Ahad, 28 Mei 2017

13:8-11 Tafsir Surah Ar Ra’d, ayat 8-11.

اللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنْثَى وَمَا تَغِيضُ الأرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِمِقْدَارٍ (٨) عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْكَبِيرُ الْمُتَعَالِ (٩) سَوَاءٌ مِنْكُمْ مَنْ أَسَرَّ الْقَوْلَ وَمَنْ جَهَرَ بِهِ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفٍ بِاللَّيْلِ وَسَارِبٌ بِالنَّهَارِ (١٠) لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ (١١)

Allah s.w.t. berfirman menerangkan tentang ilmuNya Yang Mahasempurna, pengetahuanNya yang mencakup segalanya dan tiada sesuatu pun yang samar bagiNya.

"8. Allah mengetahui apa yang dikandung tiap-tiap perempuan," 

PengetahuanNya meliputi apa yang berada di dalam kandungan semua wanita. Dia mengetahui apa yang dikandung di dalam rahim, jenis lelaki atau perempuan, kembar atau tidak, rupawan atau hodoh, celaka atau bahagia, berumur panjang atau pendek dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya kejadian seseorang di antara kalian dihimpunkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari dalam bentuk nutfah. Kemudian menjadi 'alaqah (segumpal darah) dalam jarak waktu yang sama, lalu menjadi segumpal daging dalam jarak waktu yang sama. Kemudian Allah mengirimkan malaikat kepadanya yang diperintahkan untuk mencatat empat ketentuan, iaitu rezekinya, usianya, amal perbuatannya, dan nasibnya, apakah celaka atau bahagia. Maka malaikat itu bertanya, " Wahai Tuhanku, adakah dia lelaki atau perempuan. Wahai Tuhanku, adakah dia bernasib celaka atau bahagia? Bagaimanakah rezekinya? Berapa lamakah usianya?” Maka Allah menjawabnya dan malaikat itu mencatatnya."

"dan apa yang belum sempurna kandungan rahim dan apa yang bertambah." 

Allah s.w.t. mengetahui kandungan rahim yang kurang sempurna, iaitu janin yang gugur, binasa, menyusut atau mati, kelahiran pramatang atau kurang dari sembilan bulan. Darah akan keluar dari rahimnya sebelum masa sembilan bulan kandungan.

Allah s.w.t. mengetahui kandungan rahim yang bertambah, iaitu rahim yang sempurna terus bertambah masa kandungannya hingga melahirkannya dengan sempurna. Jika tidak keluar darah dari rahimnya, bererti bayi yang dilahirkannya sempurna dan sihat.

Ada juga masa kandungan yang lebih lama daripada biasa sehingga mencapai dua tahun. Ketika ia dilahirkan, kedua gigi serinya telah tumbuh. Semuanya itu terjadi berdasarkan pengetahuan dari Allah s.w.t.

"Dan tiap-tiap sesuatu di sisiNya dengan ukuran." 

Allah mencatat rezeki dan ajal makhlukNya. Dia menjadikan hal tersebut ada batasannya yang telah ditentukan, tidak cepat, tidak lambat, tidak bertambah dan tidak berkurang, melainkan sesuai yang dikehendaki hikmah dan ilmuNya.

"9. Yang mengetahui yang ghaib dan yang tampak; Maha Besar Maha Tinggi." 

Allah s.w.t. mengetahui segala sesuatu yang dapat dilihat oleh hamba-hambaNya dan yang tidak dapat dilihat oleh mereka, tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagiNya. Dia berkuasa atas segala sesuatu. Maka tunduklah semua diri kepadaNya, dan takluklah semua hamba kepadaNya, baik dengan senang hati ataupun terpaksa.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kunci-kunci keghaiban ada lima, tiada yang mengetahuinya selain Allah, iaitu, Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok kecuali hanya Allah, tiada yang mengetahui apa yang terkandung di dalam rahim kecuali hanya Allah, tiada yang mengetahui bila hujan turun kecuali hanya Allah, seseorang tidak akan mengetahui di negeri mana ia akan mati, dan tiada yang mengetahui bila kiamat terjadi kecuali hanya Allah."

Dia Mahabesar atas segala sesuatu baik zatNya, namaNya maupun sifatNya. Dia Mahatinggi atas segala sesuatu, baik zatNya, kedudukanNya dan kekuasaanNya. Dia Mahatinggi dari semua sifat kekurangan. IlmuNya benar-benar meliputi segala sesuatu.

"10. Sama saja di antara kalian orang yang merahsiakan perkataan, dan orang yang menampakkan dengannya," 

Apa saja ucapan yang kalian sembunyikan atau kalian nyatakan, semuanya sama saja bagi Allah. Sesungguhnya Allah mendengar semuanya, tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagiNya.

"dan orang yang dia bersembunyi pada malam hari dan yang berjalan pada siang hari." 

