Sabtu, 27 Mei 2017

11:77-83 Tafsir Surah Hud, ayat 77-83.

وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ (٧٧) وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِنْ قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ قَالَ يَا قَوْمِ هَؤُلاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلا تُخْزُونِي فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ (٧٨) قَالُوا لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ   (٧٩) قَالَ لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ (٨٠) قَالُوا يَا لُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَنْ يَصِلُوا إِلَيْكَ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِنَ اللَّيْلِ وَلا يَلْتَفِتْ مِنْكُمْ أَحَدٌ إِلا امْرَأَتَكَ إِنَّهُ مُصِيبُهَا مَا أَصَابَهُمْ إِنَّ مَوْعِدَهُمُ الصُّبْحُ أَلَيْسَ الصُّبْحُ بِقَرِيبٍ (٨١) فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِنْ سِجِّيلٍ مَنْضُودٍ (٨٢) مُسَوَّمَةً عِنْدَ رَبِّكَ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ (٨٣)

Allah s.w.t. telah berfirman menceritakan kisah datangnya para malaikat utusan Allah yang memberitahu Nabi Ibrahim a.s. bahawa mereka akan membinasakan kaum Nabi Lut a.s. atas perintah dariNya. Para malaikat keluar dari rumah Ibrahim a.s. menuju ke kota kaum Lut a.s.

Mereka sampai di Sungai Sodom pada tengah harinya. Pada waktu itu Lut a.s. sedang bekerja di ladang miliknya atau sedang berada di rumahnya.

Mereka bersua dengan puteri Lut a.s. yang sedang memberi minum ternakannya. Maka mereka bertanya, "Hai gadis, apakah ayahmu ada rumah?" Puteri Lut a.s. menjawab, "Tetaplah kalian di tempat, nanti aku akan datang lagi kepada kalian."

Puteri Lut a.s. sengaja memisahkan (menjauhkan) mereka dari kaumnya, lalu ia datang kepada ayahnya dan berkata, "Hai ayah, susullah beberapa pemuda yang ada di pintu gerbang kota, aku belum pernah melihat wajah kaum yang setampan mereka, agar mereka tidak diculik oleh kaummu."

"77. Dan tatkala datang utusan-utusan Kami Lut, dia merasa susah dengan mereka dan dia merasa sempit dengan mereka dadanya." 

Lut a.s. datang menemui mereka. Mereka datang dalam rupa yang sangat tampan sebagai ujian dari Allah buat mereka, hanya Allah lah yang mengetahui hikmah dan alasan hal tersebut. Ketampanan mereka itu membuat Lut a.s. kesusahan dan merasa sempit dadanya. Sedangkan kaumnya sangat menyukai pemuda-pemuda yang rupawan untuk melakukan homoseksual.

Lut a.s. merasa khuatir jika dia tidak menerima mereka sebagai tetamu, pasti akan ada seseorang dari kaumnya yang akan menerima mereka sebagai tetamunya dan akan berbuat buruk terhadap mereka. Lut a.s. merasa tidak mampu melindungi mereka apabila ada gangguan dari kaumnya.

"Dan dia berkata, "Ini hari yang amat sulit.""

'Asib bermaksud ujian yang sangat berat. Lut a.s. mengetahui bahawa dia mesti membela mereka dari ulah kaumnya, dan hal itu pasti akan terasa amat berat baginya. Sebelum itu Lut a.s. dilarang oleh kaumnya menerima lelaki sebagai tetamunya, tetapi akhirnya Lut berkata, "Biarlah, aku akan tetap menerima mereka sebagai tetamuku." Lalu Lut a.s. mengundang mereka untuk bertamu kepadanya. Maka mereka menjawab, "Kami akan menjadi tetamumu malam ini."

Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada Jibril a.s. agar tidak mengazab mereka sebelum Lut a.s. mempersaksikan kejahatan kaumnya sebanyak empat kali persaksian. Lut a.s. merasa khuatir akan keselamatan mereka dan merasa malu kepada mereka.

