Khamis, 6 Julai 2017

6:12-18 Tafsir Surah Al An’am, ayat 12-18.

قُلْ لِمَنْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ قُلْ لِلَّهِ كَتَبَ عَلَى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ لا رَيْبَ فِيهِ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنْفُسَهُمْ فَهُمْ لا يُؤْمِنُونَ (١٢) وَلَهُ مَا سَكَنَ فِي اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (١٣) قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَتَّخِذُ وَلِيًّا فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَهُوَ يُطْعِمُ وَلا يُطْعَمُ قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَسْلَمَ وَلا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (١٤) قُلْ إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ (١٥) مَنْ يُصْرَفْ عَنْهُ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمَهُ وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْمُبِينُ (١٦) وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلا كَاشِفَ لَهُ إِلا هُوَ وَإِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١٧) وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ (١٨)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"12. Katakanlah, "Milik siapakah apa yang di langit dan bumi?""

Katakanlah kepada orang-orang musyrik agar mereka mengakui dan mahu mentauhidkan Allah.

"Katakanlah, "Milik Allah."

Tidak ada lagi jawaban selain ini. Semua makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hamba-hamba dan makhluk Allah. Dialah yang menciptakan, memiliki dan mengatur semuanya. Jika mereka mengakuinya, sepatutnya mereka berbuat ikhlas kepadaNya dan mentauhidkanNya.

"Dia telah tetapkan atas diriNya kasih sayang." 

Allah telah menetapkan kasih sayang atas diriNya Yang Mahasuci. Dia menetapkan sifat rahmat pada diriNya. RahmatNya mengalahkan kemurkaanNya. Dia telah membuka lebar rahmatNya dan ihsanNya. Dia melimpahkan rahmat dan nikmatNya kepada mereka. Pemberian lebih dicintaiNya daripada menghalangi.

Dia telah membuka pintu-pintu rahmatNya kepada semua hamba jika mereka tidak mengunci pintu-pintunya dengan dosa-dosa. Dia mengajak mereka kepada rahmatNya, namun mereka tidak memintanya kerana dihalangi oleh maksiat dan dosa mereka.

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah, setelah selesai menciptakan makhluk, maka Dia menulis di dalam kitab yang ada di sisiNya di atas 'Arasy, "Sesungguhnya rahmatKu mengalahkan murkaKu.”"

"Sungguh Dia akan kumpulkan kalian pada hari kiamat tidak ada keraguan di dalamnya." 

Allah bersumpah dengan menyebut nama diriNya Yang Mahamulia, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menghimpun semua hambaNya di waktu tertentu pada hari yang dikenal. Iaitu hari kiamat yang tidak diragukan lagi oleh hamba-hambaNya yang mukmin.

Berita yang dikhabarkanNya adalah berita yang paling benar, Dia telah menegakkan hujjah dan bukti terhadapnya. Adapun hamba-hamba Allah yang zalim, ingkar dan mendustakannya, mereka tenggelam ke dalam keraguannya tentang kejadian hari tersebut.

"Orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri, maka mereka tidak beriman." 

Mereka tidak mahu menggunakan akal fikirannya. Mereka tidak percaya dengan adanya hari kembali. Mereka mengingkari bahawa Allah mampu membangkitkan makhluk yang telah mati. Mereka tidak takut akan adanya pembalasan yang keras di hari itu, lalu mereka tetap bermaksiat dan berani kafir kepadaNya, sehingga mereka rugi di dunia dan akhirat.

"13. Dan milikNya apa yang ada pada malam dan siang hari." 

Dia Pengatur, Pencipta dan Pemilik semua makhluk, baik manusia maupun jin, malaikat, makhluk hidup maupun benda mati. Semuanya berada di bawah kekuasaan, pengaturan dan pengendalianNya pada bila-bila masa. Maka tidak sepatutnya secara akal makhluk-makhluk itu disembah, sedangkan yang menciptanya lagi yang memilikinya ditinggalkan.

"Dan Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui." 

Allah Maha Mendengar semua ucapan hamba-hambaNya dengan berbagai bahasa dan bermacam-macam keperluan. Dia Maha Mengetahui segala gerakan, yang terpendam di dalam kalbu dan yang dirahsiakan. Dia mengetahui semua yang telah terjadi dan akan terjadi serta yang tidak terjadi. Dia mengetahui yang nampak maupun yang tersembunyi.

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"14. Katakanlah, "Apakah selain Allah aku jadikan pelindung pencipta langit dan bumi, dan Dia memberi makan dan tidak diberi makan?""

