Jumaat, 23 Jun 2017

81:15-29 Tafsir Surah At Takwir, ayat 15-29.

فَلا أُقْسِمُ بِالْخُنَّسِ (١٥) الْجَوَارِ الْكُنَّسِ (١٦) وَاللَّيْلِ إِذَا عَسْعَسَ (١٧) وَالصُّبْحِ إِذَا تَنَفَّسَ (١٨) إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ (١٩) ذِي قُوَّةٍ عِنْدَ ذِي الْعَرْشِ مَكِينٍ (٢٠) مُطَاعٍ ثَمَّ أَمِينٍ (٢١) وَمَا صَاحِبُكُمْ بِمَجْنُونٍ (٢٢) وَلَقَدْ رَآهُ بِالأفُقِ الْمُبِينِ (٢٣) وَمَا هُوَ عَلَى الْغَيْبِ بِضَنِينٍ (٢٤) وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَيْطَانٍ رَجِيمٍ (٢٥) فَأَيْنَ تَذْهَبُونَ (٢٦) إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ لِلْعَالَمِينَ (٢٧) لِمَنْ شَاءَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَقِيمَ (٢٨) وَمَا تَشَاءُونَ إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ (٢٩)

Allah s.w.t. berfirman, 

"15. Maka aku bersumpah dengan bintang-bintang." 

Allah s.w.t. bersumpah dengan bintang-bintang yang bergerak perlahan, keadaannya ketika berjalan dan dengan keadaannya. Boleh juga maksudnya, Allah s.w.t. bersumpah dengan semua bintang yang berjalan dan lainnya. Khunnas bermaksud bintang-bintang yang menghilang di siang hari dan kelihatan di malam hari.

Tujuh bintang (planet) lainnya iaitu matahari, bulan, Zahrah (venus), Musytariy (Jupiter), Mirrikh (Mars), Zuhal (Saturnus) dan ‘Uthaarid (Merkurius) memiliki dua perjalanan; perjalanan ke arah barat bersama bintang-bintang yang lain, dan perjalanan ke arah sebaliknya dari arah timur yang hanya dilakukan oleh tujuh planet ini, tidak bersama bintang-bintang yang lain.

"16. Yang beredar terbenam." 

Jawarin bermaksud bintang-bintang semasa beredar di falaknya atau bintang-bintang yang gemerlapan yang beredar ke arah timur. Kunnas bermaksud bintang-bintang semasa tenggelamnya. Al jawaril kunnasi bermaksud bintang-bintang yang beredar, yang tetap ditempatnya dan yang terbenam.

Ada yang mengatakan bahawa maksudnya apabila lembu liar masuk bersembunyi di bawah naungan atau di dalam sarangnya. Ada juga yang mengatakan bahawa maksudnya menyembunyikan bahagian yang bawah dengan bahagian yang atas dan sebaliknya.

"17. Dan malam apabila telah larut." 

Allah s.w.t. bersumpah demi malam dengan ketibaan kegelapannya dan fajar dengan ketibaan sinarnya. As'asa bermaksud malam apabila datang, mendekati permulaannya, mulai gelap dan menutupi manusia. As'asa juga bermaksud malam apabila berpaling, pergi dan hampir meninggalkan gelapnya.

Lafaz 'as'asa dipakai untuk menunjukkan makna datang atau pergi. Ia dianggap sebagai lafaz yang musytarak (satu lafaz yang mempunyai dua erti yang berlawanan). Maka kedua-dua maksud itu dapat dibenarkan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

"18. Dan subuh apabila telah terang." 

Allah s.w.t. bersumpah demi siang apabila fajar mulai menyingsingkan cahayanya, mengusir kegelapan malam secara beransur-ansur sehingga menjadi sempurna dan kemudian terbit matahari.

Apa yang disebutkan dalam ayat ini dan sebelumnya adalah ayat-ayat Allah yang agung. Allah s.w.t. bersumpah dengannya untuk menjelaskan tingginya sanad Al Qur’an, keagungannya, dan penjagaanNya dari setiap syaitan yang terkutuk.

"19. Sungguh ia benar-benar firman utusan yang mulia." 

