Selasa, 4 Julai 2017

5:6 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 6.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٦)

Aisyah r.a. keluar bersama Rasulullah s.a.w. dalam sebahagian safar Beliau. Ketika telah berada di lingkungan kota Madinah, tiba-tiba kalung yang dipakainya terjatuh di padang pasir. Kalung tersebut milik Asma' yang dipinjam oleh Aisyah r.a.

Maka Rasulullah s.a.w. memberhentikan unta kenderaannya dan turun. Beliau mengirim beberapa orang untuk mencari kalung itu, sedangkan sebahagian lagi tetap bersama Beliau. Lalu Beliau merebahkan kepalanya di pangkuan Aisyah r.a. dan tidur.

Sebahagian orang mendatangi Abu Bakar r.a. dan berkata, "Tidakkah kamu melihat apa yang dilakukan Aisyah, dia telah membuat Rasulullah s.a.w. terhenti, begitu juga para sahabatnya padahal mereka tidak berada dekat air dan tidak ada yang memilikinya."

Maka Abu Bakar r.a. datang dan memukul Aisyah r.a. dengan pukulan yang kuat dan berkata, "Kamulah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat terhenti kerana kalung itu, padahal mereka tidak berada dekat dengan air dan tidak membawa air."

Maka Aisyah r.a. berharap untuk mati saat itu kerana pukulannya terasa sangat menyakitkan. Aisyah r.a. terhalang daripada bergerak kerana Rasulullah s.a.w. sedang tidur di pangkuannya. Tidak lama kemudian Nabi s.a.w. bangun, dan waktu subuh masuk. Lalu Beliau mencari air, tetapi tidak didapatinya.

Maka turunlah firmanNya,

"6. Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kalian melakukan solat, maka basuhlah wajah kalian" 

Kerjakanlah apa yang disyrai'atkan kepada kalian sebagai amal kepada imanmu. Kalian telah diperintahkan mendirikan solat dan memasang niat ketika hendak solat. Apabila kalian hendak melaksanakan solat, sedangkan kalian berhadas kecil, hendaklah kalian bersuci. Suci (dari hadas kecil dan hadas besar) termasuk syarat sah solat.

Bersuci tidaklah wajib kerana masuknya waktu solat, tetapi wajib kerana hendak mengerjakan solat. Semua perbuatan yang disebut sebagai solat, baik solat fardhu maupun sunat, begitu juga yang fardhu kifayah seperti solat jenazah disyaratkan wajib bersuci. Bahkan menurut kebanyakan ulama untuk sujud (saja) disyaratkan wajib suci, seperti untuk sujud syukur dan sujud tilawah.

Diwajibkan kalian membasuh muka kalian, dari atas kepala tempat tumbuh rambut sampai ke bahagian bawah rahang dan dagu, dari satu telinga ke telinga yang lain. Disunatkan kalian berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung, dan termasuk juga rambut yang ada di wajah. Jika rambutnya tipis, maka air mesti sampai ke kulit, tetapi jika lebat, maka cukup bahagian atasnya saja.

"dan tangan kalian sampai siku" 

Diwajibkan kalian membasuh kedua tangan sampai siku. Kewajiban itu tidaklah sempurna kecuali dengan membasuh semua siku.

"dan usaplah kepala kalian" 

Mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad ibnu Hambal berpendapat wajib menyempurnakan usapan hingga merata ke seluruh bahagian kepala. Mazhab Hanafi berpendapat wajib mengusap seperempat bahagian kepala, iaitu sampai dengan batas ubun-ubun.

Mazhab Imam Syafii berpendapat sesungguhnya yang diwajibkan dalam masalah mengusap kepala ini hanyalah sebatas apa yang dinamakan mengusap menurut terminologi bahasa. Hal ini tidak mempunyai batasan tertentu, bahkan seandainya seseorang mengusap sebahagian dari rambut kepalanya, hal ini sudah mencukupi.

"dan kaki kalian hingga kedua mata kaki." 

Diwajibkan kalian membasuh kedua kaki kalian sampai ke buku lali, iaitu dua buah tulang yang menonjol pada pergelangan betis dan telapak kaki. Di dalamnya terdapat isyarat menyapu kedua kasut (khuffain) ketika memakai kasut.

