Ahad, 9 Julai 2017

7:157-158 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 157-158.

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الأمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالأغْلالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ  (١٥٧) قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (١٥٨)

Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah s.w.t. agar Dia mengampunkan dan memberi rahmat kepada Beliau dan Bani Israil. Beliau juga memohon agar ditetapkan untuk mereka kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

Allah berfirman, "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami."

"157. Orang-orang yang mengikuti Rasul," 

Mereka adalah orang-orang yang mengikut Nabi Muhammad s.a.w. Beriman kepada Beliau s.a.w. merupakan syarat masuknya mereka ke dalam golongan orang-orang yang beriman. Orang-orang yang beriman kepada Beliau s.a.w. lagi mengikutinya adalah orang-orang yang akan memperoleh rahmat yang mutlak (di dunia dan akhirat).

"Nabi yang ummi, yang mereka mendapatinya tertulis di sisi mereka dalam Taurat dan Injil," 

Beliau s.a.w. seorang nabi yang tidak boleh membaca dan menulis. Mereka dapati nama, sifat dan tempat hijrah Beliau s.a.w. tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka.

"dia menyuruh mereka kepada yang ma'ruf" 

Ma’ruf adalah perbuatan baik, atau perkara yang dikenal baik, sesuai dan bermanfaat. Contohnya tauhid, solat, zakat, puasa, haji, silaturrahim, berbakti kepada kedua orang tua, berbuat baik kepada jiran dan hamba yang dimiliki, memberi manfaat kepada semua orang, berkata jujur, menjaga diri (iffah), memberi nasihat, dan sebagainya.

"dan mencegah mereka dari kemungkaran," 

Munkar adalah perbuatan buruk, atau perkara yang dikenal buruknya menurut akal dan fitrah. Contohnya syirik, membunuh jiwa tanpa alasan yang benar, berzina, meminum yang memabukkan, berbuat zalim kepada yang lain, dusta, berbuat jahat, dan sebagainya.

"dan menghalalkan bagi mereka yang baik-baik" 

Dihalalkan segala yang baik iaitu makanan, minuman, menikah dan sebagainya yang sebelumnya diharamkan dalam syari’at mereka dan apa yang mereka haramkan atas diri mereka sendiri, padahal Allah s.w.t. menghalalkannya.

"dan mengharamkan atas mereka yang buruk-buruk" 

Diharamkan bagi mereka segala yang buruk seperti bangkai, daging babi, riba dan semua barang haram yang dahulunya mereka halalkan, padahal Allah s.w.t. mengharamkannya.

"dan meletakkan dari mereka beban-beban mereka dan belenggu-belenggu yang ada atas mereka." 

Umat-umat terdahulu dibebani syari'at yang berat dan menyempitkan diri mereka. Bani Israil disyari'atkan membunuh diri dalam bertaubat, diwajibkan qisas pada pembunuhan baik yang disengaja atau tidak tanpa membolehkan membayar diat, membuang atau menggunting kain yang terkena najis dan sebagainya.

Allah s.w.t. memberikan keluasan kepada umat ini dalam semua urusannya dan mempermudahnya bagi mereka. Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. membawa agama yang hanif, syari’at yang mudah, ringan dan bertoleransi.

Allah s.w.t. memaafkan dari umat Beliau s.a.w. hal-hal yang dibisikkan oleh hatinya, selagi ia tidak mengucapkannya atau mengerjakannya. Dimaafkan juga dari umatnya kekeliruan, kelupaan dan hal-hal yang dipaksakan kepada mereka. Kerana itu Allah s.w.t memberi petunjuk kepada umat ini agar berdoa memohon maaf, ampun dan rahmatNya. Maka Dia memperkenankannya.

Demikianlah sifat dan ciri khas Nabi Muhammad s.a.w. yang termaktub atau tertera di dalam kitab-kitab para nabi terdahulu. Begitu juga keadaan Nabi s.a.w. pada kenyataannya, Beliau hanya memerintahkan kebaikan dan hanya melarang perbuatan jahat. Itulah dalil (bukti) besar yang menunjukkan bahawa Beliau s.a.w. adalah utusan Allah s.w.t.

Para nabi terdahulu menyampaikan berita gembira kepada umatnya masing-masing akan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. dan memerintahkan kepada umatnya untuk mengikutinya apabila mereka mengalami masanya. Sifat-sifat Nabi Muhammad s.a.w. masih tetap ada dalam kitab-kitab mereka serta diketahui oleh ulama dan rahib mereka.

"Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan mereka memuliakannya, dan mereka menolongnya," 

Iaitu orang-orang yang beriman kepadanya, mengagungkannya dan menghormatinya.

"dan mereka mengikuti cahaya yang diturunkan bersamanya." 

Al Qur'an dan wahyu disampaikan kepada Beliau s.a.w. untuk disampaikan kepada umat manusia. Al Qur’an merupakan cahaya yang digunakan untuk menyinari kegelapan keraguan dan kebodohan.

"Mereka itu mereka orang-orang yang beruntung."

Merekalah orang-orang yang beruntung di dunia dan akhiratnya. Sebaliknya, orang-orang yang tidak beriman, tidak memuliakan dan tidak menolong Nabi Muhammad s.a.w. serta tidak mengikuti Al Qur’an, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"158. Katakanlah, "Wahai manusia! Sesungguhnya aku utusan Allah kepada kalian semuanya,"" 

Nabi Muhammad s.a.w. adalah penutup para nabi. Beliau s.a.w. tidak hanya menyerukan Islam kepada Ahli Kitab dari kalangan Yahudi saja, bahkan Beliau s.a.w. diutus oleh Allah kepada seluruh umat manusia, baik yang berkulit merah maupun yang berkulit hitam, baik orang Arab maupun orang 'Ajam (selain Arab). Hal ini merupakan kemuliaan dan keutamaan yang dimiliki olehnya.

"yang baginya kerajaan langit dan bumi;"

Beliau s.a.w. diutuskan oleh Tuhan yang menciptakan, memiliki dan menguasai segala sesuatu di langit dan di bumi. Di tangan kekuasaanNyalah semua kerajaan. Dia mengatur alam semesta dengan hukum-hukum KauniNya (taqdir) dan hukum-hukum syar’iNya (syari’at).

Termasuk di antaranya adalah dengan mengutus seorang rasul yang mengajak kepada Allah dan kepada syurgaNya, serta memperingatkan segala yang menjauhkan diri dari Allah dan dari syurgaNya.

"tidak ada tuhan kecuali Dia, Yang menghidupkan dan mematikan,"

Allah s.w.t. satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Hanya Dialah yang berhak memberi keputusan.

"maka berimanlah kalian kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi" 

Berimanlah kalian kepada Allah s.w.t. dan utusanNya, Nabi yang ummi, yang lurus aqidah (keyakinan) dan amalnya. Nabi yang telah dijanjikan dan telah diberitakan kepada kalian melalui kitab-kitab terdahulu sebagai berita gembira akan kedatangannya. Sesungguhnya sifat-sifatnya disebutkan di dalam kitab-kitab kaum Ahli Kitab. Kerana itulah Beliau s.a.w. disebut nabi yang ummi.

"yang beriman kepada Allah dan kalimat-kalimatNya," 

Ucapan dan amal perbuatannya bersesuaian, dan Beliau s.a.w. beriman kepada kitab-kitabNya dan kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhanya.

"dan ikutilah dia agar kalian mendapat petunjuk."

Maka ikutilah dan berimanlah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tempuhlah jalannya dan titilah jejaknya, supaya kalian mendapat petunjuk ke jalan yang lurus dalam meniti hidup di dunia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...