Rabu, 24 Mei 2017

9:17-22 Tafsir Surah At Taubah, ayat 17-22.

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ  (١٧) إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ (١٨) أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (١٩) الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (٢٠) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ  مُقِيمٌ (٢١) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ (٢٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"17. Tidak ada bagi orang-orang musyrik mereka memakmurkan masjid-masjid Allah," 

Orang-orang musyrik tidak layak memakmurkan, menghidupkan, memasuki, duduk di dalamnya atau melakukan berbagai ibadah di dalam masjid-masjid Allah yang dibangun atas namaNya semata, tiada sekutu bagiNya, walaupun mereka mengaku yang berhak memakmurkannya.

Masjid yang dimaksudkan ialah Masjidil Haram, masjid yang paling mulia di bumi ini, yang sejak pertama dibangun untuk menyembah Allah semata, tiada sekutu bagiNya. Orang yang membangunnya adalah kekasih Tuhan Yang Maha Pemurah, iaitu Nabi Ibrahim a.s.

"mereka mengakui atas diri mereka dengan kekafiran." 

Orang-orang musyrik itu sendiri menjadi saksi atau mengakui bahawa mereka adalah orang musyrik dan diri mereka tidak beriman. Sedangkan syarat diterimanya amal adalah beriman.

"Mereka itulah sia-sia amal-amal mereka, dan di dalam neraka mereka kekal." 

Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan sia-sia pekerjaannya kerana kemusyrikan mereka. Maka mereka tidak memperoleh keutamaan dari amal tersebut dan mereka akan tetap tinggal di dalam neraka selamanya.

"18. Sungguh hanyalah memakmurkan masjid-masjid Allah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir," 

Masjid-masjid itu adalah rumah-rumah Allah yang ada di bumi. Sesungguhnya sudah merupakan hak Allah memuliakan orang-orang yang menziarahiNya di dalam masjid-masjid itu. Allah s.w.t. menyifati mereka dengan iman yang bermanfaat dan mempersaksikan keimanan orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid.

Mereka mentauhidkan Allah dan beriman dengan adanya hari kemudian, iaitu beriman kepada apa yang diturunkan oleh Allah. Mereka adalah kaum mukmin yang memuliakan hurumatullah (apa yang dipelihara Allah kemuliaannya).

Memakmurkan masjid terbahagi dua; zahir dan batin. Zahir berkaitan dengan fizikal (seperti bersih dan selesa), sedangkan batin berkaitan dengan zikrullah dan syi’ar-syi’ar Islam (seperti azan, solat Jumaat, dan solat berjama’ah, membaca Al Qur’an, berzikir, beribadah dan sebagainya) dan kegiatan keagamaan (pengajian dan pendalaman agama).

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid itu adalah orang-orang yang beriman kepada Allah."

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala manusia, sama halnya dengan serigala kambing. Ia memangsa kambing yang jauh dan kambing yang memisahkan diri. Kerana itu, hati-hatilah kalian terhadap perpecahan, berpeganglah kalian kepada jamaah (persatuan), publik, dan masjid."

"dan mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan tidak takut kecuali kepada Allah." 

Induk kepada amal soleh adalah solat dan zakat. Solat yang dimaksudkan adalah solat lima waktu. Solat merupakan ibadah badaniah yang paling besar. Zakat adalah amal yang paling utama, manfaatnya mengalir sampai kepada orang lain dalam bentuk santunan.

Mereka tidak takut, tidak gentar dan tidak menyembah kepada sesiapa atau sesuatu pun kecuali hanya kepada Allah s.w.t. Memiliki rasa takut kepada Allah merupakan pangkal semua kebaikan. Kerana rasa takut kepada Allah, mereka menjauhi yang dilarangNya dan memperhatikan hak-hakNya yang wajib.

"Maka mudah-mudahan mereka, mereka menjadi termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk."

Semua lafaz 'asa (mudah-mudahan) yang terdapat di dalam Al Qur'an bererti hal yang pasti dan mesti. Maka dengan adanya sifat-sifat yang tersebut, merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berbahagia.

Talhah ibnu Syaibah dari kalangan Bani Abdud Dar, Abbas ibnu Abdul Muttalib, dan Ali ibnu Abu Talib saling membanggakan diri. Talhah berkata, "Saya adalah pengurus Baitullah, kuncinya berada padaku. Jika aku suka, aku dapat menginap di dalamnya." Al Abbas berkata. "Aku adalah pengurus Siqayah dan yang mengaturnya. Jika aku suka, aku dapat menginap di dalam masjid." Ali r.a. berkata, "Aku tidak mengerti apa yang kalian katakan. Sesungguhnya aku telah solat menghadap ke arah kiblat sejak enam bulan sebelum orang lain melakukannya, dan aku adalah ahli jihad."

