Khamis, 25 Mei 2017

10:1-2 Tafsir Surah Yunus, ayat 1-2.

ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺍﻟﺮَّﺣْﻤَﻦِ ﺍﻟﺮَّﺣِﻴﻢِ

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

الر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ (١) أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا أَنْ أَوْحَيْنَا إِلَى رَجُلٍ مِنْهُمْ أَنْ أَنْذِرِ النَّاسَ وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا أَنَّ لَهُمْ قَدَمَ صِدْقٍ عِنْدَ رَبِّهِمْ قَالَ الْكَافِرُونَ إِنَّ هَذَا لَسَاحِرٌ مُبِينٌ (٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Alif Lam Ra. Itulah ayat-ayat Kitab yang penuh hikmah." 

Inilah ayat-ayat Al Qur'an yang mengandungi hikmah dan hukum yang jelas. Ayat-ayatNya menunjukkan hakikat iman, perintah dan larangan. Semua umat wajib menerimanya dengan sikap ridha dan menerima. Namun demikian, kebanyakan manusia berpaling darinya sehingga mereka tidak mengetahui. Akhirnya mereka merasa hairan apabila ada manusia yang diberi wahyu oleh Allah s.w.t.

Setelah Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul, maka orang-orang Arab mengingkari hal tersebut, atau ada sebahagian dari mereka yang mengingkarinya. Lalu mereka berkata, "Mahabesar Allah, bila Dia mengutus RasulNya seorang manusia seperti Muhammad ini." Lalu Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"2. Patutkah bagi manusia kehairanan bahawa kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka agar," 

Allah s.w.t. mengingkari sikap orang-orang kafir yang merasa hairan terhadap para rasul kerana para rasul itu dari kalangan manusia.

"Berilah peringatan manusia dan berilah khabar gembira orang-orang yang beriman" 

Nazir adalah pemberi peringatan. Peringatkanlah azab Allah kepada orang-orang kafir kepada ayat-ayatNya. Basyir adalah pembawa berita gembira. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang jujur imannya.

"bahawasanya bagi mereka kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka." 

Orang-orang yang beriman mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Di dalam kitab terdahulu (Lauh Mahfuz) telah dituliskan bahawa mereka memperoleh kebahagiaan. Bagi mereka pahala yang baik dan banyak kerana amal perbuatan soleh yang telah mereka kerjakan, seperti solat, puasa, sedekah, tasbih dan sebagainya. Semua itu menjadi tabungan bagi mereka di sisi Tuhannya. Di hari kiamat, Nabi Muhammad s.a.w. akan memberikan syafaat kepada mereka.

Allah s.w.t. telah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. kepada mereka, seorang rasul dari kalangan manusia juga dan dari kalangan kaum mereka sendiri sebagai perantaraan untuk menyampaikan berita gembira dan memberi peringatan kepada mereka. Mereka juga telah mengetahui keperibadiannya yang mulia. Namun,

"Berkata orang-orang kafir, "Sesungguhnya ini sungguh penyihir yang nyata.""

Mubin ertinya jelas dan nyata, padahal mereka adalah orang-orang yang dusta dalam hal tersebut. Mereka hairan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Hal ini kerana kebodohan mereka dan sikap kerasnya.

Mereka merasa hairan terhadap sesuatu yang tidak menghairankan disebabkan kebodohan dan ketidaktahuan mereka terhadap hal yang bermaslahat bagi mereka. Mereka menolak dakwahnya dan berusaha membatalkan agamanya, tetapi Allah s.w.t. menyempurnakan cahayaNya walaupun orang-orang kafir benci.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...