Isnin, 10 April 2017

40:1-9 Tafsir Surah Al Mu’min (Ghafir), ayat 1-9.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

حم (١) تَنْزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ (٢) غَافِرِ الذَّنْبِ وَقَابِلِ التَّوْبِ شَدِيدِ الْعِقَابِ ذِي الطَّوْلِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ إِلَيْهِ الْمَصِيرُ (٣) مَا يُجَادِلُ فِي آيَاتِ اللَّهِ إِلا الَّذِينَ كَفَرُوا فَلا يَغْرُرْكَ تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلادِ (٤) كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَالأحْزَابُ مِنْ بَعْدِهِمْ وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ لِيَأْخُذُوهُ وَجَادَلُوا بِالْبَاطِلِ لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ فَأَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ (٥) وَكَذَلِكَ حَقَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّهُمْ أَصْحَابُ النَّارِ (٦) الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ (٧) رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٨) وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ وَمَنْ تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٩)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Ha Mim."

Menurut suatu pendapat, Ha Mim adalah salah satu dari asma-asma Allah. 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika kalian mahu mengadakan serangan malam ini, katakanlah, "Ha Mim, semoga mereka tidak mendapat pertolongan.”" atau "Ha Mim, maka mereka tidak akan menang." Jika kalian mengucapkan, "Ha Mim," nescaya mereka tidak akan mendapat kemenangan.

"2. Diturunkan Al Kitab dari Allah Yang Maha Perkasa Maha Mengetahui." 

Penurunan KitabNya yang agung, iaitu Al Qur'an ini adalah dari Allah Yang Mempunyai Keperkasaan. Dengan keperkasaanNya Dia tundukkan semua makhluk. Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. ZatNya tidak dapat dijangkau, dan tiada suatu atom pun yang tersembunyi bagiNya, walaupun hijab penghalangnya berlapis-lapis.

"3. Yang mengampuni dosa dan Yang menerima taubat sangat keras hukuman; Yang memiliki kurnia." 

Allah s.w.t. mengampuni dosa yang telah lalu dan menerima taubat di masa mendatang bagi orang yang bertaubat kepadaNya dan tunduk patuh kepadaNya. Beramallah, janganlah berputus asa mengharap kepadaNya.

HukumanNya keras dan azabNya sangat pedih terhadap orang-orang yang kafir, menentang perintah-perintah Allah, berani berbuat dosa, bersikap membangkang, melampaui batas, memilih kehidupan dunia dan tidak mahu bertaubat darinya. Maka takutlah kepadaNya.

Dzit Thaul bermaksud Yang mempunyai kurnia, kebaikan yang banyak, nikmat keluasan, kecukupan dan keutamaan-keutamaan. Dia melimpahkan kurnia kepada hamba-hambaNya. NikmatNya tidak terhitung jumlahnya.

"Tidak ada Tuhan selain Dia. KepadaNya tempat kembali." 

Tiada tandingan bagiNya dalam semua sifat yang dimilikiNya. Hanya Dia saja yang berhak disembah, diibadahi dan diikhlaskan amal. Tiada Rabb selain Dia, kerana kesempurnaanNya dan kerana Dia yang sendiri dengan perbuatanNya.

KepadaNyalah semuanya dikembalikan. Hukum jaza’i (balasan)Nya adil. Dia akan memberikan balasan kepada setiap orang sesuai dengan amal perbuatannya masing-masing. Pahala diberikan untuk orang-orang yang berbuat ihsan dan hukuman bagi orang-orang yang derhaka.

"4. Tidak memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir." 

Hanya orang-orang yang kafir saja yang berani mengingkari ayat-ayat Allah, menolak perkara hak dan membantahnya sesudah perkara hak itu jelas dan telah ada buktinya.

"Maka janganlah membuat kamu tertipu keberhasilan usaha mereka di negeri." 

Janganlah kamu terperdaya kerana melihat keadaan duniawi orang-orang kafir yang bebas bergerak ke sana sini menguruskan dan menikmati harta benda, kemewahan dan perhiasan mereka. Janganlah kamu menyangka bahawa pemberian Allah kepada mereka menunjukkan bahawa Allah cinta kepadanya dan bahawa mereka berada di atas yang benar.

