Sabtu, 22 Julai 2017

26:38-51 Tafsir Surah Asy Syu'ara, ayat 38-51.

فَجُمِعَ السَّحَرَةُ لِمِيقَاتِ يَوْمٍ مَعْلُومٍ (٣٨) وَقِيلَ لِلنَّاسِ هَلْ أَنْتُمْ مُجْتَمِعُونَ (٣٩) لَعَلَّنَا نَتَّبِعُ السَّحَرَةَ إِنْ كَانُوا هُمُ الْغَالِبِينَ (٤٠) فَلَمَّا جَاءَ السَّحَرَةُ قَالُوا لِفِرْعَوْنَ أَئِنَّ لَنَا لأجْرًا إِنْ كُنَّا نَحْنُ الْغَالِبِينَ (٤١) قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ إِذًا لَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ (٤٢) قَالَ لَهُمْ مُوسَى أَلْقُوا مَا أَنْتُمْ مُلْقُونَ (٤٣) فَأَلْقَوْا حِبَالَهُمْ وَعِصِيَّهُمْ وَقَالُوا بِعِزَّةِ فِرْعَوْنَ إِنَّا لَنَحْنُ الْغَالِبُونَ (٤٤) فَأَلْقَى مُوسَى عَصَاهُ فَإِذَا هِيَ تَلْقَفُ مَا يَأْفِكُونَ (٤٥) فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سَاجِدِينَ (٤٦) قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ (٤٧) رَبِّ مُوسَى وَهَارُونَ (٤٨) قَالَ آمَنْتُمْ لَهُ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ فَلَسَوْفَ تَعْلَمُونَ لأقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ مِنْ خِلافٍ وَلأصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ (٤٩) قَالُوا لا ضَيْرَ إِنَّا إِلَى رَبِّنَا مُنْقَلِبُونَ (٥٠) إِنَّا نَطْمَعُ أَنْ يَغْفِرَ لَنَا رَبُّنَا خَطَايَانَا أَنْ كُنَّا أَوَّلَ الْمُؤْمِنِينَ (٥١)

Allah s.w.t. berfirman,

"38. Maka dikumpulkan ahli-ahli sihir pada waktu-waktu hari yang ditentukan." 

Fir'aun mengundang para ahli sihir dari segenap penjuru negeri Mesir pada waktu yang ditetapkan pada hari yang telah ditentukan, iaitu di waktu pagi di hari yang dirayakan. Pada hari itu mereka berhenti dari kesibukannya, berkumpul dan berhias.

Pada masa itu mereka adalah orang yang paling pandai dan paling pakar dalam ilmu sihir dan dalam membuat ilusi pandangan mata orang lain. Para ahli sihir yang dikumpulkan oleh Fir'aun jumlahnya sangat ramai. Jumlah mereka dua belas ribu, lima belas ribu, tujuh belas ribu, sembilan belas ribu, tiga puluh ribu, lapan puluh ribu orang atau lebih dari itu. Mereka dikumpulkan oleh empat orang pemimpin mereka, iaitu Sabur, Azur, Hat-hat dan Musaffa.

"39. Dan dikatakan kepada manusia, "Apakah kalian orang-orang yang berkumpul?"" 

Diumumkan kepada orang ramai supaya berkumpul pada hari itu. Mereka mencurahkan perhatiannya secara penuh untuk menghadiri pertemuan tersebut. Seseorang dari mereka berkata,

"40. Agar kita mengikuti ahli-ahli sihir jika mereka adalah mereka orang-orang yang menang." 

Mereka mengharapkan para pesihir itulah yang akan menang agar mereka tetap di atas agama mereka dan tidak mengikuti Musa a.s. Jika mereka ingin mencari kebenaran, tentunya mereka mengatakan, “Semoga kita mengikuti yang hak, baik itu berasal dari para ahli sihir ataupun dari Musa."

Hal ini menunjukkan bahawa rakyat itu mengikuti agama raja (pemimpin) mereka. Oleh kerana itu, ketika Musa a.s. menang, mereka tetap tidak mengikutinya. Kemenangannya hanya penegakkan hujjah saja atas mereka.

Di majlis itu Fir'aun disediakan panggung khusus. Fir'aun menghimpunkan para pelayannya, para hulubalangnya, para pembantu para pemimpin negeri dan semua bala tenteranya.

"41. Maka ketika datang ahli-ahli sihir mereka berkata kepada Fir'aun, "Apakah sungguh bagi kami ada upah, jika kami, kami adalah orang-orang yang menang?""

Para ahli sihir berdiri di hadapan Fir'aun seraya meminta imbalan harta dan kedudukan darinya jika mereka mendapat kemenangan.

"42. Dia berkata, "Ya, dan sungguh kalian kalau begitu benar-benar dari orang-orang yang dekat.""

Fir’aun menjanjikan bukan sekadar imbalan harta, bahkan dia menjanjikan mereka teman semajlis dan kedudukan yang dekat kepadanya. Demikian itu agar mereka semakin semangat dan mengerahkan semua kemampuannya untuk mengalahkan Musa a.s.

Lalu mereka kembali ke tempat pertandingan. Ketika para pesihir, Musa dan penduduk Mesir berkumpul, maka Musa a.s. mengingatkan lebih dulu, “Celakalah kalian, janganlah kalian mengada-adakan kedustaan terhadap Allah, maka Dia membinasakan kamu dengan siksa, dan sesungguhnya telah merugi orang yang mengada-adakan kedustaan.”

Ketika itu para pesihir bertengkar, sebahagian mengatakan bahawa itu bukanlah perkataan pesihir, tetapi perkataan seorang nabi. Sedangkan yang lain mengatakan bahawa ia adalah perkataan pesihir.

Lalu Fir’aun mendorong mereka untuk maju melawan Musa a.s. dan antara sesama mereka pun saling mendorong untuk maju. Mereka berkata, "Hai Musa, pilihlah, apakah kamu yang melemparkan dahulu atau kamikah orang yang mula-mula melemparkan?”

"43. Berkata kepada mereka Musa, "Lemparkanlah apa yang kalian lemparkan.""

Musa a.s. bermaksud untuk membatalkan sihir mereka dan menunjukkan bahawa yang dibawanya bukanlah sihir.

"44. Maka mereka melemparkan tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka dan mereka berkata, "Dengan kekuasaan Fir'aun, sungguh kami pasti kami orang-orang yang menang." 

“Bi’izzati” bermaksud mereka meminta pertolongan dengan kekuasaan Fir’aun; makhluk yang lemah dari berbagai sisi, hanya kerana ia seorang yang kejam dan ditakuti, sebagai raja dan mempunyai tentera, sehingga kebesarannya membuat mereka tertipu. Pandangan mereka tidak nampak hakikat yang sebenarnya. “Bi’izzati” juga bermaksud sumpah mereka dengan kekuasaan Fir’aun.

Mereka menyulap mata orang, mendatangkan sihir yang besar (menakjubkan) dan menjadikan orang ramai takut. Tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat mereka, terbayang kepada Musa a.s. seakan-akan ular-ular yang merayap dengan cepat, lantaran sihir mereka. Maka Musa a.s. merasa takut dalam hatinya.

Allah s.w.t. berfirman kepada Musa a.s., "Janganlah kamu takut, Sesungguhnya kamulah yang paling unggul. Lemparkanlah apa yang ada ditangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir belaka dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang".

"45. Lalu melemparkan Musa tongkatnya, maka tiba-tiba ia itu menelan apa yang mereka ada-adakan." 

Tongkatnya berubah menjadi ular sebenar yang besar, menyambar, menelannya ke setiap penjuru dan tidak meninggalkan sesuatu pun darinya. Nyatalah yang benar dan batallah yang selalu mereka kerjakan.

Mereka mengenali bahawa ia bukanlah tipuan pesihir atau helah silap mata, tetapi salah satu di antara ayat (tanda) Allah, sebagai mukjizat yang membuktikan kebenaran Nabi Musa a.s. dan apa yang Beliau bawa. Ia tidak akan dapat dilakukan dengan sihir atau silap mata.

Hal ini merupakan suatu peristiwa yang sangat besar yang membuktikan kemenangan mukjizat yang nyata, sekaligus sebagai hujah yang mematikan. Ketika itu kebatilan kalah, para tokohnya mengakui kebatilannya dan kebenaran jelas kelihatan. Orang-orang yang diyakini oleh Fir'aun untuk menang menjadi kalah dan tunduk serta beriman kepada Musa a.s. pada saat itu juga.

"46. Maka tersungkurlah ahli-ahli sihir bersujud." 

Para ahli sihir itu menyungkurkan diri mereka bersujud kepadaNya Allah s.w.t.

"47. Mereka berkata, "Kami beriman kepada Tuhan semesta alam.""

"48. Tuhan Musa dan Harun." 

Mereka beriman kepada Allah s.w.t., Tuhan semesta alam yang telah mengutus Musa a.s. dan Harun a.s. dengan hak dan mukjizat yang cemerlang.

Fir'aun belum pernah mengalami kekalahan sebesar itu. Akan tetapi, Fir'aun adalah orang yang sangat kurang ajar terhadap Allah. Ia tetap bersikap angkuh, sombong dan tetap di atas kekafirannya. Semoga laknat Allah, para malaikat, dan semua manusia menimpanya.

"49. Dia berkata, "Apakah kalian beriman kepadanya sebelum bahawa aku memberi izin kepada kalian?""

Menurutnya, jika dia mengizinkan, maka mereka boleh melakukannya. Jika dia cegah mereka, maka mereka mesti mencegah juga. Baginya, dia tidak boleh dilalaikan dan dia adalah penguasa yang mesti ditaati.

Maka Fir'aun dengan rasa angkuh, ingkar dan sombongnya mula memutarbelitkan kenyataan, lalu dia mengancam para ahli sihir itu melalui ucapannya.

"Sesungguhnya dia pembesar kalian yang mengajarkan kalian sihir," 

Fir'aun berkilah dan menuduh bahawa para ahli sihir itu telah merancang suatu muslihat dengan Musa a.s. terhadapnya dan bahawa Musa a.s. adalah pemimpin mereka yang telah mengajarkan sihir kepada mereka.

Semua orang mengetahui kebatilan tuduhannya itu. Para ahli sihir itu belum pernah bertemu dengan Musa a.s. sebelum hari pertandingan itu. Fir'aun dan para pemukanyalah yang menyuruh mengumpulkan para ahli sihir itu.

"maka pasti nanti kalian akan mengetahui;"

Fir’aun membesar-besarkan ucapan ini agar dianggap benar oleh kaumnya, padahal ia mengetahui ucapannya tidak benar. Hal seperti ini jelas tidak akan dikatakan oleh seorang pun yang berakal sihat. Dia mengancam mereka dengan akibat yang buruk.

"sungguh aku akan memotong tangan-tangan kalian dan kaki-kaki kalian dengan bersilang dan sungguh aku akan menyalib kalian semuanya."

Fir'aun mengancam para ahli sihir bahawa dia akan memotong tangan kanan dan kaki kiri mereka atau sebaliknya. Dia juga mengancam akan menyalib mereka semua.

Allah s.w.t. telah menyingkapkan dari kalbu para ahli sihir itu hijab kekafiran dan menampakkan kepada mereka perkara yang hak melalui pengetahuan mereka yang tidak diketahui oleh kaumnya, bahawa apa yang didatangkan oleh Musa a.s. adalah bersumber dari Allah yang telah menyokongnya dan menjadikannya sebagai hujah dan dalil yang menunjukkan kebenarannya. Mereka telah merasakan manisnya iman.

Ancaman Fir'aun tidak mempengaruhi mereka sedikit pun, bahkan ancaman itu menambahkan iman dan rasa berserah diri kepada Alla s.w.t.

"50. Mereka berkata, "Tidak kemudaratan, sungguh kami kepada Tuhan kami orang-orang yang kembali.""

Tiada halangan dan tiada kemudaratan bagi mereka. Tidak ada yang mereka takutkan lagi. Mereka tidak peduli dengan ancaman Fir'aun itu. Mereka mengetahui bahawa mereka akan kembali kepada Allah s.w.t., bagaimana pun keadaan mereka.

Allah s.w.t. tidak akan menyia-nyiakan pahala orang yang berbuat baik dalam amalnya. Tiada sesuatu pun dari apa yang Fir'aun lakukan terhadap mereka samar bagiNya, dan Dia kelak akan membalas mereka dengan pembalasan yang sempurna atas hal tersebut.

"51. Sesungguhnya kami sangat menginginkan untuk ampuni bagi kami Tuhan kami kesalahan-kesalahan kami," 

Mereka amat menginginkan agar Allah s.w.t. mengampuni dosa-dosa mereka yang telah lalu dan perbuatan sihir yang Fir'aun paksa mereka lakukan.

"kerana kami pertama-tama orang-orang yang beriman." 

Mereka adalah orang-orang Qibti yang mula-mula beriman di masa itu. Maka Fir'aun membunuh mereka semuanya. Ada yang mengatakan bahawa mereka terhalang oleh Allah s.w.t. dari dibunuh. Allahu a’lam.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...