Jumaat, 14 Julai 2017

13:12-13 Tafsir Surah Ar Ra’d, ayat 12-13.

هُوَ الَّذِي يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنْشِئُ السَّحَابَ الثِّقَالَ (١٢) وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ وَيُرْسِلُ الصَّوَاعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ وَهُمْ يُجَادِلُونَ فِي اللَّهِ وَهُوَ شَدِيدُ الْمِحَالِ (١٣)

Allah s.w.t. berfirman,

"12. Dia Yang memperlihatkan kepada kalian kilat" 

Dialah yang menundukkan kilat, iaitu cahaya kemilau yang menyilaukan dari sela-sela awan. Kilat adalah satu malaikat yang memiliki empat muka, iaitu muka manusia, banteng (lembu liar), helang, dan singa. Apabila mengibaskan ekornya, maka itulah kilatnya.

"menimbulkan ketakutan dan harapan," 

Orang yang sedang dalam perjalanan takut terhadap bahayanya. Orang yang bermukim (berada di tempat tinggalnya) mengharapkan berkah dan manfaat dari kilat, serta mengharapkan rezeki Allah (iaitu hujan).

"dan Dia menciptakan awan tebal." 

As sahabussiqal ertinya awan yang mengandung air. Allah s.w.t. menjadikan mendung. Dia menciptakannya dalam bentuk yang baru. Dengannya suatu negeri dan penduduknya mendapat manfaat yang banyak. Kerana banyaknya air yang dikandungnya, maka awan mendung berada dekat dengan permukaan bumi.

"13. Dan bertasbih guruh dengan memujiNya,"

Guruh mengucapkan, "Subhaanallah wa bihamdih."

Pernah datang beberapa orang yahudi kepada Nabi s.a.w. dan berkata, “Wahai Abul Qasim, beritahukanlah kami tentang guruh! Apa sebenarnya dia?” Beliau menjawab, “Dia adalah salah satu malaikat Allah yang ditugaskan mengurus awan mendung, di tangannya ada beberapa sabetan dari api, digiringnya awan dengan sabetan itu ke tempat yang Allah kehendaki.” Mereka bertanya lagi, “Lalu apa suara yang kami dengar ini?” Beliau menjawab, “Penggiringannya kepada awan ketika dia menggiringnya sampai tiba ke tempat yang diperintahkan.” Orang-orang Yahudi berkata, “Engkau benar.”

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah mengadakan awan, maka awan itu dapat berbicara dengan suara yang paling baik (petir) dan dapat tertawa dengan tawa yang paling baik (kilat)."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kalian mendengar suara guruh, maka berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya guruh tidak akan mengenai orang yang berzikir."

Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar bunyi guruh dan petir, Beliau berdoa, "Ya Allah, janganlah Engkau bunuh kami dengan murkaMu, dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azabMu, dan maafkanlah kami sebelum itu."

Apabila Nabi s.a.w. mendengar bunyi guruh, Beliau berdoa, "Mahasuci Tuhan yang guruh bertasbih dengan memujiNya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tuhan kalian telah berfirman, "Sekiranya hamba-hambaKu taat kepadaKu, tentulah Aku sirami mereka dengan air hujan di malam hari, dan Aku terbitkan kepada mereka matahari di siang harinya, dan tentulah Aku tidak akan memperdengarkan suara guruh kepada mereka.”

"dan para malaikat kerana takut kepadaNya." 

Begitu juga para malaikat. Mereka bertasbih memujiNya kerana takut kepadaNya.

Rasulullah s.a.w. pernah mengutus seseorang di antara sahabatnya kepada salah seorang tokoh Jahiliyyah, ia mengajak orang itu kepada Allah s.w.t., lalu orang itu berkata, “Apakah Tuhanmu yang engkau mengajakku kepadaNya dari besi, atau dari perak atau dari emas?”

Lalu sahabat itu datang kepada Nabi s.a.w. dan memberitahukan hal itu, maka Nabi s.a.w. mengutusnya kembali yang kedua kalinya, dan orang itu berkata seperti sebelumnya.

Kemudian Beliau mengutus sahabatnya untuk ketiga kalinya, namun orang itu masih tetap berkata seperti itu, lalu sahabat itu datang kepada Nabi s.a.w. dan memberitahukan hal itu.

Maka Allah s.w.t. mengirimkan halilintar kepadanya dan membakarnya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengirimkan kepada kawanmu halilintar lalu membakarnya.”

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"Dan Dia melepaskan halilintar, maka mengenai dengannya siapa yang Dia kehendaki," 

Allah s.w.t. melepaskan halilintar, petir atau api yang keluar dari awan sebagai azabNya, lalu menimpakannya kepada siapa yang dikehendakiNya. Kerana itulah halilintar banyak terjadi di akhir zaman.

Nabi s.a.w. bersabda, "Halilintar akan banyak bila hari kiamat telah dekat, sehingga seorang lelaki datang kepada suatu kaum, lalu ia mengatakan, "Siapakah yang telah disambar petir di antara kalian kemarin?” Maka mereka menjawab, "Si Fulan, si Fulan, dan si Fulan.”"

"dan mereka berbantah-bantah tentang Allah,"

Mereka meragukan kebesaran Allah s.w.t. dan berbantah-bantahan dengan Nabi s.a.w. tentang Allah yang sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Dia.

"dan Dia sangat keras siksaNya." 

Siksaan atau pembalasan Allah yang amat keras hanya ditujukan kepada orang yang melampaui batas terhadapNya serta berterusan dalam kekufurannya. Dia melakukan apa yang diingininya, tidak ada yang menolaknya, dan tidak ada yang dapat lolos dariNya.

Oleh kerana Dia yang menurunkan hujan, mengatur urusan, tunduk kepadaNya semua makhluk besar yang ditakuti oleh manusia, dan lagi Dia Mahakuat, maka hanya Dia saja yang berhak disembah, tidak selainNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...