Selasa, 18 Julai 2017

19:58-63 Tafsir Surah Maryam, ayat 58-63.

أُولَئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ مِنْ ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِنْ ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا (٥٨)فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا (٥٩)إِلا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلا يُظْلَمُونَ شَيْئًا (٦٠) جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا (٦١) لا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلا سَلامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (٦٢) تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا (٦٣)

Allah s.w.t. berfirman bahawa para nabi itu tidak terbatas hanya nabi-nabi yang disebutkan dalam surah ini saja, melainkan semua nabi.

"58. Mereka itu orang-orang yang Allah beri nikmat kepada mereka, dari para nabi dari keturunan Adam," 

Mereka adalah orang yang telah diberi nikmat kenabian dan kerasulan oleh Allah s.w.t. Golongan para nabi dari keturunan Adam a.s. bermaksud Nabi Idris a.s., datuk Nabi Nuh a.s. Nabi Idris a.s. merupakan puncak dari nasab Nabi Nuh a.s.

"dan dari orang yang Kami bawa bersama Nuh,"

Nabi dari keturunan orang-orang yang Allah s.w.t. bawa dalam kapal bersama Nuh a.s. adalah Nabi Ibrahim a.s., cucu dari Sam, anak Nabi Nuh a.s.

"dan dari keturunan Ibrahim" 

Para nabi dari keturunan Ibrahim a.s. ialah Ishaq a.s., Ya'qub a.s. dan Ismail a.s.

"dan Israil,"

Para nabi dari keturunan Israil (Ya'qub a.s.) ialah nabi-nabi dari keturunan Bani Israil, iaitu Yusuf a.s., Musa a.s., Harun a.s., Zakaria a.s., Yahya a.s., dan Isa a.s.

Nasab mereka semua dibedakan, walaupun pada garis besarnya nasab mereka terhimpun pada Adam a.s.

"dan dari orang yang Kami telah tunjuki dan Kami pilih." 

Mereka itu semuanya orang-orang yang diberi petunjuk, iaitu Islam. Mereka itu semuanya orang-orang terpilih. Hidup mereka dihiasi dengan iman dan takwa.

"Tatkala dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar Rahman, mereka tersungkur bersujud dan menangis."

Apabila mereka mendengar Kalamullah atau ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah, yang mengandungi hujah-hujahNya, dalil-dalilNya, dan bukti-buktiNya, maka mereka segera bersujud kepada Tuhannya dengan penuh rendah diri dan ketenangan sebagai ungkapan puji syukur mereka atas nikmat-nikmat yang telah dilimpahkanNya kepada mereka.

Ayat-ayat dihubungkan dengan namaNya Ar Rahman menunjukkan bahawa ayat-ayatNya termasuk rahmat dan ihsanNya kepada hamba-hambaNya. Dengan ayat-ayat tersebut Dia menunjuki mereka kepada kebenaran, memperlihatkan kepada mereka mata mereka yang sebelumnya buta, menyelamatkan dari kesesatan, dan mengajarkan ilmu kepada mereka yang sebelumnya mereka jahil (tidak tahu).

Bukiyyun adalah bentuk jamak dari bakin, iaitu menangis. Oleh kerana itu, jadilah kalian seperti mereka. Para ulama menganjurkan bersujud setelah membaca ayat ini kerana mengikuti jejak dan menelusuri pekerti mereka.

"59. Maka mengganti setelah mereka generasi mereka menyia-nyiakan solat" 

Kemudian datanglah generasi yang buruk sesudah mereka yang menyia-nyiakan solat. Solat adalah tiang agama, timbangan keimanan, keikhlasan kepada Rabbul ‘alamin dan amalan yang paling utama setelah tauhid.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa menyia-nyiakan solat adalah meninggalkannya sama sekali, iaitu tidak pernah mengerjakannya sama sekali. Orang yang meninggalkan solat hukumnya kafir.

Pendapat lain mengatakan bahawa menyia-nyiakan solat bukanlah meninggalkannya sama sekali, tetapi mengakhirkannya dari waktu yang sepatutnya. Mereka tidak mengerjakan solat zuhur sehingga datang waktu asar, tidak mengerjakan asar sehingga datang magrib, tidak solat magrib sehingga datang isya, tidak solat isya sampai fajar menjelang dan tidak solat subuh sampai matahari terbit.

"dan mereka mengikuti hawa nafsu," 

Apabila solat ditinggalkan atau diremehkan, maka sudah tentu amalan atau kewajiban yang lain akan lebih diabaikan. Mereka tiada pegangan lagi. Apabila ada fitnah atau godaan yang menghampirinya, maka ia akan hanyut ke mana saja.

Akibatnya mereka menjadi orang-orang yang mengikuti hawa nafsunya dan memburu kesenangan serta rela dengan kehidupan dunia; mereka merasa tenang dengan kehidupan dunia.

"maka akan mereka menemui kebinasaan." 

Orang-orang yang sedemikian, tidak bertaubat dan mati dalam keadaan terus-menerus melakukan hal ini, Allah s.w.t. menjanjikan bagi mereka Ghayyan. Iaitu kesesatan, kerugian, keburukan, azab yang berlipat ganda lagi keras dan nama sebuah lembah di dalam neraka Jahanam yang berisikan nanah dan darah, yang letaknya sangat dalam dan baunya sangat busuk.

"60. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan beramal soleh," 

Mereka tidak lagi meninggalkan solat, tidak menuruti hawa nafsunya, tidak melakukan perbuatan syirik, bid’ah dan maksiat. Mereka berhenti darinya dan menyesal terhadapnya serta berniat bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya.

Taubat itu menghapuskan dosa-dosa yang sebelumnya. Amal kebajikan mereka tidak dikurangi sedikit pun dan tidak dibandingkan dengan dosa yang sebelumnya. Dosa yang telah dilakukannya dianggap sia-sia, dilupakan dan dihapuskan sama sekali, sebagai kurnia dari Allah Yang Mahamulia lagi Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya. Mereka sama seperti orang yang tidak mempunyai dosa.

Mereka beriman kepada Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhir dan qadarNya. Mereka melakukan amal yang disyari’atkan Allah s.w.t. melalui lisan RasulNya disertai ikhlas dalam mengerjakannya. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. menerima taubatnya dan menjadikan baginya akhir yang baik.

"maka mereka akan masuk syurga dan mereka tidak akan dianiaya sedikit pun." 

Allah s.w.t. menjadikan orang yang menggabung antara taubat, iman dan amal soleh berhak menghuni syurga yang penuh dengan kenikmatan. Mereka tidak akan dianiaya, dizalimi atau dirugikan sedikit pun. Pahala mereka akan diberikan secara sempurna atau penuh.

"61. Syurga 'Adn yang menjanjikan Ar Rahman hamba-hambaNya dengan yang ghaib." 

Orang-orang yang bertaubat dari dosa-dosanya akan dimasukkan ke syurga 'Adn, sebagai tempat tinggal mereka. Mereka tidak akan pindah daripadanya. Tempatnya luas, banyak kebaikan dan kesenangannya.

Syurga dihubungkan dengan namaNya Ar Rahman (Yang Maha Pemurah) kerana di dalamnya terdapat rahmat dan ihsanNya yang tidak ditangkap oleh sifat-sifat, tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dan terlintas di hati manusia. Tidak ada yang mengetahuinya selain Allah. Bahkan Allah menamakan syurgaNya itu dengan rahmatNya. Kesenangan itu akan kekal sebagaimana kekal rahmatNya, dan syurga merupakan atsar (pengaruh) dari rahmatNya.

Allah s.w.t. telah menjanjikan syurga kepada hamba-hambaNya secara ghaib. Iaitu hamba-hambaNya yang beribadah hanya kepadaNya dan mengikuti syariatNya, sehingga sifat ubudiyyah (kehambaan) dimiliki mereka.

Syurga itu termasuk perkara ghaib yang diimani oleh mereka keberadaannya. Mereka beribadah kepadaNya walaupun tidak pernah melihatNya dan syurgaNya. Demikian itu kerana kuatnya keyakinan dan iman mereka yang telah berakar di dalam kalbu mereka.

"Sungguh Dia adalah janjiNya akan datang." 

"Ma'tiyyan" bermaksud pasti akan ditepati. Semua hamba akan kembali kepadaNya dan pasti menghadap kepadaNya. Hal itu telah ditetapkan, pasti akan terjadi dan terlaksana. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan mengingkari janjiNya, tidak akan menggantinya atau menukarnya.

"62. Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan sia-sia," 

Di dalam syurga tidak terdapat perkataan yang tidak berguna, cakap kosong, kotor, menimbulkan dosa, maksiat kepada Allah, caci-maki dan celaan, seperti yang banyak didapat di dunia.

"kecuali salam." 

Di dalam syurga hanya terdapat ucapan salam dari malaikat atau dari sesama mereka. "Salam” di ayat ini juga bermaksud selamatnya ucapan dari setiap cacat, seperti ucapan zikrullah, salam penghormatan, ucapan yang menyenangkan, berita gembira, pembicaraan yang baik di antara sesama, mendengar firman Ar Rahman, mendengarkan suara-suara yang merdu dan sebagainya. Syurga merupakan tempat kesejahteraan. Tidak ada di sana selain kesejahteraan yang sempurna dari berbagai sisi.

"Dan bagi mereka rezeki mereka di dalamnya pagi dan petang." 

Mereka diberi hidangan sepanjang masa sesuai dengan kesukaan mereka ketika di dunia. Di dalam syurga ada dua waktu, iaitu waktu pagi dan waktu petang. Setiap pagi sampai petang dan setiap petang sampai pagi. Tidak ada malam dan siang. Tidak ada kegelapan. Yang ada hanyalah sinar dan cahaya selamanya. Mereka berada dalam waktu-waktu yang silih berganti. Mereka mengetahuinya melalui sinar dan cahaya yang beraneka ragam.

Tetapi mereka mempunyai perkiraan malam dan siang. Ia diketahui apabila tertutupnya tirai-tirai dan pintu-pintu rumah-rumah mereka. Pertanda siang hari diketahui apabila diangkatnya semua tirai dan dibukanya semua pintu rumah mereka.

Pintu-pintu syurga bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya. Bila diajak bicara, maka pintu-pintu itu dapat menjawab dan mengerti; bila dikatakan kepadanya, "Terbukalah atau tertutuplah," maka pintu-pintu itu membuka dan menutup dengan sendirinya.

"63. Itulah syurga yang Kami wariskan dari hamba Kami yang adalah dia bertakwa." 

Syurga yang telah digambarkan itu akan dianugerahkan kepada hamba-hambaNya yang bertakwa. Mereka adalah orang-orang yang taat kepada Allah s.w.t. dalam suka dan duka, mampu meredam amarahnya dan suka memaafkan orang lain.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...