Jumaat, 4 Ogos 2017

54:9-22 Tafsir Surah Al Qamar, ayat 9-22.

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ فَكَذَّبُوا عَبْدَنَا وَقَالُوا مَجْنُونٌ وَازْدُجِرَ (٩) فَدَعَا رَبَّهُ أَنِّي مَغْلُوبٌ فَانْتَصِرْ (١٠) فَفَتَحْنَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ (١١) وَفَجَّرْنَا الأرْضَ عُيُونًا فَالْتَقَى الْمَاءُ عَلَى أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ (١٢) وَحَمَلْنَاهُ عَلَى ذَاتِ أَلْوَاحٍ وَدُسُرٍ (١٣) تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا جَزَاءً لِمَنْ كَانَ كُفِرَ (١٤) وَلَقَدْ تَرَكْنَاهَا آيَةً فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ (١٥) فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ (١٦) وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ (١٧) كَذَّبَتْ عَادٌ فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ (١٨) إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا فِي يَوْمِ نَحْسٍ مُسْتَمِرٍّ (١٩) تَنْزِعُ النَّاسَ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ مُنْقَعِرٍ (٢٠) فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِي وَنُذُرِ (٢١) وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ (٢٢)

Nabi Muhammad s.a.w. didustakan oleh kaumnya. Semua ayat tidaklah bermanfaat bagi mereka. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"9. Telah mendustakan sebelum mereka kaum Nuh, maka mereka mendustakan hamba Kami" 

Sebelum kaum Beliau s.a.w., kaum Nuh a.s. juga dengan terang-terangan mendustakan RasulNya, Nuh a.s. Allah s.w.t. mengutuskan rasul pertama kepada orang-orang yang menyembah patung. Beliau mengajak mereka mentauhidkan Allah dan beribadah kepadaNya saja.

Namun mereka engggan meninggalkan syirik dan berkata kepada sesama mereka, “Janganlah kamu meninggalkan sembahan kamu dan jangan pula meninggalkan Wad, Suwa’, Yaghuts, Ya’uuq dan Nasr.” Semua itu adalah nama patung yang mereka sembah.

Nuh a.s. tetap berdakwah mengajak mereka kepada Allah di malam dan siang, sembunyi-sembunyi maupun terang-terangan. Namun dakwah Beliau tidak menambah mereka selain tetap sikap membangkang, melampaui batas dan mencela Nabi mereka.

"dan mereka berkata, "Orang gila dan dia diberi ancaman.""

Mereka menganggap bahawa syirik dan kesesatan yang dipegang oleh mereka dan nenek moyang mereka selama ini adalah sesuatu yang disokong oleh akal, dan bahawa apa yang dibawa Nabi Nuh a.s. adalah kejahilan dan kesesatan; yang tidak muncul kecuali dari orang-orang gila.

Mereka telah berdusta dalam hal itu dan memutarbelitkan hakikat yang telah tetap berdasarkan syara’ maupun akal, iaitu bahawa apa yang dibawa Nabi Nuh a.s. adalah kebenaran yang membimbing akal kepada petunjuk, cahaya dan jalan yang lurus, sedangkan yang mereka pegang selama ini adalah kebodohan dan kesesatan yang nyata.

Kaumnya menyanggahnya dan bersikap keras terhadapnya saat Beliau mengajak mereka kepada Allah s.w.t. Mereka tidak hanya menolak beriman dan mendustakannya, bahkan mereka bersungguh-sungguh menimpakan gangguan kepada Beliau. Mereka mengherdiknya, mencegahnya, serta mengancamnya, bahawa sekiranya Nuh a.s. tidak menghentikan seruannya itu, nescaya mereka benar-benar akan merajamnya. Demikianlah keadaan musuh-musuh para rasul.

"10. Maka dia berdoa Tuhannya, "Sungguh aku orang yang dikalahkan, maka tolonglah.""