Diwajibkan kalian tertib dalam berwudhu', kerana Allah menyebutkan secara tertib. Perintah tertib adalah dalam keempat anggota badan yang disebutkan dalam ayat di atas (wajah, tangan, kepala dan kaki).

Adapun tertib dalam hal berkumur-kumur dan beristinsyaq (menghirup air ke hidung), atau antara yang kanan dengan kiri (baik tangan atau kaki), maka tidak wajib. Namun dianjurkan mendahulukan berkumur-kumur, lalu beristinsyaq dan mendahulukan yang kanan daripada yang kiri serta mendahulukan mengusap kepala daripada mengusap telinga.

"dan jika kalian junub, maka bersucilah kalian" 

Diwajibkan kalian mandi dari junub atau berhadas besar. Junub meliputi orang yang keluar mani baik dalam keadaan sedar atau sedang tidur atau berjima' walaupun tidak keluar maninya. Barang siapa yang ingat bahawa dirinya mimpi, namun tidak mendapatkan basahnya, maka ia tidak wajib mandi kerana belum terwujud junub.

Wajib meratakan membasuh ke seluruh badan dalam mandi. Kalian diperintahkan membasuh bahagian luar kepala dan dalamnya dalam mandi junub. Hadas kecil ikut masuk ke dalam hadas besar, oleh kerananya hal itu dapat diwakili dengan memasang niat untuk mandi, lalu meratakan air ke seluruh badan.

"dan jika kalian sakit, atau dalam perjalanan, atau datang seseorang dari kalian dari tempat buang air, atau kalian menyentuh wanita-wanita, maka tidak kalian mendapati air, maka bertayamumlah kalian debu yang baik;" 

Termasuk sebab yang membolehkan tayammum adalah sakit yang membahayakan diri jika menggunakan air walaupun ada air, sedang dalam safar dan tidak mendapati air, selesai dari buang air kecil atau besar ketika tidak ada air walaupun tidak safar.

Menurut sebahagian ulama "menyentuh perempuan" di sini adalah bersentuhan kulit, yang lain berpendapat "bersentuhan kulit disertai syahwat", sedangkan yang lain lagi berpendapat, bahawa maksudnya adalah berjima', inilah pendapat yang rajih, kerana sebelumnya menyebutkan tentang hadas kecil kerana buang air, dan kemudian menyebutkan tentang hadas besar kerana menyentuh perempuan, iaitu berjima'.

Jika menyentuh perempuan membatalkan wudhu', tentu Rasulullah s.a.w. akan berwudhu' semula setelah mencium isterinya, namun Beliau langsung melaksanakan solat tanpa memperbaharui wudhu'nya.

Jika telah masuk waktu solat dan tidak ada air, maka seseorang mestilah mencarinya di tempatnya atau di sekitarnya. Jika kalian tidak memperoleh air setelah mencarinya, bertayamumlah dengan debu yang baik bersih dan suci. Ia (tayamum) dapat menyucikan diri kalian dari hadas kecil dan hadas besar.

Barang siapa yang mendapatkan air namun tidak cukup untuk menyucikan sebahagian anggota badannya, maka ia tetap menggunakan air itu, selebihnya ia tayammumkan. Air yang berubah kerana sesuatu yang suci lebih didahulukan daripada bertayammum. Hal itu, kerana air yang berubah, tetap dianggap sebagai air.

Bertayammum mestilah disertai niat. Tayammum dianggap cukup dengan segala sesuatu yang nampak di permukaan bumi baik berupa tanah maupun lainnya. Pada umumnya ada debu, di mana ia mengusap wajah darinya, boleh juga sebagai pengarahan kepada yang lebih utama, yakni jika permukaan bumi itu ada debunya, maka hal itu lebih utama. Tidak sah bertayammum dengan debu yang bernajis.

"maka usaplah wajah-wajah kalian dan tangan-tangan kalian dengannya." 

Yang ditayammumkan adalah wajah dan tangan saja, tidak anggota badan yang lain. Semua wajahnya dikenakan dalam tayammum, hanya saja dikecualikan bahagian hidung dan mulut serta yang berada di bawah rambut walaupun tidak lebat. Kedua tangan yang diusap adalah sampai pergelangan saja.

Bertayammum boleh untuk semua hadas, baik hadas besar maupun hadas kecil, bahkan ketika badan bernajis. Kerana Allah menjadikan tayammum sebagai pengganti bersuci dengan menggunakan air. Namun menurut jumhur ulama, tayammum tidak ditujukan jika badan bernajis, kerana susunan ayat ini berkenaan dengan hadas.

Bahagian yang diusap dalam tayammum baik untuk hadas besar maupun hadas kecil adalah sama, iaitu wajah dan tangan. Jika seseorang berniat dalam tayammum untuk menyucikan diri dari kedua hadas, maka hal itu sah.

Mengusap dalam tayammum dikatakan cukup dengan apa saja, baik dengan tangan atau lainnya. Disyaratkan mesti tertib dalam bertayammum sebagaimana dalam wudhu', kerana Allah memulainya dengan wajah kemudian kedua tangan. Apabila ada air, tayammumnya batal walaupun sedang dalam solat.

"Tidaklah Allah menghendaki untuk menjadikan atas kalian dari kesulitan," 

Dia memberikan kemudahan kepada kalian dan tidak menyusahkan kalian. Bahkan Dia membolehkan bertayamum bagi orang yang sakit dan di saat air tidak ada, sebagai keluasan dan sebagai rahmat untuk kalian dariNya. Dia menjadikan debu sebagai bahan untuk bersuci untuk menggantikan air bagi orang yang tayamum disyariatkan untuknya, kecuali bila dipandang dari beberapa segi.

"akan tetapi Dia menghendaki untuk mensucikan kalian dan untuk menyempurnakan nikmatNya atas kalian, agar kalian bersyukur."

Allah s.w.t. hendak membersihkan kalian dari hadas dan dari dosa-dosa. Dia hendak menyempurnakan nikmatNya bagi kalian dengan menerangkan ajaran-ajaran Islam. Disebutkan nikmat Allah kepada hamba-hambaNya dengan adanya syari'at tayammum. Syari'at yang ditetapkan Allah tidak ada sedikit pun kesempitan dan kesulitan, bahkan hal itu merupakan rahmat untuk menyucikan kalian dan menyempurnakan nikmatNya kepada kalian.

Sucinya bahagian luar dengan air atau tanah merupakan penyempurnaan terhadap kesucian batin seseorang dengan tauhid dan taubat yang sesungguhnya. Bertayammum, walaupun tidak dirasa dan dilihat kesucian seseorang, namun di dalamnya terdapat penyucian maknawi yang muncul dari mengikuti perintah Allah.

Sepatutnya seorang hamba mentadabburi hikmah dan rahsia di balik syari'at Allah, baik dalam syari'at bersuci maupun syari'at lainnya agar bertambah pengetahuan dan ilmunya, serta bertambah rasa syukur dan cinta kepadaNya, di mana syari'at-syari'at itu mencapaikan seseorang kepada darjat-darjat yang tinggi.

Bersyukurlah kalian terhadap hal-hal yang telah disyariatkanNya bagi kalian. Semuanya mengandung keluasan, belas kasihan, rahmat, kemudahan, dan toleransi buat kalian. Sunnah telah menganjurkan berdoa sesudah wudu sebagai ungkapan rasa syukur kerana Allah telah menjadikan pelakunya termasuk orang-orang yang bersih, dan sebagai realisasi dari pengamalan ayat yang mulia ini.

Setelah ayat ini diturunkan, Usaid ibnul Hudair berkata, "Ini bukanlah berkah pertama kali yang datang kepadamu wahai Abu Bakar. Sesungguhnya Allah telah memberkati manusia melalui kalian, hai keluarga Abu Bakar. Kalian tiada lain merupakan berkah bagi mereka." Maka mereka bangunkan unta, di mana Aisyah r.a. berada di atasnya, lalu mereka mendapati kalung di bawahnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...