Jumaat, 21 April 2017

4:47-48 Tafsir Surah An Nisa, ayat 47-48.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ آمِنُوا بِمَا نَزَّلْنَا مُصَدِّقًا لِمَا مَعَكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَطْمِسَ وُجُوهًا فَنَرُدَّهَا عَلَى أَدْبَارِهَا أَوْ نَلْعَنَهُمْ كَمَا لَعَنَّا أَصْحَابَ السَّبْتِ وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولا (٤٧) إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا (٤٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"47. Wahai orang-orang yang diberi Al Kitab! Berimanlah kalian kepada apa yang Kami turunkan membenarkan terhadap apa yang ada pada kalian" 

Allah s.w.t. memerintahkan kepada Ahli Kitab agar mereka beriman kepada kitab Al Qur'an yang diturunkan kepada RasulNya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Kitab-kitab Allah antara yang satu dengan yang lainnya saling membenarkan, maka jika mereka menolak (tidak beriman) kepada salah satunya, seperti tidak beriman kepada Al Qur'an, sesungguhnya mereka sama saja tidak beriman kepada semua kitab Allah.

Di dalam Al Qur'an terkandung berita yang membenarkan berita-berita yang ada pada kitab mereka menyangkut berita-berita gembira, dan mengandung ancaman bagi mereka jika mereka tidak mahu beriman kepadanya. Sepatutnya merekalah yang lebih dulu beriman kepada Al Qur'an sebelum yang lainnya kerana ilmu yang telah diberikan Allah kepada mereka.

"sebelumnya Kami mengubah wajah-wajah, lalu Kami putarkannya ke belakangnya" 

Allah s.w.t. mengancam bahawa jika mereka tetap tidak beriman, maka Dia akan mengubah dan menghapuskan wajah mereka dengan menjadikannya rata, tidak ada mata, hidung dan sebagainya seperti bahagian belakang kepala mereka. At tams ertinya membalikkan, iaitu memutarkannya ke arah belakang dan pandangan mereka pun ada di belakang mereka. Maka mereka tidak ada lagi pendengaran, penglihatan dan penghiduan.

Ini merupakan perumpamaan buruk yang dibuatkan oleh Allah s.w.t. tentang kesesatan dan penolakan mereka terhadap petunjuk dan hujah yang jelas. Mereka telah meninggalkan perkara yang hak (kebenaran) dan mengutamakan kebatilan serta memutarbalikkan fakta, yang batil menjadi hak dan yang hak menjadi batil. Mereka menempuh jalan kesesatan dengan langkah yang cepat seraya berjalan mundur ke arah belakang mereka.

Maka maka mereka diberi balasan dengan dihapuskan wajah mereka sebagaimana mereka telah menghapuskan kebenaran. Allah s.w.t. memalingkan mereka dari jalan kebenaran, mengembalikan mereka ke jalan kesesatan dan kekufuran. Hal ini merupakan balasan dan siksaan yang paling berat dan pembalasan yang paling pedih terhadap amal yang mereka kerjakan.

"atau Kami melaknat mereka sebagaimana telah Kami laknat orang-orang pada hari Sabat." 

Atau Allah s.w.t. mengutuk mereka sebagaimana yang telah menimpa orang-orang yang berbuat maksiat pada hari Sabtu. Mereka telah melanggar larangan menangkap ikan pada hari Sabtu dengan memakai tipu muslihat. Maka mereka dikutuk oleh Allah s.w.t. menjadi orang-orang yang bersifat seperti kera-kera dan babi-babi.

"Dan bahawasanya ketetapan Allah berlaku."

Ketetapan Allah pasti berlaku. Apabila Allah s.w.t. memerintahkan sesuatu, maka Dia tidak dapat ditentang dan tidak dapat dicegah. Apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka terjadilah ia.

"48. Sesungguhnya Allah tidak mengampuni jika Dia dipersekutukan denganNya" 

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik. Dia tidak akan memberikan ampunan kepada seorang hamba yang menghadap kepadaNya (mati) dalam keadaan mempersekutukan Dia. Allah mengharamkan kepadanya syurga.

Pelakunya telah menutup pintu ampunan dan rahmat bagi dirinya. Oleh kerana itu amal baiknya tidaklah bermanfaat, demikian juga musibah yang menimpanya, dan pada hari kiamat mereka tidak akan mendapat syafaat.

"dan mengampuni yang selain itu, bagi orang yang Dia kehendaki." 

Allah s.w.t. mengampuni segala macam dosa yang selain dari syirik itu dari kalangan hamba-hambaNya. Dia memasukkannya ke syurga tanpa azab, atau jika Dia menghendaki, maka Dia mengazab pelaku maksiat di bawah syirik (orang mukmin yang berbuat maksiat) kerana dosa-dosanya kemudian Dia masukkan ke dalam syurga.

Allah s.w.t. telah mengadakan sebab-sebab yang menghapusnya dosa-dosa di bawah syirik itu seperti taubatnya, istighfarnya, amal solehnya, musibah yang menimpanya di dunia, azab di alam barzakh atau di hari kiamat, peristiwa dahsyat di hari kiamat, doa kaum mukmin antara yang satu dengan lainnya, syafaat dari orang-orang yang diberi izin memberi syafaat dan dengan rahmat (kasih sayang) yang diberikanNya kepada orang yang beriman dan bertauhid.

"Dan siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar." 

Syirik, mempersekutukan atau menjadikan tandingan bagi Allah adalah benar-benar kezaliman dan dosa yang paling besar. Hal itu kerana pelakunya menyamakan antara makhluk yang lemah dari berbagai sisi dan memiliki kekurangan dengan Al Khaliq Yang menciptakan, Yang Maha Sempurna dari berbagai sisi dan Yang Maha Kaya tidak memerlukan makhlukNya.

Seluruh kenikmatan yang diterima makhluk adalah berasal dariNya. Dialah yang sepatutnya disyukuri. Hanya kepadaNyalah kembali semua makhluk. Namun, jika pelaku syirik itu bertaubat, maka Allah s.w.t. mengampuni syirik dan dosa-dosa di bawahnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...