وَأَنَّ إِلَى رَبِّكَ الْمُنْتَهَى (٤٢) وَأَنَّهُ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَى (٤٣) وَأَنَّهُ هُوَ أَمَاتَ وَأَحْيَا (٤٤) وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالأنْثَى (٤٥) مِنْ نُطْفَةٍ إِذَا تُمْنَى (٤٦) وَأَنَّ عَلَيْهِ النَّشْأَةَ الأخْرَى (٤٧) وَأَنَّهُ هُوَ أَغْنَى وَأَقْنَى (٤٨) وَأَنَّهُ هُوَ رَبُّ الشِّعْرَى (٤٩) وَأَنَّهُ أَهْلَكَ عَادًا الأولَى (٥٠) وَثَمُودَ فَمَا أَبْقَى (٥١) وَقَوْمَ نُوحٍ مِنْ قَبْلُ إِنَّهُمْ كَانُوا هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَى (٥٢) وَالْمُؤْتَفِكَةَ أَهْوَى (٥٣) فَغَشَّاهَا مَا غَشَّى (٥٤) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكَ تَتَمَارَى (٥٥) هَذَا نَذِيرٌ مِنَ النُّذُرِ الأولَى (٥٦) أَزِفَتِ الآزِفَةُ (٥٧) لَيْسَ لَهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ كَاشِفَةٌ (٥٨) أَفَمِنْ هَذَا الْحَدِيثِ تَعْجَبُونَ (٥٩) وَتَضْحَكُونَ وَلا تَبْكُونَ (٦٠) وَأَنْتُمْ سَامِدُونَ (٦١) فَاسْجُدُوا لِلَّهِ وَاعْبُدُوا (٦٢)
Allah s.w.t. berfirman menunjukkan sempurnanya kekuasaanNya dan sendirinya Dia dengan keperkasaanNya,
"42. Dan bahawa kepada Tuhanmu kesudahan."
Segala sesuatu dan semua makhluk setelah mati dikembalikan kepada Allah s.w.t. Pulanglah semua pengetahuan, hikmah-hikmah, rahmat dan seluruh kesempurnaan kepadaNya. Dia akan memberikan balasan kepada mereka di hari kiamat nanti. Ada yang ke syurga dan ada yang ke neraka.
"43. Dan bahawa Dia, Dia menjadikan dia tertawa dan menjadikan dia menangis."
Allah s.w.t. menciptakan hamba-hambaNya dapat ketawa dan menangis. Dialah yang mengadakan sebab ketawa dan sebab menangis. Keduanya merupakan sikap yang bertentangan. Dia memiliki hikmah dalam hal itu.
"44. Dan bahawa Dia, Dia mematikan menghidupkan."
Allah s.w.t. sendiri yang mengadakan dan meniadakan. Dia yang mengadakan makhluk, memerintahkan mereka dan melarang. Maka Dia akan mengembalikan mereka setelah mereka mati dan akan memberikan balasan terhadap amal yang mereka kerjakan selama di dunia.
"45. Dan sesungguhnya Dia menciptakan berpasangan lelaki dan perempuan."
Allah s.w.t. menciptakan manusia berpasang-pasangan lelaki dan perempuan. Dia juga menciptakan haiwan berpasang-pasangan jantan dan betina.
"46. Dari air mani, tatkala dipancarkan."
Allah s.w.t. menciptakan mengadakan makhluk hidup yang kecil maupun besar dari air mani yang lemah dan hina, yang dipancarkan ke dalam rahim, lalu Dia mengembangkannya dan menyempurnakannya sampai menjadi dewasa dan mencapai usianya. Untuk manusia, maka ada yang naik kedudukannya di tempat yang paling tinggi (syurga) dan ada pula yang turun kedudukannya ke tempat yang paling bawah (neraka).
"47. Dan bahawa atasnya penciptaan yang lain."
Allah s.w.t. telah menetapkan penciptaan yang lain, iaitu kebangkitan sesudah mati. Sebagaimana Dia menciptakan makhluk pada yang pertama kali, maka Dia juga mampu mengembalikan, mengeluarkan dan menghidupkan kembali sesudah matinya dari alam kubur dalam ciptaan yang baru di hari kiamat nanti. Kemudian Dia mengumpulkan mereka dan memberikan balasan kepada mereka.
"48. Dan sesungguhnya Dia, Dia memberikan kekayaan dan memberi kecukupan."
Agna ialah memberi. Allah s.w.t. memberikan hambaNya keperluan, kelengkapan, kekayaan, harta benda, keterampilan dan memudahkan penghidupan mereka baik dengan berdagang, berniaga dan sebagainya. Sedangkan aqna ialah memberikan pelayan, memuaskan dan mencukupkan. Allah s.w.t. memberikan hambaNya faedah dan tambahan yang boleh disimpan sehingga mereka memiliki banyak harta yang berbagai jenis.
"49. Dan sesungguhnya Dia, Dia Tuhan bintang Syi'ra."
Bintang Syi'ra, Mirzamul Jauza atau Venus adalah bintang yang cahayanya cemerlang. Segolongan orang Arab Badui di masa Jahiliah menyembahnya. Allah s.w.t. Tuhan yang menciptakan, memiliki dan mengatur bintang Syi'ra. Oleh kerana itu, ia tidak layak dijadikan sesembahan selain Allah s.w.t.
"50. Dan bahawa Dia membinasakan kaum 'Ad dahulu."
Mereka adalah kaum di masa dahulu kala, penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi, yang belum pernah dibina suatu kota seperti itu, di negeri-negeri lain. Mereka juga dikenali dengan nama 'Ad ibnu Iram ibnu Sam ibnu Nuh.
