Jumaat, 21 Julai 2017

21:83-84 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 83-84.

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (٨٣) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِنْ ضُرٍّ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُمْ مَعَهُمْ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ (٨٤) 

Allah s.w.t. berfirman,

"83. Dan Ayyub, tatkala berdoa kepada Tuhannya," 

Ingatlah kisah Ayyub a.s. Beliau memiliki banyak ternakan dan ladang pertanian. Beliau juga memiliki ramai anak serta tempat-tempat tinggal yang menyenangkan. Maka Allah s.w.t. menguji Ayyub a.s. dengan membinasakan semua harta bendanya. Semua anaknya diwafatkan. Kemudian cobaan ditimpakan pula kepada jasad atau tubuh Ayyub sendiri.

Ayyub a.s. ditimpa penyakit lepra atau kusta. Keluarlah bisul yang buruk dan menjijikan diseluruh tubuhnya kecuali hati dan lisannya yang sentiasa berzikir dan memuji Allah s.w.t. Beliau menderita penyakit itu dalam waktu yang sangat lama, tiga tahun, tujuh tahun atau lapan belas tahun.

Ayyub a.s. tinggal terpencil menyendiri. Orang ramai menjauhinya kecuali isterinya, Rahmah, Rahmatullah atau Layya, yang merawatnya dan menguruskan keperluannya. Isterinya bekerja bagi orang lain yang hasilnya ia gunakan untuk keperluan suaminya. Maka Allah s.w.t. mendapatkannya dalam keadaan sabar dan ridha terhadap musibah itu.

Semua orang baik yang dekat maupun yang jauh tidak mahu mendekatinya kecuali hanya dua orang saudaranya yang sangat akrab dengannya sebelum itu. Salah seorang berkata kepada yang lain, "Demi Allah, engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Ayyub telah berbuat suatu dosa yang belum pernah dilakukan oleh seorang manusia pun." Yang lain menjawab, "Dosa apakah yang dilakukannya?" Temannya berkata, "Selama lapan belas tahun Ayyub tidak mendapat rahmat dari Allah."

Berbagai andaian yang dibuat terhadap Ayyub a.s. Ada yang mengatakan bahawa musibah yang menimpanya adalah kerana dosa besar yang dilakukannya. Ada yang mengatakan Ayyub a.s. menyembunyikan sesuatu, tetapi menampakkan yang lainnya. Ada yang mengatakan bahawa seandainya Allah mengetahui adanya kebaikan pada diri Ayyub, tentulah Dia tidak mengujinya dengan cobaan ini.

Padahal Ayyub a.s. tidak pernah tidur di suatu malam pun dalam keadaan kenyang, tidak pernah mempunyai dua lapis baju gamis, bahkan sampai tidak berpakaian.

Isteri Ayyub a.s. berkata kepada suaminya, "Berdoalah kepada Allah memohon kesembuhan, pasti Allah akan menyembuhkanmu." Ayyub a.s. menjawab, "Aku telah menjalani masa hidup selama tujuh puluh tahun dalam keadaan sihat. Masa itu sebentar, maka sudah sepatutnya bagiku bersabar demi kerana Allah selama tujuh puluh tahun." Maka isterinya merasa terkejut dan mengeluh mendapat jawaban tersebut, lalu ia pergi.

Iblis pergi menemui dua orang bersaudara, sahabat karib Ayyub a.s. dan menyampaikan berita tentang Ayyub a.s. Iblis mengirim khamr kepada Ayyub a.s. melalui mereka jika Ayyub a.s. mahu sembuh dari sakitnya. Ayyub a.s. marah kepada mereka. Lalu keduanya pergi meninggalkannya.