Nuh a.s. tidak mampu lagi menghadapi mereka, melawan mereka dan membela dirinya kerana pengikutnya terlalu sedikit. Saat itulah Nuh a.s. mengadu kepada Allah s.w.t. bahawasanya Beliau adalah orang yang lemah. Beliau memohon agar Allah s.w.t. menolong agamaNya. Beliau juga memohon agar Allah s.w.t. tidak membiarkan seorangpun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Maka Allah s.w.t. mengabulkan doanya dan menolongnya terhadap kaumnya.

"11. Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang tercurah." 

Munhamir bermaksud air yang banyak sekali. Sebelum itu langit tidak pernah menurunkan airnya dan tidak pula sesudahnya melainkan hanya dari awan. Al majrah adalah gugusan bintang-bintang di langit, iaitu talang-talang langit yang darinya semua pintu langit dibuka untuk menurunkan air yang tercurah. Allah s.w.t. menurunkan air di luar kebiasaan tanpa melalui awan yang ada di hari itu.

"12. Dan Kami pancarkan bumi beberapa mata air," 

Dengan kekuasaan Allah s.w.t., Dia menyemburkan air dari seluruh muka bumi; hingga tempat-tempat pembakaran roti yang biasanya tidak ada air pun menyemburkan air. Padahal sumber api dari situ.

"maka bertebaran air atas urusan sungguh telah ditetapkan." 

Bertemulah air dari langit dan air dari bumi sehingga meluap menimbulkan keadaan bencana yang telah ditetapkan takdirnya.

"13. Dan Kami angkut dia atas yang mempunyai papan-papan dan paku." 

Allah s.w.t. angkut Nuh a.s. ke atas kapal yang dibina dengan papan dan pasak. Dusur bermaksud paku-paku. Ada yang mengatakan lambung-lambung (badan) kapal, bahagian depan (haluan) kapal yang membelah ombak, kedua sisinya dan bahagian pokoknya.

"14. Berlayar dengan pengawasan Kami balasan bagi orang yang dia diingkari." 

Kapal itu berlayar membawa Nuh a.s., orang-orang yang beriman bersamanya dan haiwan yang berpasang-pasangan dengan perintah, penglihatan, pemeliharaan, penjagaan dan pengawasan dari Allah s.w.t. Dialah sebaik-baik Pemelihara dan Penjaga.

Nuh a.s. telah didustakan kaumnya. Namun Beliau tetap bersabar dengannya dan tetap berada di atas perintah Allah s.w.t. walaupun orang-orang menghalangi dan mencegahnya. Sebagai balasan dan pertolongan kepada Beliau, Allah s.w.t. menyelamatkan Beliau dari banjir yang merata. Ia juga sebagai balasan bagi mereka yang telah kafir kepada Allah.

"15. Dan sungguh Kami tinggalkannya ayat," 

Allah s.w.t. jadikan kapal itu sebagai ayat atau tanda yang menjadi pelajaran. Dia tinggalkan pada kisah Nuh a.s. bersama kaumnya tanda bagi orang-orang yang mengambil pelajaran, bahawa orang-orang yang menderhakai Rasul dan membangkang terhadapnya, maka Allah s.w.t. akan membinasakan mereka dengan azab yang merata lagi keras.

Asal pembinaan kapal yang dibina oleh Nuh a.s. adalah pengajaran dari Allah s.w.t. kepada hambaNya Nuh a.s. untuk menunjukkan rahmatNya kepada makhlukNya dan perhatianNya, sempurnanya kekuasaanNya dan indahNya ciptaanNya.

"maka adakah dari orang yang memikirkan?" 

Iaitu adakah orang yang mahu mengambilnya sebagai pelajaran dan peringatan baginya.

"16. Maka bagaimana ada azabKu dan peringatanKu?"

Betapa hebatnya azab dan peringatan Allah s.w.t. terhadap orang-orang yang ingkar kepadaNya, mendustakan rasul-rasulNya dan tidak mahu mengambil pelajaran dari apa yang disampaikan oleh juru peringatanNya. Dia membela para juru peringatanNya dan menimpakan pembalasan terhadap orang-orang yang mendustakan mereka. AzabNya begitu dahsyat dan peringatanNya tidak menyisakan sedikit pun hujjah atau alasan bagi seorang pun.