Ketika mereka berangkat bersama, ketika di tengah jalan, ketika sampai ditengah kota dan ketika sampai di depan pintu rumahnya, Beliau berkata, "Tidakkah kalian mengetahui apa yang biasa dilakukan oleh penduduk kota ini? Aku belum pernah mengetahui di muka bumi ini manusia yang lebih jahat daripada mereka." Setelah Lut a.s. berkata demikian sebanyak empat kali disepanjang perjalanan mereka, Jibril berkata, "Catatlah oleh kalian persaksian ini, kini azab pasti diturunkan."

Lut a.s. tidak memberi tahu seorang pun tentang kedatangan mereka kecuali keluarganya. Setelah mereka masuk ke dalam rumah, isteri Lut a.s. yang sudah berusia lanjut lagi berhati buruk itu pergi dan naik ke atas rumah. Dia mengibarkan pakaiannya sebagai isyarat yang ditujukan kepada kaumnya.

Maka orang-orang fasik berlumba-lumba datang dengan cepat menuju ke arahnya, lalu bertanya, "Apakah yang telah terjadi denganmu?" Isteri Lut a.s. berkata, "Lut telah menerima suatu kaum sebagai tetamunya, aku belum pernah melihat wajah yang setampan mereka dan belum pernah menghidu bau yang sewangi bau mereka."

"78. Dan datang kepadanya kaumnya bergegas-gegas kepadanya." 

Mereka bersegera menuju pintu rumah Lut a.s. dengan bergegas-gegas dari semua arah dan berlari-lari kecil kerana gembira mendengar berita tersebut. Mereka mendorong pintu dari luar.

Sedangkan Lut a.s. berdiri menutup pintu rumahnya, menahan mereka dari dalam, menolak mereka dan melarang serta mengusir mereka agar tidak melakukan kebiasaannya terhadap tetamunya itu. Tetapi sebaliknya kaumnya tidak mahu menerima perlakuan itu, bahkan mereka mengancam dan menekannya.

"Dan sebelumnya mereka melakukan perbuatan-perbuatan keji." 

Perbuatan keji di sini bermaksud mengerjakan liwat (homoseksual). Ibrahim a.s. sering datang kepada kaum Lut a.s. dan mengatakan kepada mereka, "Allah telah melarang kalian melakukan perbuatan yang menyebabkan kalian akan tertimpa siksa dan azabNya." Tetapi mereka tidak menaatinya. Hal tersebut telah menjadi tradisi dan kebiasaan mereka, sehingga pada akhirnya mereka diazab dalam keadaan seperti itu.

Mereka membujuk Lut a.s. agar menyerahkan tetamunya kepada mereka. Lut a.s. berkata, "Mengapa kalian mendatangi jenis lelaki di antara manusia, dan kalian tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhan kalian untuk kalian, bahkan kalian adalah orang-orang yang melampaui batas."

Mereka berkata, "Bukankah kami telah melarangmu menerima lelaki sebagai tetamumu?" Dalam keadaan demikian Lut a.s. mengingatkan mereka kepada Allah.

"Dia berkata, "Wahai kaumku! Inilah puteri-puteriku. Mereka lebih suci bagi kalian.""

Mereka terombang-ambing di dalam kemabukan (kesesatan). Lut a.s. memberikan petunjuk mereka kepada kaum wanita dari kalangan umatnya. Sesungguhnya kedudukan seorang nabi kepada umatnya sama dengan bapa kepada anaknya.

Lut a.s. memberikan petunjuk mereka kepada hal yang lebih bermanfaat bagi mereka dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Lut a.s. menganjurkan mereka agar mengahwini kaum wanitanya bukan sebagai tawaran secara sifah (iaitu untuk berbuat zina dengan mereka).

"Maka bertakwalah kepada Allah, dan janganlah kalian mencemarkanku terhadap tetamuku." 

Lut a.s. menasihati mereka agar menuruti apa yang diperintahkan kepada mereka, iaitu dengan mengahwini kaum wanita saja dan agar mereka tidak mencemarkan namanya terhadap tetamunya.

"Tidakkah di antara kalian ada seorang lelaki yang berakal?" 

Iaitu seorang lelaki yang baik, yang mahu menerima apa yang aku perintahkan, menyuruh berbuat baik, melarang berbuat buruk dan meninggalkan apa yang aku larang.

"79. Mereka berkata, "Sungguh kamu telah tahu tidak ada bagi kami pada puteri-puteri kamu suatu keinginan,""

Mereka tidak mempunyai selera, keinginan atau syahwat terhadap kaum wanita.

