Jumaat, 5 Mei 2017

28:29-32 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 29-32.

فَلَمَّا قَضَى مُوسَى الأجَلَ وَسَارَ بِأَهْلِهِ آنَسَ مِنْ جَانِبِ الطُّورِ نَارًا قَالَ لأهْلِهِ امْكُثُوا إِنِّي آنَسْتُ نَارًا لَعَلِّي آتِيكُمْ مِنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ جَذْوَةٍ مِنَ النَّارِ لَعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ (٢٩) فَلَمَّا أَتَاهَا نُودِيَ مِنْ شَاطِئِ الْوَادِ الأيْمَنِ فِي الْبُقْعَةِ الْمُبَارَكَةِ مِنَ الشَّجَرَةِ أَنْ يَا مُوسَى إِنِّي أَنَا اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ (٣٠) وَأَنْ أَلْقِ عَصَاكَ فَلَمَّا رَآهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَانٌّ وَلَّى مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ يَا مُوسَى أَقْبِلْ وَلا تَخَفْ إِنَّكَ مِنَ الآمِنِينَ (٣١) اسْلُكْ يَدَكَ فِي جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ وَاضْمُمْ إِلَيْكَ جَنَاحَكَ مِنَ الرَّهْبِ فَذَانِكَ بُرْهَانَانِ مِنْ رَبِّكَ إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ (٣٢)

Nabi Musa a.s. telah mengikat perjanjian dengan mertuanya bahawa Beliau akan dikahwinkan dengan salah seorang dari anaknya dengan syarat Beliau bekerja dengannya selama lapan tahun, atau menggenapkannya menjadi sepuluh tahun dengan kerelaannya sendiri.

"29. Maka tatkala telah sempurna Musa waktu," 

Ketika Musa a.s. telah menyelesaikan waktu yang ditentukan itu, dan Beliau telah menunaikan masa yang paling banyak, paling baik, paling sempurna, dan paling bersih dari kedua masa itu. 

Beliau merasa rindu dengan tanah tempat kelahirannya dan juga sanak saudaranya. Maka Beliau bertekad untuk mengunjungi mereka dengan sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan Fir'aun dan kaumnya.

"dan dia berjalan pada malam hari dengan keluarganya," 

Musa a.s. berangkat menuju Mesir bersama isterinya dan sejumlah kambing hasil pemberian mertuanya. Mereka menempuh jalan di malam yang gelap lagi hujan lebat dan cuaca yang dingin.

Ketika itu mereka telah sesat jalan dan kedinginan. Maka mereka beristirehat di suatu tempat. Setiap kali Beliau cuba menyalakan api, ia tidak mahu juga menyala. Ketika Beliau dalam keadaan demikian,

"dia melihat dari sebelah Gunung Tur api." 

Dari kejauhan Musa a.s. nampak nyalaan api yang terang di lereng gunung.

"Dia berkata kepada keluarganya, "Diamlah kalian, sesungguhnya aku melihat api,""

Musa a.s. menyuruh isterinya menunggu di tempat istirahatnya sementara Beliau pergi melihat ke tempat api itu.

"mudah-mudahan aku bawakan kalian darinya dengan berita, atau nyala dari api agar kalian memanaskan badan." 

Musa a.s. berharap akan mendapat petunjuk jalan yang harus dilalui atau membawa sebahagian dari nyalaan api itu untuk berdiang isterinya agar tidak kedinginan.

"30. Maka tatkala dia mendatanginya, diseru dan pinggir lembah sebelah kanan di sebidang tanah yang diberkahi dari pohon bahawa," 

Apabila Musa a.s. sampai ke tempat api itu, Beliau diseru dari arah pinggir lembah yang ada di sebelah bukit yang berada di sebelah kanannya dari arah barat. Beliau menuju ke arah tempat api itu yang mengarah ke kiblat, sedangkan bukit yang ada di barat berada di sebelah kanannya.

Beliau menjumpai api itu menyala besar pada sebuah pohon hijau di lereng bukit yang bersebelahan dengan lembah itu. Pohon itu adalah pohon samurah yang hijau berdaun lebat, pohon 'aliq atau pohon 'ausaj. Tongkat Musa a.s. juga dibuat dari kayu pohon 'ausaj. Musa a.s. berdiri terpegun kehairanan menyaksikan pemandangan tersebut.

"Wahai Musa! Sesungguhnya Aku, Aku Allah, Tuhan alam semesta!" 

Allah s.w.t. berbicara kepada Musa a.s., memberitahukan rububiyyahNya (pengaturanNya terhadap alam semesta) dan uluhiyyahNya (keberhakanNya untuk disembah). Dia adalah Tuhan semesta alam Yang Maha Berbuat terhadap apa yang dikehendakiNya, tiada Tuhan dan tiada Rabb selain Dia Yang Mahatinggi, lagi Mahasuci dari kemiripan dengan makhlukNya dalam zat, sifat, dan perbuatanNya. Di tempat dan di saat itulah Musa a.s. diangkat menjadi rasul.

Allah s.w.t. berfirman, "Apakah itu yang ada di tangan kananmu, wahai Musa?” Musa menjawab, "Ini adalah tongkatku, aku bertelekan padanya, dan aku pukul (daun) dengannya untuk kambingku, dan bagiku ada lagi keperluan yang lain padanya.” Allah berfirman,

"31. Dan lemparkanlah tongkatmu." 

Lemparkanlah tongkat yang telah kamu kenal itu, yang ada di tanganmu itu. Musa a.s. pun melemparkannya.

"Maka ketika melihatnya bergerak-gerak seakan-akan ia ular," 

Musa a.s. melihat tongkatnya itu bergerak-gerak menjadi seekor ular jantan yang besar. Ia merayap dengan cepat, banyak kakinya, lebar mulutnya, dan taring-taring serta gigi-giginya berderak-derak. Ia menelan semua batu besar yang dilaluinya, lalu masuk ke dalam mulutnya dan masuk ke dalam perutnya mengeluarkan suara dentuman seakan-akan terjatuh dari atas jurang. Maka pada saat itu,

"dia lari ke belakang dan tidak menoleh." 

Musa a.s. lari ke belakang tanpa menoleh lagi kerana sangat ngeri melihat permandangan seperti itu. Allah s.w.t. berfirman menyerunya,

"Wahai Musa! Datanglah kembali dan jangan takut. Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang aman." 

Maka Musa a.s. kembali ke tempat tadi dan menghadap dengan tiada rasa takut, bahkan merasa tenteram dan percaya dengan berita Tuhannya. Sejak itulah Musa a.s. mengetahui dan merasa yakin bahawa yang berbicara kepadanya adalah Tuhan Yang mengatakan kepada sesuatu, "Jadilah kamu," maka jadilah ia. Imannya bertambah dan keyakinannya sempurna.

"32. Masukkanlah tanganmu ke dalam sakumu, ia akan keluar putih tanpa cacat," 

Masukkanlah tanganmu melalui leher bajumu dan letakkannya ke dadamu. Apabila kamu keluarkan tanganmu itu, ia akan mengeluarkan sinar berkilauan seakan-akan sinar kilat yang menyilaukan. Namun, ia bukanlah kerana terkena penyakit.

"dan dekapkanlah kepadamu tangan kamu dari ketakutan." 

Kerana Musa a.s. merasa takut, Allah s.w.t. memerintahkan untuk mendekapkan tangan ke dadanya agar rasa takut itu hilang, yang kemudian keadaannya akan kembali seperti biasanya.

"Maka itulah dua mukjizat dari Tuhanmu kepada Fir'aun dan para pembesarnya. Sesungguhnya mereka, mereka kaum yang fasik." 

Allah s.w.t. tunjukkan dua mukjizat itu kepada Musa a.s. sebelum Beliau berangkat menghadap Fir’aun agar Beliau berada di atas keyakinan yang sempurna sehingga Beliau lebih berani dan lebih kuat.

Kedua mukjizat itu merupakan bukti tepat yang jelas menunjukkan kekuasaan Tuhan Yang Maha Berbuat lagi Maha Melakukan apa yang dikehendakiNya, juga menunjukkan kebenaran kenabian orang yang menimbulkan peristiwa yang bertentangan dengan hukum alam tersebut.

Fir'aun, para pembesarnya dan para pengikutnya adalah orang-orang yang fasik. Mereka keluar dari jalan ketaatan kepada Allah lagi menentang perintah dan agamaNya. Maka tidak cukup diperingatkan, bahkan harus ditunjukkan mukjizat kepada mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...