وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى بِآيَاتِنَا وَسُلْطَانٍ مُبِينٍ (٢٣) إِلَى فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَقَارُونَ فَقَالُوا سَاحِرٌ كَذَّابٌ (٢٤) فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْحَقِّ مِنْ عِنْدِنَا قَالُوا اقْتُلُوا أَبْنَاءَ الَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ وَاسْتَحْيُوا نِسَاءَهُمْ وَمَا كَيْدُ الْكَافِرِينَ إِلا فِي ضَلالٍ (٢٥) وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى وَلْيَدْعُ رَبَّهُ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يُبَدِّلَ دِينَكُمْ أَوْ أَنْ يُظْهِرَ فِي الأرْضِ الْفَسَادَ (٢٦) وَقَالَ مُوسَى إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُمْ مِنْ كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ الْحِسَابِ (٢٧)
Allah s.w.t. berfirman, menghibur hati NabiNya Muhammad s.a.w. yang sedang menghadapi sebahagian besar dari kaumnya yang mendustakannya, seraya menyampaikan berita gembira kepadanya bahawa kesudahan yang baik dan kemenangan akan diperolehnya di dunia dan di akhirat. Sebagaimana yang telah dilakukan oleh Allah s.w.t. kepada Musa a.s.
"23. Dan sungguh Kami telah mengutus Musa dengan ayat-ayat Kami dan bukti yang nyata."
Allah s.w.t. telah mengutus Musa a.s. dengan membawa ayat-ayatNya yang besar dan terang yang menunjukkan kebenaran apa yang Beliau bawa dan batilnya apa yang dipegang oleh kaumnya yang menentang, iaitu syirik dan perbuatan maksiat lainnya.
Sulthan bermaksud hujah dan bukti. Iaitu keterangan yang nyata, hujjah yang nyata atau dalil-dalil jelas yang menguasai hati sehingga menjadikannya tunduk, seperti tongkatnya yang berubah menjadi ular, tangan yang bercahaya dan sebagainya. Dengannya Allah s.w.t. menguatkan Musa dan menguatkan kebenaran yang diserukannya.
"24. Kepada Fir'aun, dan Haman, dan Qarun;"
Fir'aun adalah raja bangsa Mesir, Haman adalah patih atau perdana menterinya, sedangkan Qarun termasuk kaum Musa a.s. dan orang yang terkaya di zamannya. Lalu dia bersikap sombong terhadap kaumnya dengan hartanya. Fir’aun, Haman dan Qarun sama-sama menentang Musa a.s. dengan keras.
"maka mereka berkata, "Dia adalah seorang ahli sihir pendusta.""
Mereka mendustakan Musa a.s. dan menuduhnya sebagai seorang penyihir, gila, kerasukan, lagi pendusta dalam pengakuannya yang mendakwakan dirinya sebagai utusan Allah.
"25. Maka tatkala datang kepada mereka dengan kebenaran dari sisi Kami,"
Musa a.s. datang kepada mereka dengan membawa bukti kukuh yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t. telah mengutusnya kepada mereka. Allah s.w.t. menguatkan Beliau dengan beberapa mukjizat yang besar yang mengharuskan mereka tunduk dan tidak menolaknya.
Namun mereka menolaknya dan berpaling, mengingkarinya dan menentangnya dengan kebatilan mereka, bahkan lebih dari itu.
"mereka berkata, "Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang mereka beriman bersamanya dan biarkanlah hidup perempuan-perempuan mereka.""
Fir'aun sekali lagi memerintahkan anak-anak lelaki kaum Bani Israil dibunuh. Mereka menyangka bahawa jika mereka membunuh anak-anak Bani Israil, maka Bani Israil akan menjadi lemah dan tetap dalam perhambaan kepada mereka.
Perintah yang pertama bertujuan untuk pencegahan agar Musa a.s. tidak dilahirkan, atau untuk menghina kaum Bani Israil dan mengurangkan bilangan mereka, atau kerana kedua tujuan tersebut. Adapun perintah yang kedua ini kerana alasan yang lain, juga untuk menghinakan bangsa Bani Israil agar mereka merasa sial dengan keberadaan Musa a.s.
Kerana itu mereka berkata, "Kami telah ditindas oleh Fir'aun sebelum kamu datang kepada kami dan sesudah kamu datang." Musa a.s. menjawab, "Mudah-mudahan Allah membinasakan musuhmu dan menjadikan kamu khalifah di bumiNya, maka Allah akan melihat bagaimana perbuatanmu.”
"Dan tidaklah tipu daya orang-orang kafir kecuali dalam kesesatan."
Tipu daya dan tujuan mereka untuk mengurangi bilangan kaum Bani Israil agar kaum Bani Israil tidak mempunyai kekuatan melawan mereka gagal, sia-sia dan tidak membawa hasil apa pun. Bahkan mereka mendapat kebalikan dari apa yang mereka harapkan. Allah s.w.t. pada akhirnya membinasakan mereka dan menghabisi mereka sampai ke akar-akarnya.
"26. Dan Dia berkata Fir'aun, "Biarkan aku membunuh Musa""
Fir'aun berkata kepada pembesar-pembesarnya dengan sikap sombong dan kejam. Dia bertekad untuk membunuh Musa a.s. demi mereka. Hal itu kerana para pembesarnya menghalangi Fir’aun membunuh Musa.
"dan hendaklah dia berdoa kepada Tuhannya,"
Iaitu suruhlah dia memohon kepada Tuhannya agar diselamatkan dariku, aku tidak peduli denganNya. Ini merupakan ungkapan yang menunjukkan sangarnya keingkaran Fir'aun dan kekerasan hatinya serta kekurangajarannya terhadap Tuhan.
"sungguh aku, aku takut bahawa dia akan menukar agama kalian atau bahawa dia akan menimbulkan di bumi kerosakan."
Fir'aun memperingatkan manusia dari Musa a.s. bahawa dia merasa bimbang Musa a.s. akan mengubah pendirian manusia dan mengganti tradisi dan adat istiadat mereka yang selama itu telah dibina olehnya. Fir'aun berpura-pura sebagai seorang yang mengharapkan kebaikan bagi manusia, padahal kenyataannya dia hanyalah menyembunyikan menyembunyikan hakikat yang sebenarnya dan kejahatannya.
Kata-kata keji dari Fir’aun itu terdengar oleh Musa a.s.
"27. Dan berkata Musa, "Sesungguhnya aku, aku berlindung kepada Tuhanku dan Tuhan kalian dari setiap orang yang menyombongkan diri tidak beriman dengan hari berhisab.""
Musa a.s. memohon perlindungan dan pertolongan kepada Allah s.w.t. dari kejahatan Fir'aun dan orang-orang yang serupa dengannya, iaitu orang yang sombong tidak mahu mengikuti perkara hak lagi jahat dan tidak beriman kepada hari perhitungan. Kekafirannya kepada hari perhitungan membuatnya bersikap buruk dan membuat kerosakan.
Maka dengan kelembutan Allah s.w.t., Dia melindungi Musa a.s. dari setiap orang yang sombong lagi tidak beriman kepada hari perhitungan. Allah s.w.t. juga menetapkan berbagai sebab yang dengannya Beliau terhindar dari kejahatan Fir’aun dan para pemukanya.
Rasulullah s.a.w. apabila merasa takut terhadap kejahatan suatu kaum Beliau berdoa,
"اللَّهُمَّ، إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ، وَنَدْرَأُ بِكَ فِي نُحُورِهِمْ"
"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan mereka dan menjadikan Engkau berada pada leher mereka."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan