Rabu, 10 Mei 2017

42:36-43 Tafsir Surah Asy Syura, ayat 36-43.

فَمَا أُوتِيتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَمَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَى لِلَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٣٦) وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الإثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ (٣٧) وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (٣٨) وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ هُمْ يَنْتَصِرُونَ (٣٩) وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ (٤٠) وَلَمَنِ انْتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِ فَأُولَئِكَ مَا عَلَيْهِمْ مِنْ سَبِيلٍ (٤١) إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الأرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٤٢) وَلَمَنْ صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الأمُورِ (٤٣)

Allah s.w.t. berfirman menggambarkan kecilnya urusan duniawi, kegemerlapan perhiasannya dan semua kesenangan yang ada pada dunia fana ini. Ayat ini membuat seseorang zuhud kepada dunia dan cinta kepada akhirat serta menyebutkan amal yang membawa kepadanya.

"36. Maka apa yang diberikan kepada kalian dari sesuatu, maka kesenangan dan Kami jadikan dunia." 

Janganlah kamu terpedaya oleh apa saja kenikmatan yang kamu hasilkan dan kamu kumpulkan seperti kekuasaan, kedudukan, harta, anak, badan yang sihat dan sebagainya, kerana sesungguhnya itu hanyalah kesenangan hidup di dunia, sedangkan dunia adalah alam yang fana dan pasti akan lenyap lagi tiada ertinya bila dibandingkan dengan kesenangan di akhirat.

"Dan apa yang di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman," 

Kenikmatan yang ada di sisi Allah iaitu pahala yang besar dan kenikmatan yang kekal lebih baik daripada kesenangan dunia kerana pahala Allah kekal dan selama-lamanya. Maka janganlah kamu mendahulukan yang fana dengan melalaikan yang kekal. Orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang bersabar dalam meninggalkan kesenangan duniawi.

"dan kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal." 

Mereka menggabung antara iman yang benar yang menghendaki amal dengan tawakkal, dimana ia (tawakkal) merupakan alat untuk setiap amal. Oleh kerana itu, setiap amal yang tidak diiringi tawakkal, maka tidak akan sempurna.

Tawakkal adalah berserah bulat-bulat kepada Allah, bersandarnya hati kepada Allah dalam mendatangkan apa yang dicintai hamba dan dalam menghindarkan apa yang tidak disukainya dengan disertai rasa percaya kepadaNya. Ketawakalan mereka benar-benar dapat membantu mereka bersabar dalam menunaikan kewajiban-kewajiban dan meninggalkan larangan-larangan.

"37. Dan orang-orang yang menjauhi besar dosa-dosa dan perbuatan keji," 

Dosa-dosa besar (Al kaba'ir) adalah dosa yang paling berat. Ia berasal dari perbuatan maksiat, iaitu tindakan derhaka, tidak taat dan bertentangan dengan ketentuan Allah. Antaranya adalah mempersekutukan Allah, tidak menunaikan kewajiban, membunuh jiwa tanpa alasan yang hak, sihir, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang (sabilillah), berzina, menuduh wanita yang memelihara kehormatannya berbuat zina dan sebagainya.

Perbuatan-perbuatan keji (Fahsya' atau fahisyah) adalah segala perbuatan yang terlarang kerana kekejiannya sangat nyata. Dalam hati manusia ada kecenderungan kepadanya. Perbuatan ini menimbulkan kerugian yang sangat besar bagi diri sendiri dan orang lain. Ia juga termasuk dosa-dosa besar. Antaranya adalah syirik, berzina, riba dan sebagainya.

"dan apabila mereka marah, mereka mengampuni." 

Mereka memiliki akhlak yang mulia dan kebiasaan yang baik. Watak mereka adalah pemaaf dan penyantun terhadap orang lain, dan bukan termasuk watak mereka sifat pendendam. Ketika ada yang membuat mereka marah, baik dengan kata-kata maupun perbuatannya, maka mereka menahan marahnya dan tidak memberlakukannya.