Allah s.w.t. hanya membiarkan mereka bersenang-senang dengan kesenangan yang sementara. Dia akan memaksa mereka masuk ke dalam siksa yang keras di tempat akhir mereka, iaitu neraka Jahanam, seburuk-buruk tempat tinggal.

Bukan hanya Nabi Muhammad s.a.w. saja didustakan, para nabi sebelumnya juga mengalami hal yang sama. Kaum mereka masing-masing telah mendustakannya dan menentangnya. hanya sedikit saja dari kalangan mereka yang beriman.

"5. Telah mendustakan Rasul sebelum mereka kaum Nuh dan golongan yang bersekutu setelah mereka"

Nuh a.s. adalah rasul yang mula-mula diutus oleh Allah untuk melarang penyembahan terhadap berhala. Kaumnya juga mendebat ayat-ayat Allah untuk membatalkannya. Begitu juga kaum ‘Ad, Tsamud dan orang-orang yang bersekutu lainnya yang bersama-sama berusaha membatalkan kebenaran dan membela yang batil.

"dan telah merencanakan tiap-tiap umat terhadap Rasul mereka untuk menangkapnya" 

Setiap umat telah merancang tipu daya, makar, kejahatan dan bertekad untuk membunuh pemimpin kebaikan, iaitu rasul yang diutus kepada mereka. Mereka berusaha bersungguh-sungguh dengan segala macam cara yang dapat mereka lakukan. Di antara mereka ada yang telah membunuh rasul mereka.

"dan mereka membantah dengan yang batil untuk melenyapkan dengannya kebenaran;" 

Disebabkan pendustaan mereka, mereka berkumpul dan melakukan bantahan terhadap perkara yang hak dengan perkara yang syubhat (batil) untuk memerangi perkara hak yang sudah jelas dan terang.

Nabi s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang membantu perkara-perkara yang batil untuk melenyapkan perkara yang hak, maka sesungguhnya dia telah terbebas dari jaminan Allah dan jaminan RasulNya."

"maka Aku azab mereka. Maka bagaimana ada hukumanKu?" 

Kezaliman, kesesatan, kesengsaraan dan dosa-dosa yang besar-besar itu melayakkan mereka dibinasakan dengan azab yang dahsyat. Maka betapa pedih, sakit dan kerasnya azabKu. Ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, hujan batu, ditelan oleh bumi, ditenggelamkan ke laut dan sebagainya.

"6. Dan demikianlah telah pasti ketetapan Tuhanmu atas orang-orang yang mereka kafir sesungguhnya mereka penghuni neraka." 

Begitulah ketetapan perintah azabKu terhadap orang-orang kafir dari kalangan umat-umat terdahulu. Hal yang sama juga ditetapkan atas umatmu yang mendustakan dan menentangmu, hai Muhammad. Bahkan mereka lebih berhak dan lebih didahulukan untuk menerima azab keras dariKu.

"7. Yang mereka memikul 'Arasy dan siapa yang di sekelilingnya" 

‘Arasy adalah atap seluruh makhluk dan merupakan makhluk paling besar, paling luas dan paling bagus, serta paling dekat dengan Allah s.w.t. Arasy tersebut luasnya meliputi langit, bumi dan kursi Allah serta malaikat tersebut.

Malaikat yang memikul 'Arasy adalah malaikat yang terdekat denganNya, paling utama, paling besar dan paling kuat. Mereka berada di penjuru-penjuru langit, menjunjung 'Arasy Allah di atas kepala mereka. Pada hari ini mereka ada empat. Apabila berlaku hari kiamat, mereka menjadi lapan. Para malaikat Karubiyyin yang ada di sekitar 'Arasy termasuk malaikat yang didekatkan dengan Allah, dan memiliki kedudukan serta keutamaan yang besar.

"mereka bertasbih dengan memuji Tuhan mereka dan mereka beriman kepadaNya" 

Mereka tunduk patuh kepadaNya dengan berendah diri di hadapanNya. Mereka sentiasa bertasbih menyucikan Allah dari sikap manusia yang beribadah kepada selainNya dan menafikan segala kekurangan dari Allah. 

Mereka sentiasa bertahmid beribadah kepada Allah dan mengukuhkan sifat-sifat yang terpuji bagi Allah. Ucapan seseorang, “Subhaanallahi wabihamdih” juga termasuk di dalamnya dan termasuk di antara sekian ibadah.