"dan sungguh kamu benar-benar mengetahui apa yang kami kehendaki."

Mereka hanya mempunyai keinginan terhadap kaum lelaki. Ucapan-ucapan Lut a.s. itu tidak ada gunanya bagi mereka. Maka kegelisahan Lut a.s. semakin bertambah. Beliau mengancam mereka.

"80. Dia berkata, "Sekiranya sungguh aku memiliki untuk kalian kekuatan atau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat.""

Seandainya aku mempunyai kekuatan untuk menolak kalian, nescaya aku akan membalas kalian dan melakukan berbagai macam usaha untuk mencegah kalian dengan diriku sendiri dan keluargaku. Atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat tentu aku lakukan.

Hal ini hanya menyesuaikan dengan sebab yang dapat dirasakan, kerana jika tidak sesungguhnya Beliau telah berlindung kepada Yang Mahakuat, iaitu Allah. Para malaikat melihat Lut a.s. kesusahan. Maka pada saat itu juga para malaikat menceritakan kepada Lut tentang hakikat jati diri mereka.

"81. Mereka berkata, "Wahai Lut! Sungguh kami para utusan Tuhanmu, tidak akan mereka sampai kepada kamu,""

Malaikat memberitahukan demikian agar tenteram hati Lut a.s. yang kegelisahan. Maka Jibril a.s. bangkit dan menyumbat pintu itu, lalu ia meminta izin kepada Allah untuk menyiksa mereka, maka Allah mengizinkannya. Lalu Jibril a.s. berubah dalam wujud asalnya di langit, kemudian membeberkan kedua sayapnya.

Jibril a.s. berkata, "Pergilah kamu, hai Lut, jauhi pintu itu dan biarkanlah aku menghadapi mereka." Maka Lut a.s. menjauhi pintu, lalu Jibril a.s. keluar menghadapi mereka dan merentangkan sayapnya. Jibril a.s. pukul wajah mereka dengan sayapnya.

Wajah mereka dipenuhi debu. Pukulan itu membutakan mata mereka. Maka mereka pun pergi tanpa mengetahui jalan yang ditempuhnya sambil mengancam akan bertindak terhadap Lut a.s. apabila pagi hari tiba.

"maka berjalanlah dengan keluargamu pada akhir dari malam dan tidak ada yang menoleh ke belakang di antara kalian seorang pun," 

Segeralah kamu pergi meninggalkan negerimu bersama keluargamu dan pengikut-pengikutmu sebelum Subuh tiba. Janganlah ada seorang pun di antara kalian yang tertinggal. Hendaknya kamu berjalan di belakang mereka dan hendaknya yang menjadi perhatianmu adalah keselamatan.

Apabila terdengar bunyi azab yang menimpa kaummu, janganlah kamu terkejut dan takut dengan suara yang menggetarkan itu. Janganlah ada seorang pun di antara kalian yang menoleh ke belakang untuk melihat peristiwa besar yang menimpa mereka. Jangan memperhatikan yang berada di belakangmu. Teruslah berjalan, jangan hiraukan mereka.

"kecuali isteri kamu. Bahawasanya menimpanya apa yang menimpa mereka. "

Malaikat melarang Lut a.s. membawa isterinya bersama kerana dia juga akan ditimpa azab yang menimpa kaumnya. Demikian itu kerana isterinya ikut serta dengan kaumnya dalam dosa, iaitu menunjukkan kaumnya tentang kedatangan para tetamu Lut a.s.

Para utusan itu mempercepatkan kebinasaan kaumnya, sebagai berita gembira untuknya. Lut a.s. bertanya kepada malaikat tentang waktu mereka akan dibinasakan, lalu malaikat menjawab,

"Sesungguhnya waktu yang dijanjikan pada mereka waktu subuh."

Lut a.s. berkata, “Aku ingin lebih cepat lagi. Binasakanlah mereka sekarang juga.” Malaikat menjawab,

"Bukankah waktu subuh sudah dekat?"

Lut a.s. keluar bersama keluarganya dan pengikutnya kecuali isterinya.

"82. Maka tatkala datang keputusan Kami, Kami jadikan bahagian atasnya ke bahagian bawahnya," 

Keputusan Allah datang ketika matahari terbit. Jibril a.s. membeberkan sayapnya dan mencabut bumi kota itu dari bumi lapis yang ketujuh. Maka beterbanganlah tanah mereka, bangunan-bangunan, semua haiwan ternaknya, batu-batuan, dan pepohonannya.

Lalu Jibril a.s. menggenggamnya dan mengepitnya dengan sayapnya, mengangkatnya dan membawanya ke langit, sehingga penduduk langit pertama dapat mendengar jeritan manusia, lolongan anjing dan kokokan ayam milik mereka.

Kemudian Jibril a.s. membalikkannya dan menjatuhkannya ke tanah dalam keadaan terjungkir, lalu ia menghancurkan sebagiannya dengan sebahagian yang lain. Bahagian atas kota itu dibalikkan ke bawah.

Semua kota yang ada di sekitarnya dimusnahkan. Kota-kota kaum Lut a.s. ada lima buah, iaitu Sodom yang terbesar, lalu Sa'bah, Su'ud, Gomorah, dan Dauha. Sesudah negeri mereka dijatuhkan ke bumi, ada yang masih belum mati.

"dan Kami hujani atasnya batu dari tanah liat yang terbakar secara bertubi-tubi." 

Maka Allah s.w.t. menghujaninya mereka di kota-kota itu dengan batu-batu besar dari tanah liat yang terbakar. Sijjil dan sijjin mempunyai makna yang sama, iaitu batu-batu dari tanah liat yang keras, batu dan tanah liat, yang telah mengeras jadi batu sehingga kuat, tanah liat yang dibakar, yang kuat lagi besar.

Mandud bermaksud yang dibakar di langit, iaitu yang disediakan khusus untuk itu atau yang diturunkan secara bertalu-talu kepada mereka. Batu-batu tersebut mengejar mereka di seluruh negeri, lalu membinasakan mereka.

Ada yang mengatakan bahawa isteri Lut a.s. berangkat bersama rombongan Lut a.s. Ketika mendengar suara gemuruh, isteri Lut a.s. menoleh ke belakang. Maka ia menjerit seraya berkata, "Aduhai kaumku!" Lalu datanglah sebuah batu besar dari langit menimpanya dan membunuhnya.

"83. Diberi tanda di sisi Tuhan kamu." 

Pada setiap batu itu diberi tanda cap nama-nama pemiliknya, tertuliskan nama orang yang akan ditimpa olehnya dan dilumuri dengan cairan racun berwarna merah. Ada yang mengatakan, di batu itu ada tanda azab dan kemurkaan dari Allah Azza wa Jalla, wallahu a’lam.

Di antara mereka ada yang melarikan diri ke negeri lain, maka batu-batuan itu mengejarnya ke tempat ia berada. Tiba-tiba batu itu menimpanya dan membunuhnya.

"Dan tidaklah ia dari orang-orang yang zalim jauh." 

Batu itu tidak jauh dari orang-orang yang zalim. Negeri kaum Lut a.s. yang dibinasakan itu tidaklah jauh dari penduduk Mekah yang zalim (orang-orang musyrik). Azab, siksaan atau pembalasan Allah itu tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim seperti mereka.

Kota-kota kaum Lut a.s. telah dihancurkan Allah dengan azab yang besar. Ibrahim a.s. dapat menyaksikan penghancuran kota Sodom itu dan Beliau mengatakan, "Hai penduduk Sodom, ini adalah hari kehancuran kalian!"

Oleh kerana itu, takutlah kalian daripada berbuat seperti yang dilakukan oleh mereka, supaya tidak ditimpa azab seperti yang telah menimpa mereka.

Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Barang siapa yang kalian jumpai sedang mengerjakan perbuatan kaum Lut, maka bunuhlah pelaku dan orang yang dikerjainya."

Imam Syafi’i dan sejumlah ulama mengatakan bahawa orang yang melakukan perbuatan kaum Lut harus dibunuh, baik dia telah muhsan ataupun belum muhsan. Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa si pelaku harus dijatuhkan dari tempat yang tinggi, kemudian diiringi dengan lemparan batu, seperti yang dilakukan oleh Allah s.w.t. terhadap kaum Lut a.s.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...