Bahkan mereka segera memaafkan dan membalasnya dengan ihsan. Dari sikap itu muncullah berbagai maslahat dan terhindar berbagai mafsadat baik bagi mereka maupun orang lain; bahkan yang sebelumnya terdapat permusuhan menjadi persahabatan.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah sama sekali marah kerana peribadinya, kecuali apabila hal-hal yang diharamkan oleh Allah dilanggar. Apabila Beliau s.a.w. menegur seseorang dari para sahabat, Beliau bersabda, "Mengapa dia, semoga dia mendapat keuntungan." Dahulu orang-orang mukmin tidak senang bila dihina tetapi mereka sentiasa memaafkan apabila dikhianati.

"38. Dan orang-orang yang memperkenankan seruan Tuhan mereka dan mereka mendirikan solat,"

Mereka mengikuti rasul-rasul Allah, menyambut seruanNya seperti tauhid, beribadah kepadaNya, tunduk menaati perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya. Niat mereka adalah mencari keridhaanNya dan tujuan mereka adalah dekat denganNya. Termasuk memenuhi seruan Allah adalah mendirikan solat dan menunaikan zakat. Mereka melaksanakan solat yang fardhu maupun yang sunat. Solat adalah ibadah yang paling besar.

"dan urusan mereka musyawarah di antara mereka." 

Mereka tidak bertindak sendiri dan tergesa-gesa dalam masalah yang berkaitan orang ramai. Apabila mereka ingin memutuskan sesuatu urusan, baik urusan agama maupun dunia, seperti perang, jihad, pemerintahan, hakim, masalah-masalah agama atau suatu perkara yang perlu pemikiran dan idea, mereka berkumpul, bermusyawarah dan mengkaji bersama-sama agar masing-masing dari mereka mengemukakan pendapatnya.

Mereka membahasnya agar keputusan itu jelas, benar dan dicintai Allah. Ketika sudah jelas maslahatnya, maka mereka segera melakukannya. Kerana itulah Rasulullah s.a.w. selalu bermusyawarah dengan para sahabat semasa menghadapi peperangan dan urusan penting lainnya. Dengan demikian hati mereka merasa senang dan lega. Begitu juga yang telah dilakukan oleh para sahabat setelah Beliau s.a.w. wafat.

"Dan dari apa yang Kami rezekikan pada mereka, mereka menafkahkan." 

Mereka menginfakkan nafkah yang wajib seperti zakat, menafkahi anak-isteri, saudara mara dan sebagainya. Sedangkan nafkah yang sunat seperti bersedekah kepada semua manusia. Yang demikian itu terealisasi dengan berbuat kebaikan kepada makhluk Allah yang paling dekat dengan mereka dari kalangan keluarga mereka, lalu berikutnya adalah orang-orang yang dekat dengan mereka.

Barangsiapa membuka pintu pemberian dengan mengharapkan silaturahim, maka Allah s.w.t.  menambah hartanya. Dan barangsiapa membuka pintu meminta-minta kerana ingin memperbanyakan hartanya, maka Allah s.w.t. mengurangkan hartanya.

"39. Dan orang-orang yang apabila menimpa mereka kezaliman mereka, mereka membela diri." 

Mereka hanya membela diri dari orang-orang yang berbuat aniaya dan memusuhi mereka. Mereka bukanlah orang-orang yang lemah dan hina, bahkan mereka mempunyai mempunyai kemuliaan, kekuatan dan kemampuan untuk membalas perbuatan orang-orang yang berlaku melampaui batas terhadap diri mereka. Walaupun sifat mereka demikian, mereka gemar memberi maaf.

Nabi Yusuf a.s. pernah hampir dibunuh saudara-saudaranya, tetapi Beliau memaafkan mereka. Padahal Yusuf a.s. mampu menghukum mereka dan membalas perbuatan mereka terhadap dirinya dengan balasan yang setimpal.

Rasulullah s.a.w. pernah disihir, hampir dibunuh dan hampir diracun, tetapi Beliau memaafkan mereka. Padahal Beliau s.a.w. mampu menghukum mereka dan membalas perbuatan mereka terhadap dirinya dengan balasan yang setimpal.

"40. Dan balasan kejahatan, suatu kejahatan serupa dengannya." 

Adil adalah apabila suatu kejahatan dibalas dengan kejahatan yang setimpal dengan yang ditimpakan kepadamu, tidak kurang dan tidak lebih. Oleh kerana itu, serangan dibalas serangan, jiwa dibalas dengan jiwa, luka dibalas dengan luka yang serupa dan harta ditanggung dengan harta yang serupa. Maka keseimbangan merupakan hal yang disyariatkan, iaitu hukum qisas.

"Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas Allah." 

Ihsan adalah apabila seseorang dizalimi, tetapi dia memaafkan dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya dengan sikap yang dicintai Allah. Ia hanyalah dianjurkan dan ia adalah tindakan yang lebih utama daripada membalas.

Hal tersebut tidak sia-sia di sisi Allah. Dia akan memberikan pahala yang besar, balasan yang banyak dan kemuliaan kepada orang yang memaafkan dan berbuat baik. Melepaskan hak itu menjadi penebus dosa baginya. Oleh kerana Allah s.w.t. suka memaafkan hambaNya, maka hendaknya dia suka memaafkan.

Namun Allah mensyaratkan untuk memaafkan hendaknya ada islah (memperbaiki). Pelaku kejahatan jika tidak layak dimaafkan dan maslahat syar’i menghendaki untuk memberikan hukuman kepadanya, maka dalam keadaan ini tidaklah diperintahkan memaafkan.

"Sungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim." 

Zalim di sini adalah apabila seseorang memulakan permusuhan dan perbuatan jahat, bersikap melampaui batas atau membalas pelaku kejahatan secara lebih.

"41. Dan sungguh siapa yang membela diri sesudah teraniaya, maka mereka itu tidak ada atas mereka dari jalan." 

Tiada dosa atau kesalahan atas mereka dalam melakukan pembalasan terhadap orang-orang yang telah berbuat aniaya terhadap dirinya. Membalas hanyalah apabila kezaliman benar-benar telah terjadi terhadap dirinya. Oleh kerana itu, jika sekadar ada keinginan untuk menzalimi orang lain namun tidak terjadi, maka tidak dibalas semisalnya, tetapi cukup diberi ta’dib (pelajaran) yang dapat mencegahnya melakukan kezaliman.

"42. Sesungguhnya jalan atas orang-orang yang menganiaya manusia" 

Dosa atau kesalahan itu hanya atas orang-orang yang berbuat zalim kepada darah, harta dan kehormatan manusia.

"dan mereka melampaui batas di bumi tanpa hak," 

Dosa atau kesalahan itu hanya atas orang-orang yang melampaui batas di bumi tanpa mengindahkan kebenaran, iaitu memulai perbuatan aniaya terhadap orang lain.

Disebutkan di dalam sebuah hadis sahih, "Kedua orang yang saling mencaci menurut apa yang dikatakan oleh masing-masing, sedangkan dosanya ditanggung oleh pihak yang memulainya, selama pihak yang teraniaya tidak melampaui batas."

"mereka itu bagi mereka azab yang pedih." 

Mereka itu mendapat siksaan yang pedih, menyakitkan hati dan badan sesuai kezaliman mereka.

"43. Dan sungguh orang yang dia bersabar dan mengampuni, sungguh demikian itu benar-benar termasuk sebaik-baik urusan." 

Bersabar, menahan diri, tidak membela diri, memaafkan, mengampuni dan menyikapinya dengan ihsan terhadap gangguan dari orang lain kerana Allah merupakan sesuatu yang paling sulit. Akan tetapi hal itu mudah bagi orang yang dimudahkan Allah, ia berusaha menyifati diri dengannya serta meminta pertolongan kepada Allah terhadapnya.

Ia termasuk perbuatan yang benar, mulia, didorong, dianjurkan dan ditekankan oleh Allah s.w.t. Ia merupakan sikap yang disyukuri dan perbuatan yang terpuji, pelakunya akan mendapat pahala yang berlimpah, pujian yang baik dan lebih dekat kepada ketakwaan. Allah akan memuliakannya dan menolongnya.

Hal itu hanya dimiliki oleh orang-orang yang sabar, memiliki bahagian yang besar, berazam kuat, berfikiran cerdas dan berpandangan dalam. Apabila seorang hamba merasakan manisnya kesabaran dan mendapatkan atsar(hasil)nya, maka dia menerimanya dengan dada yang lapang dan merasa senang di dalamnya.

Orang yang pemaaf tidur dengan tenang di pelaminannya di malam hari. Malaikat yang bersamanya membelanya. Sedangkan orang yang membalas kerana membela dirinya membalikkan permasalahan. Malaikat itu pergi dan datanglah syaitan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...