Ahad, 7 Mei 2017

33:59-62 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 59-62.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (٥٩) لَئِنْ لَمْ يَنْتَهِ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ وَالْمُرْجِفُونَ فِي الْمَدِينَةِ لَنُغْرِيَنَّكَ بِهِمْ ثُمَّ لا يُجَاوِرُونَكَ فِيهَا إِلا قَلِيلا (٦٠) مَلْعُونِينَ أَيْنَمَا ثُقِفُوا أُخِذُوا وَقُتِّلُوا تَقْتِيلا (٦١) سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلُ وَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلا (٦٢)

Dahulu kaum lelaki yang fasik dari kalangan penduduk Madinah gemar keluar di malam hari pabila hari telah gelap. Mereka berkeliaran di jalan-jalan Madinah dan suka mengganggu wanita yang keluar malam. Saat itu rumah penduduk Madinah kecil-kecil. Bila hari telah malam, kaum wanita yang hendak menunaikan hajatnya keluar, dan hal ini dijadikan kesempatan oleh orang-orang fasik untuk mengganggunya.

Tetapi apabila mereka melihat wanita yang keluar itu memakai jilbab, maka mereka berkata kepada teman-temannya, "Ini adalah wanita merdeka, jangan kalian ganggu." Dan apabila mereka melihat wanita yang tidak memakai jilbab, maka mereka berkata, "Ini adalah hamba," lalu mereka mengganggunya.

Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat hijab. Dia berfirman,

"59. Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan orang-orang mukmin," 

Allah s.w.t. memerintahkan kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w. agar memerintahkan kepada kaum wanita yang beriman, khususnya isteri-isteri Beliau dan anak-anak perempuannya. Mereka lebih ditekankan daripada wanita-wanita lain kerana kemuliaan yang mereka miliki sebagai ahli bait Rasulullah s.a.w. Begitu juga orang yang memerintahkan orang lain sepatutnya memulai dari keluarganya sendiri terlebih dahulu sebelum orang lain.

"mereka menutupi atas mereka dari baju panjang mereka." 

Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Jilbab ialah kain penutup yang dipakai di atas tudung atau sejenis baju kurung lebar yang dapat menutup seluruh tubuh wanita di samping baju yang biasa dipakai dalam rumah oleh wanita dan tudung. Dan kalau sekarang jilbab sama kedudukannya dengan kain sarung.

Allah s.w.t. memerintahkan kepada kaum wanita yang beriman apabila mereka keluar rumah untuk suatu keperluan, hendaklah mereka menurunkan jilbabnya untuk menutupi seluruh tubuh terutamanya kepala, muka, leher dan dada mereka dengan kain jilbab dan hanya diperbolehkan menampakkan sebelah matanya saja, iaitu mata kiri.

Ketika ayat ini diturunkan, kaum wanita Ansar keluar seakan-akan di atas kepala masing-masing dari mereka ada burung gagak kerana sikap mereka yang tenang, dan mereka memakai pakaian yang berwarna hitam.

"Demikian itu lebih dekat untuk mereka dikenal, maka mereka tidak diganggu." 

Apabila mereka melakukan hal tersebut, maka mereka mudah dikenali sebagai wanita yang merdeka, bukan hamba, bukan wanita Jahiliah dan bukan pula wanita tuna susila (rosak akhlaknya atau pezina). Kerana itu, tidak ada seorang fasik pun yang mengganggu wanita-wanita merdeka atau melakukan perbuatan yang tidak senonoh terhadapnya. Berbeda dengan hamba yang tidak menutupi wajahnya. Mereka selalu diganggu oleh orang yang fasik dan orang munafik.

Hamba perempuan yang telah berkahwin diharuskan memakai tudung, dan dilarang baginya memakai jilbab, kerana makruh baginya menyerupakan diri dengan wanita-wanita merdeka yang memelihara kehormatannya.

"Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Dia Maha Pengampun terhadap dosa-dosa di masa lalu kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang etika ini. Dia merahmati mereka dengan menerangkan beberapa hukum, menerangkan yang halal dan yang haram.

"60. Sungguh, jika tidak berhenti orang-orang munafik, dan orang-orang yang dalam hati mereka penyakit, dan orang yang menyebarkan khabar bohong Madinah," 

Orang-orang munafik menampakkan keimanannya, sedangkan di dalam batin mereka menyimpan kekufuran. Orang-orang yang berpenyakit keraguan maupun syahwat dalam hatinya, iaitu para pezina.

Penyebar khabar bohong mengatakan kepada Nabi s.a.w. dan kaum muslim, bahawa musuh dalam jumlah yang sangat besar akan datang menyerang dan sebentar lagi akan terjadi perang dahsyat, pasukan kecil (sariyyah) telah terbunuh atau kalah, jumlah musuh lebih besar, mereka lebih kuat, kaum muslimin lemah, dan sebagainya. Padahal berita itu dusta dan rekaan belaka.

Jika mereka semua tidak mahu berhenti dari mengganggu dan menyakiti Nabi s.a.w., menyindir Islam dan kaum muslimin, menakut-nakuti kaum muslimin dan mengendurkan semangat mereka, melemahkan kekuatan kaum muslimin, mengganggu wanita mukminah, melakukan perbuatan maksiat dan tidak mahu kembali ke jalan yang benar,

"nescaya Kami perintahkan kamu menyerang mereka," 

Kami akan perintahkan engkau memberi mereka hukuman dan memerangi mereka. Kami akan menjadikanmu berkuasa atas mereka. Kami akan memberikan pelajaran kepada mereka melaluimu. Jika Kami telah melakukannya, maka tidak ada kemampuan lagi bagi mereka untuk melawanmu.

"kemudian mereka tidak jadi tetanggamu di dalamnya kecuali sedikit."

Mereka tidak lagi menjadi jiranmu di Madinah melainkan dalam waktu yang sebentar kerana kamu membunuh mereka atau mengasingkan mereka. Dalam ayat ini terdapat dalil tentang pengasingan orang-orang yang jahat, di mana dengan tetap tinggalnya mereka di tengah-tengah masyarakat muslim dapat menimbulkan bahaya, maka dengan pengasingan dapat memutuskan keburukan mereka dan menjauhkan kaum muslimin darinya.

"61. Mereka dilaknat," 

Masa tinggal mereka di Madinah sebentar lagi kerana dalam waktu yang dekat mereka akan diusir dalam keadaan terlaknat, iaitu dijauhkan dari rahmat Allah.

"di mana saja mereka dijumpai, mereka ditangkap, dan mereka dibunuh dengan tanpa ampun." 

Di mana saja mereka ditemui, mereka ditangkap kerana hina dan jumlah mereka sedikit. Mereka dibunuh habis-habisan dengan sehebat-hebatnya. Mereka dijauhkan di mana saja mereka berada, tidak mendapat keamanan, tidak dapat menetap, dan mereka takut dibunuh, dipenjarakan atau disiksa.

Demikianlah ketetapan Allah terhadap orang-orang munafik. Apabila mereka tetap dengan kemunafikan, kekafiran, tidak mahu menghentikan perbuatannya, tidak mahu kembali ke jalan yang benar, orang-orang yang beriman akan menguasai mereka dan mengalahkan mereka.

"62. Sunnah Allah atas orang-orang yang terdahulu sebelumnya," 

Yang demikian itu adalah menurut ketetapan atau undang-undang peraturan Allah yang telah berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelummu. Barang siapa yang tetap berbuat maksiat, berani mengganggu dan tidak mahu berhenti, maka dia akan dihukum dengan hukuman yang berat.

"dan tidak kamu akan mendapati bagi sunnah Allah perubahan." 

Ketetapan Allah dalam hal ini tidak dapat diganti dan tidak dapat diubah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...