"17. Dan sungguh Kami mudahkan Al Qur'an untuk peringatan," 

Allah s.w.t. mudahkan lafaz Al Quran untuk dibaca dan dihafal. Dia mudahkan makna dan pengertiannya untuk difahami, diketahui, dipelajari dan direnungi, bagi orang yang menginginkannya agar dia memberikan peringatan kepada manusia.

Hal itu, kerana Al Qur’an adalah sebaik-baik perkataan, paling benar maknanya dan paling jelas keterangannya. Oleh kerana itu, siapa saja yang mendatanginya, maka Allah s.w.t. akan membantunya dan memudahkan maksudnya itu semudah-mudahnya. Seandainya Allah tidak memudahkan Al Qur'an bagi lisan manusia, nescaya tiada seorang makhluk pun yang mampu berbicara dengan Kalamullah.

Az zikr (pelajaran atau peringatan) di ayat ini mencakup semua yang diingat dan dipelajari oleh orang-orang yang berilmu seperti halal-haram, hukum-hukum perintah dan larangan, hukum-hukum jaza’i (pembalasan), nasihat, pelajaran, aqidah yang bermanfaat dan berita-berita yang benar.

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Al Qur’an ini diturunkan dengan tujuh dialek."

"maka adakah dari orang yang memikirkan?" 

Adakah orang yang mengambil pelajaran? Iaitu adakah orang yang ingin menimba ilmu, mengambil pelajaran dan peringatan dari Al Qur'an, menjadikan Al Qur'an sebagai pembimbingnya dan meninggalkan semua kemaksiatan.

"18. Telah mendustakan kaum 'Ad." 

Kaum 'Ad adalah suatu kabilah yang tinggal di Yaman. Allah s.w.t. mengutus kepada mereka Hud a.s. mengajak mereka untuk beribadah kepada Allah, tetapi mereka juga mendustakan rasulNya. Mereka mengatakan, “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?” Mereka tidak menyedari, bahawa Allah yang menciptakan mereka tentu lebih kuat dari mereka. Maka Allah s.w.t. menimpakan azabNya kepada mereka.

"Maka bagaimana ia azabKu dan peringatanKu?" 

Betapa dahsyatnya azabKu dan ancaman-ancamanKu.

"19. Sungguh Kami telah mengirimkan atas mereka angin sangat kencang pada hari yang nahas yang terus menerus." 

Allah s.w.t. telah mengirimkan kepada mereka angin yang sangat kencang lagi sangat dingin pada hari kesialan yang membinasakan mereka, selama tujuh malam dan lapan hari terus-menerus. Hari itu merupakan hari azab dunia bagi mereka yang langsung berhubungan dengan azab ukhrawinya.

"20. Ia menggelimpangkan manusia seakan-akan batang kurma yang tumbang." 

Angin itu melanda mereka, lalu menerbangkan mereka ke udara hingga tidak kelihatan lagi. Kemudian mereka dijatuhkan dengan kepala di bawah, hingga hancurlah kepalanya dan mereka mati dengan kepala terpisah dari jasad. Mayat-mayat mereka bergelimpangan bagaikan pohon-pohon kurma yang tumbang terbongkar dengan akar-akarnya. Sungguh lemah keadaan mereka.

"21. Maka bagaimana ada azabKu dan peringatanKu?" 

Betapa dahsyatnya azabKu dan ancaman-ancamanKu.

"22. Dan sungguh Kami mudahkan Al Qur'an untuk peringatan, maka adakah dari orang yang memikirkan." 

Sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur’an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Allah s.w.t. mengulangi ayat ini sebagai rahmat dan perhatianNya kepada hamba-hambaNya. Dia mengajak mereka kepada sesuatu terdapat kebaikan bagi dunia dan akhirat mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...