Aku tidak akan menjadikan makhluk Allah sebagai pelindungku. Semua makhlukNya dicipta, diberi rezeki, lemah, fakir dan sebagainya. Sedangkan Allah Maha Pencipta, Maha Pemberi rezeki, Maha Kuasa, Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Dialah Yang menciptakan langit dan bumi dan yang mengadakan keduanya tanpa contoh lebih dahulu. Dialah Yang memberi rezeki kepada makhlukNya dan Dia tidak memerlukan rezeki dari mereka.

"Katakanlah, "Sungguh aku diperintahkan supaya aku menjadi pertama orang yang berserah diri, dan janganlah kamu menjadi termasuk orang-orang yang musyrik.""

Aku diperintahkan agar menjadi orang yang mula-mula berserah diri kepada Allah dari kalangan umat ini. Diperintahkan juga kepadaku agar tidak sekali-kali masuk golongan orang-orang yang melakukan syirik.

"15. Katakanlah, "Sungguh aku takut jika aku menderhakai Tuhanku azab hari yang besar.""

Aku benar-benar takut akan azab hari kiamat jika aku menderhakai Allah kerana beribadah kepada selainNya. Perbuatan syirik dapat menyebabkan pelakunya disiksa di neraka selama-lamanya dan mendapat kemurkaan Allah.

"16. Barang siapa yang dipalingkan darinya pada hari itu, maka sungguh Dia telah merahmatinya. Dan itulah kemenangan yang nyata."

Al fauz bermaksud mendapat keuntungan dan tidak rugi. Barang siapa yang dipalingkan dari azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka demikian itu adalah berkat rahmat Allah kepadanya. Sungguh dia telah beruntung. Itulah kemenangan yang nyata.

"17. Dan jika Allah menimpakan kepada kamu dengan bencana, maka tidak ada yang menghilangkan baginya kecuali Dia. Dan jika menimpakan kepada kamu dengan kebaikan, maka Dia atas segala sesuatu Maha Kuasa." 

Allah memiliki kemudaratan dan kemanfaatan. Dia satu-satunya yang memberikan manfaat (An Naafi') dan menimpakan bahaya (Adh Dhaarr). Dialah yang mengatur makhlukNya menurut apa yang dikehendakiNya. Tiada yang menanyakan tentang keputusanNya dan tiada yang dapat menolak ketetapanNya.

Jika Dia menimpakan suatu bencana kepadamu seperti sakit dan kemiskinan, tidak ada yang dapat menghilangkannya selain Dia. Jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu seperti sihat dan kekayaan, tidak ada yang dapat menghalangiNya selain Dia. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu.

Rasulullah s.a.w. sering berdoa dengan menyebutkan kalimat berikut,

"اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِما أَعْطَيْت، وَلَا معطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الجَدّ مِنْكَ الجَدّ"

"Ya Allah, tidak ada yang dapat mencegah apa yang Engkau berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang engkau cegah, dan tiadalah memberikan manfaat terhadap Engkau kedudukan orang yang mempunyai kedudukan."

"18. Dan Dia berkuasa atas hamba-hambaNya." 

Dialah Tuhan yang menyerah kepadaNya semua diri. Tunduk kepadaNya semua orang yang perkasa. Tunduk kepadanya semua wajah. Segala sesuatu berada di bawah kekuasaanNya. Tunduk kepadaNya semua makhluk. Tunduk patuhlah segala sesuatu kepada keagungan, kebesaran, ketinggian dan kekuasaanNya.

Kecillah segala sesuatu di hadapanNya. Semuanya berada di bawah kekuasaan dan hukumNya. Oleh kerana itu, tidaklah manusia bertindak, bergerak atau diam kecuali dengan kehendakNya. Semua makhluk tidak keluar dari kerajaanNya dan kekuasaanNya.

"Dan Dia Maha Bijaksana Maha Mengetahui." 

Allah Maha Bijaksana dalam perintah dan laranganNya, dalam memberi balasan dan menyiksa, dalam hal mencipta, menetapkan taqdirnya dan dalam semua perbuatanNya.

Allah Maha Mengetahui semua rahsia, perkara yang samar, yang disembunyikan, segala sesuatu yang pada tempat dan kedudukannya masing-masing.

Kerana itu, Dia tidak memberi kecuali kepada orang yang berhak; dan tidak mencegah kecuali terhadap orang yang berhak untuk dicegah. Ini semua termasuk dalil tauhidNya. Maka hanya Dia saja yang berhak untuk disembah dan diibadati. Tidak ada Tuhan selain Dia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...