Setelah Perang Badar, orang-orang muslim datang menemui Al Abbas ibnu Abdul Muttalib dan teman-temannya yang ditawan dengan maksud mengecam mereka atas kemusyrikan mereka. Maka Al Abbas berkata, "Ingatlah, demi Allah, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang memakmurkan Masjidil Haram, membebaskan (membanteras) kemiskinan, mengurus Baitullah, dan memberi minum orang-orang yang haji."

Ketika An Nu'man ibnu Basyir Al Ansari berada dekat mimbar Rasulullah s.a.w. bersama sejumlah sahabatnya, maka seseorang dari mereka berkata, ”Saya tidak mempedulikan lagi suatu amalan pun kerana Allah sesudah Islam kecuali memberi minum orang-orang yang mengerjakan haji." Orang lainnya mengatakan, "Tidak, bahkan memakmurkan Masjidil Haram." Dan orang yang lainnya lagi mengatakan, "Tidak, bahkan berjihad di jalan Allah adalah lebih baik daripada apa yang kalian katakan itu." Maka Umar r.a. mengherdik mereka dan mengatakan, "Jangan kalian keraskan suara kalian di hadapan mimbar Rasulullah s.a.w." Saat itu adalah hari Jumaat. Setelah mengerjakan solat Jumaat, mereka masuk menemui Rasullulah s.a.w. dan meminta fatwa kepadanya tentang apa yang diperselisihkan oleh mereka.

Maka pada semasa itu juga turunlah firman Allah s.w.t.,

"19. Apakah kalian jadikan pemberi minum orang-orang yang berhaji dan pemakmur Masjidil Haram, seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir dan berjihad di jalan Allah?"

Allah s.w.t. lebih mengutamakan iman dan jihad bersama Nabi s.a.w. dengan beberapa darjat daripada memakmurkan atau menguruskan Baitullah dan menguruskan air minum jamaah haji yang dilakukan oleh orang-orang musyrik, kerana amal tersebut tidaklah bermanfaat bagi mereka selagi mereka masih dalam keadaan musyrik, sekalipun mereka memakmurkan Baitullah dan menghormatinya.

Iman merupakan asas agama, dan dengannya amal akan tegak dan diterima. Adapun jihad di jalan Allah, maka ia adalah puncak agama, di mana dengannya agama Islam terjaga dan semakin meluas, kebenaran terbela dan mengalahkan kebatilan.

Sedangkan memakmurkan Masjidilharam dan memberi minum jamaah haji walaupun sebagai amal soleh, namun ia bergantung kepada adanya iman, dan di sana juga tidak terdapat maslahat yang sama seperti dalam masalah iman dan jihad.

"Mereka tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberi petunjuk kaum yang zalim."

Mereka yang bersifat demikian tidak sama di sisi Allah. Dia tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang menyangka bahawa diri mereka adalah ahli memakmurkan masjid. 

Allah s.w.t. menyebut mereka sebagai orang-orang yang zalim kerana kemusyrikan mereka, maka tiada manfaatnya amal mereka barang sedikit pun kerana Allah tidak mahu menerima amal yang dilakukan dalam kemusyrikan.

"20. Orang-orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan diri mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah,"

Beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja.

"dan mereka itu orang-orang yang beruntung." 

Iaitu mendapat apa yang dicari dan selamat dari sesuatu yang dikhuatirkan.

"21. Menggembirakan mereka Tuhan mereka dengan rahmat dariNya, dan keridhaan, dan syurga;" 

Allah s.w.t. memberikan rahmatNya, iaitu menghindarkan dari mereka semua keburukan dan akan menyampaikan kepada mereka semua kebaikan. Keridhaan merupakan nikmat syurga yang paling besar dan paling agung. Dia akan ridha kepada mereka dan tidak akan pernah murka selama-lamanya.

"bagi mereka di dalamnya kesenangan yang kekal." 

Di dalam syurga mereka mendapat nikmat yang kekal, yang disenangi oleh jiwa mereka dan hal yang menyejukkan pandangan mereka. Tidak ada yang mengetahui sifat dan ukurannya selain Allah s.w.t.

Di antaranya juga adalah Allah telah menyediakan untuk orang-orang yang berjihad di jalanNya 100 darjat, di mana antara masing-masing darjat jaraknya sebagaimana antara langit dan bumi,

"22. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya." 

Mereka tidak dikeluarkan darinya dan mereka tidak ingin pindah daripadanya.

"Sesungguhnya Allah di sisiNya pahala yang besar." 

Allah s.w.t. ada menyediakan di sisiNya pahala yang besar. Oleh kerana itu, janganlah kalian hairan terhadap balasan yang demikian besar itu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...