Ahad, 7 Mei 2017

37:11-21 Tafsir Surah As Saffat, ayat 11-21.

فَاسْتَفْتِهِمْ أَهُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمْ مَنْ خَلَقْنَا إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ طِينٍ لازِبٍ (١١) بَلْ عَجِبْتَ وَيَسْخَرُونَ (١٢) وَإِذَا ذُكِّرُوا لا يَذْكُرُونَ (١٣) وَإِذَا رَأَوْا آيَةً يَسْتَسْخِرُونَ (١٤) وَقَالُوا إِنْ هَذَا إِلا سِحْرٌ مُبِينٌ (١٥) أَئِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَئِنَّا لَمَبْعُوثُونَ (١٦) أَوَآبَاؤُنَا الأوَّلُونَ (١٧) قُلْ نَعَمْ وَأَنْتُمْ دَاخِرُونَ (١٨) فَإِنَّمَا هِيَ زَجْرَةٌ وَاحِدَةٌ فَإِذَا هُمْ يَنْظُرُونَ (١٩) وَقَالُوا يَا وَيْلَنَا هَذَا يَوْمُ الدِّينِ (٢٠) هَذَا يَوْمُ الْفَصْلِ الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ (٢١)

Di ayat-ayat sebelumnya, Allah s.w.t. telah menyebutkan tentang penciptaan makhluk-makhluk yang besar, seperti langit, bumi, malaikat, dan sebagainya. Dengan itu nyatalah kekuasaanNya dalam menciptakan apa saja. Tetapi kaum musyrik Mekah mengingkari bahawa manusia akan dibangkitkan setelah mati.

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"11. Maka tanyakan kepada mereka, "Apakah mereka lebih sulit penciptaan atau siapa yang Kami ciptakan?""

Tanyakanlah kepada mereka agar mereka mengakui bahawa penciptaan manusia lebih mudah daripada penciptaan yang lebih besar seperti malaikat, langit, bumi dan lain-lain. Sesungguhnya mereka mengakui dan menyaksikan bahawa semuanya itu lebih kuat dan lebih kukuh kejadiannya dari pada diri mereka. Hal ini seharusnya membuat mereka mengakui adanya kebangkitan setelah mati.

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat." 

Allah s.w.t. telah memulakan penciptaan nenek moyang mereka Adam a.s. dari sesuatu yang lemah, iaitu tanah liat. Lazib ialah tanah liat yang bermutu baik lagi licin. Ia melekat di tangan bila dipegang. Sebahagiannya dapat disatukan dengan sebahagian yang lain.

Seandainya mereka merenungkan keadaan diri mereka, tentu mereka akan mengetahui bahawa hal ini lebih sulit dibayangkan daripada penciptaan kembali setelah sebelumnya pernah ada dan masih tersisa sebahagian tulangnya.

"12. Bahkan kamu menjadi hairan dan mereka mengejek." 

Kamu wahai Rasul dan manusia yang berfikiran cerdas pasti akan merasa hairan terhadap keingkaran dan kedustaan yang dilakukan oleh para pengingkar hari berbangkit itu, padahal kalian percaya dan membenarkan hal-hal menakjubkan yang diberitakan oleh Allah s.w.t., iaitu kembali hidupnya tubuh-tubuh sesudah matinya dan telah jelas bukti dan dalilnya baik secara naqli maupun ‘aqli (akal) yang seharusnya tidak ada lagi pengingkaran.

Lebih menghairankan lagi ketika mereka sangat mendustakan hal tersebut sehingga mereka menghinakan orang yang memberitakan tentang kebangkitan. Mereka memperolok-olokkan apa yang kamu beritakan kepada mereka tentang hari kebangkitan itu.

"13. Dan apabila mereka diperingatkan mereka tidak memperhatikan." 

Termasuk hal yang menghairankan juga adalah ketika mereka diingatkan terhadap sesuatu yang telah mereka kenali dalam fitrah dan akal mereka, namun mereka tidak memperhatikannya. Dan apabila mereka diberi pelajaran, mereka tidak mengingatnya.

