Rabu, 2 Ogos 2017

47:16-19 Tafsir Surah Muhammad, ayat 16-19.

وَمِنْهُمْ مَنْ يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ حَتَّى إِذَا خَرَجُوا مِنْ عِنْدِكَ قَالُوا لِلَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مَاذَا قَالَ آنِفًا أُولَئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ (١٦) وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ (١٧) فَهَلْ يَنْظُرُونَ إِلا السَّاعَةَ أَنْ تَأْتِيَهُمْ بَغْتَةً فَقَدْ جَاءَ أَشْرَاطُهَا فَأَنَّى لَهُمْ إِذَا جَاءَتْهُمْ ذِكْرَاهُمْ (١٨) فَاعْلَمْ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ (١٩)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.

"16. Dan di antara mereka orang yang mendengarkan kepadamu," 

Mereka adalah orang-orang munafik. Mereka sering duduk bersama Rasulullah s.a.w. dan mendengarkan ucapannya, tetapi mereka tidak dapat menangkap sesuatu pun darinya. Mereka tidak dapat memahami apa yang dikatakan oleh Nabi s.a.w. kerana mereka tidak memperhatikannya. Mereka hanya sekadar mendengar, bukan untuk menerima dan mengikuti, bahkan hati mereka berpaling darinya.

"sehingga apabila mereka keluar dari sisi kamu, mereka berkata kepada orang-orang yang diberi ilmu, "Apa yang dia katakan tadi?""

Apabila mereka keluar dari sisinya, mereka bertanya kepada para sahabat Nabi s.a.w. meminta pemahaman terhadap apa yang mereka dengar dari Rasulullah s.a.w., padahal mereka tidak suka kepada ucapan Beliau.

Sekiranya mereka menginginkan kebaikan, tentu mereka pasang telinganya dan ucapan Beliau s.a.w. yang begitu jelas masuk ke dalam hati mereka, dan anggota badan mereka tunduk kepadanya, akan tetapi mereka tidak demikian.

"Mereka itulah orang-orang yang Allah kunci atas hati mereka dan mereka mengikuti hawa nafsu mereka."

Allah s.w.t. telah mengunci mati hati mereka dan menutup pintu-pintu kebaikan disebabkan mereka mengikuti hawa nafsunya dan hanya menginginkan kebatilan. Mereka tidak mempunyai pemahaman dan tujuan yang benar.

"17. Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Dia akan menambah kepada mereka petunjuk," 

Allah s.w.t. memberi taufik dan petunjuk kepada orang-orang yang mencari hidayah. Mereka beriman, tunduk dan mengikuti keridhaan Allah s.w.t. Dia akan menambah petunjuk kepada mereka sebagai syukurNya kepada mereka atas hal itu. Dia juga meneguhkan pendirian mereka pada jalan hidayah itu dan menambah kepada mereka hidayah.

"dan Dia memberi mereka ketakwaan mereka." 

Allah s.w.t. akan memberikan kepada mereka balasan ketakwaannya, iaitu ilham yang membimbing mereka kepada ketakwaan. Dia akan memberi mereka taufiq kepada kebaikan dan menjaga mereka dari keburukan. Maka orang-orang yang mendapatkan petunjuk mendapat dua balasan; ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh.

Kiranya golongan yang ingkar dan mendustakan masih tidak mahu menerima peringatan yang diberikan kepadanya,

"18. Maka tidaklah mereka menunggu-nunggu kecuali hari kiamat yang akan datang pada mereka tiba-tiba,"

Mereka hanya ternanti-nanti kedatangan hari kiamat kepada mereka dengan tiba-tiba, sedangkan mereka dalam keadaan lalai darinya.

"maka sungguh telah datang tanda-tandanya." 

Tanda-tanda yang menunjukkan dekatnya kiamat telah ada, seperti telah diutusnya Nabi Muhammad s.a.w., terbelahnya bulan, adanya dukhan (asap) dan sebagainya.

"Maka apa gunanya bagi mereka apabila ia telah datang pada mereka kesedaran mereka?" 

Apabila hari kiamat benar-benar terjadi, dunia atau waktunya telah berlalu. Pemberi peringatan telah datang kepada mereka. Tiada gunanya lagi kesedaran bagi orang-orang kafir itu. Maka persiapkanlah diri sebelum maut datang secara tiba-tiba, kerana dengan tibanya kematian, maka tibalah kiamat untuk setiap diri.