Al Qur'an yang mulia ini benar-benar firman Allah s.w.t. yang dibawa dan disampaikan oleh malaikat yang mulia, iaitu Jibril a.s. Allah s.w.t. menyifati malaikat Jibril dengan “karim” (yang mulia) kerana mulianya akhlaknya, banyak kebaikannya, malaikat yang paling utama, terhormat, indah penampilannya dan paling tinggi kedudukannya di hadapan Allah s.w.t.

"20. Yang mempunyai kekuatan di sisi Yang memiliki 'Arasy kedudukan tinggi." 

Jibril a.s. kuat penampilannya, pukulannya dan perbuatannya. Dia memiliki kekuatan untuk melaksanakan perintah Allah ‘Azza wa Jalla. Di antara kekuatannya adalah dia mampu membalikkan negeri kaum Lut a.s. dan membinasakan mereka.

Jibril a.s. adalah malaikat yang didekatkan dengan Allah s.w.t., memiliki kedudukan yang tinggi di sisiNya di atas malaikat yang lain, dan mendapatkan keistimewaan dari Allah s.w.t. Jibril a.s. dapat memasuki tujuh puluh lapis tirai cahaya tanpa izin.

"21. Ditaati di sana dipercaya." 

Malaikat Jibril a.s. berpengaruh, didengar kata-katanya, lagi ditaati di alam langit atau di alam malaikat. Dia bukanlah malaikat biasa. Dia termasuk pemimpin yang dimuliakan di kalangan para malaikat, yang mempunyai peranan besar dan dipilih untuk mengemban tugas yang agung ini, iaitu menjadi duta antara Allah dan RasulNya.

Jibril a.s. adalah kepercayaan Allah dari kalangan para malaikat. Dia adalah malaikat yang amanah, yang mampu menjalankan perintah Allah tanpa menambah dan tanpa mengurangi serta tidak melampaui apa yang telah ditetapkan untuknya.

Ini merupakan suatu penghargaan yang sangat besar, sekaligus menunjukkan bahawa Allah s.w.t. menyucikan hamba dan rasulNya dari kalangan malaikat, iaitu Jibril a.s. sebagaimana Dia menyucikan hamba dan RasulNya dari kalangan manusia, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

"22. Dan bukanlah teman kalian orang gila." 

Al Qur'an yang mulia ini dibawa oleh teman kalian, manusia yang utama, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Beliau bukanlah orang gila, seperti yang dikatakan oleh para musuhnya yang mendustakan kerasulannya, yang mengada-adakan kedustaan terhadapnya untuk memadamkan apa yang Beliau bawa. Bahkan Beliau s.a.w. adalah manusia yang paling sempurna akalnya, paling lurus pandangannya dan paling benar ucapannya.

"23. Dan sungguh dia telah melihatnya di ufuk yang terang." 

Ini adalah pertama kali Nabi Muhammad s.a.w. melihat Jibril a.s datang kepadanya dalam rupa asalnya lengkap dengan enam ratus sayapnya dengan jelas dan terang, dengan membawa wahyu dari Allah s.w.t. Ketika itu Beliau s.a.w. berada di Lembah Batha. Beliau s.a.w. melihat Jibril a.s. dalam rupa asalnya pada kali kedua di Sidratul Muntaha.

"24. Dan tidak dia atas yang ghaib kikir." 

Di antara ulama ada yang membaca zanin, ertinya orang yang diragukan. Ada juga yang membacanya danin ertinya orang yang kikir. Tetapi maksudnya sama, iaitu dia bukanlah orang yang pendusta dan bukan pula orang yang penderhaka.

Pada mulanya Al Qur'an merupakan hal yang ghaib, lalu Allah s.w.t. menurunkannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maka Beliau s.a.w. tidak kikir untuk menerangkannya kepada manusia. Beliau s.a.w. bukanlah orang yang disangsikan atau tertuduh terhadap apa yang diturunkan Allah kepadanya.

Beliau s.a.w. tidak menambah, mengurangi atau menyembunyikan sebahagian risalah dan wahyu Allah s.w.t. Bahkan Beliau adalah manusia yang paling amanah. Beliau s.a.w. menyebarkannya, menyampaikannya, menerangkan dan memberikannya kepada setiap orang yang menghendakinya.