Jika kerana kebodohan mereka, maka bererti hal itu menunjukkan dalamnya kebodohan mereka, kerana mereka telah dingatkan dengan sesuatu yang telah tertanam dalam fitrah mereka dan telah diketahui dalam akal mereka. Namun jika mereka pura-pura bodoh atau keras kepala, maka hal itu lebih menghairankan lagi sebagaimana kita menghairankan orang yang mengingkari kenyataan.

"14. Dan apabila mereka melihat suatu ayat, mereka memperolok-olok." 

Termasuk hal yang menghairankan juga adalah mereka ditunjukkan sesuatu tanda kebesaran Allah yang menunjukkan adanya hari berbangkit itu, diberitahukan dalil-dalil dan alasannya, ditunjukkan ayat yang menunjukkan kebenarannya,  seperti terbelahnya bulan sebagai mukjizat bagi Nabi Muhammad s.a.w., namun mereka memperolok-olokkannya.

"15. Dan mereka berkata, "Tidaklah ini kecuali sihir yang nyata."" 

Termasuk hal yang menghairankan juga adalah ucapan mereka ini ketika telah datang kebenaran. Mereka menganggap apa yang Rasulullah s.a.w. sampaikan itu hanyalah sihir. Mereka menjadikan sesuatu yang paling agung dan paling besar sebagai sesuatu yang paling hina dan rendah.

"16. Apakah apabila kami mati dan kami menjadi tanah dan tulang belulang, apakah kami benar-benar dibangkitkan?" 

Termasuk hal yang menghairankan juga adalah mereka mengingkari kebangkitan dengan mengqiyaskan kemampuan Allah Yang menciptakan langit dan bumi dengan kemampuan manusia yang memiliki kekurangan dari berbagai sisi.

"17. Atau bapa-bapa kami yang terdahulu?" 

Inilah alasan terakhir yang bersemayam dalam hati mereka. Mereka mengingkari bahawa mereka dan nenek moyang mereka akan dibangkitkan semula. Mereka menganggap mustahil hal itu terjadi dan mendustakannya.

Maka Allah s.w.t. memerintahkan NabiNya Muhammad s.a.w. untuk menjawab alasan yang sebenarnya bukan alasan dengan jawaban yang membuat mereka takut.

"18. Katakanlah, "Ya, dan kalian terhina."" 

Kalian dan nenek moyang kalian akan benar-benar dibangkitkan hidup kembali pada hari kiamat sesudah kalian menjadi tanah dan tulang belulang, sedangkan saat itu kalian dalam keadaan terhina di bawah kekuasaan Tuhan Yang Mahabesar. Kalian semua akan datang menghadapNya dengan merendahkan diri. Orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahNya akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.

"19. Maka sungguh hanyalah ia teriakan yang satu, maka apabila mereka melihat." 

Sesungguhnya untuk membangunkan mereka dari kuburnya, Allah hanya mengeluarkan cukup satu perintah saja, sekali seru saja, satu jeritan suara saja, iaitu tiupan sangkakala oleh malaikat Israfil. Maka dengan serta merta mereka berdiri di hadapanNya. Mereka dibangkitkan dalam keadaan telanjang, tanpa beralas kaki dan belum disunat. Seketika itu juga mereka akan nampak permandangan yang mengerikan yang terjadi di hari kiamat, hanya Allah lah Yang Maha Mengetahui.

"20. Dan mereka berkata, "Aduhai, celaka kami ini hari pembalasan.""


Ketika itu mereka mencela diri sendiri. Mereka mengakui bahawa dahulu sewaktu di alam dunia mereka telah menganiaya diri sendiri dengan memperolok-olokkan hari pembalasan. Mereka menyesali perbuatan mereka dahulu dengan penyesalan yang sebesar-besarnya. Pada saat itu tiada gunanya lagi penyesalan.

Maka para malaikat dan orang-orang mukmin mengecam dan mencemuh mereka,

"21. Ini hari keputusan yang kalian kepadanya mendustakan." 

Inilah hari di mana Allah s.w.t. memberi keputusan terhadap masalah yang diperselisihkan manusia dan memberikan pembalasan kepada mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...