Mereka mendustakan nabi mereka Hud a.s. Mereka termasuk manusia yang keras lagi kuat dan paling menentang kepada Allah dan rasulNya. Maka Allah membinasakan mereka dengan angin yang sangat dingin lagi sangat kencang berturut-turut tanpa henti selama tujuh malam dan lapan hari.
"51. Dan Samud, maka tidak Dia tinggalkan."
Allah s.w.t. mengutus Nabi Salih a.s. kepada kaum Samud. Maka mereka mendustakannya. Lalu Allah s.w.t. mendatangkan mukjizat unta betina kepada Beliau. Tetapi mereka membunuh unta itu. Maka Allah s.w.t. membinasakan mereka semua dan tidak seorang pun yang dibiarkanNya hidup.
"52. Dan kaum Nuh sebelumnya. Sungguh mereka adalah mereka lebih zalim dan lebih derhaka."
Allah s.w.t. juga telah membinasakan kaum Nuh sebelum kaum ‘Ad dan Tsamud itu. Kaum Nuh lebih keras, zalim dan sangat derhaka daripada orang-orang yang sesudah mereka.
Nabi Nuh a.s. tinggal bersama mereka selama 950 tahun, namun mereka tidak juga beriman, ditambah lagi dengan menyakiti Beliau baik dengan ucapan maupun dengan perbuatan. Maka Allah s.w.t. membinasakan mereka dan menenggelamkan mereka dalam banjir besar.
"53. Dan prahara angin Dia hancurkan."
Allah s.w.t. juga telah membinasakan kota-kota yang dihuni oleh kaum Lut. Dia mengangkat kota-kota itu ke atas dan menjatuhkannya dalam keadaan terbalik. Maka bahagian bawahnya berada di atas mereka.
"54. Maka Dia menimbun apa yang menimpanya."
Allah s.w.t. menghujani mereka bertubi-tubi dengan batu-batu dari tanah yang terbakar. Maka amat buruklah hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu.
"55. Maka yang mana nikmat kurnia Tuhanmu kamu ragukan?"
Nikmat dan kurnia Allah yang manakah yang kamu ragukan wahai manusia? Nikmat Allah jelas bagimu dan tidak diragukan lagi. Semua nikmat datang dariNya dan hanya Dia yang menghindarkan bencana.
"56. Ini pemberi peringatan dan pemberi peringatan yang pertama."
An Nazir ertinya pemberi peringatan yang telah menyaksikan keburukan yang dikhuatirkan akan menimpa manusia yang diberi peringatan olehnya. Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah rasul yang pertama, bahkan sebelumnya telah didahului oleh rasul-rasul, dimana dakwah mereka sama seperti yang didakwahkan Beliau.
"57. Telah dekat waktu yang dekat."
Telah dekat terjadinya hari kiamat dan telah kelihatan tanda-tandanya.
"58. Tidak ada baginya dari selain Allah pengungkap."
Hanya Allah yang akan menyatakan terjadinya hari itu, hanya Dia yang dapat menolaknya dan hanya Dia yang mengetahui saatnya.
"59. Maka apakah dari ini pemberitaan kalian merasa hairan?"
Allah s.w.t. berfirman mengancam orang-orang yang mengingkari dan mendustakan risalah Nabi Muhammad s.a.w. dan Al Qur'an yang Beliau bawa. Mereka mendengar Al Qur'an, tetapi berpaling darinya. Mereka merasa hairan terhadap Al Qur’an dan menganggapnya termasuk hal yang menyelisihi kebiasaan.
Ini tidak lain kerana kebodohan, kesesatan dan pembangkangan mereka, padahal Al Quran adalah ucapan yang benar, hukumnya dapat menyelesaikan masalah dan bukan senda gurau. Al Qur’an menambahkan kecerdasan bagi orang-orang yang berakal serta menambahkan keimanan dan keyakinan bagi mereka. Yang sepatutnya dihairankan adalah akal orang yang merasa hairan terhadapnya dan kejahilannya.
"60. Dan kalian tertawa dan kalian tidak menangis?"
Mereka ketawa kerana memperolok-olokkan, mengejek dan meremehkan Al Qur'an. Padahal seharusnya hati tersentuh olehnya, menjadi lunak kerananya, mata juga menangis kerananya ketika mendengar perintah dan larangannya, memperhatikan janji dan ancamanNya serta memperhatikan berita-beritanya yang baik lagi benar. Orang-orang yang meyakini kebenaran Al Qur'an menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.
"61. Dan kalian orang-orang yang lengah."
Mereka lalai, melengahkannya dan menyombongkan diri dari mentadabburinya. Hal ini kerana lemahnya akal dan agama mereka. Kalau sekiranya mereka beribadah kepada Allah dan mencari keridhaanNya tentu mereka tidak seperti ini keadaannya, dimana keadaan tersebut adalah keadaan yang dibenci oleh orang-orang yang berakal.
"62. Maka bersujudlah kalian kepada Allah dan sembahlah."
Bersujud kepada Allah s.w.t. adalah inti ibadah yang utama, kerana inti ibadah adalah khusyu’ kepada Allah dan tunduk merendahkan diri kepadaNya. Sujud adalah keadaan yang paling besar yang menunjukkan ketundukkannya, kerana ketika itu tunduk pula hati dan badannya serta meletakkan anggota badan yang paling mulia di atas tanah tempat injakan kaki.
Allah s.w.t. memerintahkan untuk beribadah secara umum yang mencakup semua yang dicintai Allah dan diridhaiNya baik berupa ucapan maupun perbuatan yang tampak maupun yang tersembunyi.
Rasulullah s.a.w. melakukan sujud (tilawah) kerana membaca surah An Najm dan ikut bersujudlah bersamanya kaum muslim, orang-orang musyrik, jin, dan manusia.
Selesai tafsir surah An Najm dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan