Sabtu, 1 Julai 2017

3:144-148 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 144-148.

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ (١٤٤) وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُؤَجَّلا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ (١٤٥) وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ (١٤٦) وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلا أَنْ قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (١٤٧) فَآتَاهُمُ اللَّهُ ثَوَابَ الدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ الآخِرَةِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (١٤٨)

Semasa berkecamuknya perang Uhud, kaum muslim mengalami kekalahan dan terpukul mundur. Ramai yang gugur diantara mereka. Ibnu Qumaiah kembali kepada pasukan kaum musyrik, lalu berkata kepada mereka, "Aku telah membunuh Muhammad." Padahal dia sebenarnya hanya memukul dan melukakan kepala Rasulullah s.a.w. Maka syaitan berseru, "Ingatlah, sesungguhnya Muhammad telah terbunuh!"

Berita tersebut memang mengacaukan dan mempengaruhi sebahagian besar pasukan kaum muslim sehingga mereka menyangka bahawa Rasulullah s.a.w. benar-benar telah terbunuh (gugur). Mereka berkeyakinan bahawa terbunuh adalah suatu hal yang mungkin terjadi pada diri Rasulullah s.a.w. seperti yang dikisahkan oleh Allah s.w.t. perihal nasib yang dialami oleh ramai nabi terdahulu.

Semangat mereka menjadi kendur dan lemah. Mereka berundur lari meninggalkan medan perang. Ada yang berniat meminta perlindungan kepada Abu Sufyan (pemimpin kaum Quraisy). Sementara itu orang-orang munafik mengatakan bahawa kalau Nabi Muhammad s.a.w. itu seorang Nabi tentulah dia tidak akan mati terbunuh.

Sehubungan dengan peristiwa ini Allah s.w.t. berfirman menenteramkan hati kaum muslimin dan membantah kata-kata orang-orang munafik itu.

"144. Dan tidaklah Muhammad melainkan seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya rasul-rasul." 

Nabi Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang manusia yang diangkat Allah s.w.t. menjadi rasul. Beliau s.a.w. mempunyai teladan pada mereka dalam hal kerasulan. Rasul-rasul sebelumnya telah wafat. Ada yang wafat kerana terbunuh dan ada juga yang wafat kerana sakit biasa. Kerana itu Nabi Muhammad s.a.w. juga akan wafat kerana sakit biasa atau terbunuh seperti halnya rasul-rasul yang terdahulu itu.

Allah s.w.t. berfirman mencela dan menegur orang-orang yang lari kerana kalah dalam Perang Uhud dan meninggalkan medan perang ketika mereka mendengar seruan yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah terbunuh.

"Maka apakah jika wafat atau dibunuh, kalian berbalik ke belakang?"

Kalaupun Muhammad s.a.w. wafat atau terbunuh, tidak sepatutnya kalian murtad dari agama kalian, berundur, melarikan diri atau meninggalkan medan perang.

"Dan barang siapa yang dia berbalik ke belakang, maka tidak memudaratkan Allah sedikit pun;" 

Allah s.w.t. tidak akan ditimpa kerugian atau mudarat sedikit pun. Bahkan dia hanya merugikan dirinya sendiri. Allah s.w.t. tidak perlu kepadanya. Dia akan tetap menegakkan agamaNya serta menguatkan hamba-hambaNya yang mukmin.

"dan Allah akan membalas orang-orang yang bersyukur." 

Orang-orang yang bersyukur bermaksud mereka yang menjalankan ketaatan kepadaNya, berperang membela agamaNya, dan mengikuti RasulNya, baik sewaktu beliau masih hidup ataupun sudah wafat. Allah s.w.t. akan memberi balasan kepada orang-orang yang tetap teguh pendiriannya.

Ketika Rasulullah s.a.w. wafat, Umar Ibnul Khattab r.a. dan para sahabat gelisah kerana tidak percaya dengan kewafatan Nabi s.a.w. Abu Bakar As Siddiq r.a. tiba dari As Sanah lalu masuk ke dalam Masjid Nabawi. Orang ramai tidak ada yang berbicara.

Abu Bakar r.a. masuk menemui Aisyah r.a., lalu menuju ke arah jenazah Rasulullah s.a.w. yang saat itu telah diselimuti dengan kain hibarah (kain yang bersalur). Kemudian dia membuka penutup wajah Rasulullah s.a.w., lalu menangkupinya dan menciuminya seraya menangis.

Abu Bakar r.a. berkata, "Demi ayah dan ibuku menjadi tebusanmu. Demi Allah, Allah tidak akan menghimpun dua kematian pada dirimu. Adapun kematian yang telah ditetapkan atas dirimu sekarang telah engkau laksanakan."

Ketika Umar r.a. sedang berbicara dengan orang ramai, Abu Bakar r.a. keluar lalu berkata kepada Umar r.a. untuk menenteramkannya, "Amma ba'du. Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat Dan barang siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah hidup kekal dan tidak akan mati."

Kemudian Abu Bakar r.a. membacakan ayat ini. Orang ramai seakan-akan tidak menyedari bahawa Allah s.w.t. telah menurunkan ayat ini sebelum Abu Bakar r.a. membacakannya kepada mereka. Maka semua orang yang mendengarnya ikut membacakannya bersama bacaan Abu Bakar r.a.

Umar r.a. masih dalam keadaan belum sedar kecuali setelah dia mendengar Abu Bakar r.a. membacakannya. Maka tubuhnya penuh dengan keringat hingga kedua kakinya tidak dapat menopang dirinya lagi kerana lemas, hingga dia terjatuh ke tanah. Di dalam kisah ini terdapat dalil keutamaan Abu Bakar As Siddiq r.a.

"145. Dan tidaklah dia bagi satu jiwa bahawa akan mati kecuali dengan izin Allah ketetapan ditentukan."

Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Allah s.w.t. berfirman memberikan semangat dan membangkitkan keberanian mereka untuk berperang.

Setiap yang bernyawa hanya akan mati dengan izin, qadha', takdir Allah dan setelah ia memenuhi waktu yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya. Ketetapan yang telah ditentukan waktunya tidak maju dan tidak mundur, tidak cepat dan tidak lambat. Ia sudah ditetapkan dalam Kitab (Lauh Mahfuz).

Kalau kalian ditakdirkan akan mati, maka kalian akan mati walau pun tanpa sebab dan kalau pun kalian diancam mati atau ada usaha dari orang lain untuk membunuh kalian, maka kalian tidak akan mati sampai tiba ajal kalian.

Sesungguhnya maju dan menggeluti peperangan tidak dapat mengurangi atau menambah umur. Berundurnya kalian tidak menolak kematian dan tetapnya kalian (bersabar) pun tidak mengakhiri kehidupan. Maka janganlah kalian berundur.

"Dan barang siapa yang menghendaki pahala dunia, Kami berikan kepadanya darinya, dan barang siapa yang menghendaki pahala akhirat, Kami berikan kepadanya darinya." 

Barang siapa yang amalnya hanya untuk keuntungan di dunia saja, nescaya dia akan segera mendapatkan sebahagian dari keuntungan di dunia menurut apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya, sedangkan di akhirat nanti dia tidak mendapat suatu bahagian pun. Allah tentukan baginya neraka jahannam, dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

Barang siapa yang berniat dengan amalnya untuk keuntungan atau pahala akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh, sedangkan ia mukmin, nescaya Allah akan memberinya. Usahanya dibalas dengan kebaikan. Ditambahkan keuntungan itu baginya apa yang telah dibahagikan oleh Allah untuknya dalam kehidupan dunia ini.

"Dan Kami akan memberi balasan orang-orang yang bersyukur."

BalasanNya banyak dan besar. Allah s.w.t. akan memberikan kepada mereka sebahagian anugerah dan rahmatNya di dunia dan akhirat menurut tingkatan rasa syukur dan amal mereka, sedikit atau banyak.

Kemudian Allah s.w.t. menghibur kaum mukmin dari musibah yang telah menimpa mereka dalam Perang Uhud, yang sebelum itu mempengaruhi jiwa mereka. Untuk itu Allah s.w.t. berfirman,

"146. Dan betapa banyak dari nabi berperang bersamanya orang-orang rabbani banyak." 

Berapa ramai nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut yang bertakwa. Betapa ramai nabi terdahulu yang berperang dan terbunuh. Terbunuh juga bersamanya ribuan pengikutnya, iaitu para ulama yang sabar, setia, berbakti dan bertakwa.

"Mereka tidak mereka jadikan lemah kerana apa yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lemah dan tidak menyerah." 

Mereka yang masih hidup tidak menjadi lemah semangat. Semangat juang mereka sama sekali tidak pernah kendur. Mereka tidak sama sekali pernah takut menghadapi musuh mereka. Mereka tidak pernah tunduk, tidak pernah mundur dari kewajiban membantu nabi-nabi mereka dan agama mereka.

Mereka tidak menyerah kepada musuh kerana kekalahan yang mereka derita dalam jihad demi membela Allah dan agama mereka. Mereka tetap berperang dan meneruskan perjuangan nabi Allah hingga bersua dengan Allah, sampai titisan darah terakhir.

"Dan Allah menyukai orang-orang yang sabar." 

Allah s.w.t. mencintai dan mengasihi orang-orang yang sabar, iaitu mereka yang tetap meneruskan perjuangan nabi mereka walaupun sesudah nabi mereka tiada. Maka ikutilah oleh kalian jejak generasi sebelum kalian dan berbuatlah seperti yang mereka lakukan.

"147. Dan tidak ada perkataan mereka kecuali bahawa mereka berkata, "Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan berlebih-lebihan kami dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan tolonglah kami atas kaum yang kafir.""

Mereka hanya mengucapkan doa tersebut. Mereka mengetahui bahawa dosa-dosa dan sikap melampaui batas-batas hukum yang telah ditetapkan Allah s.w.t. merupakan penyebab kekalahan dan bahawa melepaskan diri dari dosa-dosa merupakan sebab kemenangan, maka mereka meminta kepada Allah agar dosa-dosa itu diampuni.

Mereka tidak bersandar dengan kemampuan mereka, bahkan mereka bersandar dan bertawakkal kepada Allah. Mereka meminta kepadaNya agar diberi keteguhan saat menghadapi musuh. Mereka menggabung antara sabar, taubat, istighfar dan meminta pertolongan kepada Allah.

"148. Maka Allah memberikan kepada mereka pahala dunia" 

Allah s.w.t. memberikan kepada mereka pertolongan, kemenangan, harta rampasan, akibat yang terpuji dan lain-lain.

"dan kebaikan pahala akhirat." 

Allah s.w.t. menghimpunkan bagi mereka pahala di dunia dan pahala akhirat. Mereka mendapat syurga dan keridhaan Allah.

"Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." 

Allah s.w.t. mencintai dan mengasihi orang-orang yang berbuat ihsan atau kebaikan, baik dalam beribadah kepada Allah maupun dalam bermu'amalah kepada sesama manusia. Melakukan hal yang serupa dengan generasi terdahulu dalam berjihad melawan musuh juga termasuk dalam ihsan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...