Ahad, 23 April 2017

5:3-4 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 3-4.

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالأزْلامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لإثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣) يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ (٤)

Allah s.w.t. menjaga dan memelihara hamba-hambaNya dari bahaya sesuatu perkara. Maka Dia mengharamkannya. Adakalanya Dia menerangkan bahayanya dan adakalanya tidak. Allah s.w.t. berfirman,

"3. Diharamkan atas kalian bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa yang disembelih untuk selain Allah dengannya," 

Bangkai adalah haiwan yang mati dengan sendirinya tanpa melalui penyembelihan secara syar'i dan tanpa melalui proses pemburuan. Hal ini diharamkan kerana terdapat mudarat (bahaya) bagi agama dan tubuh. Darahnya masih terperangkap di dalam tubuhnya yang menyebabkan kuman-kuman hidup subur. Biasanya haiwan tersebut mati akibat penyakit.

Namun, dihalalkan memakan dua jenis bangkai, iaitu ikan dan belalang. Ikan tetap halal, baik mati kerana disembelih ataupun kerana penyebab lainnya. Laut itu airnya suci dan menyucikan lagi halal bangkainya.

Diharamkan bagi kalian memakan atau meminum darah yang mengalir, disedut keluar atau pun dimasak. Namun, dihalalkan memakan dua jenis darah iaitu hati dan limpa.

Diharamkan bagi kalian memakan daging babi baik yang jinak maupun yang liar. Lahm bermaksud semua anggota badannya, termasuk lemaknya dan lain-lain. Ia diharamkan juga bagi apa saja kegunaan lain. Disebutkan "daging babi" padahal ada haiwan kotor lainnya yang terdiri dari haiwan buas bertaring, kerana Ahli Kitab menyangka bahawa daging babi dihalalkan bagi mereka, maka Allah membantahnya, dan bahawa babi termasuk haiwan kotor.

Diharamkan bagi kalian memakan daging haiwan yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah seperti berhala, taghut, wasan atau makhluk lainnya kerana Dia mewajibkan makhlukNya disembelih dengan menyebut asmaNya Yang Mahaagung, tasmiyah atau basmalah. Disunatkan menambahkan takbir.

Diharamkan bagi kalian memakan daging haiwan yang disembelih bukan kerana Allah, seperti kerana seseorang, Qiblat, kubur Wali, pertandingan dan sebagainya.

"dan yang tercekik, dan yang dipukul, dan yang jatuh, dan binatang yang ditanduk dan apa yang memakan binatang buas," 

Diharamkan bagi kalian memakan daging haiwan yang mati kerana tercekik, baik disengajakan ataupun tidak disengajakan, contohnya ia terjerut oleh tali pengikatnya.

Diharamkan bagi kalian memakan daging haiwan yang mati dipukuli dengan benda berat, tetapi tidak menikamnya seperti tongkat, tukul, sisi lembing, sisi panah dan sebagainya.

Diharamkan bagi kalian memakan daging haiwan yang mati kerana terjatuh dari ketinggian atau tempat yang tinggi, seperti jatuh dari atas bukit, jatuh ke dalam sumur dan sebagainya.

Diharamkan bagi kalian memakan daging haiwan yang mati kerana ditanduk oleh haiwan lainnya, walaupun ia terluka oleh tanduk dan darahnya keluar, walaupun dari bahagian penyembelihannya.

Diharamkan bagi kalian memakan daging haiwan yang diterkam oleh haiwan buas seperti singa, harimau, serigala, anjing liar dan sebagainya, walaupun telah mengalir darahnya, walaupun yang dilukai pada bahagian penyembelihannya.

"kecuali apa yang kalian sembelih," 

Haiwan yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas adalah halal dimakan jika sempat disembelih sebelum ia mati. Pada tubuhnya masih terdapat rohnya, ia masih menggerak-gerakkan telinganya, menendang-nendang dengan kakinya atau matanya masih melirik-lirik semasa kalian menyembelihnya. Maka hukumnya sama dengan yang disembelih. Jika tidak sempat disembelih, maka tergolong bangkai.

Menyembelih itu dengan menggunakan apa saja alat yang dapat mengalirkan darah kecuali gigi dan kuku, kerana gigi berasal dari tulang dan kuku adalah pisau orang-orang Habsyah. Menyembelih itu pada kerongkong dan lubbah (urat leher), disebutkan asma Allah dan dengan tidak tergesa-gesa. Jika haiwan itu tidak dapat disembelih pada tenggorokan dan lubbah, maka memadai dengan menikam pada pahanya.

"Dan yang disembelih untuk berhala," 

Berhala dibuat dari batu di zaman dahulu banyak didapat di sekitar Ka'bah. Jumlahnya lebih kurang tiga ratus enam puluh buah. Orang-orang Arab jahiliyah menyembelih haiwan korbannya di dekat berhala-berhala itu, lalu mereka melumur darah pada bahagian depan berhala-berhala yang menghadap ke arah Ka'bah. Mereka mengiris tipis dagingnya, lalu mereka letakkan pada berhala-berhala itu.

Allah s.w.t. melarang orang-orang mukmin melakukan perbuatan itu dan mengharamkan bagi mereka memakan sembelihan itu, walaupun ketika menyembelihnya dibacakan asma Allah.

"dan bahawa jika kalian mengundi nasib dengan azlam, demikian itu kefasikan." 

Al Azlam adalah anak panah yang belum dipasangkan bulu. Orang Arab Jahiliyah menggunakannya untuk menentukan suatu perbuatan dalam semua perkara. Mereka ambil tiga batang anak panah dan dituliskan, "Lakukanlah", "Jangan lakukan" dan yang ketiga tidak ditulis apa-apa.

Kemudian diletakkan dalam sebuah tempat dan disimpan dalam Ka'bah. Apabila mereka hendak melakukan sesuatu, maka mereka meminta supaya juru kunci ka'bah mengocok sehingga keluar sebatang dari anak panah itu. Mereka akan menurut tulisan itu. Jika diambil anak panah yang tiada tulisannya, maka undian diulang sekali lagi.

Allah s.w.t. mengharamkan undian nasib dengan anak panah, dadu dan perbuatan yang serupa dengannya, serta menggantinya dengan syari'at solat istikharah (meminta pilihan kepada Allah) dalam semua urusan. Fasik ertinya keluar dari ketaatan kepada Allah beralih kepada ketaatan kepada syaitan.

"Pada hari berputus asa orang-orang yang kafir dari agama kalian;" 

"Hari ini" bermaksud hari 'Arafah pada saat haji wada' (tahun ke 10 H), haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ketika itu orang musyrik tidak melakukan haji dan tidak lagi bertawaf di Baitullah dengan telanjang.

Mereka telah putus asa dan tidak ada harapan lagi untuk mengembalikan agama mereka, mengalahkan agama kalian atau pun membuat kalian murtad. Mereka telah putus asa untuk menyerupai kaum muslim, kerana kaum muslim mempunyai ciri khas yang berbeda dengan mereka. Antaranya ialah sifat-sifat yang jauh bertentangan dengan kemusyrikan dan para penganutnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk disembah kembali di Jazirah Arabia, tetapi masih boleh mengadu domba di antara mereka."

"maka janganlah kalian takut pada mereka dan takutlah kepadaKu."

Tetaplah bersabar dan teguh dalam perbedaan dengan orang-orang kafir, dan janganlah kalian merasa takut kepada siapa pun kecuali kepadaKu, nescaya Aku akan menolong kalian atas mereka, dan Aku akan menyokong kalian serta memenangkan kalian atas mereka. Aku akan melegakan hati kalian terhadap mereka dan menjadikan kalian berada di atas mereka di dunia dan akhirat.

"Hari ini telah aku sempurnakan bagi kalian agama kalian," 

Ayat ini diturunkan pada petang hari Jumaat, hari Arafah, hari haji Akbar. Sesudah itu tidak lagi diturunkan wahyu mengenai halal dan haram, dan Rasulullah s.a.w. kembali ke Madinah, lalu beliau wafat selang lapan puluh satu hari kemudian.

"dan telah Aku cukupkan atas kalian nikmatKu," 

Allah s.w.t. telah mencukupkan Islam untuk kalian dengan menyempurnakan syari'at, baik yang nampak maupun yang tersembunyi, baik berkaitan dengan masalah usul (dasar-dasar agama) maupun masalah furu' (cabang). Al Qur'an dan As Sunnah memberikan kecukupan kepada kalian dalam semua hukum-hukum agama. Kerana itu Islam tidak memerlukan tambahan dan pengurangan lagi selamanya.

Penyempurnakan agama Islam ini merupakan nikmat Allah yang paling besar kepada umat ini. Maka cukuplah kenikmatan yang diterima dariNya, tidak perlu lagi adanya agama yang lain dan nabi yang lain. Kerana itu Dia menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi terakhir yang diutusNya untuk manusia dan jin. Semoga salawat dan salam terlimpahkan kepadanya.

"dan Aku ridhai bagi kalian Islam agama." 

Dia menyukai dan ridha Islam itu menjadi agama bagi kalian. Dia telah mengutus rasul yang paling utama dan terhormat sebagai pembawanya, dan menurunkan KitabNya yang paling mulia dengan melaluinya. Dia tidak akan membencinya selama-lamanya. Terimalah oleh kalian dengan rela Islam sebagai agama kalian.

Namun, tidak sesekali sesuatu itu sempurna, melainkan kelak akan berkurang. Sesungguhnya Islam bermula dari keterasingan, dan kelak akan kembali menjadi terasing, maka beruntunglah bagi orang-orang yang terasing.

"Maka barang siapa yang terpaksa dalam kelaparan tanpa disengaja untuk berbuat dosa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Barang siapa yang terpaksa memakan makanan yang diharamkan kerana lapar, kerana keadaan darurat yang memaksanya melakukan hal itu dan bukan kerana ingin berbuat dosa, maka dia boleh memakannya sekadar keperluan.

Ada yang mengertikan "bukan kerana ingin berbuat dosa" di sini dengan bukan orang yang cenderung berbuat dosa, seperti perompak dan pemberontak. Mereka ini walaupun darurat tetap tidak halal memakan yang haram.

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepadanya, kerana Allah s.w.t. mengetahui keperluan hambaNya yang terpaksa dan keperluannya akan hal tersebut. Maka dari itu Allah memaafkan dan mengampuninya.

Addi ibnu Hatim dan Zaid ibnu Muhalhal yang keduanya berasal dari Tai bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Untuk itu mereka berdua berkata, "Wahai Rasulullah, Allah telah mengharamkan bangkai, apakah yang dihalalkan bagi kami darinya?"

Malaikat Jibril a.s. datang kepada Nabi s.a.w., lalu meminta izin untuk masuk. Ia diizinkan masuk, tetapi tidak mahu juga masuk. Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Saya telah memberimu izin masuk, wahai utusan Allah." Malaikat Jibril menjawab, "Tetapi kami tidak mahu masuk ke dalam suatu rumah yang ada anjingnnya." Rasulullah s.a.w. mengutus Abu Rafi' untuk membunuh semua anjing (hitam) hingga sampai di Awali (daerah Madinah yang tinggi). Kemudian Asim ibnu Addi, Sa'd ibnu Ktiais'amah dan Uwaim ibnu Sa'idah datang dan bertanya, "Apakah yang dihalalkan bagi kami, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. diam, dan Allah menurunkan firmanNya,

"4. Mereka bertanya kepadamu, "Apa dihalalkan bagi mereka?" Katakanlah, "Yang dihalalkan bagi kalian yang baik-baik""

Tayyibat bermaksud segala macam rezeki yang dihalalkan untuk mereka, iaitu makanan yang baik-baik, mengandungi manfaat dan lazat, tidak kotor, tidak ada bahaya bagi badan, akal dan agama.

"dan buruan kalian ajarkan dari binatang buas yang terlatih untuk berburu," 

Dihalalkan bagi kalian memakan buruan yang ditangkap melalui binatang buas yang telah kalian latih untuk berburu. Jawarih ertinya melukai, iaitu haiwan-haiwan pemangsa, seperti anjing (selain anjing hitam), burung helang dan sebagainya. Haiwan pemburu tersebut membunuh mangsanya dengan taring dan cakar kukunya.

"kalian mengajarinya dari apa yang Allah mengajari kalian." 

Binatang buas itu mestilah terlatih. Ia dilatih menurut kepandaian, pengalaman, fikiran dan ilham dari Allah tentang melatih binatang buas dan cara berburu. Apabila diperintahkan mengintip, maka ia mengintip. Apabila dilepaskan, ia langsung memburu mangsanya. Apabila menangkap haiwan buruannya, ia menunggu tuannya sampai kepadanya, dan ia tidak berani makan haiwan buruan itu.

"Maka makanlah kalian dari apa yang ia tangkap atas kalian," 

Apabila haiwan pemburu itu menangkap mangsanya untuk kalian, ia tidak memakannya sedikit pun, maka haiwan buruan itu halal untuk kalian, walaupun disentuh oleh mulut anjing pemburu dan walaupun telah dibunuhnya. Kalian tidak perlu menyucikannya dan tidak perlu menyembelihnya. Jika haiwan buruan itu masih hidup, maka belum halal kecuali dengan menyembelihnya. Jika haiwan buruan itu telah dimakan oleh haiwan pemburu itu, maka kalian tidak boleh memakannya.

"dan sebutlah kalian nama Allah atasnya. Dan bertakwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat cepat hisabNya."

Apabila kalian melepaskan haiwan pemangsamu atau anak panahmu, ucapkanlah asma Allah atau bismillah. Tetapi jika kalian lupa membacanya, maka tidak ada dosa atas diri kalian. Allah s.w.t. mengetahui kebaikan dan keburukan yang kalian hasilkan.

Jangan kalian makan haiwan buruan itu jika ada haiwan pemburu lain bersama haiwan pemburumu, kerana kamu hanya membaca tasmiyah untuk haiwan pemburumumu saja.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...