Ahad, 16 April 2017

80:33-42 Tafsir Surah ‘Abasa, ayat 33-42.

فَإِذَا جَاءَتِ الصَّاخَّةُ (٣٣) يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ (٣٤) وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ (٣٥) وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ (٣٦) لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ (٣٧) وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ مُسْفِرَةٌ (٣٨) ضَاحِكَةٌ مُسْتَبْشِرَةٌ (٣٩) وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ عَلَيْهَا غَبَرَةٌ (٤٠) تَرْهَقُهَا قَتَرَةٌ (٤١) أُولَئِكَ هُمُ الْكَفَرَةُ الْفَجَرَةُ (٤٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"33. Maka apabila datang suara memekakkan." 

As sakhkhah adalah pekikan hari kiamat, tiupan sangkakala dan salah satu nama lain dari hari kiamat. Kejadiannya memekakkan telinga sehingga hampir-hampir menjadikan manusia tuli.

"34. Pada hari itu lari seseorang dari saudaranya." 

Pada hari itu seseorang meminta bantuan dari saudaranya supaya dapat selamat dari ketakutan. Namun saudaranya juga berada dalam ketakutan yang sama. Maka dia tidak mampu memberi sesuatu pun dari apa yang mereka minta itu.

"35. Dan ibunya dan bapanya." 

Hal yang sama juga berlaku antara seorang anak dengan ibu dan bapanya. Dia tidak dapat melindungi ibu dan bapanya kerana dia juga dicekam oleh rasa takut yang sama seperti yang mereka alami.

"36. Dan isterinya dan anaknya." 

Hal yang sama juga berlaku antara seorang lelaki dengan isteri dan anak-anaknya. Dia tidak dapat melindungi keluarganya kerana dia juga dicekam oleh rasa takut yang sama seperti yang mereka alami.

Pada hari itu masing-masing melihat orang-orang yang dicintainya, tetapi mereka lari dan menjauhkan diri. Masing-masing hanya mementingkan orang yang paling dicintai dan paling dekat kerana dahsyatnya huru-hara dan kengerian yang terjadi. Tiada yang lebih dicintai dan lebih dekat bagi seseorang kecuali diri sendiri.

Ketika dimintakan kepada setiap rasul dari ulul 'azmi untuk memohonkan syafaat di hadapan Allah buat semua makhluk, maka setiap orang dari mereka mengatakan, "Aku lebih mengutamakan diriku, aku lebih mengutamakan diriku, dan aku tidak memohon kepada Engkau selain keselamatan buat diriku sendiri." Sehingga Isa putera Maryam sendiri mengatakan,"Aku tidak memohon kepadaNya hari ini kecuali untuk keselamatan diriku sendiri, dan aku tidak memohon kepadaNya untuk keselamatan ibuku Maryam yang telah melahirkanku."

"37. Bagi setiap seseorang dari mereka pada hari itu urusan yang menyibukkan." 

Semua manusia akan dihimpunkan dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang, berjalan kaki lagi dalam keadaan tidak berkhitan. Masing-masing cukup sibuk dengan urusan dan keselamatannya sendiri sehingga lupa dan tidak sempat memandang orang lain.

Ketika itu, manusia ada dua golongan.

"38. Wajah-wajah pada hari itu berseri-seri." 

Banyak muka pada hari itu kelihatan berseri-seri. Mereka adalah golongan yang berbahagia.

"39. Tertawa bergembira ria." 

Kegembiraan dan kebahagiaan telah menguasai hati mereka. Mereka adalah golongan ahli syurga, iaitu orang-orang yang beriman.

"40. Dan wajah-wajah pada hari itu atasnya tertutup debu." 

Banyak juga muka pada hari itu kelihatan suram. Mereka adalah golongan yang sengsara.

"41. Meliputinya kegelapan." 

Mereka ini telah berputus asa dari semua kebaikan, dikenali kesengsaraannya, ditimpa kehinaan dan kesusahan. Mereka dikekang oleh keringatnya, kemudian kegelapan menutupi roman muka mereka.

"42. Mereka itu, mereka orang-orang kafir yang derhaka." 

Mereka adalah orang-orang yang hatinya kafir kepada nikmat Allah dan mendustakan ayat-ayatNya. Mereka derhaka dalam amal perbuatannya dan berani mengerjakan larangan-laranganNya.

Selesai tafsir surah ‘Abasa dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...