang yang di bumi.

"dan bagi mereka azab yang kekal." 

Di akhirat kelak mereka akan mendapat siksaan yang kekal, menyala-nyala, menyakitkan, lagi terus-menerus.

"10. Kecuali siapa yang mencuri pembicaraan; maka mengejarnya bintang terang yang menyala." 

Kalau Allah s.w.t. tidak mengecualikan tentu yang demikian merupakan dalil bahawa mereka tidak dapat mendengar berita itu sama sekali. Saqib ertinya terang benderang. Bintang-bintang atau meteor yang mengejar itu tidak pernah meleset dan pasti mengenainya serta membakarnya apabila mengejar mereka.

Adakalanya meteor itu mengenainya sebelum sempat ia sampaikan kepada syaitan yang ada di bawahnya. Adakalanya ia sempat menyampaikan apa yang telah dicuri dengarnya itu berkat takdir Allah, sebelum ia dikejar oleh bintang yang menyala dan yang membakarnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...