"19. Maka ketahuilah bahawasanya tidak ada Tuhan selain Allah" 

Allah s.w.t. berfirman memberitakan bahawa sesungguhnya hanya Dia saja Tuhan yang berhak disembah. Mengetahui keesaan Allah adalah fardhu ‘ain bagi setiap manusia. Mengetahui mengharuskan untuk mengakui dengan hati dan mengenal makna (kandungan) yang dituntut untuk diketahui, dan menjadi sempurna apabila beramal dengan pengetahuan itu. Maka tetaplah kamu di atas pengetahuan itu, bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, kerana hal itu akan bermanfaat pada hari Kiamat.

"dan mintalah ampun bagi dosamu" 

Mintalah ampunan kepada Allah untuk dosamu, iaitu dengan bertaubat, berdoa meminta ampunan, mengerjakan kebaikan, meninggalkan dosa dan memaafkan kesalahan. Dikatakan demikian kepada Beliau s.a.w., sedangkan Beliau s.a.w. seorang yang ma’sum adalah agar umatnya mengikutinya, dan Beliau s.a.w. telah beristighfar.

Rasulullah s.a.w. mengucapkan dalam doanya,

"اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي وَجَهْلِي، وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي. اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي هَزْلي وَجِدِّي، وخَطَئي وعَمْدي، وَكُلَّ ذَلِكَ عِنْدِي"

"Ya Allah, ampunilah bagiku semua kesalahanku, ketidaktahuanku, dan sikap berlebihan dalam urusanku, serta semua yang Engkau lebih mengetahui dariku. Ya Allah, ampunilah bagiku selorohku dan kesungguhanku, dan (juga) kekeliruanku serta kesengajaanku, yang semuanya itu ada padaku."

Rasulullah s.a.w. acapkali sesudah solatnya mengucapkan doa berikut,

"اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ إِلَهِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ"

"Ya Allah, ampunilah bagiku semua dosa yang telah kulakukan dan semua dosa yang kusembunyikan, dan semua dosa yang aku lahirkan, dan semua keberlebih-lebihanku serta semua perbuatan yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang wajib disembah selain Engkau."

Nabi s.a.w. bersabda, "Hai manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya aku juga memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya dalam satu hari lebih dari tujuh puluh kali."

Beliau s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah dalam sehari seratus kali.”

"dan bagi lelaki mukmin dan perempuan mukmin." 

Mintalah ampunan kepada Allah bagi dosa orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan. Ini adalah pemuliaan Beliau s.a.w. kepada mereka. Hal itu kerana dengan sebab keimanan mereka, maka mereka memiliki hak atas orang mukmin baik lelaki maupun wanita. Di antara hak mereka adalah didoakan dan dimintakan ampunan untuk dosa mereka.

Mohonlah agar dosa dan hukuman terhadap mereka disingkirkan. Bersikap tuluslah kepada mereka, cintailah kebaikan yang mereka perolehi, bencilah keburukan yang mereka perolehi, perintahkanlah mereka kepada hal yang baik untuk mereka, laranglah sesuatu yang membahayakan mereka, maafkanlah kesalahan mereka, doronglah mereka bersatu dan singkirkanlah segala dendam yang dapat menimbulkan permusuhan dan pertengkaran, dimana hal itu dapat menambah dosa dan maksiat mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bacalah oleh kalian kalimah "Laa ilaha illallah" dan istigfar, perbanyaklah kalian membaca keduanya, kerana sesungguhnya iblis telah mengatakan, "Sesungguhnya aku telah binasakan umat manusia dengan dosa-dosa, dan mereka membinasakanku dengan kalimah "Laa ilaha illallah" dan istigfar. Setelah kulihat demikian, maka kubinasakan mereka dengan hawa nafsu, maka mereka menyangka bahawa dirinya mendapat petunjuk.”

Iblis berkata, "Demi keagungan dan kebesaranMu, Aku tetap akan menyesatkan mereka selama nyawa mereka masih ada di tubuh mereka." Maka Allah berfirman, "Demi keagungan dan kebesaranKu, Aku terus menerus memberikan ampunan bagi mereka selama mereka memohon ampunan kepadaKu."

"Dan Allah mengetahui tempat berpindah kalian dan tempat tinggal kalian." 

Allah s.w.t. mengetahui semua tindak tanduk kalian di siang hari dan di saat kalian berada di dalam tempat tinggal kalian di malam hari. Dia mengetahui tempat kamu berusaha di dunia dan tempat tinggal kalian kelak di akhirat. Dia mengetahui semua keadaan kalian. Tidak ada satu pun yang samar bagiNya. Oleh kerana itu, berhati-hatilah jangan sampai menderhakaiNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...