Isnin, 24 Julai 2017

28:36-43 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 36-43.

فَلَمَّا جَاءَهُمْ مُوسَى بِآيَاتِنَا بَيِّنَاتٍ قَالُوا مَا هَذَا إِلا سِحْرٌ مُفْتَرًى وَمَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آبَائِنَا الأوَّلِينَ (٣٦) وَقَالَ مُوسَى رَبِّي أَعْلَمُ بِمَنْ جَاءَ بِالْهُدَى مِنْ عِنْدِهِ وَمَنْ تَكُونُ لَهُ عَاقِبَةُ الدَّارِ إِنَّهُ لا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ (٣٧) وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلأ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لأظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ (٣٨) وَاسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُ فِي الأرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ إِلَيْنَا لا يُرْجَعُونَ (٣٩) فَأَخَذْنَاهُ وَجُنُودَهُ فَنَبَذْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الظَّالِمِينَ (٤٠) وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لا يُنْصَرُونَ (٤١) وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُمْ مِنَ الْمَقْبُوحِينَ (٤٢) وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ مِنْ بَعْدِ مَا أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ الأولَى بَصَائِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٤٣)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan kedatangan Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. kepada Fir'aun dan pembesar-pembesar kerajaannya.

"36. Maka tatkala datang kepada mereka Musa dengan ayat-ayat Kami yang nyata," 

Musa a.s. memperlihatkan kepadanya mukjizat-mukjizat yang nyata yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada keduanya untuk membuktikan kebenaran dari berita yang disampaikan oleh keduanya dari Allah yang memerintahkan agar mengesakanNya dan mengikuti perintah-perintahNya.

Fir'aun dan pembesar-pembesar kaumnya menyaksikan, melihat dengan mata sendiri, sehingga merasa yakin dalam hatinya bahawa hal tersebut datang dari sisi Allah. Namun mereka dengan kekafiran dan kezalimannya tetap mengingkari dan mendustakannya. Demikian itu kerana kezaliman, kesewenang-wenangan, angkuh, sombong dan membangkang mereka yang tidak mahu mengikuti perkara hak.

"mereka berkata, "Tidaklah ini kecuali sihir yang dibuat-buat""

Mereka mengatakan bahawa apa yang dibawa Musa a.s. adalah sihir dan kesesatan yang diada-adakan dan dibuat-buat dengan tujuan menentang Fir'aun untuk menyaingi kekuasaannya melalui tipu daya.

Fir'aun memang pintar namun tidak bersih sehingga berbuat licik. Dia melakukan berbagai macam tipu daya, padahal dia mengetahui bahawa tidak ada yang mendatangkan mukjizat yang besar itu kecuali Allah Tuhan langit dan bumi, akan tetapi kecelakaan lebih menguasai dirinya, sehingga dia tidak beriman dan malah menentangnya.

"dan tidak kami mendengar dengan ini pada bapa-bapa kami terdahulu."

Mereka mengatakan bahawa mereka belum pernah melihat seorang pun dari nenek moyang mereka dahulu yang memeluk agama seperti itu, semua orang mempersekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain dan apa yang mereka pegang selama ini adalah hak (benar).

Ucapan mereka ini dusta, padahal Allah s.w.t. telah mengutus sebelum Musa a.s. rasulNya Yusuf a.s. Beliau telah membawa keterangan-keterangan, tetapi mereka sentiasa dalam keraguan tentang apa yang dibawanya kepada mereka, hingga ketika Beliau wafat, mereka berkata, "Allah tidak akan mengirim seorang (rasul pun) setelahnya." Demikianlah Allah menyesatkan orang-orang yang melampaui batas dan ragu-ragu.

"37. Dan berkata Musa, "Tuhanku lebih mengetahui siapa datang dengan petunjuk dari sisiNya""

Allah s.w.t lebih mengetahui siapa yang patut atau layak membawa petunjuk dari sisiNya. Kelak Dia akan memberikan keputusanNya.

"dan siapa yang adalah baginya kesudahan tempat." 

Allah s.w.t. lebih mengetahui siapa yang akan mendapat kesudahan yang baik, iaitu pertolongan, kemenangan dan sokongan dariNya di akhirat.

"Sesungguhnya tidak akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim."

Orang-orang yang mempersekutukan Allah s.w.t. tidak akan mendapat kemenangan.

"38. Dia berkata Fir'aun, "Wahai para pembesar, tidaklah aku mengetahui bagi kalian dari Tuhan selain aku.""

Dengan kekafiran Fir'aun, kesewenang-wenangannya, dan apa yang dibuat-buatnya yang mengaku-aku bahawa dirinya adalah tuhan, dia bersikap berani terhadap Allah dan mengelabui kaumnya.

Fir'aun mengumpulkan kaumnya dan menyeru mereka untuk mengakui bahawa dirinya adalah tuhan dengan suara yang keras. Lalu mereka menaati dan mendengarkannya kerana kebodohan, kekurangan akal dan hati mereka yang kosong. Maka Fir’aun hendak menguatkan ketiadaan Tuhan selainnya.

"Maka nyalakan api bagiku, wahai Haman, atas tanah liat. Maka buatlah untukku menara agar aku dapat melihat kepada Tuhan Musa," 

Fir'aun memerintahkan kepada Haman (patih atau perdana menterinya) yang mengatur rakyatnya dan yang menjalankan roda pemerintahannya, agar membakar tanah liat (batu bata) untuk membuat menara yang tinggi supaya dia sampai ke pintu-pintu langit, agar dia dapat melihat Allah.

Begitu berani makhluk yang lemah dan kecil ini kepada Allah s.w.t., dia mendustakan RasulNya dan mengaku dirinya tuhan. Dia ingin membuktikan di mata rakyatnya akan kedustaan Musa a.s. dalam anggapannya yang mengatakan bahawa ada Tuhan lain selain dirinya.

"dan sungguh aku mengira dia termasuk orang-orang yang berdusta." 

Fir'aun tidak mengakui adanya Tuhan Yang Maha Pencipta. Dia benar-benar yakin bahawa Musa a.s. adalah seorang pendusta. Demikianlah dijadikan Fir’aun memandang baik perbuatan yang buruk itu, dan dia dihalangi dari jalan yang benar. 

Akan tetapi, sungguh aneh para pembesar yang mengatur kerajaan, akal mereka dapat dipermainkan oleh Fir’aun, orang yang merosakkan agama dan akal mereka. Demikian itu kerana keadaan mereka juga fasik dan sifat itu telah menancap dalam diri mereka.

"39. Dan berlaku sombonglah dia dan bala tenteranya di bumi dengan tidak benar" 

Mereka berlaku sewenang-wenang, zalim dan banyak menimbulkan kerosakan di bumi (Mesir). Mereka bersikap sombong terhadap hamba-hamba Allah dan menimpakan azab yang berat kepada mereka, bersikap sombong terhadap para rasul Allah dan terhadap apa yang mereka bawa dariNya, serta menyangka bahawa apa yang mereka pegang selama ini lebih tinggi dan lebih hebat.

"dan mengira bahawa mereka kepada Kami tidak dikembalikan." 

Mereka berkeyakinan bahawa kiamat dan hari berbangkit itu tidak ada. Seandainya mereka mereka mengetahui, bahawa mereka akan kembali kepada Allah s.w.t., tentu mereka tidak akan bersikap membangkang seperti itu.

"40. Maka Kami siksa dia dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut." 

Allah s.w.t. siksa Fir'aun dan bala tenteranya dengan ditenggelamkanNya mereka di laut dalam waktu yang sebentar di pagi hari sehingga tiada yang tersisa seorang pun dari mereka.

"Maka perhatikanlah bagaimana ada kesudahan orang-orang yang zalim." 

Begitulah kesudahan orang yang zalim, iaitu kebinasaan. Di dunia mereka mendapat kesudahan atau hukuman yang paling buruk dan paling sengsara.

"41. Dan Kami jadikan mereka para pemimpin mereka menyeru kepada api neraka"

Allah s.w.t. jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru atau mengajak manusia ke neraka bagi orang yang mengikuti jejak mereka dalam berbuat syirik, kemaksiatan, mendustakan rasul-rasul dan mengabaikan hak Tuhan Yang Maha Pencipta.

"dan pada hari kiamat mereka tidak ditolong." 

Tidak ada seorang penolong pun bagi mereka dari azab Allah. Maka terhimpunlah pada diri mereka kehinaan di dunia dan diikuti dengan kehinaan di akhirat. Allah memberlakukan laknat terhadap mereka dan raja mereka (Fir'aun) pada lisan orang-orang yang beriman dari kalangan hamba-hambaNya lagi mengikuti rasul-rasulNya.

"42. Dan Kami iringkan mereka dalam ini dunia laknat;" 

Mereka juga diikuti laknat di dunia ini sebagai tambahan terhadap azab dan penghinaan mereka melalui lisan para nabi dan para pengikutnya. Nama mereka di hadapan semua makhluk begitu buruk, dibenci dan dicela.

"dan pada hari kiamat mereka termasuk orang-orang yang dijauhkan." 

Pada hari Kiamat mereka dijauhkan dari rahmat Allah. Berkumpul dalam diri mereka kemurkaan dari Allah, dari makhlukNya dan dari diri mereka sendiri.

"43. Dan sungguh Kami telah memberikan Musa Al Kitab dari setelah Kami binasakan umat-umat terdahulu," 

Allah s.w.t. menurunkan anugerahNya kepada hamba dan RasulNya Musa a.s. kitab Taurat kepadanya sesudah dibinasakanNya generasi-generasi yang terdahulu seperti kaum Nuh, ‘Ad, Samud dan Fir’aun bersama bala tenteranya.

Sesudah Taurat diturunkan, tiada lagi suatu umat yang diazab secara menyeluruh, melainkan Dia memerintahkan kepada orang-orang yang beriman untuk berjihad memerangi musuh-musuh Allah dari kalangan kaum musyrik atau kafir.

"pandangan bagi manusia dan petunjuk dan rahmat," 

Untuk menjadi pelita, petunjuk, dan rahmat bagi manusia. Ia menjadi cahaya bagi hati, agar mereka tidak buta dan sesat. Mereka nampak hakikat sesuatu dan kesudahannya. Mereka nampak hal yang bermanfaat dan hal yang tidak bermanfaat bagi mereka.

Ia juga menjadi hujjah bagi pelaku maksiat dan bermanfaat bagi orang-orang mukmin. Ia menjadi petunjuk ke jalan yang benar dan lurus. Ia menjadi rahmat, iaitu petunjuk untuk mengerjakan amal soleh.

"agar mereka, mereka mengambil pelajaran." 

Iaitu agar manusia ingat dengan adanya pelajaran tersebut dan mendapat petunjuk.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...