Beliau s.a.w. telah mendidik umat yang sebelumnya jahil menjadi umat yang berilmu yang menjadi rujukan oleh generasi yang datang setelahnya dalam ilmu dan pemahaman, mereka yang telah dididiknya menjadi guru, sedangkan generasi setelahnya merupakan murid-murid mereka.

"25. Dan tidak ia perkataan syaitan yang terkutuk." 

Al Qur'an itu bukanlah dari perkataan syaitan yang terkutuk. Syaitan tidak patut, tidak mampu dan tidak berkuasa membawa Al Qur'an. Mereka tidak menghendaki Al Qur'an dan tidak layak Al Qur'an bagi mereka. Mereka benar-benar dijauhkan dari mendengar Al Qur'an.

Al Qur'an itu begitu jelas, terang, dan nyata bahawa ia benar-benar datang dari sisi Allah s.w.t. Di dalamnya berisi pelajaran dan petunjuk yang memimpin manusia ke jalan yang lurus dengan diperkuat bukti-buktinya. Ditanyakan kepada orang-orang kafir dan mendustakan Al Qur'an itu,

"26. Maka ke mana kalian pergi?" 

Di mana kalian letakkan akal kalian dan bagaimana kalian menggunakan akal sihat kalian? Ke manakah kalian akan pergi setelah meninggalkan Kitabullah dan ketaatannya kepadaNya? Padahal tidak ada setelah kebenaran selain kebatilan.

"27. Tidaklah ia kecuali peringatan bagi seluruh alam." 

Al Qur'an itu adalah peringatan bagi semua manusia di seluruh alam, agar mereka menjadi ingat kerananya dan mengambil pelajaran darinya. Dengan Al Qur’an, mereka dapat mengingat Tuhan mereka, sifat-sifat sempurna yang dimilikiNya, bersihnya Dia dari segala kekurangan dan tandingan.

Dengan Al Qur’an juga mereka dapat mengingat perintah dan laranganNya, mengingat hukum-hukum qadariNya, hukum-hukum syar’iNya dan hukum-hukum jaza’i(balasan)Nya. Dengan Al Qur’an, mereka dapat mengenal dan mengingat segala yang bermaslahat bagi mereka di dunia dan akhirat, dan dengan mengamalkannya mereka akan memperoleh kebahagiaan.

"28. Bagi siapa menghendaki di antara kalian untuk menempuh jalan lurus." 

Manusia memiliki kehendak. Bagi siapa yang menginginkan petunjuk, hendaklah ia berpegang kepada Al Qur'an ini. Sesungguhnya Al Qur'an merupakan juru selamat, pemberi petunjuk baginya dan tiada petunjuk selain dari Al Qur'an.

Ketika ayat ini diturunkan, maka Abu Jahal berkata, "Segala sesuatunya terserah kita. Jika kita mahu menempuh jalan yang lurus, tentulah kita akan lurus: dan jika kita menghendaki bukan jalan yang lurus, maka tentulah kita tidak akan lurus.'" Lalu Allah s.w.t. menurunkan firman selanjutnya,

"29. Dan tidak kalian dapat menghendaki kecuali jika Allah menghendaki, Tuhan semesta alam." 

Manusia bertindak menurut kehendak dan pilihannya, namun kehendak dan pilihannya menurut kehendak Allah s.w.t. Kehendak untuk itu bukan berada di tangan kalian, melainkan ada di tangan kekuasaan Allah s.w.t. Maka barang siapa yang Dia kehendaki mendapat petunjuk, nescaya ia mendapatkannya: dan barang siapa yang Dia kehendaki sesat, nescaya dia tersesat darinya. KehendakNya berlaku, tidak mungkin ditolak atau dihalangi.

Janganlah kalian bersandar kepada diri sendiri. Hal itu bergantung kepada kehendak Allah. Mintalah kepada Allah hidayahNya kepada apa yang dicintaiNya dan diridhaiNya. Jika Dia menghendaki, maka akan terjadi perbuatan itu dan jika Dia tidak menghendaki, maka tidak akan terjadi perbuatan itu.

Selesai tafsir surah At Takwir dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘alamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...