Isteri Ayyub a.s. bekerja membuat roti untuk suatu keluarga yang mempunyai seorang anak kecil. Mereka memberikan roti itu kepada isteri Ayyub a.s. Tetapi Ayyub a.s. menyuruhnya memulangkan roti itu. Ketika sampai di tangga rumah mereka, tiba-tiba ada seekor kambing milik mereka menyeruduknya, maka dia berkata, "Celakalah si Ayyub yang keliru itu." Setelah ia menaiki tangga rumah keluarga itu, dia dapati anak tersebut sedang menangis meminta roti kepada orang tuanya dan tidak mahu makanan lain. Maka isteri Ayyub a.s. berkata, "Semoga Allah merahmati Ayyub." Lalu roti itu dia berikan kepada anak itu, dan dia pulang ke rumah.

Iblis datang kepada isteri Ayyub dalam rupa seorang tabib. Iblis menyuruhnya menangkap seekor lalat, lalu menyembelihnya dengan menyebut nama berhala Bani Fulan. Dia akan sembuh dari penyakitnya, kemudian boleh bertaubat sesudahnya. Isteri Ayyub a.s. menyampaikan pesanan iblis itu kepada suaminya. Maka Ayyub a.s. menjawab.” Sesungguhnya engkau telah kedatangan makhluk jahat itu lagi. Demi Allah, seandainya aku telah sembuh dari sakitku ini, aku akan menderamu sebanyak seratus kali pukulan."

Suatu masa isteri Ayyub sukar mendapat pekerjaan, sehingga dia terpaksa mencukur salah satu kepangan rambutnya, lalu menjualnya kepada seorang anak perempuan dari keluarga orang yang terhormat lagi kaya. Maka dia diberikan makanan yang baik lagi banyak. Ayyub a.s. merasa curiga melihat makanan itu, dari mana isterinya mendapatnnya. Isteri Ayyub a.s. menjawab ia adalah imbalan dari kerjanya. Lalu Ayyub a.s. mahu memakannya.

Pada keesokan harinya isteri Ayyub a.s. terpaksa memotong lagi kepangan rambutnya yang masih tersisa, lalu menjualnya kepada anak perempuan yang sama. Keluarga anak itu memberinya makanan sebagai pembayarannya, sama dengan makanan yang kelmarin. Maka Ayyub a.s. bertanya, "Demi Allah, aku tidak mahu memakannya sebelum aku ketahui dari manakah makanan ini didapati." Maka isteri Ayyub a.s. membuka tudung kepalanya. Ketika Ayyub a.s. melihat rambut isterinya dicukur, ia sangat terpukul dan merasa sedih yang amat sangat. Maka pada saat itu juga Ayyub a.s. berdoa kepada Allah s.w.t.,

"Bahawa aku menimpaku bencana dan Engkau Maha Penyayang para penyayang." 

Ayyub a.s. bertawassul kepada Allah dengan keadaannya yang begitu parah. Dengan rahmat Allah yang luas lagi merata, maka Allah menurunkan wahyu kepadanya, “Hentakkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum.” Maka Beliau menghentakkan kakinya ke bumi, kemudian keluarlah mata air yang sejuk, lalu Ayyub mandi dan minum daripadanya, kemudian Allah menghilangkan derita yang menimpanya.

"84. Maka Kami perkenankan kepadanya, lalu Kami lenyapkan apa yang dengannya dari bencana" 

Allah s.w.t. memberinya pakaian dari syurga. Ketika isterinya datang, isterinya tidak mengenalinya. Lalu si isteri bertanya, "Hai hamba Allah, ke manakah perginya orang yang mengalami musibah; tadi ia di sini? Maka Ayyub a.s. menjawab, "Akulah Ayyub." Isterinya tidak percaya. Ayyub a.s. berkata, "Aku adalah Ayyub. Allah telah mengembalikan tubuhku seperti sediakala."

Ayyub a.s. bersiap-siap untuk melaksanakan janjinya, iaitu memukul isterinya sebanyak seratus kali pukulan. Demikianlah Ayyub a.s akhirnya memukul isterinya dengan seikat rumput yang berjumlah seratus sebanyak satu kali saja, untuk memenuhi nazarnya.

"dan Kami berikan padanya keluarganya, dan serupa mereka bersama mereka," 

Menurut Ibnu Abbas adalah dengan dihidupkan kembali dan dikembalikan hartanya kepadanya. Allah s.w.t. berfirman kepada para malaikatNya, "Kembalikanlah kepadanya semua miliknya dalam keadaan utuh."