Empat malaikat penjunjung 'Arasy sentiasa mengucapkan, "Mahasuci Engkau, ya Allah, dan dengan memuji kepadaMu, bagiMu segala puji atas sifat PenyantunMu sesudah sifat 'ilmuMu." 

Dan empat malaikat lainnya sentiasa mengucapkan, "Mahasuci Engkau, ya Allah, dan dengan memuji kepadaMu, bagiMu segala puji atas sifat PemaafMu yang diiringi dengan sifat KuasaMu."

"dan meminta ampun bagi orang-orang yang mereka beriman." 

Mereka memintakan ampun bagi kaum mukmin tanpa pengetahuan mereka. Hal ini merupakan watak para malaikat. Apabila seorang muslim mendoakan saudaranya tanpa pengetahuannya, maka malaikat mengamininya dan mendoakan, "Semoga bagimu hal yang serupa."

Malaikat adalah hamba Allah yang paling mengharapkan kebaikan bagi orang-orang mukmin. Mereka mengucapkan,

"Tuhan kami, Engkau meliputi segala sesuatu rahmat dan ilmu," 

RahmatMu meliputi segala sesuatu, memenuhi alam bahagian atas dan alam bahagian bawah, memuat semua dosa dan kesalahan mereka. IlmuMu meliputi segala sesuatu, di langit maupun di bumi, tidak ada satu pun yang samar dan tersembunyi bagiMu. IlmuMu meliputi semua perbuatan, ucapan, gerakan dan diamnya mereka.

"maka ampunilah bagi orang-orang yang mereka bertaubat dan mereka mengikuti jalanMu." 

Ampunilah orang-orang berdosa yang bertaubat dari perbuatan syirik dan maksiat, menghentikan perbuatan dosanya, kembali taat kepadaMu, mengikuti jalan agama Mu iaitu agama Islam, mentauhidkanMu, mengikuti rasulMu, melaksanakan perintahMu, mengerjakan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

"Dan peliharalah mereka dari azab neraka yang menyala-nyala."

Jauhkanlah mereka dari siksaan neraka Jahim yang menyala-nyala, sangat pedih lagi sangat menyakitkan itu. Peliharalah mereka dari azab itu sendiri dan sebab-sebabnya.

"8. Tuhan kami, dan masukkanlah mereka syurga 'Adn yang Engkau janjikan kepada mereka," 

Masukkanlah orang-orang mukmin ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka melalui lisan para rasulMu.

"dan orang yang berbuat soleh dari nenek moyang mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka." 

Kumpulkanlah mereka bersama ahli keluarga mereka yang beriman dan beramal soleh agar mereka gembira kerana berkumpul di tempat-tempat yang bersebelahan.

"Sungguh Engkau, Engkau Maha Perkasa Maha Bijaksana." 

Dengan keperkasaanMu, Engkau tidak dapat dihalangi dan tidak dapat dikalahkan. Apa saja yang Engkau kehendaki pasti ada, dan apa saja yang tidak Engkau kehendaki pasti tiada. Engkau Mahabijaksana dalam semua ucapan dan perbuatanMu, iaitu dalam semua syari'at dan takdirMu. Engkau meletakkan sesuatu pada tempatnya.

"9. Dan peliharalah mereka kejahatan-kejahatan." 

Peliharalah mereka dari kejahatan-kejahatan. Kejahatan di sini adalah amal yang buruk, akibat, bencana dan balasan kejahatan yang dilakukannya kerana ia membuat pelakunya bersedih.

"Dan siapa yang Engkau pelihara kejahatan-kejahatan pada hari itu, maka sungguh Engkau telah merahmatinya." 

Orang-orang yang Engkau pelihara dari kejahatan pada hari itu, maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya. RahmatMu sentiasa mengalir kepada hamba-hambaMu, tidak ada yang menghalanginya selain dosa-dosa hamba dan keburukannya. 

Oleh kerana itu, barang siapa yang Engkau selamatkan dari bencana, hukuman dan pembalasan pada hari kiamat, bererti Engkau telah belas kasihan kepadanya, memberikan mereka taufik kepada kebaikan dan balasan yang baik.

"Dan demikianlah itu ia kemenangan yang besar." 

Demikian itulah kemenangan yang agung. Hilanglah hal yang dikhuatirkan kerana dipelihara dari kejahatan dan diperolehnya hal yang dicintai kerana memperoleh rahmat. Itulah kemenangan yang besar nilainya. Tidak ada kemenangan yang serupa dengannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...