Siapa yang bersembunyi di dalam gua, rumah, terowong atau selimut di kegelapan malam hari dan siapa yang berjalan menampakkan dirinya di siang hari, kedua keadaan tersebut sama saja bagi ilmu Allah. Dia mengetahui semuanya dengan sama.

"11. Baginya malaikat pengiring dari depannya dan dari belakangnya. Mereka menjaganya dari perintah Allah." 

Bagi setiap manusia ada beberapa malaikat hafazhah yang sentiasa menjaganya secara bergiliran di malam dan siang hari. Mereka tidak pernah berpisah dengannya, kecuali semasa dia sedang berada di tandas dan ketika dia sedang bersetubuh.

Malaikat yang ada di sebelah kanannya mencatat semua amalan baiknya, sedangkan yang ada di sebelah kirinya mencatat semua amalan buruknya. Selain dari itu ada dua malaikat lain lagi di depan dan dibelakangnya yang bertugas menjaga badan dan ruhnya dari hal-hal yang buruk, kecelakaan-kecelakaan, makhluk yang hendak berbuat buruk kepadanya seperti jin, manusia dan haiwan buas.

Dua malaikat itu menjaganya dari hal-hal yang tidak ditakdirkan untuknya. Apabila ada makhluk hendak memudaratkannya, malaikat penjaga itu berkata kepadanya, "Pergilah ke belakangmu!"

Apabila takdir Allah telah memutuskan sesuatu terhadap seseorang, maka para malaikat itu menyerahkannya kepada apa yang telah ditakdirkan baginya dan menjauhinya. Maka barulah dapat mengenainya. Sesungguhnya ajal itu adalah benteng yang sangat kuat.

Dengan demikian, seseorang hamba dijaga oleh empat malaikat di siang harinya, dan empat malaikat lagi di malam harinya secara bergantian. Mereka berkumpul di waktu solat Subuh dan solat Asar.

Maka naiklah para malaikat yang menjaga kalian di malam hari, lalu Tuhan Yang Maha Mengetahui keadaan kalian menanyai mereka, "Dalam keadaan apakah kalian tinggalkan hamba-hambaKu?” Mereka menjawab, "Kami datangi mereka sedang mereka dalam keadaan solat dan kami tinggalkan mereka sedang mereka dalam keadaan solat."

Setiap manusia dijaga oleh para malaikat itu atas, dengan atau berdasarkan perintah dari Allah s.w.t. Seandainya manusia nampak semua kemudahan dan semua kesulitan, tentulah dia akan nampak segala sesuatu dari hal tersebut sebagai sesuatu yang meyakinkannya. Sekiranya Allah tidak menugaskan malaikat-malaikat untuk menjaganya dalam makanan, minuman dan auratnya, nescaya dia akan binasa.

Mereka (para sahabat) bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu tentang ruqyah (pengubatan memakai jampi) yang biasa kita gunakan? Apakah ia dapat menolak sesuatu dari takdir Allah?" Rasulullah s.a.w. menjawab melalui sabdanya, "Ruqyah itu sendiri termasuk bahagian dari takdir Allah."

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada seorang pun di antara kalian melainkan telah ditugaskan untuk menemaninya teman dari jin dan teman dari malaikat.” Mereka bertanya, "Juga engkau, wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab, "Juga diriku ini, tetapi Allah menolongku terhadap gangguannya. Kerana itu, tiadalah menganjurkan kepadaku kecuali hanya kebaikan belaka.”

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang pada diri mereka." 

Allah s.w.t. telah melimpahkan nikmatNya. Suatu kaum yang mengubah keadaan diri mereka, berpaling dari iman kepada kekafiran, dari taat kepada maksiat dan dari syukur kepada kufur. Maka Allah memalingkan dari mereka hal-hal yang mereka sukai dan menggantikannya dengan hal-hal yang tidak mereka sukai. Allah akan mengubah keadaannya dari bahagia kepada sengsara.

Begitu juga sebaliknya. Suatu kaum yang mengubah keadaan diri mereka, berpaling dari kekafiran kepada iman, dari maksiat kepada taat dan dari kufur kepada syukur. Maka Allah palingkan dari mereka hal yang tidak mereka sukai, iaitu azabNya; dan Allah berikan kepada mereka hal yang mereka sukai, iaitu rahmatNya. Allah akan mengubah keadaanya dari sengsara kepada kebahagiaan.

Ada juga yang menafsirkan bahawa Allah tidak akan mengubah keadaan mereka, selama mereka tidak mengubah sebab-sebab kemunduran mereka.

"Dan apabila Allah menghendaki suatu kaum keburukan, maka tidak ada yang menolak baginya dan tidaklah bagi mereka dari selainNya dari pelindung."

Apabila Allah menghendaki keburukan, azab dan perkara yang tidak diingini terhadap sesuatu kaum, ia pasti akan berlaku. Tiada yang dapat menghindarkan azab itu. Oleh kerana itu, hendaknya orang yang tetap berada di atas perbuatan yang dimurkai Allah berhati-hati jika nanti Allah timpakan siksaan yang tidak dapat ditolak.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...