Menurut Mujahid, “Dikatakan kepada Ayyub, “Wahai Ayyub, sesungguhnya keluargamu di syurga. Jika engkau mahu, kami dapat mendatangkan mereka kepadamu, dan jika engkau mahu, kami biarkan mereka di syurga dan kami menggantikan untukmu yang serupa dengan mereka.” Ayyub menjawab, “Tidak, aku biarkan mereka di syurga.” Maka keluarganya yang dahulu dibiarkan di syurga, dan digantikan untuknya yang serupa dengan mereka di dunia.”"

Menurut Wahab bin Munabbih, “Allah mewahyukan kepada Ayyub, “Sesungguhnya Aku telah mengembalikan kepadamu seluruh keluargamu dan harta bendamu, ditambah dengan yang sejumlah dengan mereka. Maka mandilah dengan air ini, kerana sesungguhnya pada air ini terkandung kesembuhan bagimu. Lalu berkorbanlah untuk sahabat-sahabatmu dan mintalah ampunan bagi mereka, kerana sesungguhnya mereka telah derhaka kepadaKu kerana kamu.""

Kedua orang temannya datang mengunjunginya, maka salah seorang tidak sabar lagi untuk menanyakan tentang Ayyub a.s. Lalu Beliau menjawab, "Aku tidak mengerti apa yang kamu katakan, hanya Allah pasti mengetahui bahawa pada suatu hari aku berpapasan dengan dua orang lelaki yang sedang bertengkar, lalu keduanya menyebut nama Allah (bersumpah). Maka aku kembali ke rumahku, lalu kulakukan kifarat sebagai ganti dari kedua orang itu, kerana aku tidak suka bila nama Allah disebut-sebut oleh keduanya bukan dalam masalah yang hak."

Ayyub a.s kembali hidup dengan keluarganya, dan mendapat ramai anak. Diantara anaknya itu, ada yang menjadi nabi iaitu Basyar a.s.

"rahmat dari sisi Kami" 

Nabi s.a.w. bersabda, "Setelah Allah memulihkan kesihatan Ayyub, maka Allah menghujaninya dengan belalang emas. Lalu Ayyub memungutinya dengan tangan dan memasukkannya ke dalam baju. Maka dikatakan kepadanya, "Hai Ayyub, tidakkah engkau merasa kenyang?" Ayyub menjawab, "Wahai Tuhanku, siapakah yang merasa kenyang dengan rahmatMu?”

Oleh kerana Ayyub a.s. bersabar dan ridha, maka Allah s.w.t. membebaskannya dari cobaan itu, membalasnya dengan pahala yang besar, yang disegerakan di dunia sebelum pahala akhirat dan memujinya dengan pujian yang baik. Allah s.w.t. lakukan hal itu kepada Ayyub a.s. sebagai rahmat dari sisiNya buatnya.

"dan peringatan bagi orang-orang yang beribadah." 

Ayyub a.s. adalah seorang yang sangat penyabar. Allah s.w.t. jadikan kisahnya sebagai pelajaran dan teladan bagi orang-orang yang ditimpa musibah jangan menganggap bahawa sesungguhnya Dia lakukan cobaan itu kepada mereka kerana mereka hina dalam pandanganNya.

Maka tirulah dan teladanilah kesabaran Ayyub a.s. dalam menghadapi takdir Allah dan berbagai macam cobaan yang dikehendakiNya. Bersabarlah agar kalian mendapat pahala. Hanya Dia sajalah yang mengetahui hikmah yang tersembunyi di balik semuanya itu.

Nabi s.a.w. bersabda, "Orang yang paling keras cobaannya ialah para nabi, kemudian orang-orang soleh, lalu menyusul orang-orang yang utama dan orang-orang yang sebawahnya."

Di dalam hadis lain disebutkan, "Seorang lelaki diuji sesuai dengan kadar agamanya; jika agamanya kuat, maka cobaan yang menimpanya diperkuat pula."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...